Sunday, July 26, 2009

Give thanks to Allah – by our Late Muslim Brother Michael Jackson

Give thanks to Allah,
for the moon and the stars
prays in all day full,
what is and what was
take hold of your iman
dont givin to shaitan
oh you who believe please give thanks to Allah.
Allahu Ghafur Allahu Rahim Allahu yuhibul al Mohsinin,
huwa Khalikhun huwa Razikhun wahuha ala kulli shaiin khadir

Allah is Ghafur Allah is Rahim Allah is the one who loves the Muhsinin,
he is a creater, he is a sistainer and he is the one who has power over all.

Give thanks to Allah,
for the moon and the stars
prays in all day full,
what is and what was
take hold of your iman
dont givin to shaitan
oh you who believe please give thanks to Allah.
Allahu Ghafur Allahu Rahim Allahu yuhibul al Mohsinin,
huwa Khalikhun huwa Razikhun wahuha ala kulli shaiin khadir


Allah is Ghafur Allah is Rahim Allah is the one who loves the Muhsinin,
he is a creater, he is a sistainer and he is the one who has power over all.


Lagu ini juga boleh didengari melalaui pautan ini

Download links (Micheal Jackson - Give Thanks To Allah.mp3)

http://www.mediafire.com/?uj4dmgdxyvg

Atau di sini

http://www.filefactory.com/file/ahd51bc/n/Micheal_Jackson_-_Give_Thanks_To_Allah_mp3

Atau di sini....

http://www.wikiupload.com/download_page.php?id=144169

Monday, July 20, 2009

AMALAN KETIKA GERHANA MATAHARI



BERBAGAI
fenomena alam yang berlaku membuktikan keajaiban ciptaan Allah SWT yang tidak ada tolok bandingnya. Sekalipun seluruh golongan jin dan manusia berganding bahu mengadakan sesuatu pasti mereka tidak akan berjaya menciptakannya.

Contohnya fenomena gerhana matahari yang dikatakan berlaku paling lama di abad ke-21 ini, mengajak manusia untuk bertafakkur, berfikir akan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Peristiwa penting ini juga seharusnya disusuli dengan melaksanakan ibadah solat sunat gerhana matahari sebagai bukti pengiktirafan terhadap kekuasaan Allah SWT.

Hukum melaksanakan solat sunat gerhana matahari adalah Sunat Muakkad sama ada bagi orang yang bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan dan sama ada ditunaikan secara berjamaah atau bersendirian. Waktunya bermula apabila nyata berlaku gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak disunatkan untuk melaksanakan solat itu.

Ia boleh dikerjakan sebanyak 2 rakaat seperti solat sunat biasa dan dimulai dengan niat “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala. Manakala yang lebih sempurna dilakukan dengan dua kali rukuk dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat. Pada rakaat pertama selepas membaca al-Fatihah, dibacakan Surah al-Baqarah atau mana-mana surah daripada al-Quran, lalu rukuk dan membaca tasbih sebanyak kira-kira 100 ayat al-Quran. Setelah itu bangun Iktidal, sekali lagi membaca Surah al-Fatihah dan Surah ali-Imran, atau mana-mana surah daripada al-Quran, lalu rukuk dengan membaca tasbih kira-kira 90 ayat al-Quran, kemudian iktidal dan sujud seperti biasa.

Pada rakaat yang kedua, selepas membaca al-Fatihah, dibaca pula Surah al-Nisa’ atau mana-mana surah, rukuk sambil membaca tasbih sebanyak 70 ayat al-Quran, Iktidal, kemudian membaca Surah al-Fatihah dan Surah al-Maidah atau surah-surah yang lain, rukuk lagi dengan membaca tasbih sebanyak 50 ayat al-Quran, iktidal, sujud sehinggalah mengucapkan salam.

