Sunday, October 24, 2010

Usah terkesima dengan amalan sihir yang menyesatkan

SIHIR adalah perbuatan terkutuk yang ditegah dalam Islam. Ia biasanya dikaitkan dengan kerajaan hati yang dicemari oleh penyakit mazmumah seperti hasad dengki dan tidak suka melihat kebahagiaan orang lain. Sedia difahami apabila institusi dalaman ini rosak maka ia memberi kesan pula kepada perangai dan tingkah-laku seseorang. Lebih memburukkan keadaan apabila kerosakan itu membuka ruang seluas-luasnya kepada Iblis untuk bersemayam dalam hati sehingga apa sahaja yang dilakukan seolah-olah baik walaupun hakikatnya mengundang kemurkaan Allah SWT.

Di dalam al-Quran terdapat sepotong ayat yang menjelaskan asal-usul sihir serta keburukannya sehingga mampu merosakkan sebuah institusi keluarga. Misalnya firman Allah SWT yang bermaksud “Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”. (Surah al-Baqarah:106)

Justeru tidak menghairankan jika amalan keji sebegini masih mendapat tempat dikalangan segelintir umat Islam yang terkesima dipergunakan oleh Iblis untuk mencapai berbagai tujuan duniawi yang bersifat sementara. Ada yang menggunakannya untuk memperoleh jawatan. pangkat dan kedudukan, melariskan perniagaan dan tak kurang juga yang menggunakannya untuk memenangi sesuatu pertandingan.

Perlu diingat walauapa tujuannya perbuatan tersebut termasuk khurafat dan dosa syirik yang wajib dijauhi. Sebagai individu Muslim yang bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah SWT dan bahawasanya Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah seharusnya meletakkan sepenuh keyakinan hanya kepada Allah SWT yang memiliki kuasa mutlak untuk memberi pangkat, harta dan segala kenikmatan duniawi kepada sesiapa jua yang dikehendaki. Lagi pula jika direnungkan habuan yang diterima daripada perbuatan sihir itu bersifat sementara dan tidak sebanding dengan hukuman yang amat pedih disediakan di. hari akhirat nanti.

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diseru melipatgandakan usaha bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dengan berkerja bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita yang dihajati. Ia penting bagi mengelak terlibat mengambil jalan pintas melakukan perbuatan sihir yang menyusahkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Begitu juga hubungan silaturrahim antara sesama saudara se agama perlu dipupuk dan dipelihara agar segala hak dan tanggungjawab seorang Muslim dengan seorang Muslim yang lain dapat dilestarikan dengan sempurna.

Pengamal perubatan para normal juga diharap tidak mengambil kesempatan berniaga di alam ghaib dengan mengenakan bayaran tinggi atas perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit sihir yang dirawat. Jika perlu ambillah upah sekadar yang diperlukan dan yang lebih penting rawatan dilakukan berteraskan syariat sambil mengharap perkenan daripada-Nya. Malah tidak mustahil jika seseorang ikhlas membantu akan diberi kekuatan dan pertolongan luar biasa seperti karamah sehingga dapat mengalahkan Iblis dan kuncu-kuncunya yang menyesatkan manusia dengan perbuatan sihir terkutuk.

Masyarakat Islam juga diingatkan supaya tidak mendapatkan khidmat pengamal perubatan yang menggunakan perantara jin dan jampi serapah yang tidak difahami kerana bakal memburukkan lagi keadaan. Sebaliknya pilihlah mereka yang sempurna amalan syariahnya dan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai pelindung daripada gangguan syaitan yang dilaknat.

Begitu pula umat Islam diminta berhati-hati jika ada yang mendakwa memiliki kuasa istimewa sehingga dapat mengenalpasti individu yang berbuat onar kerana kemungkinan ia juga merupakan tipu daya syaitan yang tidak jemu-jemu mencari jalan bagaimana untuk mewujudkan kebencian dan permusuhan di antara sesama manusia.

Bagi rakan se agama yang terkena mudarat akibat perlakuan sihir ini bersabarlah kerana tiada suatu kebaikan atau musibah yang menimpa manusia melainkan dengan perkenan daripada Allah SWT jua. Anggaplah ia suatu ujian daripada Allah SWT untuk menguji sejuah mana keimanan dan ketakwaan hamba-hambaNya. Berserah dan bertakwakkallah sepenuhnya kepada Allah SWT sambil berusaha mencari penawar daripada gangguan sihir yang menimpa. Elakkanlah juga daripada mengambil jalan sesat membalas perbuatan sihir dengan sihir yang lain kerana ia semakin mengeruhkan suasana.

Akhirnya marilah sama-sama kita berlindung dengan Allah SWT daripada syaitan yang direjam juga daripada amalan buruk segelintir manusia yang terkesima dengan sedikit kenikmatan hidup di dunia. Yakinlah bahawasanya tidak ada makhluk yang berkuasa memberi manfaat dan mudarat melainkan dengan izin perkenan daripada Allah SWT jua. Justeru itu berusahalah untuk sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya agar sentiasa di bawah lindungan dan pemeliharaan mutlak daripada-Nya.

No comments:

Post a Comment