Monday, March 9, 2009

PASTIKAN DERMA SAMPAI KE GAZA

Disiarkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia 5hb. 3 2009

JUTAAN ringgit didermakan oleh rakyat Malaysia bagi membantu masyarakat Palestin yang menderita akibat serangan Isreal ke atas Semenanjung Gaza penghujung tahun lalu. Tabung Kutipan Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) anjuran Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM) sahaja berjaya mengumpul sumbangan lebih RM2 juta semenjak ia dilancarkan. Ini belum dicampurkan dengan sumbangan-sumbangan persendirian yang disalurkan terus ke badan-badan amal seperti Mercy Malaysia dan Aman Palestin.

Sumbangan dalam bentuk modal untuk pembangunan semula Palestin juga turut diterima daripada berbagai-bagai negara penderma seperti Amerika Syarikat, Suruhanjaya Eropah, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Jepun, Itali, Turki, Brazil dan Lebanon yang dianggarkan berjumlah lebih daripada AS$2 billion.

Jelas kemusnahan wilayah Palestin memberi impak yang besar dari aspek sokongan dan keprihatinan penduduk dunia terhadap kesengsaraan mereka. Ini merupakan satu tamparan hebat buat Israel dan sekutunya yang selama ini mengamalkan sikap berat sebelah terutama yang melibatkan kepentingan Israel di Asia Barat. Boleh dikatakan Israel menerima kekalahan mengaibkan dalam peperangan selama 22 hari itu, kerana sokongan moral seluruh dunia terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

Bagi umat Islam pula, situasi semasa berjaya membuka mata dan meraih kesedaran mereka terhadap kepentingan membebaskan Bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman penjajahan alaf baru kerana ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam dan tempat mikraj Nabi Muhammad SAW.

Kempen-kempen boikot juga dilihat menampakkan kesannya apabila produk-produk tempatan mula mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Bahkan usaha kerajaan untuk melabelkan produk keluaran industri kecil sederhana (IKS) tempatan atas Jenama Nasional Malaysia juga satu usaha yang patut dipuji dan mesti disokong oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Walaupun pada dasarnya Israel menang tetapi mereka terpaksa berbelanja besar dari sudut logistik dan kelengkapan perang hanya untuk memusnahkan Pergerakan Hamas. Ia termasuk terowong-terowong bawah tanah yang digunakan sebagai laluan perdagangan dan perhubungan luar yang disekat oleh rejim Israel dan Mesir.

Jumlah yang mencecah berbillion ringgit itu pastinya tidak setimpal dengan hasil yang mereka peroleh apatah lagi dalam era kemelesetan ekonomi hari ini. Kekalahan Israel di Gaza juga memberi tamparan yang hebat kepada suasana politik Israel terutama setelah pilihan raya baru-baru ini.

Tiada kesepakatan yang dimeterai antara kerajaan baru pimpinan Benjamin Netanyahu, pemimpin Parti Likud dan sekutunya Parti Kadima pimpinan Menteri Luar, Tzipi Livni.
Persefahaman yang wujud pada mulanya bertukar goyah apabila Livni menuduh Netanyahu tidak komited untuk merealisasikan wawasan dua negara yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat (AS). Wawasan tersebut ialah Israel dan sebuah negara Palestin akan ditubuhkan pada masa depan di Tebing Barat dan Genting Gaza - dua wilayah yang ditawan oleh Israel semasa perang Asia Barat 1967.

Situasi ini merupakan kemenangan moral buat umat Islam sedunia yang tidak putus-putus membaca doa qunut nazilah mengharap bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT meminta agar perpaduan Israel berpecah-belah. Tentunya doa ke atas orang yang dizalimi dimakbulkan oleh Allah SWT dan kemudian Insya-Allah akan pula memberi kemenangan kepada umat Islam jika mereka bersatu hati.

Namun beberapa persoalan yang mungkin bermain di benak sesetengah penderma yang prihatin, misalnya ke mana wang sebanyak itu akan disalurkan.

Adakah kepada Pergerakan Fatah yang terang-terang menunjukkan permusuhan dengan Hamas? Sedangkan wang yang terkumpul dilabelkan sebagai derma untuk membantu penduduk di Gaza.

Selain itu adakah wang derma itu akan sampai kepada penduduk yang menderita tanpa bekalan makanan dan kehidupan sempurna? Atau akan digunakan untuk tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat asal penderma.

Jangan pula kita menang dan dalam aspek yang lain kita kalah berikutan wujud pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada wang derma orang ramai.

Ingatlah bahawa semua manusia akan dipersoalkan terhadap amanah dan tanggungjawab yang telah dilakukan di dunia. Segala ringgit yang disumbangkan akan dipersoalkan oleh Allah SWT, begitu juga wang yang diperolehi akan turut dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment