Tuesday, November 9, 2010

Bukan mudah untuk berpoligami

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan e-mel anda akhbar Harian Metro bertarikh 29hb. Nov. 2010 dengan tajuk "Poligami tidak mudah"

Poligami adalah ubat dan penawar. Ia sepatutnya tidak menimbulkan masalah kerana tujuan pensyariatannya bagi menyelesaikan masalah. Bahkan poligami disyariatkan bagi mengelak masyarakat terlibat dengan pelbagai gejala moral yang boleh meruntuhkan institusi rumahtangga. Malah jika diteliti keburukan berpoligami jauh lebih baik bagi masyarakat, keluarga dan individu dibandingkan dengan keburukan membiarkan umat Islam terlibat dengan kancah zina dan persundalan dengan sewenang-wenangnya.

Justeru itu sesiapa sahaja yang ingin berpoligami perlu mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan sama ada berlandaskan hukum syarak yang menetapkan syarat berlaku adil mahupun aspek perundangan syariah negara bagi mengelak suasana haru-biru yang mencemarkan imej institusi kekeluargaan Islam. Malah lebih memburukkan keadaan apabila ada yang mengambil jalan mudah berpoligami di negara jiran seperti di Selatan Thailand yang boleh dipertikaikan status pernikahannya.

Di Malaysia kebenaran untuk berpoligami tertakluk kepada peruntukan Undang-undang Keluarga Islam yang dikanunkan di seluruh negeri. Peruntukan yang sama juga boleh dirujuk pada Seksyen 23 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang memperuntukkan bahawa; “Permohonan untuk kebenaran berpoligami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah diserta dengan suatu akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.

Selanjutnya peruntukan tersebut juga turut menggariskan sebab-sebab permohonan untuk berpoligami boleh dipertimbangkan oleh pihak Mahkamah iaitu “bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada antara lain hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hah-hak persetubuhan, atau gila dipihak isteri atau isteri-isteri sedia ada”.

Malah peruntukan undang-undang juga menetapkan bahawa pihak yang tidak berpuashati boleh merayu bagi mencabar keputusan Mahkamah membenarkan suami berkahwin lagi. Misalnya dalam kes Ramona Juita bt. Abdullah lwn. Engku Nazarudin b. Engku Muhamed tentang kesilapan Mahkamah memberi kebenaran berpoligami kepada responden tanpa memanggil isteri dan saksi-saksi dalam permohonan poligami tersebut.

Melihat kepada peruntukan undang-undang yang begitu ketat sebenarnya sukar untuk para suami berkahwin lagi. Namun ini tidak bermakna poligami telah diharamkan. Penetapan undang-undang yang sebegitu rupa digubal supaya hak dan kepentingan isteri sedia ada terjamin dan tidak dizalimi di samping itu juga bagi mempastikan bahawa keadilan dapat diberikan kepada isteri-isterinya. Peruntukan ini juga perlu agar keharusan berpoligami tidak disalahgunakan dan imej poligami Islam yang baik dapat dizahirkan.

Perlu juga diingat poligami bukan tiket untuk berseronok dan melampiaskan nafsu semata-mata. Poligami juga bukan hak eksklusif untuk suami berkahwin lagi. Suami yang ingin berpoligami tertakluk kepada syarat boleh berlaku adil antara kesemua isteri dan anak-anak yang di bawah tanggungannya.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam firman-Nya yang bermaksud “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil ( terhadap isteri-isteri ) maka kahwinilah sseorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya”. (Surah al-Nisa’;3)

Baginda Rasulullah SAW juga turut memberi peringatan dengan sabdanya yang bermaksud:”Barangsiapa memiliki dua orang isteri dan dia melebihkan salah seorang daripadanya maka akan dibangkitkan di hari kiamat kelak dalam keadaan bahunya senget sebelah”

No comments:

Post a Comment