Monday, February 28, 2011

Jom tunaikan solat

WALAUPUN tiada statistik terperinci untuk dipaparkan, pemerhatian rambang memadai bagi membuktikan betapa ramai yang alpa dan lalai daripada melaksanakan ibadah yang paling utama iaitu solat. Terdapat di kalangan umat Islam yang lebih mementingkan keperluan fizikal berbanding santapan rohani yang mampu memberi kekuatan kepada ummah seluruhnya. Mereka lebih seronok berborak di meja makan sekalipun surau dan masjid di depan mata. Malah laungan azan yang berkumandang seakan gemeresik bunyi lagu yang begitu enak didengar tetapi kemudian dilupakan begitu sahaja.

Setiap Individu Muslim sewajarnya memahami bahawa solat adalah tunjang ibadah yang wajib ditunaikan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Ia perkara pertama yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak. Pelbagai alasan seperti sibuk, tiada pakaian sesuai dan malas yang sering dikemukakan untuk tidak melaksanakan kewajipan itu hendaklah diganti dengan berusaha sedapat mungkin solat sama ada bersendirian atau yang afdal secara berjemaah. Ini termasuklah solat fardu Jumaat yang wajib dilakukan hanya seminggu sekali oleh setiap individu Muslim yang mukallaf.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, Barang siapa yang melalaikan dan meninggalkan sembahyang lima waktu yang difardukan akan diseksa oleh Allah SWT dengan lima belas jenis hukuman ketika di dunia, saat kematian dan ketika di dalam kubur. Antara seksa semasa di dunia ialah, hilang keberkatan umur, tiada keberkatan rezeki, dihilangkan tanda orang soleh pada wajahnya, tidak diakui daripada kalangan orang Islam, segala amal baiknya tidak diberi ganjaran dan doa serta permohonannya juga tertolak.

Dalam riwayat yang lain pula dinyatakan “Bermula orang yang meninggalkan sembahyang itu tidaklah ia termasuk golongan orang Islam. Allah SWT tidak menerima tauhid dan imannya, dan tiada faedah sedekah, puasa dan syahadahnya. Kemudian para sahabat bertanya, Ya Rasulullah apakah seksa yang akan diterima sewaktu hampir ajalnya “Baginda bersabda, Adalah matinya dalam keadaan kehinaan, matinya dalam keadaan kelaparan, matinya juga dalam keadaan kehausan yang bersangatan. Kemudian para sahabat bertanya lagi, Ya Rasulullah, apakah pula seksa yang akan diterima dalam kuburnya? Baginda bersabda, Disempitkan Allah akan kuburnya dan digelapkan. Allah SWT akan memerintahkan malaikat ke kuburnya yang akan menyeksanya hingga hari kiamat tanpa henti.

Seyogia ditegaskan betapa kewajipan solat tidak wajar dipandang remeh. Selain berbagai hukuman Tuhan menanti di hari kemudian, individu yang tidak solat akan diselubungi perasaan gundah-gulana, meraba-raba mencari ketenangan hidup malah jauh daripada rahmat serta petunjuk Ilahi. Golongan ini kemungkinan akan terdedah pula melakukan kegiatan negatif yang lain kesan daripada ketiadaan perisai dan benteng yang berupaya mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar yang dilakukan oleh masyarakat Islam hari ini.

Sehubungan dengan itu, semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan agar kewajipan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Misalnya sewaktu di rumah Ibu bapa memainkan peranan signifikan untuk melatih dan mendidik anak-anak agar sentiasa melaksanakan solat. Tugas yang berat bagi sesetengah individu Muslim ini perlulah terlebih dahulu dimulai dengan diri sendiri. Jika tidak ia tak ubah seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan ia sendiri tidak mampu melakukannya.

Pendidikan solat hendaklah dimulakan seawal kanak-kanak berusia tujuh tahun dan berterusan sehingga umurnya sepuluh tahun. Setelah itu jika dia enggan atau lengah untuk melaksanakannya bolehlah dirotan sebagai satu daripada kaedah pendidikan solat yang disyariatkan. Kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab ini boleh jadi menyebabkan anak-anak alpa dengan kewajipan solat sehingga zuriat keturunan yang lahir daripada mereka juga dikhuatiri terdiri daripada kelompok yang mengabaikan kewajipan solat.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar menghantar anak-anak ke sekolah agama di mana mereka akan diajar serta dididik akan tatacara solat dengan sempurna. Apatah lagi jika ibu bapa kurang mahir tentang selok-belok pelaksanaan sesuatu ibadah yang difardukan. Malah jika ada golongan dewasa yang masih tidak tahu mengerjakan solat mereka berkewajipan untuk berguru sehingga tahu untuk menunaikan kewajipan tersebut.

Perasaan malu seharusnya dibuang jauh-jauh. Apa yang penting ialah keinginan dan komitmen berterusan untuk melaksanakan solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang disyariatkan. Malah segala pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga yang disumbangkan untuk merealisasikan nilai ubudiyyah yang hakiki pasti diberi ganjaran setimpal yang tidak ternilai apabila sampai ketikanya. Sedarlah juga betapa ketika solat individu Muslim bermunajat kepada Tuhan Nya sehingga dengan cara itu terjalinlah hubungan erat antara makhluk dan khalik.

Bagi menyemarakkan kembali kesedaran untuk solat, kempen dan ceramah mengenainya patut diperluaskan kepada golongan sasar yang spesifik seperti di sekolah, di pejabat dan kawasan perindustrian. Papan tanda berserta ungkapan “Sembahyang lah sebelum kamu di sembahyangkan” juga elok diperbanyakkan dan diletakkan di kawasan strategik bagi mengingatkan umat Islam yang lalai. Penganjur program-program tertentu juga dinasihat agar lebih prihatin dengan mengumandangkan azan radio melalui corong pembesar suara apabila masuk waktu solat. Setidak-tidaknya ia dapat mengingatkan umat Islam untuk solat sekalipun tidak dapat menyediakan kemudahan surau kerana kekangan tempat dan sebagainya.

Sesungguhnya nikmat kuasa pemerintahan di tangan orang Islam, nikmat keamanan dan nikmat kemudahan untuk melaksanakan pelbagai kewajipan agama yang terbentang luas di negara kita hendaklah disyukuri. Di sana sini tersergam indah masjid dan surau yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk tugasan ibadah khusus tetapi ia juga merupakan lambang kesatuan ummah yang berpaksikan tauhid dan ketakwaan kepada Allah SWT. Perhatikan pula bagaimana di sesetengah negara tiada kemudahan serupa disediakan sehingga ada yang terpaksa solat di kaki lima sehingga menjadi perhatian dan kemungkinan ejekan oleh orang lain.

Oleh itu, menjadi kewajipan setiap individu Muslim berusaha melunaskan tanggungjawab ini dengan kadar yang sempurna sambil berharap reda dan keampunan dari Nya. Mudah-mudahan harapan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan mendapat keredaan Ilahi akan terbukti suatu hari nanti. Tentunya ia lahir dengan komitmen dan kesungguhan umat Melayu Islam di bumi bertuah ini untuk merealisasikan ibadah dan kerjaya kendiri dengan sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment