Tuesday, November 13, 2012

MUHASABAH SAMBUT 1 HIJRAH

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 15 Nov. 2012

BULAN silih berganti, kini tahun baharu 1434 hijrah muncul kembali seraya membuka lembaran baharu dalam diari kehidupan Muslim ke arah yang lebih positif lagi berkualiti. Seyogianya berbahagialah orang yang amalannya lebih baik daripada tahun yang sudah, sebaliknya rugilah orang yang tidak berubah dan berperangai lebih buruk daripada masa lalu.

Justeru itu, sempena ketibaan detik 1 Hijrah ini para Muslimin diseru untuk memperbaharui niat dan komitmen untuk berubah sekali gus berhijrah ke arah yang lebih baik dalam segenap lapangan kehidupan. Ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjaga peribadi, tutur kata dan perbuatan daripada melanggar ketetapan Ilahi. Apatah lagi dalam era teknologi di hujung jari di mana tiada yang boleh disembunyikan daripada pengetahuan umum sehingga berita-berita yang baik mahupun yang buruk mudah sahaja tersebar dalam masyarakat. Bak kata pepatah terlajak perahu boleh di undur terlajak kata badan binasa.

Ketibaan tahun hijrah yang baharu ini juga menandakan umur dunia semakin bertambah dan dalam masa yang sama usia seseorang juga bertambah setahun lagi ke hadapan. Yang pasti tiada sesiapa yang berupaya memutarkan masa untuk kembali ke belakang demi untuk memperbetulkan kesilapan silam. Malah ramai yang alpa betapa akhir kepada kehidupan di dunia juga semakin hampir tiba dan manusia semakin dekat detik pertemuan dengan Pencipta Nya. Persoalannya adakah kita telah bersedia atau kita masih lena dibuai mimpi yang panjang yang tak berkesudahan.

Malahan terdapat umat manusia yang terkesima dengan keseronokan hidup di dunia sehingga bertuhan kepada nafsu dan keinginan syahwat semata-mata. Golongan ini terpedaya dengan nikmat yang sementara sehingga asyik dalam buaian dosa dan maksiat yang mencengkam sepanjang masa. Mana tidaknya setelah berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menghentikan jenayah buang bayi, hari ini ia masih lagi menghiasi dada akhbar tempatan. Pelbagai gejala dosa dan maksiat yang tumbuh bak cendawan selepas hujan jelas menuntut perubahan dan penghijrahan dalam konteks yang luas masa kini.

Selain daripada itu segelintir masyarakat menyangka tahun baru hijrah cukup diraikan dengan amalan membaca doa akhir dan awal tahun yang semarak dilakukan di sana sini, walaupun realitinya ada yang langsung tidak mempedulikan untuk membacanya. Lebih daripada itu sebenarnya mereka lupa bahawa setiap individu perlu menilai dan memuhasabah segala perbuatan yang telah dilakukan setahun yang lalu, di samping bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi lagi perbuatan negatif yang pernah dilakukan. Dalam masa yang sama para Muslimin diseru berbaik sangka dan menggantungkan pengharapan yang sepenuhnya kepada Ilahi agar segala amalan setahun yang lalu diterima oleh Nya dengan sempurna.

Dalam hal ini peranan ibu bapa secara khususnya ditagih untuk membimbing anak-anak dan keluarga ke arah kebaikan terutama ketika musim cuti persekolahan. Selain melancong dan melakukan aktiviti bersama keluarga masa yang ada elok diisi dengan mengimarahkan rumah Allah SWT menerusi aktiviti ibadah dan menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai usaha untuk membentengi diri daripada terjerumus ke lembah kerosakan.

Kegagalan ibu bapa memainkan peranan itu akan memberi kesan kepada aspek-aspek yang lain. Contohnya anak-anak akan leka menonton televisyen atau bermain permainan video sehingga berjam-jam lamanya tetapi malas untuk mengerjakan solat yang wajib walaupun hanya sekadar lima minit dan sering bertangguh. Tanpa nasihat dan tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa boleh jadi anak-anak jauh daripada petunjuk agama hingga terdedah pula melakukan aktiviti tidak bermoral yang menjadi penyakit kepada masyarakat.

Begitu pula dalam konteks ibadah dan hubungan kemasyarakatan, terdapat segelintir yang terlalu obsesif dan sibuk bekerja sehingga lupa untuk berziarah dan bertanya khabar bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat. Akibatnya perpaduan sesama komuniti begitu rapuh dan tiada semangat kerjasama dan tolong-menolong antara sesama mereka. Sikap tak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling juga mengeruhkan lagi hubungan ukhuwah ini. Akibatnya jenayah seperti rompakan, kehilangan malah dosa bersekedudukan dan berkhalwat berleluasa tanpa halangan.

Justeru itu bersyukur dan bersederhana dalam melakukan sesuatu adalah kunci kejayaan yang sebenar. Nilai wasatiyah sebagai tonggak kesatuan ummah hendaklah dipupuk dan dipelihara agar semua anggota masyarakat mengerti dan memahami slogan itu dan tidak hanya berseronok dan beriya-iya menyertai perarakan dan membawa sepanduk sempena sambutan Maal Hijrah kemudian pulang tanpa mengerti erti hijrah dan perubahan yang perlu dipraktikkan.


1 comment:

  1. maklumat yang berguna untuk saya dan orang laen =D

    ReplyDelete