Tuesday, March 2, 2010

HIKMAH DISEBALIK GEMPA BUMI

BEBERAPA siri gempa bumi yang berlaku akhir-akhir ini cukup menjadi bukti akan keagungan Allah SWT yang Maha Berkuasa menjadikan segala sesuatu. Ia sekaligus mengajak manusia khususnya umat Islam untuk berfikir akan hikmah disebalik kejadian tersebut. Setelah Haiti digegarkan dengan gempa bumi pada 7.0 pada skala Richter dan mengorbankan seramai 217,000 nyawa, diikuti Filipina 6.0 pada skala Richter, Chile pula menerima nasib yang sama apabila turut digegarkan dengan gempa bumi 8.7 pada skala Richter, menyebabkan amaran tsunami kepada 55 buah negara di sekitar pantai Lautan Pasifik. Tak cukup dengan itu sebanyak 115 gegaran susulan dilaporkan berlaku di Chile, begitu juga gempa bumi sederhana 6.2 pada skala Richter dilaporkan di Pakistan dan Afghanistan.

Ternyata apa yang berlaku, bukan lagi sekadar fenomena alam semulajadi terutama bagi negara-negara yang terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, ia sebaliknya mengarah pemikiran manusia akan intipati tersirat yang perlu difikirkan bersama.

Kejadian ini menunjukkan betapa dunia tempat mencari penghidupan semankin uzur dimamah usia. Dunia seakan tidak mampu bertahan lebih lama dan hanya menunggu saat kehancuran sebagaimana dijanjikan Tuhan. Yang pasti menjelang tiba saat itu akan ada lagi siri gempa bumi yang akan berlaku berdasarkan perkhabaran daripada Nabi Muhammad SAW berkenaan peristiwa akhir zaman. Kemudiannya seluruh alam binasa manakala manusia akan dibangkitkan semula untuk menjawab persoalan berkaitan kehidupan yang pernah ditempuhi. Malah pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul dan nabi terakhir menjadi bukti bahawa umat terakhir ini akan berhadapan dengan keadaan menakutkan itu.

Orang yang beriman juga percaya malapetaka yang menimpa merupakan tanda kemurkaan Tuhan akibat kezaliman dan pelanggaran terhadap ketetapan syariat yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Allah SWT berfirman yang ertinya “Katakanlah, bagaimana fikiran kamu jika datang azab Allah denga tiba-tiba atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda –tanda yang menunjukkan kedatangannya) siapakah yang akan binasa selain dari kaum yang zalim”. (Surah al-Anam:48)

Selain daripada itu ia sebahagian bentuk ujian Allah SWT kepada manusia terutama orang beriman untuk mengenalpasti indeks pencapaian keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Barangsiapa berjaya mengharungi ujian itu dengan sabar dan rida pasti akan dikurniakan dengan ganjaran yang setimpal. Ini dapat diperhatikan melalui firman-Nya yang bermaksud “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira bagi orang yang sabar.(Surah al-Baqarah:155)

Saidina Umar al-Khattab diriwayatkan pernah berkata ada 3 perkara boleh dijadikan renungan tatkala sesuatu musibah berlaku. Yang pertama, baiknya musibah itu kerana tidak mengena kepada agama kerana pasti akan merosakkan kehidupan manusia dunia dan akhirat. Walaupun tidak dinafikan akhir-akhir ini muncul kelompok ajaran sesat yang mendakwa sebagai nabi, melihat nabi dalam keadaan jaga dan punya pengikut yang terdiri daripada golongan terpelajar telah menyumbang kebinasaan kepada agama.

Yang kedua, musibah yang berlaku ketika ini kecil jika dibandingkan dengan musibah lain yang lebih besar bahkan lebih dahsyat kerana mengakibatkan korban nyawa dan harta benda yang lebih banyak. Sebagai contohnya gempa berukuran 9.1 pada skala Richter yang berlaku di luar pantai Sumatera, Indonesia pada tahun 2004 yang lalu mencetuskan tsunami terhebat abad ini dan telah mengorbankan seramai 226,000 nyawa di 12 buah negara.

Yang ketiga, Allah SWT kurniakan kepada manusia sifat sabar, yang mana dengan kesabaran itu manusia mampu melalui saat getir ketika ditimpa musibah. Malahan kesabaran itu berupaya pula meringankan azab sewaktu ia diturunkan. Nabi SAW diriwayatkan bersabda tiada balasan yang setimpal bagi kesabaran melainkan syurga. Begitu pula setiap orang Islam diingatkan supaya sentiasa menyakini segala yang berlaku adalah qada dan qadar ketentuan ilahi dan tiada yang dapat menghalang ataupun menolaknya.

Justeru itu, masyarakat Islam diseru kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui pelbagai bentuk ibadah dalam menghadapi zaman fitnah waktu hampir berlaku hari kiamat. Amalan mulia seperti bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT amat baik untuk dipraktikkan. Ia menunjukkan betapa manusia terlalu lemah dan kerdil apabila berhadapan dengan ujian dan dugaan ilahi. Disamping itu ia juga menunjukkan bahawa manusia secara tidak sedar terpaksa bergantung harap hanya kepada-Nya yang berkuasa memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa yang diperkenan.

Umat Islam juga disaran menjauhkan diri daripada sebarang bentuk maksiat yang mengundang kemurkaan ilahi. Kita di Malaysia sepatutnya bersyukur dengan nikmat keamanan dan keselamatan yang dikecapi selama ini, berbanding negara lain yang sering ditimpa bencana. Tetapi jangan kita lupa azab kutukan tuhan boleh mengena sesiapa sahaja tanpa sebarang amaran, akibat noda dan dosa perlakuan manusia.

Bibit-bibit amalan keji yang mengundang kemurkaan itu, mula berlaku di negara ini. Antaranya seks bebas dan luar tabii seperti gay dan lesbian yang diterima di Barat telah menular dan mendapat tempat di kalangan segelintir masyarakat. Walaupun di Malaysia ia masih dilakukan secara sembunyi-sembunyi, budaya songsang ini jika dibiarkan bakal mengundang padah apabila dihukum dengan azab Allah SWT yang tak terperi sakitnya lagi tidak mengenal sesiapa dan bersifat menyeluruh.

No comments:

Post a Comment