Monday, June 21, 2010

Nasihat sebelum melangkah ke universiti

Artikel ini telah disiarkan di ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Jun 2010

SEKALUNG tahniah ditujukan kepada semua bakal mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjejakkan kaki memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam [IPTA] dan swasta, pada sesi perkuliahan yang baharu sesi Julai 2010 yang akan datang.

Tawaran dapat menyambung pelajaran di IPT tentunya berita yang sangat menggembirakan buat pelajar dan seluruh kaum keluarga. Justeru tak hairan jika ada yang sanggup berhabis menyediakan bas rombongan untuk mengangkut jiran sekampung semata-mata untuk menghantar anak masuk ke universiti. Kegembiraan itu ditambah lagi dengan majlis kenduri kesyukuran hingga menyebabkan kambing dan lembu tak selera makan kerana kemungkinan di sembelih dan di masak untuk jamuan.

Namun lebih daripada itu setiap pelajar selayaknya mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurnia ilahi kerana terpilih masuk ke universiti. Mana tidaknya antara ratusan ribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu, hanya sebilangan kecil sahaja berjaya ditawarkan ke IPT yang sememangnya menyediakan tempat terhad kepada yang benar-benar memiliki kelayakan yang ditetapkan.

ٍSeterusnya kejayaan ini hendaklah dibuktikan pula dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara tercinta. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu oleh setiap pelajar.

Jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam, di awal semester tetapi setelah tahu selok-belok berada di universiti mereka mula lalai tidak hadir ke kuliah, terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, asyik dilamun cinta yang kesemuanya bakal memusnahkan harapan keluarga dan negara. Apatah lagi setelah berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional [PTPTN] yang jika tidak diurus dengan baik pasti akan digunakan untuk tujuan yang tidak betul.

Golongan mahasisiwa juga perlu mengikhlaskan niat sejak daripada hari pertama melangkahkan kaki ke universiti, untuk menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT dan tidak hanya berharap akan segulung sijil dan gaji lumayan apabila bergraduat nanti.

Dewasa ini terdapat golongan terpelajar yang terjebak melakukan aktiviti jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah kemungkinan disebabkan tiada keberkatan ilmu akibat niat yang tidak ikhlas

Tiada kesepaduan antara ilmu dan amal juga boleh menyumbang kepada gejala buruk ini. Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda “Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah”.

Selain daripada itu para pelajar juga diingatkan agar sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Amalan berdoa dan memohon pertolonganNya adalah jalan terbaik untuk cemerlang. Kerana walau genius mana sekalipun seseorang itu, tanpa hubungan erat dengan PenciptaNya seseorang tidak akan berjaya dalam erti kata kejayaan holistik, dunia dan akhirat.

Golongan pelajar Muslim juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab utama, melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT. seperti sembahyang lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadan. Alasan kesuntukan masa, sibuk dengan kuliah, banyak assignment dan tugasan untuk diselesaikan bukan hujah untuk tidak mengerjakan perintah itu. Kerana sebagai individu muslim ibadah kepada Allah SWT wajib diutamakan sebelum yang lain-lain. Menurut Waqi, guru kepada Imam al-Shafi’y ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak dikurniakan kepada pelaku maksiat.

Pelajar juga diingatkan agar sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT terutama dari aspek pemakaian yang menutup aurat, menjaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta jangan terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan agama mahupun universiti seperti menganggotai pergerakan Jemaah Islamiyah [JI] yang boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

Ini bertepatan dengan status sebagai pelajar universiti yang matang dan boleh mempertimbangkan sesuatu dengan baik berasaskan akal yang sihat dan landasan agama yang benar. Justeru sebelum melakukan sesuatu berfikirlah dengan matang dan bijaksana.

Golongan pelajar juga perlu perlu bersedia untuk berkorban sepenuh masa dan sekuat tenaga untuk berjaya mengharungi liku-liku perjalanan sebagai pelajar universiti. Ia tak ubah seperti tentera yang bersabung nyawa berjihad di jalan Allah SWT. Malahan jika diperhalusi ia adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadun ilmu yang dikuasai oleh umatnya. Nama-nama tersohor seperti Abu Muhammad al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi adalah bukti kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang berpaksikan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kegemilangan.

Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda “Barangsiapa yang inginkan dunia dan kemewahannya hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat dan kenikmatannya hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang ingin kedua-duanya; [dunia dan akhirat] juga hendaklah dengan ilmu.

Justeru peluang keemasan, mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh golongan pelajar agar menjadi insan berguna satu masa nanti. Begitu pula diingatkan agar tidak ada yang menjadikan segulung ijazah untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga merasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya. Ikutlah resmi padi makin berisi makin tunduk dan jauhi resmi lalang makin tinggi makin tegak berdiri.

1 comment:

  1. sye stuju dengan nasihat ustaz nie,,,nuwaitu masuk U kne btul...=)
    marilh kte bersme2 mnuju ke puncak kejayaan..

    ReplyDelete