Monday, November 5, 2012

PETUA KEKALKAN HAJI MABRUR

Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 8 Nov 2012.

KENYATAAN oleh YB Datuk Seri Jamil Khir Baharom, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyifatkan urusan haji pada tahun 1433 hijrah ini sebagai berjaya dan cemerlang adalah sesuatu yang patut dipuji dan dibanggakan. Ucapan setinggi tahniah dan penghargaan juga ditujukan kepada semua pihak termasuklah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri, pihak Tabung Haji, para petugas TH, guru-guru pembimbing haji dan semua yang terlibat secara langsung dalam menguruskan tetamu Allah SWT hingga selamat pergi dan pulang ke tanah air dengan selesa. Semoga nikmat yang melimpah ruah ini disyukuri dengan sebenar-benarnya oleh golongan haji dan hajah manifestasi daripada ganjaran haji mabrur yang diraih sekembalinya mereka ke pangkuan keluarga tercinta.

Persoalannya, bagaimana golongan haji dan hajah junior mahupun senior, mampu mengekalkan ganjaran haji mabrur buat selama-lamanya. Atau ia ibarat hangat-hangat tahi ayam yang kelihatan warak berjubah putih, berkopiah dan bertasbih sekembalinya ke kampung halaman kemudian selang beberapa minggu jubah entah ke mana, kopiah dan tasbih terbiar tanpa diguna. Lebih menghairankan apabila ada yang kekal dengan tabiat lama walaupun telah lebih sebulan menjalani kehidupan ibadat di dua Tanah Haram yang penuh keberkatan.

Justeru itu ganjaran haji mabrur perlu diterjemahkan dengan perubahan yang hakiki oleh setiap tetamu Allah. Ini termasuklah bertukar daripada kelakuan dan tabiat buruk seperti suka mengumpat, menceritakan keburukan orang lain, sifat hasad dan dengki sesama manusia yang perlu dijauhi. Apalah guna susah payah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk ke Tanah Suci tetapi kembali dengan menceritakan keburukan rakan sebilik di Mekah dan Madinah, seronok bercerita akan perangai buruk diri sendiri yang malas berjemaah di Masjidil Haram, menghabiskan masa berbual-bual kosong sambil menghisap rokok dilobi mahupun di tangga-tangga hotel.

Selain daripada itu, kampung halaman adalah medan untuk menterjemahkan segala pengajaran dan falsafah haji yang telah dilalui. Ini termasuklah sentiasa bersabar dalam menghadapi apa jua rintangan dan ujian yang diterima, sentiasa berdoa dan bertawakal dalam segala hal dan memperbetulkan keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa terhadap segala suatu.

Malah menjadi tanggungjawab kepada golongan haji dan hajah untuk memenuhi masjid dan surau dengan aktiviti solat berjemaah mahupun menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai contoh terbaik buat rakan-rakan yang lain. Begitu juga segala amalan baik seperti banyak mengaji, suka melakukan solat sunat, berpuasa sunat, suka bersedekah dan saling bantu membantu hendaklah diteruskan dan dipergiatkan lagi.

Ingatlah betapa gelaran haji dan hajah serta keadaan seseorang yang berserban dan berkopiah tidak menggambarkan apa-apa lagi tiada nilai ketakwaan di sisi Allah SWT jika tidak disertai dengan perubahan dan penambahbaikan yang sepatutnya.
Usahlah terlalu berbangga dengan gelaran yang baharu diterima. Ini kerana gelaran dan pangkat tidak akan dibawa mati, malah yang terbaik ialah berusaha untuk mempraktikkan segala tarbiyah Mekah dan Madinah dalam hati sanubari hingga ke akhir hayat nanti.

Sebagai kesinambungan daripada kurnia beroleh haji mabrur juga, golongan haji dan hajah diseru menjadi pendakwah kepada kaum kerabat, rakan sekerja dan jiran setempat untuk bersegera menunaikan fardu haji. Usah diceritakan pengalaman pahit dan yang buruk-buruk tentang dua tanah haram sebaliknya ceritakanlah segala pengalaman yang manis yang telah ditempuhi moga-moga dapat membangkitkan motivasi golongan belum bergelar haji dan hajah untuk bersegera menunaikan kewajipan tersebut.

Ceritakan kepada mereka betapa nikmat sihat dan masa muda tidak patut dihabiskan dengan berfoya-foya dengan segala keseronokan duniawi. Ingatkan juga betapa nikmat masa lapang dan rezeki yang sedia ada perlu dimanfaatkan untuk berusaha, berjihad berdikit-dikit menabung untuk bersegera menunaikan fardu haji. Nasihatkan juga kepada golongan yang suka melancong ke sana dan ke mari, sanggup berhabis ribuan ringgit untuk bershopping, berpindah daripada satu kelab golf ke kelab yang lain, tetapi belum sanggup ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji yang wajib dalam keadaan mereka mampu untuk ke sana berkemungkinan mati seperti matinya golongan Yahudi dan Nasrani yang dilaknat oleh Allah SWT.

Ini termasuklah juga pemahaman segelintir masyarakat Islam yang elok diperhalusi, di mana ada yang sanggup berhabis berkunjung dari satu masjid ke masjid yang lain di dalam dan luar negara tetapi kurang motivasi dan kesungguhan untuk menunaikan fardu haji yang hanya wajib sekali seumur hidup. Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya “Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi SAW bersabda: "Jangan susah-susah melakukan perjalanan jauh melainkan untuk mengunjungi tiga masjid, iaitu: Masjidku ini (masjid Madinah), Masjidil Haram (di Makkah), dan Masjidil Aqsha (di Juruselem-Palestin)." (Hadis Riwayat Muslim)

Alasan seperti perlu membersihkan diri dan menyucikan hati sebelum ke tanah suci agar kembali dalam keadaan putih bersih seperti bayi yang baharu dilahirkan jika diteliti tidak termasuk dalam syarat wajib mengerjakan haji. Begitu pula kata-kata, apa guna pergi haji jika pergi dan balik dalam keadaan sama dan tiada perubahan tidak patut dijadikan alasan. Ini kerana semua itu merupakan hak mutlak Allah SWT untuk mengampunkan dosa, menerima taubat dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana kesanggupan setiap individu Muslim untuk berjihad menunaikan segala kewajipan termasuklah menunaikan fardu haji sebagaimana yang diperintahkan.

1 comment:

  1. Perubahannya harus mencakupi hablumminallah dan hablumminannas dua2 sekali. Lebih jelas disebut dlm buku http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=527:ke-arah-haji-mabrur&catid=45:buku&Itemid=339

    ReplyDelete