Tuesday, February 13, 2018

Semaikan nilai berkasih sayang di musim perayaan



Seluruh anggota masyarakat diajak menyemai nilai kasih sayang terutama di musim cuti perayaan. Ini kerana nilai murni berkasih sayang antara sesama makhluk merentasi sempadan agama, bangsa dan negara. Malah jika dikaitkan dengan pengajaran agama sekalipun tidak ada agama yang menyeru umatnya untuk saling benci membenci dan berkelahi sesama sendiri.

Misalnya menurut ajaran Buddha kasih sayang atau cinta kasih disebut sebagai metta yang bersifat universal meliputi kasih sayang kepada semua makhluk termasuklah kepada sesama manusia, haiwan, serangga, tumbuhan, kasih sayang kepada orang tua, saudara, kawan, bahkan disuruh berkasih sayang terhadap musuh.

Perkara ini juga dapat diperhatikan kepada adat makan besar sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi masyarakat Tionghoa yang jelas menggambarkan nilai kasih sayang yang perlu dikekalkan dari semasa ke semasa. Pada malam tahun baharu seluruh keluarga yang kaya dan miskin berkumpul di rumah mahupun di restoran-restoran untuk sama-sama menikmati makanan yang disaji bagi mempererat hubungan kekeluargaan disamping menyemai nilai hormat menghormati antara yang muda dan tua.

Malah makanan yang disajikan juga mempunyai makna dan maksud yang tersendiri. Ikan dan ayam yang disajikan dikatakan membawa tuah, kemewahan dan rezeki yang banyak sepanjang tahun. Hidangan berasaskan udang dipercayai boleh membawa keriangan seisi keluarga. Selain itu limau mandarin yang diletakkan dirumah mahupun diberikan sebagai hadiah melambangkan kemewahan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Seyogianya nilai-nilai murni seperti ini diterjemahkan dan diperluaskan dalam segenap lapangan kehidupan. Misalnya ketika di jalanraya, kalangan pemandu dinasihat sentiasa bersabar dan berhemah. Terapkan nilai kasih sayang dan hormat-menghormati agar semua pengguna jalanraya sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini dianggarkan kira-kira 1.7 juta kenderaan akan berada dijalan raya untuk pulang ke kampung halaman mahupun bercuti ke destinai tertentu. Dengan jumlah kenderaan yang banyak di tambah dengan pelbagai ragam dan perangai pemandu nilai toleransi dan saling bertimbang rasa amat-amat diperlukan. Para pemandu dinasihat sentiasa bersabar dan mematuhi peraturan jalanraya kerana jalan raya bukan tempat untuk berlumba. Patuhilah juga cadangan jadual perjalanan ke Utara dan Selatan seperti yang dicadangkan oleh pihak PLUS agar semua sampai ke tempat yang dituju dalam keadaan selamat dan terpelihara daripada sebarang musibah.

Malahan sifat-sifat yang mulia seperti ini termasuk nilai mahmudah yang dianjurkan dalam Islam. Ia hendaklah sentiasa disematkan dalam jiwa sanubari setiap Muslimin walau dimanapun mereka berada. Semetelah lagi, tahap keimanan seorang Muslim sebahagiannya diukur berdasarkan nilai kecintaan antara sesama manusia. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud; tidak beriman seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Hadis riwayat Bukhari).

Namun begitu ia hendaklah diterjemahkan dalam bentuk yang positif bukan seperti yang difahami oleh segelintir muda-mudi dan pasangan yang asyik bercinta sehingga sanggup menggadai maruah dan kehormatan diri. Ini seperti menyambut Hari Valentine yang tidak diketahui asal-usulnya. Malah lebih buruk daripada itu ada yang mengambil kesempatan menzahirkan kasih sayang dengan berdua-dua di hotel bajet dan terjebak melakukan perbuatan keji seperti zina yang diharamkan. Salah faham seperti ini jika tidak dibendung akan menyebabkan berlakunya pelbagai jenayah lain seperti peningkatan statistik kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi yang tidak berdosa tanpa henti.

Perlu difahami betapa kasih sayang bukanlah disambut pada hari-hari tertentu. Ia sifat mulia yag perlu ada dalam diri setiap Muslim sehingga mencorakkan sahsiah dan peribadi. Ini kerana tanpa kasih sayang terdapat anak yang sanggup meninggalkan ibunya di bilik hotel berhari-hari tanpa diketahui niat dan tujuannya. Terdapat juga yang sanggup melacurkan anak sendiri, memukul dan mendera anak hingga menyebabkan kematian. Tak cukup dengan itu ada yang sanggup memukul dan memotong anggota badan binatang seperti kucing kerana marah dan sebagainya.

Dalam konteks yang lebih luas terdapat segelintir masyarakat yang tidak senang dengan golongan minoriti yang tinggal bersama mereka seperti di Rohingya sehingga mereka di bakar, dihalau daripada kampung halaman, wanita dirogol dan dibunuh. Malah disebabkan keinginan untuk berkuasa dan menguasai politik negara, rakyat jelata menjadi mangsa, ramai yang terkorban, kehilangan tempat tinggal dan terpaksa merempat dinegara asing.

Menjelang tarikh piliharaya umum ke-14 ini juga, semua pihak sama ada parti-parti bertanding, penyokong-penyokong parti dan seluruh masyarakat diseru supaya sentiasa menerapkan nilai kasih sayang ketika berkempen. Perbuatan mengeji, memfitnah dan menyebarluaskan berita palsu adalah jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang suci.  Perkara ini jika tidak dibendung kemungkinan menyebabkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan sesama saudara se Islam.

Ingatlah betapa kita semua bersaudara dan tujuan utama piliharaya untuk membentuk sebuah kerajaan yang menjamin keutuhan agama, bangsa dan negara tercinta bukan ruang untuk membuat dosa dan maksiat yang dilarang oleh Allah SWT. Perlu juga difahami betapa politik dalam Islam didirikan atas prinsip rabbaniyah (ketuhanan), amanah, ukhuwah (persaudaraan), musawah (persamaan) dan keadilan yang menyerlahkan keunikan sistem Islam berbanding sistem politik garapan pemikiran dan ikutan terhadap hawa nafsu manusia.

Sehubungan dengan itu, masyarakat diseru mengamalkan nilai kasih sayang dalam segenap lapangan kehidupan agar kehidupan harmoni dan aman damai dapat terus dikecapi dari semasa ke semasa. Ambillah kesempatan sempena cuti Tahun Baharu Cina untuk menziarahi rakan taulan bagi mengenali budaya dan adat resam masyarakat majmuk di Malaysia agar negara terus aman dan damai sepanjang masa.


Rujukan
https://fatimachitra.wordpress.com/2013/04/17/manusia-dan-cinta-kasih-buddhis/
http://www.sinarharian.com.my/mobile/hiburan/tahun-baru-cina-disambut-dalam-suasana-meriah-harmoni-1.129997


No comments:

Post a Comment