Tuesday, March 20, 2012

JOM TUNAI ZAKAT GAJI

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan E-Mail Anda Harian Metro bertarikh 2 April 2012.


MUNGKIN ramai yang tidak sedar bahawa pendapatan bulanan ataupun gaji yang diperoleh setiap bulan wajib dikeluarkan zakatnya jika memenuhi syarat wajib zakat yang ditetapkan. Ini kerana berdasarkan laporan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor hanya sejumlah 2,000 daripada keseluruhan 26,000 kakitangan awam di Negeri Johor yang menunaikan kewajipan membayar zakat gaji mereka.

Perangkaan ini sepatutnya menyedarkan umat Islam akan peri pentingnya menunaikan zakat difardukan. Ini kerana zakat pada dasarnya berperanan untuk menumbuhkan, menyuburkan dan mengembangkan harta seseorang. Ia sekali gus memberi isyarat kepada semua betapa sumbangan zakat yang difardukan tidak akan menyebabkan kerugian dan kekurangan harta malah semakin bertambah, berkembang lagi subur. Lebih menyeronokkan lagi apabila penerima agihan zakat kemudiannya mendoakan kebahagiaan dan kesenangan kepada sesiapa yang ikhlas melunaskan zakat hartanya.

Malah inisiatif oleh kerajaan melalui pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberi pelepasan cukai kepada individu yang membayar zakat sepatutnya menjadi pendorong umat Islam untuk berzakat bagi membantu asnaf yang memerlukan.

Persoalan sama ada zakat ke atas gaji dan pendapatan bulanan wajib atau tidak dikenakan zakat sepatutnya tidak timbul. Ini kerana hukum hakam zakat banyak berhubung kait dengan persoalan ijitihady yang mana bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah dan pihak berkuasa agama di sesuatu tempat untuk menentukan apa yang wajib dizakatkan mengikut keperluan dan situasi semasa.

Berikutan dengan ketetapan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 12 Muharam 1421 bersamaan 17 April 2000 telah membuat keputusan bahawa gaji dan pendapatan wajib dikeluarkan zakat bila mana cukup syarat-syaratnya. Kaedah pengiraannya pula adalah berdasarkan pengiraan pendapatan kasar tahunan yang ditolak dengan keperluan asas sebenar pada tahun semasa. Sekiranya sama atau melebihi nisbah yang ditetapkan, maka zakatnya 2.5% atau 1/40.

Adapun keperluan asas sebenar pada tahun semasa yang ditolak daripada pendapatan tahunan adalah keperluan sara hidup yang diperlukan untuk diri sendiri iaitu sebanyak RM8,000.00, tolakan untuk isteri RM3,000.00 x bilangan isteri, anak di bawah tanggungan RM1,000.00 x bilangan anak juga mereka yang di bawah tanggungan seperti ibu bapa dan lain-lain. Wang gajian yang telah digunakan untuk tujuan perubatan dan pendidikan juga boleh ditolak. Baki gaji setelah ditolak keperluan asas sebenar kemudiannya di darabkan dengan 2.5% untuk memperoleh amaun zakat gaji yang wajib dibayar kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Perlu juga difahami bahawa zakat gaji perlu dibayar di negeri seseorang bekerja kerana di situ terdapat hak masyarakat setempat yang memerlukan . Kemudiannya jika terdapat lebihan agihan zakat baharulah pihak berkuasa agama menentukan untuk mengagihkannya ke negeri-negeri lain yang dikenal pasti memerlukan.

Untuk tujuan itu setiap individu Muslim yang mempunyai pendapatan bulanan perlulah bersegera menunaikan kewajipan ini supaya golongan yang memerlukan bantuan terbela. Malah wang hasil zakat yang telah dikutip oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai contohnya telah dimanfaatkan untuk keperluan membina asrama untuk pelajar seperti Asrama Pelajar Johor di Mesir, membeli mesin homodialisis bagi membantu pesakit buah pinggang dan lain-lain demi kepentingan ummah setempat.

Untuk tujuan itu juga orang Islam turut diseru supaya tidak hanya terhad menginfaqkan harta yang wajib dizakatkan sahaja malah patut diperluaskan juga kepada sumbangan sunat yang juga diperlukan. Sebagai contohnya masjid dan surau memerlukan bantuan kewangan sepanjang tahun untuk menampung aktiviti mengimarahkan rumah Allah SWT yang menjadi tanggungjawab semua. Selain itu rumah orang tua, rumah anak-anak yatim dan berbagai keperluan lain yang mendesak tidak terkecuali daripada mengharap bantuan kewangan sepanjang masa.

Untuk memberikan sebahagian gaji yang diterima bukanlah suatu yang mudah. Apatah lagi dengan keadaan semasa di mana wang adalah segala-galanya bagi sesetengah orang. Setiap yang memberi pasti merasa kehilangan ditambah lagi harta dengan sifat semula jadi manusia yang cintakan harta dan kemewahan. Justeru untuk menghilangkan rasa kehilangan dan sukar untuk membayar zakat gaji yang diperoleh seseorang perlu melazimkan diri menginfaqkan hartanya ke fi sabilillah. Jika tidak pasti penyakit mazmumah seperti bakhil dan kedekut akan terus membelenggu diri sekali gus menghilangkan keberkatan daripada rezeki yang diperoleh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Barangsiapa terselamat daripada kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang yang berbahagia” (Surah al-Hasyr:9)
Selain daripada itu infaq ke jalan Allah SWT secara umumnya menunjukkan bagaimana individu Muslim bersyukur atas nikmat kurniaan harta dan rezeki kepadanya, sepertimana seseorang beribadah dengan sepenuh jiwa dan raga sebagai tanda bersyukur atas nikmat kesihatan dan kebahagiaan yang diperoleh. Adalah tidak molek jika segala pemberian itu yang diterima secara percuma tidak dibalas dengan mensyukurinya. Apatah lagi jika Allah SWT kemudian menjanjikan pula ganjaran syurga yang tidak ternilai harganya.

Lebih daripada itu keengganan individu Muslim untuk menunaikan zakat harta mendedahkan diri mereka kepada ancaman dan balasan buruk daripada Allah SWT. Sebagaimana firmannya yang bermaksud “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah al-Tawbah:34-35)

Memang ada perbezaan pendapat ulama tentang hukum zakat gaji. Majlis Fatwa negeri-negeri di Malaysia juga tidak sepakat mewajibkan zakat gaji dan pendapatan. Apapun tepuk dada tanya iman. Adalah diharapkan bilangan umat Islam yang prihatin untuk menunaikan kewajipan zakat gaji dan seumpamanya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sebarang persoalan berkaitan zakat juga hendaklah diajukan kepada pihak yang arif seperti MAIN supaya segala kekusutan dapat di rungkai dengan harmoni. Semoga suatu hari nanti semua individu Muslim ikhlas menunaikan kewajipan zakat pendapatan mereka tanpa sebarang persoalan sebagaimana mereka ikhlas membayar cukai kepada pihak kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

2 comments:

  1. assalamualaikum wbt.

    zakat gaji itu bagi saya, samalah macam zakat pendapatan. andai kita buat potongan bulanan ia lebih memudahkan & tidak terasa.

    di setiap rezeki kita ada rezeki bagi fakir miskin. wallahua'lam

    ReplyDelete
  2. karena sebenarnya harta yang kita punya adalah apa yang kita berikan, bukan apa yang kita makan.

    ReplyDelete