Saturday, September 16, 2017

IKTIBAR KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ

Seluruh negara bersedih dan berduka cita dengan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran al-Ittifaqiyah, Keramat yang meragut nyawa 23 orang pelajar tahfiz dan gurunya baru-baru ini. Lebih menyedihkan apabila ia di lakukan oleh anak-anak remaja yang sebangsa dan seagama. Sama-samalah kita menanti keputusan siasatan pihak berkuasa tanpa menimbulkan polimik dan cakap-cakap belakang yang kemungkinan menambahkan lagi kesedihan ibu bapa mangsa yang terkorban.

Masyarakat turut diajak mendoakan kebaikan kepada anak-anak dan guru yang terkorban agar termasuk dalam kalangan orang beriman lagi mendapat kemuliaan mati syahid. Di doakan juga semoga ibu bapa yang terlibat sentiasa tabah dan sabar menerima ketentuan Ilahi. Firman Allah SWT bermaksud
 “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”(Terjemahan Surah al-Taghabun:11).

Lebih daripada itu Allah SWT tidak menjadi sesuatu sia-sia. Pasti terdapat hikmah dan sama ada yang tersirat dan tersurat yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada manusia. Kejadian menyayat hati yang menimpa pelajar tahfiz ini misalnya mengajak semua untuk benar-benar menjaga amanah Allah terhadap anak-anak. Antara lain menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk memberi nama yang baik, menyediakan makan minum dan tempat tinggal selain mendidik dan mengasuh. Ayah ibu juga wajib menyediakan pendidikan agama secukupnya sehingga mereka mengenal Allah SWT sebagai pencipta dan mengetahui tatacara untuk solat, berpuasa dan ibadah-ibadah yang lain. Selain itu ibu bapa perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak dan mengajarkan kepada mereka nilai akhlak yang mulia. Lebih daripada itu para ibu bapa diseru sentiasa memantau dan mengawasi anak-anak di bawah jagaan mereka.

Anak-anak yang masih muda remaja tidak sewajarnya dibiarkan merayau ke sana dan ke mari terutama di waktu malam dikhuatiri terlibat melakukan perkara negatif yang merugikan. Malah jika hal ini dipandang remeh dikhuatiri akan menyumbang pula kepada gejala sosial di kalangan muda-mudi yang tidak berkesudahan. Hal ini kemungkinan menyumbang pula kepada peningkatan jenayah di kalangan remaja bawah umur seperti penyalahgunaan dadah, mencuri dan lain-lain. Lebih membimbangkan lagi apabila di hari akhirat anak-anak pula akan mempersoalkan amanah yang gagal ditunaikan dengan sempurna sehingga mengagalkan cita-cita ibu bapa untuk ke syurga.

Kedua, kejadian ini juga menunjukkan betapa nilai kasih sayang sesama manusia mula sirna dalam hati sanubari segelinitir kaum Muslimin. Akibatnya kezaliman dan penganiayaan berleluasa. Malah menurut kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur kebakaran di Keramat tersebut berpunca daripada dendam dan ejek mengejek sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan khianat dan memulakan kebakaran sehingga menyebabkan kematian. Perbuatan seperti ini tentunya jauh daripada nilai kasih sayang dan sikap mulia saling berlapang dada. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; “Perumpamaan orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati diibaratkan seperti satu tubuh. Jika satu daripada anggotanya ditimpa sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga malam dan demam.”(Riwayat Muslim)

Dalam hal ini juga kesengsaraan yang ditanggung oleh saudara Islam di Rohingya sewajarnya mendapat perhatian semua. Setelah lama ditindas dan dinafikan hak untuk hidup di negara sendiri sudah sampai masanya mereka mendapat pembelaan dan perhatian dunia. Perbuatan tidak bertamadun seperti membunuh dan menyembelih orang tidak berdosa, wanita dan anak gadis dirogol dan membakar kampung dan merosakkan harta benda adalah jenayah tidak berperikemanusiaan. Untuk itu juga umat Islam diajak saling mempererat hubungan sesama Muslim dengan menunaikan hak Muslim dengan Muslim yang lain. Antaranya dengan memberi ucapan salam ketika bertemu, membantu ketika disaat saudara yang lain memerlukan, menjengok ketika sakit dan memberi penghormatan terakhir kepada mereka setelah meninggal dunia.

Ketiga, musibah ini membuka mata masyarakat betapa sekolah tahfiz, madrasah dan sekolah-sekolah agama perlukan bantuan dan sokongan semua. Ini kerana tempat mulia anak-anak belajar agama, menghafaz al-Quran dan mendidik diri menjadi individu Muslim yang sejati menggambarkan keseriusan semua untuk meninggikan syiar agama Allah. Malah keadaan sesetengah sekolah agama yang daif, kurang kemudahan hendaklah dibantu dengan apa sahaja cara termampu. Bukan mencemuh dan mengeji institusi pendidikan agama yang akhirnya kembali keburukkannya kepada umat Islam sendiri. Usahlah lagi dibiarkan pihak pengurusan tahfiz dan anak-anak muridnya membawa tabung ke sana kemari, menebalkan muka meminta simpati kemungkinan menggangu proses pembelajaran mereka.

Dalam hal ini, langkah kerajaan melalui YAB Perdana Menteri mengumumkan bantuan sebanyak RM 30 juta kepada sekolah tahfiz di seluruh negara mencerminkan keprihatinan kerajaan dan memang tepat pada masanya. Titah Sultan Johor DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, agar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil tindakan mengenal pasti madrasah, pusat tuisyen, sekolah berasrama penuh, sekolah rendah dan menengah yang berisiko tinggi berlaku kebakaran di seluruh Johor juga elok diperluaskan ke negeri lain agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Pihak pengurusan tahfiz dan madrasah di seluruh negara juga dicadangkan sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu misalnya mengadakan latihan kebakaran dan kecemasan dengan kerjasama pihak Bomba mahupun NGO setempat agar musibah dapat dielakkan.


Ini penting bagi memastikan memastikan kelangsungan generasi hafaz al-Quran dan berpendidikan agama yang menjadi benteng hadapan untuk memelihara kesucian dan kemurniaan agama Islam. Ia juga bagi menangkis serangan penyelewengan akidah oleh golongan liberal dan ekstrimis yang mula mendapat perhatian dikalangan generasi muda yang cetek pengetahuan agama. 

No comments:

Post a Comment