Thursday, July 9, 2009

MAMPUKAH TRANSFOMERS SELAMATKAN DUNIA


DENGAN keuntungan ratusan juta dolar yang telah diraih tentunya Micheal Bay selaku pengarah filem Transfomers:Revenge of The Fallen boleh mendabik dada kerana usaha pembikinan filem yang menelan belanja RM 230 juta itu telah menampakkan hasilnya. Ini terbukti dengan pungutan tiket mencecah AS$20 juta (RM70.8 juta) apabila mula dipertontonkan buat pertama kalinya di Britain dan Jepun pertengahan bulan lalu.

Filem yang digambarkan oleh sesetengah penulis sebagai pertempuran dikalangan robot-robot dalam sebuah permainan video ini telah berhasil menarik ramai penonton, tak kira tua atau muda ke pawagam. Masing-masing teruja untuk menyaksikan filem yang diadaptasi daripada siri animasi popular Transformers yang kembali menggegarkan pawagam sejak ditayangkan pada tahun 2007, dengan kutipan sebanyak AS 708 juta di seluruh dunia.

Kegilaan ini kemungkinan disebabkan oleh promosi gila-gila pihak penganjur dan pelbagai hadiah yang ditawarkan kepada pengunjung pawagam yang bertuah termasuk robot Transformers yang bernilai RM 45 000 atau boleh jadi disebabkan keterujaan penonton ingin merasai sendiri teknik kesan khas teknologi imej janaan komputer (CGI) dan kesan bunyi menggegarkan yang hanya terdapat di pawagam.

Keadaan ini juga sekaligus memberi pulangan yang lumayan kepada tokeh-tokeh panggung wayang di Malaysia yang telah meraih keuntungan tinggi daripada hasil jualan tiket sebelum ini.Menurut laporan oleh FINAS, kutipan oleh pawagam di Malaysia pada tahun 2008, berjumlah RM 380.7 juta, yang meyaksikan peningkatan sebanyak 32% daripada tahun 2007 dengan kutipan sebanyak RM 265.08 juta sahaja. Lihatlah bagaimana rakyat Malaysia mampu berbelanja sebegitu banyak hanya semata-mata untuk berhibur, walaupun dalam suasana kelembapan ekonomi masa kini.

Lebih jauh daripada itu mampukah robot-robot hasil ilusi pemikiran manusia ini menyelamatkan dunia dan generasi manusia daripada kehancuran sebagaimana yang digembar-gemburkan. Ataukah boleh jadi ada yang tersirat disebalik tayangan filem selama dua jam setengah itu yang cuba diketengahkan untuk merosak pemikiran dan kepercayaan umat Islam terhadap keagungan Tuhan.

Ini kerana, mesej yang cuba dibawa seolah-olah mengarah kepada idea penafian terhadap keujudan Tuhan yang berkuasa mencipta segala sesuatu dan menghancurkannya apabila tiba saat yang ditentukan. Sayugia difahami, bahawa setiap orang Islam wajib beriman akan Hari Kiamat sebagai hari perhitungan terhadap segala amal perbuatan mereka semasa di dunia. Pada ketika itu tidak ada yang dapat menyelamatkan manusia daripada kehancuran kecuali amal kebajikan yang berpaksikan kepada aqidah ketuhanan yang benar.

Apatah lagi dalam situasi hari ini dimana berbagai perlakuan keji dilakukan manusia seperti memperkosa anak sendiri, membunuh anak yang tidak berdosa dan saling berbunuh-bunuhan antara satu sama lain, memerlukan setiap umat Islam untuk kembali ke jalan yang diredai dengan benar-benar memahami rukun iman yang menjadi teras pembentukan jatidiri Muslim.

Perlu juga disedari bahawa segala kerosakan dan kehancuran yang berlaku di dunia ini adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia sendiri. Kegelojohan sesetengah kuasa besar mengaplikasi teknologi rumah hijau dengan alasan memanfaatkan teknologi misalnya telah mengundang padah apabila berlakunya fenomena pemanasan global yang sangat membimbangkan.

Menurut laporan terbaharu yang diterbitkan oleh International Alliance of Research Universities, bertajuk “Perubahan Iklim:Risiko, Halangan, dan Keputusan Global”, tahap kecairan ais di kutub dan peningkatan permukaan air laut telah berlaku lebih cepat daripada apa yang disangkakan. Menurut kajian Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula air laut telah meningkat ke paras satu meter di abad ini berbanding hanya 18-59 sentimeter sahaja (7 to 23 inci) sebelumnya.

Tentunya ia satu fakta yang menakutkan jika semua orang tahu implikasi buruk daripada situasi tersebut. Apakah pada ketika itu kita akan menaruh harapan yang tinggi kepada kumpulan robot-robot autobot yang terdiri daripada Optimus Prime selaku ketua kumpulan, Bumblebee, Jazz, Ironhide dan Ratchet untuk menyelamatkan dunia dan generasi keturunan manusia. Sudah pasti jauh panggang dari api.

Justeru itu keseronokan berhibur perlu dibatasi dengan sempadan agama agar umat Islam tidak terpedaya dengan segala hiburan dunia yang bersifat sementara. Ini kerana musuh yang sebenar yang perlu dijauhi adalah syaitan dan iblis yang sentiasa berusaha mencari jalan bagaimana untuk merosakkan akidah kepercayaan manusia. Bukannya kumpulan robot-robot Decepticons yang terdiri daripada Megatron, Starscream, Frenzy, Barricade, Bonecrusher dan Blackout yang digambarkan sebagai penyebab kepada kehancuran makhluk bumi.

Yang pasti dunia akan hancur apabila tiba saat yang telah ditentukan. Pada ketika itu yang berbuat kebajikan akan dibalas dengan ganjaran yang baik sebaliknya yang berbuat kejahatan akan dihukum dengan balasan yang setimpal. Saat dan ketika itu pasti tiba maka beruntunglah sesiapa yang bersedia dengan amal bakti untuk disembahkan kepada Tuhan Pencipta sekelian alam.

No comments:

Post a Comment