Sunday, July 11, 2010

PIALA DUNIA LAWAN PIALA AKHIRAT

Kemeriahan pesta bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 kali ke-19 di Afrika Selatan telah melabuhkan sauhnya. Setelah 31 hari berpesta dengan kesemua 64 perlawanan berjaya dilangsungkan dengan jayanya pasukan Spanyol menempa sejarah apabila buat pertama kali menjulang trofi Piala Dunia setelah menang menentang Belanda dengan agregat 1-0

Manakala pasukan Belanda yang berpengalaman 3 kali beraksi di perlawanan akhir Piala Dunia terpaksa berputih mata dan menerima kekalahan yang tidak disangka-sangka. Namun kejayaan menempatkan diri di perlawanan akhir dalam perlawanan bola sepak paling berpengaruh di dunia merupakan detik yang patut dibanggakan kerana ia pasti bermula dengan laluan sukar dan penuh mencabar.

Begitulah adat perlawanan ada yang menang dan ada yang tewas. Seluruh warga bola sepak tempatan sebaiknya mengambil pelajaran daripada semangat 32 buah negara di dunia yang telah beraksi di pentas bola sepak antarabangsa dan tidak hanya berbangga dengan kejayaan yang di raih di padang sendiri. Akibatnya peminat bola sepak di tanahair hanya ghairah bersorak dan menyokong negara lain di hadapan skrin besar di kedai-kedai mamak sedangkan pasukan negara belum mampu sampai ke tahap yang dicita-citakan.

Walau apapun tahniah diucapkan kepada pegawai-pegawai yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa kerana terpilih menyumbang tenaga dalam menjayakan penganjuran Piala Dunia kali ini termasuk saudara Subkhiddin Mohd Salleh yang diturunkan sebanyak 8 kali sebagai pengadil ke-4 mengadili sesi perlawanan pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Namun bagi umat Islam persiapan menjulang piala akhirat terutama menjelang tibanya bulan Ramadan al-Mubarak seharusnya menjadi agenda utama bagi meraih kejayaan hakiki beroleh rida Ilahi yang kekal abadi. Peluang keemasan yang bakal tiba itu tidak patut dipersiakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurniaan yang lebih bernilai daripada wang 500,000 pound sterling seperti habuan yang dijanjikan kepada setiap pemain pasukan Spanyol.

Ini kerana setiap amalan sunat akan dinilai seperti amalan fardu di bulan Ramadan manakala amalan fardu akan dilipat gandakan sama seperti melaksanakan 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Tuhan. Lebih daripada itu ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWTdi bulan-bulan yang lain.

Untuk tujuan itu juga persiapan rapi perlu dilakukan. Setiap individu Muslim perlu membetulkan niat dan melipat gandakan amal kebajikan di bulan Syaaban yang menjelang tiba. Oleh yang demikian bagi yang sudah lama tidak berpuasa kesempatan ini bolehlah dimanfaatkan untuk berjinak-jinak berpuasa kerana diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW kerap berpuasa sunat di bulan Syaaban. Baginda juga aktif melaksanakan amal kebajikan sehingga diibaratkan seperti angin yang bertiup kencang.

Dalam konteks ini juga Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)”. (Surah al-Naba’:32-36)

Selain daripada itu setiap individu Muslim disaran mengelak daripada menimbun dosa dan melakukan pelbagai maksiat yang merugikan diri sendiri. Malah, jika ada yang sanggup berjaga malam ataupun bangun awal pagi sebulan yang lalu semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak kegemaran mengapa tidak ia terus dipraktikkan dalam usaha memburu piala akhirat yang menjadi idaman orang beriman. Ini kerana ramai yang tewas melaksanakan solat subuh setelah tamat menonton perlawanan bola sepak di televisyen walaupun sanggup menahan ngantuk berjam-jam lamanya.

Semangat perpaduan yang berhasil digarap daripada penganjuran Piala Dunia oleh FIFA sehingga berupaya mengenepikan sempadan kepercayaan beragama, kedudukan geografi negara dan kelainan tutur bahasa lalu menyebabkan seluruh dunia berbicara tentang bola sepak juga boleh diperluaskan kepada usaha membantu sesama manusia. Misalnya usaha membebaskan tanahair Palestin daripada cengkaman zionis sejak sekian lama boleh dipelopori oleh kuasa-kuasa besar dunia sehingga bekalan makanan, ubat-ubatan dan misi kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa sebarang sekatan.

Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara serta 9 aktivis Turki yang terkorban juga selayaknya diambil oleh umat Islam dalam usaha menyokong dan menghulurkan bantuan kewangan kepada saudara se Islam di Palestin. Apa tidaknya kekuatan memiliki akidah yang sama, melaksanakan ibadah yang sama jika boleh disatukan mampu menentang kezaliman Israel di bumi Palestin tanah wakaf milik umat Islam sepanjang zaman.

Setelah tamat pesta bola sepak Piala Dunia masyarakat Islam diharap dapat kembali berpijak di bumi nyata dengan menoleh kepada kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan hak untuk mendapat pembelaan antarabangsa. Kini setelah lebih 60 tahun berlalu, Masjidil Aqsa tempat transit Nabi Muhammad SAW sebelum di bawa dalam kembara agung ke langit dalam peristiwa Isra dan Mikraj masih terkepung di tangan penjajah Yahudi yang tidak berperikemanusiaan.

Dalam masa yang sama kita di Malaysia masih tercari-cari formula ampuh untuk menangani gejala sosial dan moral dikalangan umat yang membimbangkan.Suara tangisan bayi hasil kandungan yang tidak dirancang kelihatan semakin sering kedengaran tak ubah meriahnya tiupan vuvuzela di stadium soccer city Afrika Selatan.

Perlawanan bola sepak Piala Dunia kali ini juga turut diwarnai oleh ramalan Paul Si sotong kurita yang betul meramal Spanyol sebagai juara. Sehubungan dengan itu umat Islam diingat tidak terpengaruh dengan ramalan dan kepercayaan yang karut sehingga terlibat melakukan perbuatan syirik yang dimurkai Tuhan. Ini kerana tiada yang berkuasa memberi mudarat mahupun manfaat kecuali Allah SWT. Malah kegagalan pasukan favourite seperti Itali, Brazil, Francis dan lain-lain beraksi di perlawanan akhir sebenarnya merupakan takdir ilahi yang tidak boleh dipersoalkan.

Akhirnya apabila berlaku perlawanan bagi merebut piala dunia dan piala akhirat, setiap individu Muslim perlu menetapkan tekad untuk memilih bagi mendapatkan piala akhirat. Kerana itulah saringan muktamad yang menjadi pilihan Nabi Muhammad SAW untuk umatnya di malam Isra’ dan Mikraj ketika diperlihatkan dengan gambaran dunia ibarat wanita yang dipenuhi segala perhiasan namun Baginda tidak menoleh ke arahnya.

Lebih daripada itu ingatan terhadap Allah SWT yang akan mengadili setiap gerakan yang dilakukan oleh manusia dalam usaha memburu piala dunia mahupun piala akhirat tanpa pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak wajar menjadi iktibar. Ini kerana di saat itu tiada lagi kad kuning mahupun kad merah yang akan dilayangkan oleh pengadil perlawanan yang tinggal hanya balasan nikmat syurga mahupun azab api neraka sebagai balasan yang dijanjikan.

No comments:

Post a Comment