Tuesday, February 3, 2009

NIKMATI ANUGERAH KEBEBASAN BERAGAMA DENGAN KESYUKURAN

Diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia pada 30 JAN 2009

SAMBUTAN hari perayaan berbagai agama di Malaysia adalah antara nikmat kebebasan beragama yang mesti dihayati sepenuhnya oleh semua kaum. Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk memelihara anugerah ini dengan sebaik mungkin. Perbuatan sesetengah pihak mencampuri urusan agama lain boleh menimbulkan ketegangan kaum yang mengakibatkan perbalahan berpanjangan dan merugikan negara.

Hak kebebasan beragama telah lama dipraktikkan dalam Islam. Bahkan ia diantara perkara utama yang menjadi asas kepada pembinaan Tamadun Islam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhamad SAW. Fasal 16 Perlembagaan Madinah ada menyebutkan;

"Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu umat yang bersama-sama orang mukmin, bagi mereka kebebasan menganut agama mereka dan orang Islam dengan agama mereka, begitu juga orang-orang yang berada di bawah mereka dan diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya"

Melalui ketetapan ini, masyarakat majmuk di Madinah yang terdiri daripada orang Islam, Yahudi dan orang musyrik bebas mengamalkan ajaran agama mereka, termasuk merayakan hari-hari perayaan tanpa digangu oleh sesiapapun yang telah menyatakan persetujuan dengan menandatangani perjanjian itu. Disamping itu rumah-rumah ibadat mereka juga turut dipelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan sebagai manefestasi kebebasan beragama yang telah lama dipraktikkan dalam Islam.

Situasi yang sama juga turut dirakam berlaku dalam lipatan sejarah kegemilangan umat Islam di Andalus atau juga dikenali sebagai Spanyol Islam. Orang Yahudi dan Kristian Eropah diberi hak kebebasan untuk melaksanakan ajaran agama mereka. Malah seorang hakim bergelar Qadi al-Ajam juga dilantik bagi menyelesaikan segala permasalahan yang timbul.

Di Malaysia, hak kebebasan beragama juga merupakan perkara utama yang telah dipraktikkan sejak negara mencapai kemerdekaan. Keharmonian masyarakat berbilang bangsa yang sedang dikecapi hari ini adalah implikasi daripada kesatuan bangsa Malaysia yang telah diperjuangkan sekian lama. Oleh itu sebarang usaha merosakkan keharmonian ini mesti dicegah sejak dari mula agar ia tidak menjadi seperti api dalam sekam yang akan membakar dikemudian hari.
Ketetapan ini boleh diperhatikan di dalam Perkara (11) Perlembagaan Persekutuan yang menyebutkan; Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan ugamanya. Selanjutnya di dalam Perkara 3 dinyatakan pula Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan.

Oleh itu seharusnya tiada pihak mengambil kesempatan daripada keamanan yang dinikmati ketika ini. Tindakan Herald Catholic menggunakan nama Allah dalam akhbar mingguan mereka ibarat menangguk di air yang keruh sehingga boleh menimbulkan ketidakpuashatian dikalangan masyarakat Islam. Perbuatan seperti ini boleh dianggap mencampuri urusan agama lain yang ditegah oleh perlembagaan. Sebaliknya nikmat kebebasan beragama yang wujud ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin selari dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan tamadun Malaysia yang maju menjelang tahun 2020.

Sejarah dunia, membuktikan bagaimana konflik agama yang serius jika tidak ditangani dengan berhemah dan bijaksana akan mengundang pergaduhan dan pertumpahan darah yang merosakkan integrasi kaum dan budaya masyarakat setempat.

Dunia takkan lupa tanggal 6 Disember 1992, di mana Masjid Babri di India telah dirobohkan oleh 150,000 orang pejuang Kebangsaan Hindu walaupun di tegah oleh Mahkamah Tinggi India. Kesannya lebih 2000 orang di India dan Pakistan terbunuh dalam pergaduhan agama itu.
Untuk mengelakkan kejadian seperti itu berlaku di tanahair kita yang tercinta, semua pihak mesti mematuhi prinsip kebebasan beragama. Prinsip ini hendaklah menjadi kayu pengukur kepada sikap toleransi beragama antara masyarakat majmuk di Malaysia.

Selain daripada itu sikap melampaui batas, taksub dan fanatik dikalangan masyarakat juga seharusnya dihindari. Ketiga-tiga sikap buruk ini jika dibiarkan akan mengundang perbalahan, konflik dan pertumpahan darah yang merugikan negara.

Amalan berdialog secara bijaksana juga boleh dipraktikkan, bagi merapatkan jurang perbezaan pendapat yang lahir daripada latar belakang agama, budaya dan bangsa yang tak sama. Budaya ziarah-menziarahi antara satu sama lain yang telah menjadi simbol penyatuan budaya berbagai kaum juga elok diteruskan khususnya oleh generasi muda yang bakal menjadi pewaris Tamadun Malaysia yang harmoni.

No comments:

Post a Comment