Tuesday, March 23, 2010

Bersama Jayakan Kempen Kami Prihatin

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24hb. Mac 2010.

KEMPEN Kami Prihatin yang dilancarkan oleh Akhbar Utusan Malaysia memang kena pada masanya disaat gejala buang bayi kelihatan sudah tidak bernoktah lagi. Hampir setiap minggu dada-dada akhbar tempatan dihiasi dengan perlakuan buruk syaitan bertopengkan manusia durjana ini. Masyarakat pula semankin jelak dan marah dengan tindakan bersifat kebinatangan yang dilakukan oleh mereka. Walaupun setelah pelbagai usaha untuk membendung dilakukan ia nampaknya masih berterusan dan menemui jalan buntu.

Islam sejak sekian lama telah mempromosikan budaya amar makruf nahi mungkar sebagai satu daripada asas hidup bermasyarakat. Ia penting bagi membudayakan kerjasama dalam menjayakan setiap amal baik dan mengelak daripada perlakuan buruk dalam sesebuah komuniti masyarakat. Pelaksanaan kerja-kerja sebeginilah yang kemudiannya mewujudkan suasana aman dan harmoni sekaligus memberi impak positif kepada pembangunan negara.

Suruhan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan hendaklah ada daripada kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah ali-Imran:104).

Tanpa disedari apa yang berlaku hari ini adalah kemuncak daripada kealpaan dan kelalaian masa lalu. Sikap tak ambil peduli dan biarlah yang dimiliki oleh sesetengah individu telah mengundang padah dan penyakit sosial kepada negara. Justeru itu pengalaman silam wajar dijadikan sempadan dan pengajaran agar ia tidak berulang kembali.

Dalam konteks ini perintah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran oleh Nabi Muhammad SAW wajar direalisasikan. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda “Demi diriku berada didalam gengamannya, hendaklah kamu menyeru kepada kebaikan, dan hendaklah kamu mencegah daripada kemungkaran atau boleh sahaja Allah SWT menurunkan hukuman kemudian kamu memohon pertolongan-Nya dan kamu tidak ditolong. (Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Tirmiziy dan ibn Majah).

Selanjutnya, tanggungjawab ini tidak sepatutnya dibebankan hanya kepada golongan tertentu seperti ustaz, imam dan penguatkuasa agama sahaja. Segenap lapisan masyarakat perlu bersatu tenaga membenteras kegiatan tidak bermoral yang berlaku disekeliling mereka. Ia merupakan kewajipan agama yang mesti dilaksanakan oleh semua, tanpa mengira tempat dan masa.

Ini kerana kemungkaran berlaku di mana-mana dan kadang-kadang dilakukan secara terang-terangan tanpa segan silu lagi. Perbuatan berpelukan, berciuman di tempat awam seperti pusat membeli-belah, dalam LRT, mahupun di taman-taman rekreasi seakan sinonim dengan segelintir muda-mudi yang dibimbangi menjurus kepada perbuatan zina dan peningkatan jenayah buang bayi.

Oleh itu setiap anggota masyarakat mesti menggunakan kudrat yang ada bagi membenteras punca kepada penderaan kanak-kanak dan gejala buang bayi. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dicegah dengan tangannya sendiri, jika tidak mampu hendaklah dicegah dengan lidahnya dan jika tidak mampu hendaklah dengan hati sekalipun itu adalah selemah-lemah iman”. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sikap tidak ambil peduli seharusnya dibuang jauh-jauh dalam usaha semua individu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa. Malah sebagai individu Muslim, keyakinan dan kepercayaan terhadap Allah SWT Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui sepatutnya menjadi benteng yang kukuh untuk tidak terlibat melakukan dosa dan maksiat.

Untuk tujuan itu juga dicadangkan penubuhan badan sukarela seperti BADAR (Badan Amal dan Dakwah) di peringkat komuniti. Mereka bertanggungjawab untuk mempastikan amalan baik dipatuhi kegiatan mungkar dibenteras dan jauhi. Walau bagaimanapun diingatkan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengambil tindakan sendiri tanpa merujuk kepada pihak yang berkuasa. Bagi mengelak perkara itu terjadi keanggotaannya hendaklah dipilih daripada kalangan warga kariah yang berwibawa, berintegriti dan di pandang mulia oleh masyarakat setempat.

Pihak berkuasa tempatan mahupun badan-badan korporat juga boleh menyumbang kepada Corporate Social Responsibility (CSR) dengan meletakkan papan tanda peringatan di kawasan tumpuan awam supaya menjauhi perbuatan dosa seperti zina dan buang bayi. Untuk tujuan itu, ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW boleh digunakan bagi memberi kesedaran terutama kepada masyarakat Islam yang ramai terjebak dalam kancah ini.

Begitu pula media massa seperti televisyen boleh menyiarkan keburukan pergaulan bebas, apa yang perlu dilakukan jika sudah terlanjur dalam bentuk iklan sebagai satu bentuk pendidikan seksual secara tidak langsung kepada para penonton.
Hukuman yang setimpal dengan kesalahan buang bayi dan dera kanak-kanak juga patut difikirkan sebagai pengajaran untuk semua. Hukuman sebat syariah ke atas pesalah buang bayi sehingga menyebabkan kematian juga boleh dilaksanakan jika bersesuaian kerana melibatkan aspek pelanggaran terhadap keperluan menjaga nyawa dan kehormatan manusia.

Apapun yang lebih penting, setiap individu mestilah mempunyai kekuatan kendiri bagi menangkis pelbagai serangan mendatang dalam era globalisasi masa kini. Tidak dinafikan kekuatan rohani yang berteraskan ajaran Islam yang murni juga faktor penentu kejayaan mencapai al-falah di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment