Wednesday, July 15, 2009

BERCINTA BIARLAH BERPADA


BERKORBAN apa sahaja adalah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan pasangan yang sedang asyik dilamun cinta. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi cinta sehingga maruah dan kehormatan diri tergadai.

Islam sangat mengambil berat persoalan ini kerana jika tidak diurus dengan baik pasti akan mengundang perbuatan zina yang terkutuk. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjadi bukti betapa perbuatan zina dewasa ini seakan menjadi amalan biasa dikalangan pasangan bercinta. Sejak tahun 2000 hingga Julai 2008 yang lalu terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan oleh JPN tanpa catatan nama bapa.

Berdasarkan jumlah itu juga, secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.9 kes pada setiap hari. Statistik yang sama juga pernah dikeluarkan diantara tahun 1999 – 2003 dimana terdapat sejumlah 70,430 sijil pendaftaran tanpa nama bapa direkodkan oleh JPN dan daripada jumlah itu, sebanyak 30,978 melibatkan anak orang Islam. Statistik ini jelas menunjukkan betapa kroniknya kepincangan akhlak yang berlaku dalam masyarakat Islam dan sesuatu perlu dilakukan untuk membendung masalah ini.

Walaupun pada asasnya cinta menurut pengertian muda-mudi hari ini tidak ada kaitan secara langsung dengan syariat Islam yang suci tetapi oleh kerana naluri semulajadi manusia ingin bercinta dan berkasih sayang Islam menetapkan falsafah umum yang perlu dipatuhi bagi mengelak terjebak melakukan perbuatan keji dan mungkar. Antaranya ialah:

Cinta hakiki hanya kepada Allah SWT. dan RasulNya.
Cinta sejati dan hakiki hanya untuk Allah SWT dengan taat melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Semua ini dilakukan demi memperhambakan diri kepadaNya, sambil mengharap beroleh kenikmatan menyaksikan zatNya Yang Mulia di syurga. Begitu pula cinta kepada Rasul wajib didahulukan daripada cinta kepada makhluk sebagai syarat untuk mendapat syafaat al-kubra di hari akhirat kelak. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud; didiklah anak-anak kamu cinta kepada 3 perkara; Cinta kepada Nabi mereka, Cinta kepada ahli keluarga Nabi dan cinta kepada al-Quran.

Bertemu dan berpisah kerana Allah SWT
Segala perlakuan mesti dimulai dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, maka begitulah pula apabila ingin bercinta dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah SWT. sebagai ikhtiar untuk mendapatkan pasangan yang secocok dan berakhir ke jinjang pelamin. Jika ditakdirkan terjadi perpisahan, perpisahannya juga kerana Allah agar setiap pasangan pasrah akan takdir ilahi bahawa tiada jodoh antara mereka dan menerima dengan hati yang terbuka.

Menjaga larangan agama
Bercinta bukan tiket untuk menghalalkan apa sahaja. Oleh itu setiap pasangan wajib menjaga batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan. Elakkan daripada bersikap memandang remeh terhadap perbuatan saling berpegangan tangan yang diharamkan, kerana akan mengundang perbuatan dosa yang lebih berat sedikit demi sedikit. Ini kerana berdasarkan maksud sebuah hadis daripada Rasulullah SAW apabila 2 orang duduk berdua-duaan maka yang ketiga diantara mereka adalah syaitan.

Segera untuk berkahwin
Tujuan bercinta bukan sekadar untuk berseronok dan selama-lamanya. Ia hanya perintis jalan untuk berkenal-kenalan sebelum melangsungkan pernikahan yang disyariatkan. Jika pasangan yang dipilih itu sesuai dan sekufu’ pernikahan harus disegerakan. Direkodkan bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Saydina Ali, "Wahai Ali ada 3 perkara yang perlu disegerakan: sembahyang apabila masuk waktunya, jenazah apabila sudah siap, segera dikebumikan, dan wanita apabila menemukan lelaki yang baik yang meminangnya". (Hadis Riwayat Imam Ahmad) Ibubapa juga perlu peka dengan perintah ini agar tidak terlibat mendapat saham maksiat yang dilakukan oleh anak-anak yang asyik bercinta.

Berlapang dada dalam menerima nasihat dan teguran
Alam percintaan sememangnya indah dan mempersonakan. Ramai yang terpedaya dengan khayalan indah itu apatah lagi jika semua yang dilakukan atas nama cinta disangka baik, tanpa bersedia menerima pandangan dan teguran orang lain. Perlu diingat bahawa cinta boleh menyebabkan seseorang jadi buta dan pekak, lalu mereka merana dan menderita. Justeru nasihat membina daripada ibubapa dan rakan taulan harus diambilkira agar terselamat daripada godaan syaitan dalam bercinta.

Ingat Tuhan dan gunakan akal sebelum melakukan sesuatu
Hati yang sentiasa ingat kepada Tuhan juga mampu membendung akibat daripada perasaan cinta yang bertuhankan hawa nafsu. Pertimbangan akal yang waras juga boleh dimanfaatkan untuk membezakan baik dan buruk sesuatu perkara sebelum terlewat. Pepatah ada menyebutkan ikut hati mati ikut nafsu binasa

Jika segala nasihat-nasihat yang berguna sentiasa menjadi pedoman pasangan bercinta, tidak kira cinta “Pak Arab”, “Cinta Seberang”, mahupun “Cinta Shah Rukh Khan” dapat dibendung daripada implikasi buruk pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada keayuan dan keramahan gadis Melayu. Gadis Melayu juga diingatkan agar tidak hanya menjadikan rupa paras handsome sebagai tarikan kerana jejaka Melayu juga tidak kurang ketampanannya apatah lagi apabila mengenakan sepasang baju Melayu Telok Belanga, bertanjak dikepala dengan keris disisi.

No comments:

Post a Comment