Selain daripada itu disunatkan juga mandi untuk solat sunat gerhana seperti mandi sunat hari Jumaat. Jika solat berjamaah imam dikehendaki membaca secara perlahan disamakan hukumnya dengan solat pada waktu siang. Setelah selesai solat, imam dikehendaki pula membaca khutbah seperti khutbah hari raya cuma tidak disertai dengan ucapan takbir. Didalam khutbah itu imam hendaklah menyeru para jamaah supaya bertaubat, melaksanakan amalan kebajikan seperti bersedekah, mengingati manusia supaya tidak lalai dan leka dengan kemewahan dan tipu daya dunia yang sementara. Perlu juga dimaklumi menurut kitab fekah, solat ini hanya sunat dilakukan oleh sesiapa yang menyaksikannya.

Terdapat kepercayaan tertentu dikalangan sesetengah masyarakat, gerhana matahari berlaku dengan sebab matinya orang-orang tertentu. Kepercayaan khurafat ini seharusnya dibuang jauh-jauh kerana telah disangkal oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Diriwayatkan bahawa seorang daripada anak Nabi Muhammad SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia setelah 70 hari dilahirkan dan kebetulan berlaku gerhana matahari pada waktu itu. Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Diriwayatkan juga daripada Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sehingga perkara yang menakutkan itu hilang”

Begitulah indahnya ajaran Islam yang mulia, sehingga apabila berlaku gerhanapun kita diperintahkan untuk melakukan solat sunat sebagai tanda bersyukur, terselamat daripada bencana Tuhan. Ini kerana gerhana matahari merupakan amaran perubahan cuaca secara tiba-tiba oleh Allah SWT kepada manusia. Untuk itu umat Islam hendaklah sentiasa taat dan patuh mengerjakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Allah SWT berfirman yang maksudnya ; Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?. Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut). Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? (Surah al-Qiyamah:ayat 6-10).

Saturday, July 18, 2009

IKTIBAR DARI KEMBARA AGUNG PERJALANAN KE LANGIT

Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia dan Ruangan Agama Berita Harian bertarikh 20hb. Julai 2009

KINI setelah 40 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak dapat diketahui oleh akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai segala rahsia alam ini.

Sebagai contohnya peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT Maha berkuasa menjemput kekasihnya Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia.

Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud,
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra’:1)

Sehubungan dengan itu, umat Islam diperingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan sahaja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian yang berlaku. Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah;

Wajib beriman dengan perkara ghaib
Peristiwa Isra Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya perjalanan yang mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi oleh Baginda SAW dalam tempoh satu malam. Oleh itu setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar. Sebagainya contohnya oksigen yang dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sbenarnya walaupun dibuktikan ada malah sangat penting kepada manusia.

Wajib mengerjakan sembahyang
Ibadah sembahyang yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Isra dan Mikraj merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaannya. Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab dihari kemudian. Berbagai-bagai hukuman disediakan Allah SWT kepada yang ingkar cukup menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikannya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah sembahyang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.

Wajib percaya dengan Hari kiamat
Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa didunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Isra dan Mikraj, dunia kini diambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi .

Wajib percaya dengan azab Tuhan
Berbagai-bagai siksaan ditayangkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Isra dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba’, engkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa yang mengundang kemurkaan ilahi. Di sudut pandang yang lain, gambaran kurnia ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan musuh yang paling utama.

Wajib percaya dengan qada dan qadar
Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Siti Khadijah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Isra dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Di sana terdapat berbagai lagi iktibar yang boleh diperolehi oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran disebalik setiap peristiwa yang berlaku. Syukurilah segala nikmat itu dengan mempertingkat amal kebajikan guna untuk kebahagiaan hidup kita bersama di dunia dan akhirat.

Wednesday, July 15, 2009

BERCINTA BIARLAH BERPADA


BERKORBAN apa sahaja adalah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan pasangan yang sedang asyik dilamun cinta. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi cinta sehingga maruah dan kehormatan diri tergadai.

Islam sangat mengambil berat persoalan ini kerana jika tidak diurus dengan baik pasti akan mengundang perbuatan zina yang terkutuk. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjadi bukti betapa perbuatan zina dewasa ini seakan menjadi amalan biasa dikalangan pasangan bercinta. Sejak tahun 2000 hingga Julai 2008 yang lalu terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan oleh JPN tanpa catatan nama bapa.

Berdasarkan jumlah itu juga, secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.9 kes pada setiap hari. Statistik yang sama juga pernah dikeluarkan diantara tahun 1999 – 2003 dimana terdapat sejumlah 70,430 sijil pendaftaran tanpa nama bapa direkodkan oleh JPN dan daripada jumlah itu, sebanyak 30,978 melibatkan anak orang Islam. Statistik ini jelas menunjukkan betapa kroniknya kepincangan akhlak yang berlaku dalam masyarakat Islam dan sesuatu perlu dilakukan untuk membendung masalah ini.

Walaupun pada asasnya cinta menurut pengertian muda-mudi hari ini tidak ada kaitan secara langsung dengan syariat Islam yang suci tetapi oleh kerana naluri semulajadi manusia ingin bercinta dan berkasih sayang Islam menetapkan falsafah umum yang perlu dipatuhi bagi mengelak terjebak melakukan perbuatan keji dan mungkar. Antaranya ialah:

Cinta hakiki hanya kepada Allah SWT. dan RasulNya.
Cinta sejati dan hakiki hanya untuk Allah SWT dengan taat melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Semua ini dilakukan demi memperhambakan diri kepadaNya, sambil mengharap beroleh kenikmatan menyaksikan zatNya Yang Mulia di syurga. Begitu pula cinta kepada Rasul wajib didahulukan daripada cinta kepada makhluk sebagai syarat untuk mendapat syafaat al-kubra di hari akhirat kelak. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud; didiklah anak-anak kamu cinta kepada 3 perkara; Cinta kepada Nabi mereka, Cinta kepada ahli keluarga Nabi dan cinta kepada al-Quran.

Bertemu dan berpisah kerana Allah SWT
Segala perlakuan mesti dimulai dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, maka begitulah pula apabila ingin bercinta dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah SWT. sebagai ikhtiar untuk mendapatkan pasangan yang secocok dan berakhir ke jinjang pelamin. Jika ditakdirkan terjadi perpisahan, perpisahannya juga kerana Allah agar setiap pasangan pasrah akan takdir ilahi bahawa tiada jodoh antara mereka dan menerima dengan hati yang terbuka.

Menjaga larangan agama
Bercinta bukan tiket untuk menghalalkan apa sahaja. Oleh itu setiap pasangan wajib menjaga batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan. Elakkan daripada bersikap memandang remeh terhadap perbuatan saling berpegangan tangan yang diharamkan, kerana akan mengundang perbuatan dosa yang lebih berat sedikit demi sedikit. Ini kerana berdasarkan maksud sebuah hadis daripada Rasulullah SAW apabila 2 orang duduk berdua-duaan maka yang ketiga diantara mereka adalah syaitan.

Segera untuk berkahwin
Tujuan bercinta bukan sekadar untuk berseronok dan selama-lamanya. Ia hanya perintis jalan untuk berkenal-kenalan sebelum melangsungkan pernikahan yang disyariatkan. Jika pasangan yang dipilih itu sesuai dan sekufu’ pernikahan harus disegerakan. Direkodkan bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Saydina Ali, "Wahai Ali ada 3 perkara yang perlu disegerakan: sembahyang apabila masuk waktunya, jenazah apabila sudah siap, segera dikebumikan, dan wanita apabila menemukan lelaki yang baik yang meminangnya". (Hadis Riwayat Imam Ahmad) Ibubapa juga perlu peka dengan perintah ini agar tidak terlibat mendapat saham maksiat yang dilakukan oleh anak-anak yang asyik bercinta.

Berlapang dada dalam menerima nasihat dan teguran
Alam percintaan sememangnya indah dan mempersonakan. Ramai yang terpedaya dengan khayalan indah itu apatah lagi jika semua yang dilakukan atas nama cinta disangka baik, tanpa bersedia menerima pandangan dan teguran orang lain. Perlu diingat bahawa cinta boleh menyebabkan seseorang jadi buta dan pekak, lalu mereka merana dan menderita. Justeru nasihat membina daripada ibubapa dan rakan taulan harus diambilkira agar terselamat daripada godaan syaitan dalam bercinta.

Ingat Tuhan dan gunakan akal sebelum melakukan sesuatu
Hati yang sentiasa ingat kepada Tuhan juga mampu membendung akibat daripada perasaan cinta yang bertuhankan hawa nafsu. Pertimbangan akal yang waras juga boleh dimanfaatkan untuk membezakan baik dan buruk sesuatu perkara sebelum terlewat. Pepatah ada menyebutkan ikut hati mati ikut nafsu binasa

Jika segala nasihat-nasihat yang berguna sentiasa menjadi pedoman pasangan bercinta, tidak kira cinta “Pak Arab”, “Cinta Seberang”, mahupun “Cinta Shah Rukh Khan” dapat dibendung daripada implikasi buruk pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada keayuan dan keramahan gadis Melayu. Gadis Melayu juga diingatkan agar tidak hanya menjadikan rupa paras handsome sebagai tarikan kerana jejaka Melayu juga tidak kurang ketampanannya apatah lagi apabila mengenakan sepasang baju Melayu Telok Belanga, bertanjak dikepala dengan keris disisi.

Thursday, July 9, 2009

MAMPUKAH TRANSFOMERS SELAMATKAN DUNIA


DENGAN keuntungan ratusan juta dolar yang telah diraih tentunya Micheal Bay selaku pengarah filem Transfomers:Revenge of The Fallen boleh mendabik dada kerana usaha pembikinan filem yang menelan belanja RM 230 juta itu telah menampakkan hasilnya. Ini terbukti dengan pungutan tiket mencecah AS$20 juta (RM70.8 juta) apabila mula dipertontonkan buat pertama kalinya di Britain dan Jepun pertengahan bulan lalu.

Filem yang digambarkan oleh sesetengah penulis sebagai pertempuran dikalangan robot-robot dalam sebuah permainan video ini telah berhasil menarik ramai penonton, tak kira tua atau muda ke pawagam. Masing-masing teruja untuk menyaksikan filem yang diadaptasi daripada siri animasi popular Transformers yang kembali menggegarkan pawagam sejak ditayangkan pada tahun 2007, dengan kutipan sebanyak AS 708 juta di seluruh dunia.

Kegilaan ini kemungkinan disebabkan oleh promosi gila-gila pihak penganjur dan pelbagai hadiah yang ditawarkan kepada pengunjung pawagam yang bertuah termasuk robot Transformers yang bernilai RM 45 000 atau boleh jadi disebabkan keterujaan penonton ingin merasai sendiri teknik kesan khas teknologi imej janaan komputer (CGI) dan kesan bunyi menggegarkan yang hanya terdapat di pawagam.

Keadaan ini juga sekaligus memberi pulangan yang lumayan kepada tokeh-tokeh panggung wayang di Malaysia yang telah meraih keuntungan tinggi daripada hasil jualan tiket sebelum ini.Menurut laporan oleh FINAS, kutipan oleh pawagam di Malaysia pada tahun 2008, berjumlah RM 380.7 juta, yang meyaksikan peningkatan sebanyak 32% daripada tahun 2007 dengan kutipan sebanyak RM 265.08 juta sahaja. Lihatlah bagaimana rakyat Malaysia mampu berbelanja sebegitu banyak hanya semata-mata untuk berhibur, walaupun dalam suasana kelembapan ekonomi masa kini.

Lebih jauh daripada itu mampukah robot-robot hasil ilusi pemikiran manusia ini menyelamatkan dunia dan generasi manusia daripada kehancuran sebagaimana yang digembar-gemburkan. Ataukah boleh jadi ada yang tersirat disebalik tayangan filem selama dua jam setengah itu yang cuba diketengahkan untuk merosak pemikiran dan kepercayaan umat Islam terhadap keagungan Tuhan.

