Tuesday, February 3, 2009

FAHAMI MAKNA JUARA SEBENAR

Diterbitkan diruangan Rencana Utusan Malaysia pada 21 JAN. 2009

MEET Uncle Hussain dinobatkan sebagai pemenang AJL ke-23, anjuran TV3 dengan mengalahkan Faizal Tahir yang disebut ramai sebagai bakal memenangi anugerah berprestij itu. Walaupun berjaya mengungguli tiga buah anugerah iaitu; Juara Kategori Balada, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik, beliau terpaksa akur dengan keputusan para juri yang berpihak kepada Lagu UntukMu.

Memang dunia ini penuh dengan berbagai kejutan. Banyak perkara yang berlaku tanpa disangka-sangka. Kadang-kadang yang dirancang tergendala, perkara yang lain pula menjadi nyata. Itulah hakikat dunia yang penuh dengan pancaroba, hanya yang melihat dengan pandangan mata hati akan berjaya mengharungi liku-liku sepanjang perjalanan menuju alam akhirat yang kekal abadi. Mati, yang datang tiba-tiba adalah kejutan luar biasa buat manusia yang selalu lalai dan terleka.

Firman Allah SWT yang bermaksud Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.( Surah al-Zumar:9)
Kemenangan di dunia hanya sebahagian daripada kenikmatan sementara yang dianugerahkan ilahi kepada sesiapa yang dikehendaki. Kemenangan di hari akhirat adalah kemenangan abadi yang perlu diusahakan oleh setiap insan dengan memperbanyak melakukan kebajikan dan bersedia mematuhi segala peraturan tuhan.

Disebalik keghairahan artis bergembira meraikan kemenangan mereka, Parlimen P-36, Kuala Terengganu pula, bersedih dengan kekalahan calon Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid kepada calon PAS Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2631 undi. Di sana sini kedengaran pelbagai respon menjawab persoalan mengapa BN gagal mempertahankan kerusi di kawasan tersebut.

Menurut laporan akhbar antara punca kekalahan yang sibuk diperkatakan oleh orang UMNO sendiri, calon yang diketengahkan sombong dan tak mesra rakyat. Selain daripada itu faktor pengundi luar tak balik kampung, sokongan pengundi muda tidak diperolehi, pengundi Cina tak keluar mengundi, peratusan keluar mengundi menurun dan konflik dalaman parti juga dilaporkan sebagai punca kekalahan calon BN.

Apa pun menang dan kalah adat pertandingan. Pihak yang menang jangan mendabik dada, mendongak ke langit, kerana banyak tugasan menanti untuk diselesaikan. Jangan hampakan harapan rakyat yang tinggi menggunung, dan jangan janji hanya tinggal janji, kerana antara tanda orang munafik apabila berjanji dimungkiri. Begitu juga siapapun yang menang tidak harus sama sekali menjadikan rakyat sebagai pertaruhan untuk mencapai cita-cita politik.
Lebih daripada itu kemenangan yang diraih tidak hanya disahut dengan riang dan tawa gembira, kerana ia merupakan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari kemudian. Nabi SAW pernah bersabda Semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu bertanggungjawab terhadap rakyat di bawah pimpinan kamu.

Bagi pihak Barisan Nasional yang tewas dua kali pada dua pilihanraya kecil, tewas bukan bererti berputus asa dan mengalah. BN perlu bangkit memperbaiki segala kekurangan dan kecacatan yang berlaku. Sesuatu perlu dilakukan demi untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara berdaulat ini, daripada dicemari oleh anasir-anasir luar yang cuba untuk merosakkan budaya, pemikiran dan akhlak masyarakat Malaysia yang sedang berusaha melahirkan modal insan berkualiti dalam mencapai Wawasan 2020.

Sementara itu, jauh di Semenanjung Gaza, setelah 22 hari menghancurkan bumi Palestin, membunuh tanpa peri kemanusiaan Israel dengan angkuh mengistiharkan diri sebagai pemenang Operasi Cast Lead di negara bergejolak itu.

Menurut laporan akhbar seramai 1300 orang Palestin terkorban dimana kebanyakkan mereka adalah penduduk awam yang tidak berdosa. Manakala di pihak Israel dilaporkan hanya 13 orang terkorban termasuk 10 anggota tentera. Tentera Isreal juga telah meranapkan kemudahan awam di Genting Gaza bernilai ASD1.6 billion. Sebanyak 4000 buah rumah musnah sama sekali dan 16,000 ribu yang lain rosak teruk. Dalam tempoh itu juga, 25,000 orang hilang tempat tinggal dan 250,000 orang hidup dalam kegelapan, tanpa bekalan elektrik.

Namun tak ramai yang tahu bahawa warga Genting Gaza telah lama menderita sejak dikepung oleh Israel 18 bulan yang lalu apabila HAMAS diistiharkan mendapat hak ekskulsif mentadbir Genting Gaza pada Jun 2007 . Ini juga bermakna Israel menyerang kedudukan HAMAS di Genting Gaza dalam keadaan mereka sudah lemah dan tidak berdaya. Begitulah sebenarnya sikap Yahudi yang pengecut dan selalu menyombong diri.

Serangan tentera rejim ke atas Gaza tak ubah seperti gergasi yang sedang mengamuk sambil memijak-mijak mangsanya. Dengan kekuatan tentera yang begitu canggih berbanding pejuang HAMAS yang hanya bersenjatakan senapang dan roket al-Qassam tak masuk akal jika Israel gagal dalam misi ketenteraan di Genting Gaza. Walaupun akhirnya kedua-dua pihak HAMAS dan Israel masing-masing mengistiharkan menang dalam peperangan itu.

Justeru, siapa juara sebenar, sukar ditentukan. Masing-masing punya pendapat dan pendirian tersendiri, sama ada dalam konteks AJL ke 23, Piliharaya Kecil Kuala Terengganu mahupun Peperangan Israel-HAMAS. Terpulanglah kepada penilaian sendiri untuk menentukan siapa yang berhak menang, kerana terkadang dalam sesetengah situasi tiada yang ingin mengaku kalah kerana semua ingin menang walaupun hakikatnya kalah.

Namun bagi orang Mukim kejayaan sebenar adalah kejayaan yang dikecapi hasil usaha melakukan kebajikan dan mentaati segala perintah Allah SWT. Sebagaimana firmannya dalam Surah al-Mukminun ayat 1-7 yang bermaksud "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk ketika sembahyang.Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan harta dengan menunaikan zakat harta itu. Dan mereka yang menjaga kehormatan. Kecuali kepada isteri atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

No comments:

Post a Comment