Sunday, February 20, 2011

Hebatnya penangan Facebook

NAMA Wael Ghoniem mungkin tidak begitu dikenali berbanding Mark Zuckerberg seorang warga Amerika Syarikat yang menjadi pengasas dan pereka kepada laman sembang sosial Facebook. Menurut laman sesawang Forbes.com beliau kini memiliki kekayaan sejumlah USD6.9 billion, meletakkannya pada tangga ke-212 daripada ranking individu terkaya di dunia. Malah dengan usia yang baru mencecah 26 tahun beliau telah berjaya menjadikan laman Facebook sebagai sesuatu yang tidak dapat dapat dipisahkan daripada kehidupan kira-kira 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia pada tahun 2010 yang lalu.

Manakala Wael Ghoniem pula seorang pemuda Arab Mesir yang bertugas sebagai eksekutif di Google Inc. yang berpengkalan di Dubai. Namanya mula disebut-sebut sebagai wira yang berjaya mempengaruhi golongan muda Mesir untuk bangkit menggulingkan kerajaan pimpinan Hosni Mubarak. Semua ini dikatakan bermula apabila beliau telah menggunakan laman sembang Facebook sebagai medium untuk menarik golongan anti-kerajaan berkampung di Dataran Tahrir selama 18 hari lalu berjaya memaksa Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Malah dengan perkembangan terkini di Yemen, Algeria, Libya, Bahrain dan beberapa negara Arab yang lain, sudah pasti laman Facebook rancak digunakan untuk meraih simpati dan sokongan golongan anti-kerajaan bagi menyokong perjuangan mereka. Begitulah hebatnya penangan Facebook sehingga jatuh bangun seorang pemimpin negarapun boleh ditentukan.

Namun di Malaysia lain pula ceritanya. Laman sembang Facebook yang sepatutnya dimanfaatkan untuk berhubung dan mempererat silaturrahim kini mula disalahgunakan. Penyalahgunaan laman sembang sosial ini mula diperkatakan disana-sini. Kebimbangan itu sememangnya berasas kerana ia mampu meruntuhkan sebuah institusi rumahtangga yang terbina atas dasar saling bertanggungjawab dan saling percaya-mempercayai antara pasangan suami isteri.

Akibatnya ada pasangan yang tanpa sedar bermain kayu tiga kerana terlalu asyik bersembang lalu segala macam masalah rumahtangga diluahkan kepada individu maya yang kemungkinan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Ada juga yang telah bergelar isteri seakan muda remaja semula apabila bertemu kekasih maya sehingga asyik bercinta walaupun anak berderet dan rumah berselerak tidak terurus.

Dalam hal ini pandangan oleh Ustaz Hj Zawawi Jusoh, seorang pendakwah bebas patut dijadikan iktibar. Menurut beliau lagi dengan berkelakuan begitu isteri sebenarnya telah melakukan dosa dengan membenarkan lelaki bukan mahram masuk ke rumah tanpa pengetahuan dan izin suami. Apatah lagi jika isteri mula bercinta dan berkasih di alam maya yang kemungkinan boleh menyebabkan pergaduhan dan perceraian yang dimurkai Tuhan. Dalam hal ini golongan suami juga tidak terkecuali menyebabkan ada yang mula mengabaikan keperluan rumahtangga kerana bercinta semula di Facebook.

Terdapat pula dikalangan pelajar sekolah yang leka bersembang siang dan malam sehingga tugasan mengulangkaji pelajaran terabai. Akibatnya banyak masa dibazirkan kepada perkara-perkara yang kurang bermanfaat dan merosakkan pemikiran muda-mudi Islam. Malah ia juga boleh menyebabkan seseorang terjebak dalam kancah dosa apabila caci makian dan perkataan berunsur lucah digunakan dalam komunikasi seharian.

