Tuesday, June 2, 2009

BERHENTI MEROKOK DENGAN DOA

SEMPENA 31 Mei 2009, yang diisytiharkan sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, semua pihak diminta memberi sokongan padu kepada kerajaan dengan berganding bahu menjayakan Kempen Pilih Untuk Berhenti Merokok bagi membendung gejala merokok terutama dikalangan remaja dan pelajar sekolah yang masih mentah.

Sehubungan dengan itu semua pihak diseru memainkan peranan semaksima mungkin untuk menjadikan ia sebagai suatu realiti dan tidak bermusim. Ia boleh dimulakan oleh golongan ulama dan cendikiawan Islam yang punya kedudukan tinggi disisi masyarakat melalui sesi ceramah dan kuliah-kuliah agama. Golongan ini disaran agar tidak hanya berceramah isu yang hebat-hebat sedangkan isu rokok pembunuh umat diabaikan dengan alasan isu lapuk dan ketinggalan zaman. Lebih malang lagi apabila terdapat daripada kalangan mereka yang merokok sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan khalayak ramai tentang hukum merokok menurut kacamata Islam.

Pendekatan ini dilihat seiring dengan fatwa berkenaan pengharaman rokok yang pernah dikeluarkan di Negeri Selangor pada 7hb. Disember 1995. Fatwa tersebut menyatakan bahawa rokok adalah haram, oleh yang demikian , adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa -apa jenis rokok yang dihasilkan daripada tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.

Pengharaman serupa juga turut difatwakan oleh Kerajaan Negeri Kedah, Perlis, Sarawak dan Pulau Pinang. Malah berdasarkan fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pengharaman turut meliputi penjualan atau penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam hal yang berkaitan dengan rokok. Tinggal lagi yang dimusykilkan ialah tiadanya penguatkuasaan ke atas pengharaman itu.

Walaupun terdapat percanggahan pendapat dikalangan ulamak berkenaan isu ini namun satu hakikat yang boleh diterima semua, perbuatan merokok adalah suatu pembaziran yang ditegah agama bahkan dilabel sebagai kawan syaitan, sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT. dalam firmannya yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya”. (Surah Al-Israa’ ayat 27)

Sementelah lagi dalam suasana kelembapan ekonomi yang dirasai kini, merokok menyebabkan peningkatan perbelanjaan individu, justeru berhenti merokok berupaya mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ia boleh pula digunakan untuk keperluan lain yang lebih bermanfaat.

Selain ulama para ibubapa juga perlu bertindak mengawasi perlakuan anak-anak agar tidak terjebak merokok diusia muda. Malah Ibubapa wajib menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak dengan tidak merokok. Perbuatan sesetengah ibubapa memberikan wang membeli rokok kepada anak juga boleh diumpamakan seperti membunuh anak sendiri.

Dibimbangi anak-anak yang merokok diusia remaja akan terdedah melakukan gejala yang tidak sihat terutama apabila mereka ketiadaan wang untuk membeli rokok seperti mencuri, menjadi peragut dan sebagainya. Selain daripada itu tumpuan mereka terhadap pelajaran di bilik darjah juga kemungkinan akan terganggu disebabkan tidak dapat merokok untuk jangkamasa yang lama. Golongan pelajar juga diingatkan agar tidak membazirkan wang pinjaman pelajaran seperti PTPTN yang diperolehi dengan membeli rokok kerana ia bercanggah dengan maksud sebenar pemberian bantuan kewangan itu.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan yang lebih efisien dalam menguatkuasakan undang-undang merokok ditempat awam. Ini kerana merokok ditempat awam akan memudaratkan orang lain yang tidak merokok, apabila mereka dipaksa menerima implikasi buruk asap rokok yang mencemarkan udara sekitar. Perokok juga akan mengotorkan tempat tumpuan awam seperti perhentian bas dan tandas awam dengan habuk dan puntung rokok yang dibuang sesuka hati.

Langkah CUEPEC yang bercadang untuk melarang semua kakitangan awam merokok ditempat kerja juga adalah langkah proaktif yang boleh dicontohi oleh sektor swasta. Penguatkuasaan langkah ini oleh pihak kerajaan juga dilihat mampu menjadi pemankin ke arah mewujudkan genarasi bebas rokok pada masa hadapan.

Oleh itu sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, golongan perokok dinasihat berusaha untuk menghentikan amalan buruk yang ditegah agama ini. Tidak ada baiknya jika bertegang leher menegakkan benang yang basah sedangkan akhirnya diri sendiri dan keluarga yang merana.

Tidak dinafikan berhenti merokok memang payah dan menyakitkan, apatah lagi setelah bertahun-tahun dibelenggu oleh perbuatan itu. Tetapi percayalah dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Hospital kerajaan sebagai contoh ada membuka Klinik Berhenti Merokok bagi sesiapa yang berhasrat untuk berhenti merokok. Rawatan secara tradisional juga kemungkinan boleh membantu. Malah terdapat ramuan herba yang apabila diminum akan menyebabkan perokok tidak berselera untuk merokok lagi.

Bagi umat Islam pula tidak ada yang mustahil jika segala permasalahan diadukan kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui. Berdoa, bermunajatlah kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk berhenti merokok. Pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman. Pilihan terletak ditangan sendiri, kerana Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali jika dia sendiri yang berusaha mengubahnya.

Mungkin ada yang mendakwa setelah bertahun-tahun merokok mereka tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya malah ada yang kelihatan awet muda dan jadi lebih sihat berbanding orang yang tidak merokok. Dakwaan ini mungkin benar untuk tempoh yang tertentu sahaja. Sedarlah satu ketika, padah menghisap rokok tetap akan mengena tak kira tua mahupun muda cuma masa yang menentukan segalanya.

Begitu pula mungkin ada yang mendabik dada mengatakan akhirnya semua manusia akan mati jadi jangan dikaitkan masalah rokok dengan punca kematian. Memang itu satu ketentuan ilahi yang tak dapat disangkal, tetapi biarlah mati dalam keadaan terhormat, dengan meninggalkan jasa dan sumbangan yang boleh dimanfaatkan untuk seluruh umat. Pepatah ada menyebutkan harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama.

Adalah diharapkan, dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia mensyaratkan setiap kotak rokok wajib mempamerkan imej kesan buruk akibat merokok yang mengerikan mampu menimbulkan keinsafan dan menyedarkan komuniti perokok tentang bahaya rokok kepada diri, keluarga dan masyarakat.

No comments:

Post a Comment