Sunday, March 28, 2010

Waspada ketika bergurau

MENJELANG tarikh 1 April, umat Islam diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan budaya gurauan melampau dengan mengena dan memperbodoh-bodohkan orang lain. Tindakan ini walaupun dilakukan sekadar suka-suka boleh mengundang padah apabila berlaku perselisihan faham dan menyebabkan pergaduhan. Akibatnya hubungan sesama rakan dan taulan menjadi renggang hanya kerana terikut-ikut budaya songsang meraikan April Fool.

Bergurau tidak dilarang dalam Islam. Malah jika dilaksanakan secara berhemah dan mengikut pertimbangan yang rasional mampu menceriakan persekitaran tempat kerja, rumah dan hubungan sesama anggota masyarakat.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW pernah mengajak aku berlumba lari, kemudian aku mengalahkannya. Setelah badanku berisi Rasulullah SAW mengajakku berlumba lagi lalu baginda SAW mengalahkanku. Baginda SAW kemudian bersabda; Ini balasan bagi yang itu. (Riwayat Ibnu Majah dan al-Nasai’e)

Terbukti senda-gurauan seperti yang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW mampu memberi impak yang besar dalam mewujudkan keceriaan hidup berumahtangga sekaligus masyarakat terhindar daripada gejala negatif seperti penderaan dan lain-lain.
Selari dengan itu juga, Islam menetapkan garis panduan umum ketika bergurau bagi mengelak implikasi buruk jika melampau dan berlebih-lebihan.

Antaranya ialah, apa yang hendak diperkatakan mestilah sesuatu yang benar jika tidak seseorang akan terjebak di dalam kancah pembohongan yang dibenci agama. Ini juga bertepatan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW yang menyebutkan “Sesungguhnya aku bergurau tetapi aku tidak mengatakan kecuali yang benar”.

Malahan orang yang bercakap bohong dikategorikan pula sebagai memiliki sifat-sifat munafik sekalipun pernah mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang dan berpuasa. Begitu pula istilah “bohong sunat” yang sering digunakan untuk menghalalkan pembohongan adalah satu pengkhianatan dan penghinaan kepada institusi kenabian yang terpelihara daripada sebarang kecacatan. Mereka yang terlibat melakukan perbuatan ini digesa segera bertaubat daripada terus menghina sunnah nabi yang mulia.

Selanjutnya gurauan yang dilakukan tidak sampai menyakiti hati orang lain, sehingga menimbulkan dendam yang berpanjangan disertai berbagai kaedah untuk membalasnya semula. Sakit hati juga boleh mencetuskan perasaan dengki dan perkelahian yang merosakkan keharmonian kehidupan sosial dalam masyarakat.

Apatah lagi jika kekurangan dan kecacatan seseorang menjadi bahan ejekan dan cemuhan, yang sudah tentu menzahirkan kemarahan. Begitu pula perbuatan menggelar seseorang dengan gelaran tertentu yang mengaibkan juga hendaklah dijauhi. Perlakuan sebegini sememangnya menyimpang daripada ajaran Islam yang sangat menitikberatkan ikatan ukhuwah yang kukuh antara satu dan lain. Ia hendaklah dipelihara seperti binaan sebuah bangunan yang saling memerlukan dan berbaik-baik antara satu sama lain.

Syariat Islam yang syumul juga sangat menganjurkan kesederhanaan dalam segala lapangan kehidupan, justeru itu elakkan berlebih-lebihan ketika bergurau dan berjenaka. Ini kerana masa yang diperuntukkan untuk beramal sewaktu di dunia terlalu singkat dan begitu cepat berlalu. Dikhuatiri jika asyik bergurau senda bekalan secukupnya tidak mampu disediakan ketika kembali kepada Allah SWT buat selama-lamanya. Akibat terlalu awal bersuka ria juga kemungkinan mengundang derita apabila dihukum atas keterlanjuran kata-kata yang pernah diucapkan.

Dalam Kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, direkodkan Muhammad bin Wasi berkata “Apabila kamu melihat seseorang menangis di syurga maka apakah kamu tidak hairan mengapa dia menangis. Dijawab tentu. Muhammad bin Wasi berkata lagi, Maka orang yang tertawa di dunia sedang dia tidak tahu bagaimana nasibnya kelak sungguh menghairankan lagi.

Perbuatan seseorang yang ketawa terbahak-bahak juga tidak bersesuaian dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang sekadar senyum dan sesekali menampakkan gigi ketika bergurau bersama para sahabatnya. Ini kerana ketawa yang keterlaluan bakal merendahkan maruah dan kemuliaan peribadi seseorang.

Lebih menghairankan lagi, bagaimana di saat segelintir masyarakat Islam berdepan dengan kebuluran, penyakit dan peperangan, masih ada yang seronok tertawa tanpa mempedulikan apa yang sedang berlaku. Situasi umat Islam di Palestin yang terpenjara di tanahair sendiri, dihujani peluru dan senjata berat saban hari sepatutnya menimbulkan keinsafan kepada semua betapa nikmat keseronokan hidup yang dikecapi wajib disyukuri dengan sebenar-benarnya.

Tidak ketinggalan juga jenayah buang bayi yang memilukan, penderaan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa dan pembunuhan di sana sini turut memberi isyarat betapa kroniknya barah sosial yang melanda masyarakat. Tindakan pro-aktif mesti dilakukan bagi membendung gejala ini daripada terus menular. Dikuhatiri jika dibiar berterusan ia akan merencatkan proses pembinaan tamadun dan survival bangsa.

Semua pihak, termasuk ibubapa, guru, masyarakat dan para pemimpin diseru memainkan peranan aktif dalam skop masing-masing bagi menangani situasi mencemaskan ini. Elakkan daripada leka berpolimik dan berpolitik kerana bakal mengundang malapetaka kepada agama, bangsa dan negara.

Akibat terlalu leka bergurau dan tertawa juga kemungkinan menyebabkan terdapat isu masyarakat yang terabai dan terlepas daripada pembelaan. Sebagai contoh pendedahan sebuah stesyen televisyen berkenaan tanah perkuburan Islam yang dipenuhi semak-samun cukup membuka mata setiap orang Islam untuk kembali menilai diri sendiri. Pendedahan yang memalukan itu, sedikit sebanyak telah mencalarkan imej Islam dan umatnya yang perlu diperbetulkan menerusi amalan gotong-royong dan saling berkerjasama.

Kesimpulannya tak salah sesekali ketawa dan bergurau-senda jika dilakukan sesuai menurut kehendak agama yang menetapkan syarat wajib berkata benar, tidak menyakiti orang lain dan tidak melampaui batas.

No comments:

Post a Comment