Wednesday, February 11, 2009

GOLONGAN ULAMA WAJAR TERAJUI KEPIMPINAN

CAKAP-cakap untuk mencalonkan Datuk Seri Hj. Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihanraya Kecil Bukit Gantang patut dipertimbangkan, demi untuk kembali memartabatkan bangsa Melayu dan agama Islam dalam arena politik tanahair.

Ketokohan beliau sebagai ulama tersohor negara yang terlibat secara langsung dalam menangani pelbagai masalah umat Islam di Malaysia tidak dapat disangkal. Umum mengetahui beliau telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan pada tahun ini, sekaligus menampakkan sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan tidak berbelah- bagi kepada agama bangsa dan negara tercinta.

Di saat masyarakat Islam terpedaya dengan berbagai dakyah dan mainan politik yang tidak berkesudahan, ulama perlu digerakkan bagi memperbaiki kesilapan dan kepincangan yang berlaku. Umat Islam secara umumnya perlu dipimpin untuk kembali menyelesaikan segala perselisihan berdasarkan pedoman al-Quran dan al-Sunnah, dan ditangan ulamalah dipertanggungjawabkan tugasan ini.

Ditambah lagi dengan masalah sosial umat yang pelbagai dan tak bertepi, formula Islam yang komprehensif dinantikan dengan penuh pengharapan bagi meneutralkankan semua yang telah terjadi. Dalam sebuah hadis Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud “Aku tinggalkan bagi kamu dua perkara, jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu kitab al-Quran dan Sunnah RasulNya.

Sejarah membuktikan bagaimana Nabi Muhamad SAW sebagai Rasul utusan Allah; dipertanggungjawabkan dengan tugas mengajar dan mendidik umat manusia menuju ke jalan kebenaran dan pada masa yang sama bertindak mengurus dan mentadbir negara dengan dengan penuh kebijaksaan. Baginda SAW membentuk Piagam Madinah sebagai perlembagaan tertinggi negara yang wajib ditaati oleh semua dan berjaya pula menyatupadukan masyarakat majmuk Madinah yang terdiri daripada orang Ansar dan Muhajirin juga orang Yahudi dan golongan penyembah berhala.

Tokoh ulama tanahair seperti Tok Kenali, Mat Kilau, Tok Janggut dan lain-lain juga pernah terlibat memainkan peranan yang sangat besar dalam mengetuai perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British, meskipun tercatat dalam sejarah sebagai pemberontak yang akhirnya gugur syahid ditangan penjajah.

Justeru itu, golongan ulama dilihat mampu menangani kemelut politik Melayu masa kini, agar perpaduan bangsa yang berteraskan Islam sebagai agama rasmi negara dapat ditegakkan semula. Perselisihan politik yang berlarutan harus dihentikan, kerana ia ibarat api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa.

Dalam konteks Mufti Negeri Perak, hubungan rapat beliau dengan pihak istana juga dilihat mampu memartabatkan semula institusi raja khususnya di Negeri Perak yang tercabar akibat keangkuhan sesetengah pihak yang mencari populariti murahan dengan tindakan menghina sistem raja berperlembagaan yang telah sekian lama menjadi amalan.

Umat Islam telah lama mengidamkan pemimpin yang berwibawa serta berjaya mengasimilasikan agama dalam kehidupan. Umar al-Khattab pemimpin agung yang pernah membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajahan tak lebih hanya tinggal kenangan indah kemenangan umat Islam di zaman silam. Begitu pula Umar bin Abd. Aziz, seorang khalifah Dinasti Umayyah yang berjaya mengurus perbendaharaan negara dengan adil dan sistematik sehingga digelar khlaifah Islam yang ke-lima.

Rahsia kejayaan mereka tentunya tidak terletak hanya kepada bakat kepimpinan yang dimiliki, malah mereka mengadaptasikan model kepimpinan Rasulullah SAW yang tak lapuk ditelan dek zaman sebagai sumber rujukan utama.

Selain daripada itu setiap pemimpin perlu sedar bahawa mereka hanyalah wakil yang dibebankan tugas memakmurkan alam ini dan tidak melakukan sebarang kerosakan. Sebagai wakil mereka tidak boleh bertindak melulu melainkan berdasarkan peraturan yang telah digariskan oleh syarak. Setiap pemimpin pula bertanggungjawab terhadap cara kepimpinannya yang pasti akan dipersoalkan dihadapan Allah pada hari akhirat kelak.

Ulama pewaris para Nabi boleh menggalas tugas berat ini jika mereka benar-benar ikhlas melaksanakan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT sambil berharap pertolongan daripadanya. Boleh dikatakan ia sebagai tuntutan fardu kifayah demi memelihara dan menjaga kepentingan bersama. Bahkan dalam sesetengah situasi boleh berubah menjadi tuntutan fardu ain pula apabila, kepentingan Islam terabai dan tidak terlaksana.

No comments:

Post a Comment