Wednesday, February 8, 2012

SUKARNYA MENCARI YANG HALAL

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan E-Mail Anda Akhbar Harian Metro bertarikh 13/2/2012 dengan tajuk "Bukan hanya babi, arak".

SAMBUTAN bulan keputeraan Baginda Nabi Muhammad SAW kali ini di selubungi dengan kebimbangan meningkatnya gejala murtad di kalangan masyarakat Islam. Seolah-olah ada yang sudah bosan berpegang dengan kepercayaan terhadap Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup menggadaikan agama demi habuan dunia yang sementara. Keterlibatan masyarakat Islam dalam perkara ini walaupun masih sedikit tetapi jika tidak diatasi akan merosak nilai jatidiri kepercayaan Islam yang wajib dipelihara sekalipun nyawa menjadi galang gantinya.

Akibatnya lagi banyak perkara yang melibatkan soal halal dan haram juga tidak dapat diselesaikan dek kerana kerosakan akidah yang membelenggu umat Islam. Sebagai contohnya isu makanan dan keperluan harian yang halal bagi komuniti Islam yang turut dikupas oleh wartawan Akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

Realitinya ia isu lapuk yang berpanjangan hingga ke hari ini. Realtinya lagi bukan mudah untuk umat Islam meloloskan diri daripada kemelut ini. Justeru tidak hairan jika aspek pemantapan akidah dan akhlak dalam skop yang luas pernah menjadi fokus utama dakwah Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah di Kota Suci Mekah. Ini kerana tanpa kepercayaan yang mantap soal halal dan haram tidak dipedulikan. Begitu pula tanpa nilai akhlak yang mulia seseorang boleh sahaja terpesong daripada ajaran yang sebenar.

Lihat sahaja kepada makanan harian yang menjadi santapan seisi keluarga siang dan malam. Berapa ramaikah daripada kalangan umat Islam yang mengambil serius tentang perkara ini sehingga semua yang dibeli dan dimasak adalah produk yang telah mendapat pengesahan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ataukah mungkin penilaiannya hanya berdasarkan selera dan keinginan nafsu makan semata-mata sehingga yang haram pada pandangan mereka apabila memakan produk berasaskan babi dan arak semata-mata.

Sebenarnya isu ini lebih besar daripada sekadar itu. Kebanyakan orang prihatin terhadap soal penyembelihan ayam yang mesti disembelih dengan nama Allah SWT dan mengikut peraturan syariat. Akan tetapi pernahkan ada yang memikirkan tentang makanan dan segala vitamin yang diberikan kepada ayam sehingga dalam tempoh 40-50 hari sahaja sudah matang dan boleh dijual. Persoalannya adakah dedak itu halal? Apakah bahan asas untuk menyediakan dedak makanan ayam dan ternakan lain juga halal? Daripada manakah ia diperolehi dan pelbagai lagi persoalan lain yang perlu difikirkan bersama.

Persoalan ini disulitkan lagi dengan budaya makan diluar yang semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat Islam dewasa ini. Adakah pengusaha kedai makanan yang beragama Islam sendiri benar-benar sensitif sehingga semua bahan asas untuk menyediakan juadah yang dijual halal lagi berkhasiat.

Ataukah mungkin mereka lebih menitikberatkan dollar and sen lalu isu halal dan haram tidak diendahkan. Boleh sahaja mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda berikutan produk yang tiada logo halal lebih murah dan mudah diperoleh dipasaran. Keadaan ini diburukkan lagi dengan restoran yang berselindung disebalik bingkai ayat suci al-Quran dan pelayan yang berkopiah sepanjang masa sedangkan mereka bukan beragama Islam. Begitu pula sikap pengusaha produk makanan yang tergamak memalsukan loga halal JAKIM sehingga berjaya mengaburi pengguna Islam yang mula sedar akan kewajipan mencari yang halal.

Bagaimana pula dengan barangan keperluan harian seperti produk penjagaan dan kecantikan diri. Ini meliputi ubat gigi yang dipakai seawal bangkit daripada tidur, sabun untuk membersihkan badan mahupun sabun untuk membasuh pakaian dan pinggan mangkuk. Bagi yang gemar bersolek pula agaknya bahan apa yang disapu dimuka, gincu berasakan apa yang memerahkan bibir dan lain-lain lagi yang tiada pengesahan halal. Ini termasuk juga segala ubat-ubatan dan suplemen yang menggunakan gelatin yang banyak terdapat di pasaran pada masa kini. Begitu pula segala kelengkapan dan peralatan berasaskan bulu yang boleh diragui.

Melihat kepada fenomena ini tentunya begitu sukar sekali untuk mencari yang halal. Kelihatannya produk-produk yang diragui begitu banyak berlambak di pasaran sehingga sukar untuk dielakkan apatah lagi jika ia benar-benar diperlukan. Malah jika direnung-renungkan isu ini bukan lagi isu remeh temeh kerana melibatkan soal hubungan baik antara makhluk dan khalik. Ia melibatkan soal penerimaan ibadah di sisi Allah SWT. Soal makanan yang halal dan haram juga menjadi asbab untuk doa dan segala permohonan diperkenankan oleh Nya.

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diajak untuk lebih prihatin dan sensitif akan soal ini. Kerajaan melalui JAKIM telah memainkan peranannya dengan menguatkuasakan hanya satu logo halal sahaja yang diterima. Kini yang tinggal hanya sikap dan kesanggupan pengguna Muslim untuk beralih memilih hanya yang halal demi mengharapkan maghfirah dan keredaan dari-Nya. Semoga dengan jihad itu mampu memaksa pengeluar untuk mendapatkan pengesahan status halal sehingga manfaatnya kembali kepada seluruh pengguna. Pihak yang berwajib juga diharap dapat terus melipatgandakan usaha untuk memantau kegiatan pengeluar yang tidak bermoral sehingga berjaya dihadapkan ke muka pengadilan sebagai iktibar kepada yang lain.

Sesungguhnya makanan yang halal mampu mencorakkan peribadi setiap individu Muslim. Ia juga berupaya untuk memperelokkan sahsiah dan akhlak yang menjadi cerminan diri. Justeru itu berjihadlah dengan beralih kepada produk yang diyakini halal demi untuk kebaikan semua.

1 comment:

  1. Bersabar mencari yang halal adalah lebih baik daripada harus mencari yang haram dengan cara yang singkat dan tidak terpuji

    ReplyDelete