Monday, August 5, 2019

Bersegera Rebut Keutamaan Bulan Zulhijjah



Sedar atau tidak kita sudah berada di penghujung tahun 1440 Hijrah. Ini kerana Bulan Zulhijah merupakan bulan terakhir dalam takwim hijrah. Lalu bagaimana dengan azam ibadat sepanjang tahun, adakah sudah dapat dilakukan atau masih banyak yang gagal dilaksanakan. Eloklah sempena bulan yang mulia ini umat Islam bersegera mempertingkatkan amalan ibadat dan kebajikan semampu mungkin agar buku catatan setahun ditutup dengan baik dan diangkat ke langit dengan sempurna.
Keutamaan Bulan Zulhijah dapat dilihat dengan terkumpulnya beberapa ibadah utama seperti solat, haji, puasa dan ibadat korban dalam satu masa. Malah Allah SWT bersumpah dengan sepuluh hari pertama Zulhijah dengan firman Nya bermaksud “Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” (Surah al-Fajr,2). Terdapat juga riwayat yang menyebutkan betapa tiada mana-mana hari yang mana amalan baik lebih dicintai di sisi Allah berbanding hari sepuluh pertama Zulhijah.

Umat Islam diajak segera merebut kelebihan yang terhidang di depan mata sebelum berlalu begitu sahaja. Ini boleh dimulakan dengan berpuasa sunat pada Hari Arafah yang bersamaan Hari Sabtu, 10 Ogos 2019. Umat Islam disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijah sambil berharap ganjaran penghapusan dosa dua tahun iaitu tahun sebelum dan tahun sesudahnya sebagaimana hadis diriwayatkan Imam Muslim.

Hari Arafah turut mempunyai keistimewaan yang tersendiri sepertimana riwayat menyebutkan tiada hari yang paling baik di sisi Allah melainkan Hari Arafah. Allah turun ke langit dunia dan bermegah-megah dengan amalan penghuni dunia kepada penghuni langit sambil dikatakan bahawa tiada hari yang lebih banyak diberikan pelepasan daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah. Syaitan sendiri diriwayatkan merasa kerdil, hina dan paling marah pada hari Arafah apabila melihat Allah menurunkan rahmat dan mengampunkan dosa para hamba sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Kitab al-Muwatta.

Pada Hari Raya Aidil Adha pula seluruh kaum Muslimin diajak beramai-ramai menunaikan solat sunat hari raya dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib bertugas. Jangan terlalu berseronok pulang ke kampung dan bercuti panjang sehingga amalan sunat ini diabaikan. Usah pula kerana sambutannya tidak semeriah Hari Raya Puasa sehingga ada yang tidak peduli untuk melaksanakan ibadah sunat yang sangat dituntut ini.

Selain solat, banyakkan ucapan takbir yang boleh dimulai pada subuh Hari Arafah hingga waktu Asar Hari Tasyrik iaitu Hari ketiga bekas Zulhijah. Moga-moga dengan banyak bertakbir, bertahmid dan memuji-muji kebesaran Allah akan semakin dekat dengan rahmat dan petunjuk Ilahi.
Keutamaan Bulan Zulhijah dapat dihayati menerusi pengorbanan agung Nabi Ibrahim yang diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Ismail yang kemudian digantikan dengan kibas. Sejak itu ia menjadi amalan sunah yang dilaksanakan dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu dan kambing pada Hari Nahar bertujuan mendekatkan diri kepada Nya.

Disebutkan dalam riwayat “Tidak ada amalan yang dikerjakan anak Adam ketika hari (raya) korban yang lebih dicintai oleh Allah kecuali mengalirkan darah (menyembelih binatang), sesungguhnya pada hari kiamat ia akan datang dengan tanduk-tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada Allah sebelum jatuh ke tanah, maka perelokkanlah jiwa kalian dengannya (Riwayat Ibnu Majah).

Selain itu ibadah korban merupakan syiar agama Islam yang wajib dipertahankan sampai bila-bila. Ia juga sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh sepanjang tahun.
Bagi yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadat korban, ringankanlah tulang untuk menghadiri gotong-royong dan membantu pengurusan korban serta pengagihannya kepada masyarakat setempat. Malah golongan muda belia diajak datang beramai-ramai bagi membantu mana yang termampu sebagai persiapan untuk menyambung kerja yang dianggap sebagai “kerja orang tua-tua” satu masa nanti. Bak kata pepatah yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

Suka juga diingatkan agar semua pihak sentiasa berhati dan berwaspada agar tidak terjadi sebarang musibah dan kecelakaan dalam pengurusan ibadat korban kali ini. Lembu dan kambing yang ditambat awal elok diberi makanan dan minuman secukupnya sebelum disembelih dengan penuh sifat ihsan kepada binatang. Pengagihan daging korban juga molek dilakukan dengan sistematik agar tidak timbul isu berbangkit. Jangan berlaku rumah sudah siap tetapi tukul dan pahat masih berbunyi. Apa yang penting daging korban sampai kepada golongan sasaran yang memerlukan.

Lebih daripada itu bermula 8 Zulhijah atau Hari Tarwiyah, tetamu Allah di Makkah mula bersiap sedia untuk melaksanakan segala kerja haji seperti wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina, melontar jamrah seterusnya tawaf dan saie haji. 

Justeru itu, dengan segala keutamaan dan ganjaran yang terdapat di Bulan Zulhijah ini, kaum Muslimin diseru untuk tidak melepaskan peluang beribadah mengikut kemampuan masing-masing. Kesempatan masa yang masih terluang menjelang akhir tahun 1440 Hijrah eloklah dipenuhi dengan memperbanyak ucapan istighfar, taubat dan zikir demi mengharap hidayah dan maghfirah Nya. Usah pula ada yang terlepas dan rugi daripada beroleh ganjaran yang dijanjikan kerana belum tentu berpeluang untuk meraihnya lagi.

No comments:

Post a Comment