Ini kerana, mesej yang cuba dibawa seolah-olah mengarah kepada idea penafian terhadap keujudan Tuhan yang berkuasa mencipta segala sesuatu dan menghancurkannya apabila tiba saat yang ditentukan. Sayugia difahami, bahawa setiap orang Islam wajib beriman akan Hari Kiamat sebagai hari perhitungan terhadap segala amal perbuatan mereka semasa di dunia. Pada ketika itu tidak ada yang dapat menyelamatkan manusia daripada kehancuran kecuali amal kebajikan yang berpaksikan kepada aqidah ketuhanan yang benar.

Apatah lagi dalam situasi hari ini dimana berbagai perlakuan keji dilakukan manusia seperti memperkosa anak sendiri, membunuh anak yang tidak berdosa dan saling berbunuh-bunuhan antara satu sama lain, memerlukan setiap umat Islam untuk kembali ke jalan yang diredai dengan benar-benar memahami rukun iman yang menjadi teras pembentukan jatidiri Muslim.

Perlu juga disedari bahawa segala kerosakan dan kehancuran yang berlaku di dunia ini adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia sendiri. Kegelojohan sesetengah kuasa besar mengaplikasi teknologi rumah hijau dengan alasan memanfaatkan teknologi misalnya telah mengundang padah apabila berlakunya fenomena pemanasan global yang sangat membimbangkan.

Menurut laporan terbaharu yang diterbitkan oleh International Alliance of Research Universities, bertajuk “Perubahan Iklim:Risiko, Halangan, dan Keputusan Global”, tahap kecairan ais di kutub dan peningkatan permukaan air laut telah berlaku lebih cepat daripada apa yang disangkakan. Menurut kajian Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula air laut telah meningkat ke paras satu meter di abad ini berbanding hanya 18-59 sentimeter sahaja (7 to 23 inci) sebelumnya.

Tentunya ia satu fakta yang menakutkan jika semua orang tahu implikasi buruk daripada situasi tersebut. Apakah pada ketika itu kita akan menaruh harapan yang tinggi kepada kumpulan robot-robot autobot yang terdiri daripada Optimus Prime selaku ketua kumpulan, Bumblebee, Jazz, Ironhide dan Ratchet untuk menyelamatkan dunia dan generasi keturunan manusia. Sudah pasti jauh panggang dari api.

Justeru itu keseronokan berhibur perlu dibatasi dengan sempadan agama agar umat Islam tidak terpedaya dengan segala hiburan dunia yang bersifat sementara. Ini kerana musuh yang sebenar yang perlu dijauhi adalah syaitan dan iblis yang sentiasa berusaha mencari jalan bagaimana untuk merosakkan akidah kepercayaan manusia. Bukannya kumpulan robot-robot Decepticons yang terdiri daripada Megatron, Starscream, Frenzy, Barricade, Bonecrusher dan Blackout yang digambarkan sebagai penyebab kepada kehancuran makhluk bumi.

Yang pasti dunia akan hancur apabila tiba saat yang telah ditentukan. Pada ketika itu yang berbuat kebajikan akan dibalas dengan ganjaran yang baik sebaliknya yang berbuat kejahatan akan dihukum dengan balasan yang setimpal. Saat dan ketika itu pasti tiba maka beruntunglah sesiapa yang bersedia dengan amal bakti untuk disembahkan kepada Tuhan Pencipta sekelian alam.

Friday, July 3, 2009

PENANGAN DURIAN SEGAMAT

SETELAH selesai mesyuarat akademik bil.3/2009 pada 2 Jun 2009, rombongan kami sempat merayap sekitar Gemereh dan Jementah demi mencari durian Segamat, untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Lihatlah betapa seronoknya kami borong durian,sampai masuk kampung orang.