Monday, October 25, 2010

Kemenangan beroleh haji mabrur

Artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29hb. Okt. 2010.

KEBANJIRAN manusia mula dirasai di kedua kota suci Mekah dan Madinah berikutan kemasukan jutaan tetamu Allah SWT bagi menunaikan kewajipan haji sebagai rukun Islam yang ke-5. Dengan kepelbagaian bangsa dan aneka ragam citarasa manusia tentunya aspek ketidakserasian dan kejanggalan sukar dielakkan. Situasi serba berbeza terutama dari segi cuaca yang ekstrim dan budaya masyarakat Arab setempat yang agak keras berbanding masyarakat Melayu yang bersopan-santun jika tidak ditangani dengan baik kemungkinan menggagalkan cita-cita untuk memperoleh kemenangan haji mabrur. Oleh yang demikian beberapa perkara perlu diberi perhatian terutama oleh jamaah haji yang belum lagi berangkat ke tanah suci. Ini penting bagi menjamin segala kerja-kerja haji berjalan dengan lancar dan teratur seterusnya diterima dengan sempurna.

Bersabar serta menjaga adab dan tingkah-laku
Para jamaah haji perlu menerima hakikat jutaan manusia akan berada di kawasan al-haramain terutama menjelang waktu kemuncak hari wukuf di Arafah. Yang mana kesemuanya mempunyai tujuan dan matlamat yang sama untuk menyelesaikan segala kerja-kerja haji sebagaimana yang disyariatkan. Untuk itu nilai kesabaran yang tinggi sangat diperlukan bagi mengelak perkara-perkara buruk yang tidak diingini. Para jamaah haji dinasihat supaya sentiasa menjaga adab dan tatasusila ketika tawaf, sai’e, wukuf di Arafah dan seterusnya ketika melontar di ketiga-tiga jamrah. Elakkan daripada berebut-rebut dan patuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji yang sentiasa memantau pergerakan jamaah haji. Keengganan segelintir jamaah untuk mematuhi arahan yang ditetapkan ini boleh menyebabkan mereka ditimpa kecelakaan dan sekaligus cita-cita mendapat haji mabrur juga terkubur.

Laksanakan ibadah semaksima mungkin.
Kesempatan terpilih menjadi tetamu Allah SWT tidak patut digunakan untuk bersantai dan berseronok-seronok sahaja. Peluang sekali seumur hidup bagi sesetengah jamaah haji ini sewajarnya dipenuhkan dengan berusaha melaksanakan pelbagai ketaatan bagi mengharapkan keampunan dan keredaan daripada-Nya. Pelbagai ibadat seperti melakukan umrah sunat, tawaf sunat, berjamaah 5 waktu di masjid, berpuasa, bersedekah, mengkhatamkan al-Quran dan berzikir bebas dilakukan. Yang kesemua daripada ibadah ini kemungkinan sukar untuk dilaksanakan di tanahair apatah lagi dengan kesibukan tugasan harian masing-masing. Elakkan juga daripada menumpukan banyak masa untuk berbelanja itu dan ini kerana matlamat utama menunaikan kewajipan haji belum sempurna terlaksana.

Elakkan konflik yang merosakkan haji
Allah SWT berfirman yang bermaksud “ Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji maka tidak boleh melakukan persetubuhan, berbuat fasiq dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji..” (Surah al-Baqarah:197).

Sehubungan dengan itu jamaah haji dinasihat mengelak diri daripada konflik pertelingkahan yang boleh merosakkan ibadah haji. Perbezaan pendapat yang berlaku perlu diselesaikan dengan semangat ukhuwah Islamiyah yang menjadi asas kesatuan umat Islam seantero dunia. Janganlah pula kerana perkara yang remeh-temeh seperti makanan yang kurang enak, tempat tinggal yang jauh dan kurang selesa menjadi sebab untuk seseorang menghamburkan kata-kata nista ketika berada di tanah haram.

Adalah afdal jika setiap jamaah haji bermuhasabah akan tujuan datang ke sana dan apa matlamat yang patut dicapai, sehingga sedikit sebanyak kekurangan yang terjadi boleh diterima seadanya. Ingatlah juga pergi haji bukan pergi melancong seperti yang diharapkan, ia merupakan perjalanan ibadah bagi menguji tahap keimanan dan ketabahan setiap hamba. Malah sesiapa yang sanggup berkorban dan sentiasa memelihara diri dijanjikan pula dengan ganjaran penghapusan dosa seperti hari dilahirkan oleh ibunya.

Banyakkan berdoa mengharap pertolongan dari-Nya.
Dalam menangani pelbagai cabaran dan ujian mendatang pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT sangat diharapkan. Sehubungan dengan itu perbanyakkanlah berdoa agar apa jua halangan dapat diatasi dengan sempurna. Malah dengan berdoa seseorang dapat menzahirkan pergantungan hanya kepada Allah SWT yang berkuasa atas segala-galanya. Malah ia merupakan senjata mukmin yang kurang dimanfaatkan oleh umat Islam pada masa kini kecuali jika terdesak mengharap bantuan dari-Nya.

Justeru perbanyakkanlah berdoa sama ada bagi melicinkan kerja-kerja haji dan berhasil mendapat haji mabrur ataupun berdoa untuk kemaslahatan keluarga dan negara tercinta. Para jamaah haji juga dinasihat tidak lupa untuk mengadukan hal saudara se agama terutama di Palestin yang terus ditindas di tanahairnya sendiri. Semoga dengan keberkatan ke dua tanah haram dan berdampingan dengan Baginda Nabi Muhammad SAW segala doa dan hajat diperkenankan oleh Allah SWT.

Ikhlaskan niat sambil mengharap keampunan-Nya
Disamping itu para hujjaj baitulhilharam juga diharap sentiasa ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji. Jika tidak segala pengorbanan berupa wang ringgit, masa dan tenaga akan sia-sia tanpa sebarang balasan. Ingatlah bahawasanya jamaah haji yang datang daripada seluruh pelusuk alam sedang melakukan transaksi perniagaan dengan Allah SWT yang mana bayarannya adalah syurga yang penuh dengan segala kenikmatan. Justeru itu elakkan daripada hanya berharap laba dan keuntungan duniawi yang bersifat sementara. Malah yang lebih diharapkan adalah keampunan dan keredaan Allah SWT sepertimana ganjaran tertinggi yang diperolehi oleh ahli ibadah yang hanya melakukan kerana Allah SWT.

Akhirnya jika segala daripada rukun dan syarat haji telah terlaksana dengan jayanya. Begitu pula segala adab dan peraturan juga dipelihara dengan sempurna peratusan untuk menerima habuan yang dijanjikan tentunya tinggi di sisi Tuhan. Walau bagaimanapun pemberian yang tidak ternilai itu merupakan hak mutlak milik Allah SWT. Sebagai hamba kita diperintah untuk berusaha melaksanakan ketaatan sebaik mungkin dan hanya Dia yang berhak menentukan segalanya. Malah yang lebih penting untuk direnungkan sama ada golongan haji dan hajjah berjaya atau tidak meneruskan komitmen ibadah di tanah suci yang pernah menjadi rutin di tanah suci sekembalinya mereka ke tanahair nanti.

No comments:

Post a Comment