Tuesday, July 31, 2012

FAHAMI ERTI JIHAD YANG SEBENAR

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 7 Ogos 2012 dengan tajuk "Ramadan jihad lawan hawa nafsu". Diterbitkan juga di Ruangan Cetusan Akhbar Sinar Harian bertarikh 28 Ogos 2012.

SEMPENA sambutan Hari Pahlawan yang jatuhnya pada tarikh 31 Julai setiap tahun, seluruh anggota masyarakat diseru menghayati semangat jihad dan pengorbanan pahlawan terbilang tanah air dalam kehidupan seharian. Sambutan ini juga signifikan dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke 55, yang turut melambangkan semangat juang dan usaha gigih pejuang kemerdekaan bagi membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Segala jasa dan perjuangan yang dicurahkan oleh pasukan keselamatan sepanjang zaman bagi membebaskan tanah air seterusnya mempertahankan negara daripada di ceroboh oleh musuh-musuh adalah bakti murni yang tiada tolok bandingnya. Semangat jihad Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut, Tok Kenali dan lain-lain lagi, yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi negara sepatutnya menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam masa kini untuk sama-sama bangkit mempertahankan kesucian agama serta kedaulatan bangsa dan negara tercinta.

Sehubungan dengan itu juga umat Islam seluruhnya diseru menterjemahkan semangat jihad seperti ini dalam segala aktiviti dan tugasan seharian. Setiap individu Muslim hendaklah bersedia untuk berjuang mati-matian bagi mempertahankan akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa tanpa mudah diperolok-olokkan oleh harta dan kenikmatan duniawi. Usah hanya kerana habuan dunia yang sedikit ada di kalangan Muslim yang sanggup murtad, keluar daripada Islam.

Kesungguhan mempraktikkan segala ajaran agama seperti solat dan puasa di Bulan Ramadan turut mengandungi falsafah jihad yang murni. Malah bukan mudah untuk seseorang istiqamah melaksanakannya apatah lagi dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam mendidik nafsu terpaksa dilalui sebelum beroleh kemenangan yang dijanjikan.
Beberapa peristiwa penting menunjukkan kegigihan dan kesabaran umat Islam terdahulu patut dijadikan iktibar. Walaupun dalam keadaan berpuasa tentera Islam pimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW pernah melalui beberapa siri peperangan dan beroleh kemenangan. Sebagai contohnya peristiwa Perang Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah jelas menunjukkan betapa puasa bukan penghalang kejayaan.

Begitu pula bilangan yang ramai belum tentu menjanjikan kemenangan jika tidak disertai dengan semangat juang yang tinggi dan bertawakal kepada Allah SWT. Selain itu Pembukaan Kota Mekah pada tahun kelapan hijrah, Peperangan Tabuk pada tahun kesembilan hijrah dan peristiwa penaklukan Bumi Palestine oleh Salahuddin al-Ayubi pada tahun 584 hijrah turut berlaku pada Bulan Ramadan. Ia sekali gus menunjukkan betapa umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan spritual dan fizikal di paras tertinggi ketika sedang berpuasa. Malah tidak salah jika dikatakan Ramadan adalah bulan kemenangan dan kejayaan bagi Muslimin secara umumnya.

Di sisi yang lain, golongan remaja dan muda-mudi terutama yang masih di bangku sekolah mahupun di menara gading selayaknya menghayati semangat jihad golongan terdahulu dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyumbang bakti kepada pertiwi. Masa muda yang merupakan anugerah tidak ternilai hendaklah digunakan untuk aktiviti berfaedah dan berimpak tinggi demi survival agama dan bangsa sendiri.

Usah hanya seronok berfoya-foya dan berhibur sepanjang masa sehingga terkesima dengan kenikmatan yang tidak berkekalan lalu menyesal di hari kemudian. Elakkan daripada terlibat berbuat dosa dan maksiat sepanjang masa sehingga ajal datang menjelma tanpa bersedia dengan bekalan secukupnya.

Umat Islam secara umumnya diseru bersatu atas nama akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk menggembleng tenaga memajukan bangsa dan negara sendiri. Perbalahan dan perselisihan yang berpanjangan mesti dielakkan jika tidak ia bakal menghilangkan kekuatan kesatuan umat Islam sehingga mudah diperkotak-katikkan oleh musuh. Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana apabila nasi sudah menjadi bubur baharu segala kesilapan disedari boleh jadi kenikmatan dan keharmonian yang wujud pada hari ini tidak dapat lagi diwarisi oleh generasi yang terkemudian.

Allah SWT berfirman maksudnya “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal ayat 60).

Untuk itu, kesediaan untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT juga adalah suatu bentuk jihad yang dituntut. Ini kerana harta adalah sesuatu yang sangat dicintai dan sukar untuk seseorang memberikannya kepada yang lain kecuali jika dipaksa. justeru itu, segala pemberian yang ikhlas semata-mata mengharap maghfirah daripada Nya pasti akan diberi balasan yang setimpal.

Sesungguhnya jihad pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada usaha mengangkat senjata menentang kezaliman semata-mata. Skopnya luas termasuklah jihad untuk menjawab segala tohmahan dan usaha keji memburuk-burukkan Islam dan umatnya di ruang siber. Untuk itu para sarjana Islam dan ulama secara khususnya boleh menggunakan media baharu bukan sahaja sebagai senjata untuk menangkis dakyah dan fitnah songsang tetapi juga sebagai medium dakwah yang sangat berkesan dewasa ini.

Menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara keamanan dan kedamaian yang dikecapi dengan menunjukkan rasa kesyukuran yang tidak berbelah-bahagi atas nikmat pemberian Allah SWT yang tersebut. Kesyukuran itu dibuktikan lagi dengan kesediaan semua untuk menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dengan apa jua kaedah yang diredai oleh Nya. Dalam masa yang sama segala perkara yang mengundang kemurkaannya hendaklah dijauhi dan dihindari daripada kehidupan selama-lamanya.


1 comment: