Tuesday, February 2, 2010

Henti Sambut Hari Valentine’s

PROMOSI tidak memakai seluar dalam bagi menggambarkan cinta kepada kekasih menjelang Hari Valentine seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star On-line bertarikh 29 Januari 2010 (http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/29/nation/5567822&sec=nation)adalah memalukan dan tidak sesuai dengan nilai budaya ketimuran. Sehubungan dengan itu masyarakat Islam terutama kalangan remaja dan pelajar diingatkan supaya tidak terikut-ikut budaya songsang yang merosakkan akidah ini.

Sambutan hari kekasih yang bakal disambut diseluruh dunia, adalah ritual agama kristian yang dikatakan bermula apabila Paderi St. Valentine menjalin hubungan cinta terlarang lalu di jatuhkan hukuman bunuh. Sebelum mati beliau sempat menulis surat kepada kekasihnya bertandatangan ‘From your Valentine’.

Semenjak hari itu, masyarakat Kristian mengambil sempena 14 Februari setiap tahun untuk meraikan hari kekasih demi memperingati kematian paderi mereka St. Valentine. Malahan, penghormatan itu disamakan dengan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh Jesus yang sanggup disalib demi menghapuskan dosa kaumnya.

Tidak dinafikan amalan berkasih-sayang dan saling cinta-mencintai antara lelaki dan perempuan merupakan fitrah semulajadi manusia. Namun ia perlu direalisasikan bukan dengan perbuatan dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan ilahi. Islam juga, tidak pernah mempromosikan supaya amalan berkasih sayang hanya disambut pada hari-hari tertentu, malah berpanjangan dan bersifat holistic kepada semua makhluk, termasuk haiwan.

Islam juga sangat mengambil berat persoalan ini kerana jika tidak diurus dengan baik pasti akan mengundang perbuatan zina yang terkutuk. Walaupun pada asasnya cinta menurut pengertian muda-mudi hari ini tidak ada kaitan secara langsung dengan syariat Islam yang suci tetapi oleh kerana naluri semulajadi manusia ingin bercinta dan berkasih sayang Islam menetapkan falsafah umum yang perlu dipatuhi bagi mengelak terjebak melakukan perbuatan keji dan mungkar. Antaranya ialah:

Cinta hakiki hanya kepada Allah SWT. dan RasulNya. Cinta sejati dan hakiki hanya untuk Allah SWT dengan taat melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Semua ini dilakukan demi memperhambakan diri kepadaNya, sambil mengharap beroleh kenikmatan menyaksikan zatNya Yang Mulia di syurga. Begitu pula cinta kepada Rasul wajib didahulukan daripada cinta kepada makhluk sebagai syarat untuk mendapat syafaat al-kubra. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud; Didiklah anak-anak kamu cinta kepada 3 perkara; Cinta kepada Nabi mereka, Cinta kepada ahli keluarga Nabi dan cinta kepada al-Quran.

Bertemu dan berpisah kerana Allah SWT. Segala perlakuan mesti dimulai dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, maka begitulah pula apabila ingin bercinta dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah SWT. sebagai ikhtiar untuk mendapat pasangan secocok dan berakhir ke jinjang pelamin. Jika ditakdirkan terjadi perpisahan, selepas itu juga kerana Allah agar setiap pasangan pasrah akan takdir ilahi bahawa tiada jodoh antara mereka dan menerima dengan hati yang terbuka. Perbuatan sesetengah pasangan bercinta dengan agenda tertentu seperti untuk mengikis wang, membalas dendam dan meraih keuntungan duniawi adalah tidak selari dengan erti kasih sayang dalam Islam.

Sentiasa menjaga peraturan agama. Bercinta bukan tiket untuk menghalalkan apa sahaja. Oleh itu setiap pasangan wajib menjaga batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan syariat. Elakkan daripada bersikap memandang remeh terhadap perbuatan saling berpegangan tangan yang diharamkan, kerana akan mengundang perbuatan dosa yang lebih berat sedikit demi sedikit. Ini kerana berdasarkan maksud sebuah hadis daripada Rasulullah SAW apabila 2 orang duduk berdua-duaan maka yang ketiga antara mereka adalah syaitan.

Bersegera untuk berkahwin. Tujuan bercinta bukan sekadar untuk berseronok selama-lamanya. Ia hanya perintis jalan untuk berkenal-kenalan sebelum melangsungkan pernikahan yang disyariatkan. Jika pasangan yang dipilih itu sesuai dan sekufu’ pernikahan harus disegerakan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Saydina Ali, "Wahai Ali ada 3 perkara yang perlu disegerakan: sembahyang apabila masuk waktunya, jenazah apabila sudah siap, segera dikebumikan, dan wanita apabila menemukan lelaki yang baik yang meminangnya". (Hadis Riwayat Imam Ahmad) Ibubapa juga perlu peka dengan perintah ini agar tidak terlibat mendapat saham maksiat yang dilakukan oleh anak-anak yang asyik dilamun cinta, sehingga terjebak dalam kancah dosa dan noda.

Berlapang dada menerima nasihat dan teguran. Alam percintaan sememangnya indah dan mempersonakan. Ramai yang terpedaya dengan khayalan indah itu apatah lagi jika semua yang dilakukan atas nama cinta disangka baik, tanpa bersedia menerima pandangan dan teguran orang lain. Perlu diingat bahawa cinta boleh menyebabkan seseorang jadi buta dan pekak, lalu mereka merana dan menderita. Justeru nasihat membina daripada ibubapa dan rakan taulan harus diambilkira agar terselamat daripada godaan syaitan dalam bercinta.

Ingat Tuhan dan gunakan akal sebelum melakukan sesuatu. Hati yang sentiasa ingat kepada Tuhan juga mampu membendung akibat daripada perasaan cinta yang bertuhankan hawa nafsu. Pertimbangan akal yang waras juga boleh dimanfaatkan untuk membezakan baik dan buruk sesuatu perkara sebelum terlewat. Pepatah ada menyebutkan ikut hati mati ikut nafsu binasa Malahan, jika syariat dan nasihat berguna menjadi teman setia pasangan bercinta, banyak implikasi buruk daripada cinta buta dapat dielakkan.

Hari kekasih yang diraikan oleh pasangan yang sedang bercinta melalui pemberian hadiah, kad ucapan dan lain-lain sewajarnya diganti dengan perkara lain yang lebih berfaedah. Golongan pelajar misalnya disaran memberi lebih tumpuan kepada aktiviti pembelajaran demi untuk meninggikan martabat agama, bangsa dan Negara.

Dikhuatiri, akibat terikut-ikut budaya songsang itu, akan mengundang jenayah zina yang terkutuk sehingga melahirkan anak luar nikah yang kemudiannya dibuang merata tempat kerana malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Dalam Islam terdapat tiga bentuk kasih-sayang; pertama, kasih mutlak dan tidak berbelah-bagi iaitu kasih kepada Pencipta; kedua, kasih kepada hamba dan ketiga, kasih makhluk kepada makhluk yang lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud‘‘Lalu Allah menyatukan di antara hati (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali Imran: 103). Nilai kasih-sayang yang berpaksikan semangat persaudaraan Islam inilah yang sepatutnya dipupuk dalam masyarakat.

Tindakan stesyen tv, hotel-hotel dan pusat membeli-belah mempromosikan Hari Kekasih amat dikesali kerana menyumbang kepada ikutan terhadap tradisi ini yang semakin diminati oleh golongan muda-mudi.

Tanpa disedari, agenda untuk melalaikan dan merosakkan akhlak umat Islam telah menular dalam masyarakat yang sudah tentu sukar untuk dibendung. Walaupun ia belum sampai ke tahap yang membimbangkan, pepatah merawat lebih baik daripada mengubati patut dihayati sebelum menjadi barah sehingga merosakkan akidah dan kehormatan diri.

1 comment:

  1. sayang hari2 & x tertakluk kepada hari dan orang tertentu sahaja. konsep cinta juga begitu luas...=)

    ReplyDelete