Wednesday, March 10, 2010

Kehidupan Dunia Penuh Dengan Kejutan

Artikel ini telah tersiar dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 12hb Mac 2010.

DUNIA Islam dikejutkan dengan pemergian al-Marhum Sheikh Mohammed Sayed Tantawi akibat serangan jantung di Riyadh Arab Saudi. Ia merupakan satu kehilangan yang tak ternilai kerana sumbangannya yang besar dalam menyebarluaskan ilmu dan dakwah Islam ke segenap pelusuk dunia. Walaupun terdapat pandangannya yang kadang-kadang mengundang kontroversi, sebagai Syeikhulazhar, beliau berkelayakan untuk berijtihad demi kemashalatan ummah sejagat. Umat Islam sepatutnya bersedih dengan pemergian tokoh ulama ini dengan menyedekahkan bacaan al-fatihah dan melakukan solat mayat ghaib untuk al-marhum sebagaimana yang disarankan oleh Dato’ Nooh bin Gadot, Penasihat Agama Negeri Johor.

Dalam pada itu, umat Islam disaran kembali mengamalkan syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai satu cara hidup. Terutama dalam menjalankan tugas sebagai khalifah Allah SWT dalam konteks individu , masyarakat dan kepemimpinan negara. Kegagalan melaksanakan tuntutan itu menyebabkan Islam terus dihina, dan institusi kenabian menjadi bahan cemuhan. Terbaharu tiga akhbar Sweden Dagens Nyheter, Expressen serta Sydsvenska Dagbladet menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW seperti anjing lukisan pelukis Sweden Lars Vilks. Penghinaan terbaharu ini merupakan satu lagi kejutan buat umat Islam yang sedang memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Tindakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang akan melancarkan demonstrasi di hadapan Kedutaan Sweden dan cadangan boikot terhadap produk daripada Sweden dilihat berkesan memberi pengajaran ke atas perbuatan biadap ini. Namun yang lebih penting, bagaimana umat Islam mampu menterjemahkan akhlak dan peribadi mulia Baginda Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian sehingga menjadi tontonan segenap lapisan masyarakat.

Perbuatan menikahkan anak perempuan seawal usia 10 dan 11 tahun adalah contoh salah faham sesetengah individu Muslim dalam mengamalkan sunnah tinggalan Rasulullah SAW. Amalan ini jika dibiarkan akan menimbulkan kekeliruan dan fitnah kepada Islam yang dianggap tidak relevan dengan keperluan wanita hari ini. Ia juga boleh dianggap sebagai satu penindasan seksual yang mengundang cemuhan kepada Islam dan umatnya.
Justeru itu, umat Islam diingatkan agar jangan hanya leka berlawak dan berfantasia sedangkan bangsa lain, bangkit daripada kesilapan lalu dan membina peradaban bangsa yang digeruni dewasa ini.

Untuk itu juga, peminat Rancangan Raja Lawak dinasihatkan usah terlalu terkejut dengan kemenangan kumpulan kecik, mengalahkan peserta lain seperti Alex dan Idlan yang disebut-sebut sebagai juara. Kerana sememangnya hehidupan dunia penuh dengan berbagai kejutan yang menggembirakan mahupun yang mendukacitakan. Terpulang kepada manusia untuk menerima ketentuan itu dengan hati yang terbuka dan hanya berserah diri kepada-Nya.

Malah setiap kejutan yang berlaku sepatutnya menimbulkan keinsafan betapa keseronokan dunia bersifat sementara dan pasti berakhir jua. Tibanya saat itu merupakan kejutan terhebat buat setiap manusia, persoalannya sama ada mereka bersedia atau tidak untuk menghadapi situasi menakutkan itu. Di mana tiada SMS dan markah juri yang akan membantu, bahkan setiap manusia akan dinilai bergantung kepada amalan yang dikerjakan semasa di dunia.

Allah SWT berfirman yang ertinya “Katakanlah, bagaimana fikiran kamu jika datang azab Allah denga tiba-tiba atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda –tanda yang menunjukkan kedatangannya) siapakah yang akan binasa selain dari kaum yang zalim”. (Surah al-Anam:48)

Golongan yang seronok dan leka melakukan pelbagai dosa dan maksiat juga sepatutnya mengambil iktibar daripada kematian yang berlaku setiap waktu. Keengganan berbuat demikian mengundang pelbagai gejala sosial dan moral dalam masyarakat Islam yang tidak berkesudahan. Ini diperhatikan kepada sebilangan remaja Islam yang terlibat menjadi perogol diusia muda. Bayangkan betapa terkejut dan hancurnya hati ibubapa apabila anak-anak yang bakal menjadi ketua keluarga dan contoh kepada adik beradik yang lain merosakkan masa depan mereka dengan melakukan jenayah rogol yang terkutuk.

Jangan terkejut jika suatu hari, Allah SWT menurunkan musibah dan bencana akibat kebiadaban segelintir manusia yang mengundang padah kepada semua. Bibit-bibit ke arah itu sudah mula dirasai. Semalam satu gegaran kecil dilaporkan telah berlaku di sekitar Tasik Kenyir apabila satu gempa bumi lemah berukuran 2.6 pada skala Richter berpusat di 43 kilometer barat daya Kuala Terengganu dan 22 kilometer barat Kuala Berang,Terengganu. Walaupun mengikut teori hanya negara-negara di kawasan Lingkaran Api Pasifik terdedah kepada kejadian gempa bumi sepertimana yang berlaku di Haiti, Chile dan Taiwan baru-baru ini.

Lebih daripada itu umat Islam diingatkan agar tidak lalai dan leka meningkatkan martabat bangsa dan agama tercinta. Jangan terkejut jika 7 kekuatan ummah sebagaimana yang pernah disebut oleh al-Syeikh Sayid Sabiq sebenarnya memperlihatkan kelemahan dan kealpaan umat Islam masa kini. Apa yang boleh dibanggakan dengan kekuatan akidah, ilmu, dan jihad sedangkan masih terdapat ajaran sesat yang terpesong daripada landasan syariat. Begitu pula kekuatan ekonomi yang realitinya di dominasi oleh orang lain. Selain itu, kekuatan budi pekerti, keadilan dalam masyarakat dan perdamaian semankin sirna sehingga menimbulkan percakaran dan pergaduhan sesama sendiri.

Oleh itu, dengan kesempatan dan peluang yang masih ada, setiap orang Islam dinasihat sentiasa memuhasabah diri akan persiapan bertemu kejutan hari kiamat yang dahsyat. Kerana barangsiapa yang sering menilai diri semasa di dunia akan mudah proses penilaiannya di hari kemudian.

No comments:

Post a Comment