Laporan akhbar juga menyebutkan bagaimana sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laman Facebook untuk merekrut keldai dadah bagi penghantaran ke seluruh dunia. Akibatnya ada gadis-gadis tempatan yang terjebak dan merengkok dalam penjara di luar negara kerana telah diperalatkan demi habuan lumayan yang dijanjikan kepada mereka.

Justeru itu, tidak keterlaluan jika dikatakan laman sembang sosial yang hangat diperkatakan dewasa ini adalah suatu bentuk dosa dan jenayah alaf baru yang tanpa disedari telah menyebabkan masyarakat Islam bergelumang dengan dosa dan noda setiap masa. Mana tidaknya pembohongan dan penipuan kelihatan sinonim dengan kecanggihan teknologi ICT ini.

Penyalahgunaan ini juga turut melanda golongan pekerja apabila ada yang sibuk bersembang di pejabat menerusi laman Facebook daripada menyelesaikan tugasan yang diamanahkan. Perbuatan sebegini sewajarnya dielakkan kerana ia melibatkan punca rezeki yang kemudiannya digunakan pula untuk menyara kehidupan keluarga. Yang pasti keberkatan daripada wang gaji yang diperoleh setiap bulan boleh jadi hilang disebabkan gagal melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan dengan sempurna. Begitulah hebatnya penangan Facebook kerana berjaya melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab ibadah secara kolektif guna untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Sehubungan dengan itu sesuatu perlu dilakukan bagi membendung masalah ini daripada terus berlanjutan dan boleh jadi merosakkan pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam. Golongan cerdik pandai Islam diseru berbincang dan memikirkan secara terperinci tentang penyalahgunaan laman sembang sosial seperti Facebook dan lain-lain yang mula menular dengan begitu hebat ke dunia Islam keseluruhannya. Sebelum terlambat pepatah mencegah lebih baik daripada mengubat patut menjadi renungan pihak berwajib bagi mengelak nasi ditanak menjadi bubur. Perkara ini juga amat bersesuaian dengan prinsip maqasid syariah yang bertujuan untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diceroboh oleh anasir luaran yang merosakkan.

Tidak dinafikan berbagai laman sembang sosial yang wujud hari ini seperti MySpace, Twitter, Facebook dan lain-lain mampu menghubungkan manusia yang terpisah dengan sempadan negara dan budaya tersendiri. Malah dalam konteks hubungan ukhuwah Islamiyah pula ia boleh menjadi mekanisme untuk mempertaut hubungan yang diperintahkan agama sehingga menjadikan umat Islam benar-benar bersaudara walau di mana sahaja mereka berada. YAB Perdana Menteri sendiri menjadikan rakan Facebook dan Twitter sebagai antara medium untuk bertukar pandangan dan pendapat bersama rakyat pelbagai bangsa di Malaysia. Mereka yang minat berbisnes secara online juga boleh memanfaatkan kemudahan ICT ini bagi mengembangkan perniagaan sendiri.

Akan tetapi jika penyalahgunaan laman sembang sosial ini tidak diperhalusi oleh setiap individu yang terlibat kemungkinan ia akan menyumbang kepada masalah baru yang sukar dibendung kelak. Ini kerana budaya fitnah-memfitnah, hasutan dan memburukkan sesama sendiri seakan berkembang subur dalam pelbagai laman sembang sosial yang wujud dewasa ini. Lebih membimbangkan apabila rahsia-rahsia peribadi mula dijaja sana-sini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Keburukan ini semakin meruncing apabila ada pihak yang terlibat menyebarkan berita-berita palsu menerusi internet tanpa menyedari betapa mereka boleh tergolong dalam kelompok golongan fasik yang dimurkai Tuhan.

Untuk itu berusahalah untuk memanfaatkan segala kemudahan hasil janaan pemikiran manusia yang terhad untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan berhati-hati. Jika tidak ia bakal menjadi musuh dalam selimut yang boleh bertindak pada bila-bila masa, melakukan pelbagai kejahatan tanpa disedari.

No comments:

Post a Comment