Monday, December 19, 2011

SEGERA LESTARIKAN TARBIYAH MEKAH

Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Disember 2011

PENGALAMAN menunaikan fardu haji pada musim haji 1432 hijrah yang lalu pastinya meninggalkan seribu kenangan pahit manis kepada sejumlah 28,000 jamaah haji seluruh negara. Golongan baharu bergelar haji dan hajjah pasti mengakui betapa usaha-usaha untuk menyelesaikan rukun dan perkara wajib haji bukanlah suatu yang mudah. Setiap tetamu Allah SWT pasti melalui berbagai ujian dan cabaran sebelum lulus dan layak bergelar haji dan hajjah.

Berdasarkan pengamatan penulis yang baru pulang menunaikan fardu haji, ujian tersebut boleh jadi disebabkan cuaca ekstrim yang menyebabkan ramai diserang penyakit batuk kering yang berpanjangan walaupun setelah beberapa minggu kembali ke tanahair. Begitu pula hidangan makanan yang kurang menyelerakan bagi sesetengah orang, cukup menjadikan mereka kurus kering kerana tidak berselera menjamah juadah yang disediakan. Ini ditambah lagi dengan rutin harian terpaksa bersesak-sesak untuk menunaikan solat lima waktu di Masjidil Haram dan 40 waktu di Masjid Nabawiy menyebabkan ada yang mengaku kalah lalu solat di hotel penginapan masing-masing.

Kini setelah kembali ke tanahair tentu ramai yang berasa lega kerana tidak lagi perlu bermalam di khemah seperti di Arafah dan Mina ataupun bersusah-payah berjalan beberapa kilometer sehari bagi menyelesaikan kerja-kerja haji seperti melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyrik. Juga tidak lagi perlu beratur dan berebut-rebut untuk ke tandas.

Namun persoalan yang lebih penting untuk dibicarakan ialah bagaimana golongan haji dan hajjah berjaya melestarikan kesinambungan ibadah mereka di tanahair sama seperti pengalaman ibadah yang pernah dilaksanakan ketika di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Ataupun mungkin sudah ada yang awal-awal lagi ketinggalan solat lima waktu ketika penerbangan pulang ke tanahair, ataupun terpaksa solat di akhir waktu kerana sibuk melayan anak cucu dan kaum kerabat yang bertandang ke rumah.

Perlu difahami betapa panggilan haji dan hajjah bukan sekadar gelaran eksklusif buat mereka yang berjaya menyelesaikan segala kerja-kerja haji dan terhenti di situ sahaja. Ia merupakan panggilan kekal seumur hidup dan akan dipertanggungjawabkan pula terhadap kelangsungan segala pengalaman dan pengajaran yang pernah ditimba hingga ke akhir hayat.

Hakikatnya itulah cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh golongan baharu dan lama bergelar haji dan hajjah. Malah itulah antara petanda betapa segala pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga yang disumbangkan ke jalan Allah SWT diterima dengan sebaiknya.

Segala amalan mulia seperti solat berjamaah, beriktikaf di masjid selama berjam-jam lamanya, mengaji al-Quran, berzikir dan melakukan pelbagai solat sunat ketika qiamullail sebaiknya diteruskan walaupun dalam kesibukan memulakan tugasan harian dan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh.

Perlakuan ini bersesuaian dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Imam al-Ghazali rahimahullah yang menyenaraikan beberapa gambaran positif seseorang yang dikurniakan nikmat haji mabrur. Antaranya berubah dengan bersosial bersama rakan-rakan yang lebih baik dan meninggalkan kerja-kerja dosa dan maksiat yang pernah dilakukan sebelum menunaikan fardu haji.

Golongan haji dan hajjah juga dinasihat supaya sentiasa menjaga nama baik dan kedudukan mereka dimata masyarakat. Usahlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Lebih menyedihkan apabila nama baik Islam tercalar dek kerana perbuatan buruk segelintir umat Islam apatah lagi yang berstatus haji dan hajjah dengan pelbagai perkara dosa dan maksiat.

Persoalan lain yang perlu difikirkan oleh golongan haji dan hajjah senior ataupun junior ialah bagaimana untuk mengekalkan ganjaran haji mabrur yang kemungkinan telah diperoleh. Begitu pula bagaimana untuk mengekalkan diri tanpa berbuat kemungkaran setelah kembali tanpa dosa ibarat bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. Ataukah setiap hari ganjaran dan pahala haji mabrur berkurangan hingga tiada apa yang tersisa untuk dipersembahkan kepada Allah SWT apabila kembali menghadapNya.

Sudah tentu ia sesuatu yang sukar dilaksanakan dalam realiti kehidupan semasa. Sebagai contohnya ketika di Tanah Haram tiada pakaian mendedahkan aurat dan menjolok mata, tetapi di tanahair ia seperti tontonan wayang percuma yang boleh dilihat dimana-mana. Begitu pula ketika di Tanah Haram segala tutur bicara diperhatikan bimbang terlanjur kata lalu mengundang bencana. Apabila pulang ke tanahair ia tidak lagi diperhatikan mungkin kerana tiada balasan serta merta yang dibimbangi.

Golongan haji dan hajjah juga diseru menjadi pendakwah untuk mengajak sanak saudara dan rakan taulan agar bersegera menunaikan fardu haji. Hidangan air Zam-Zam, kurma dan kekacang yang menjadi juadah kepada tetamu yang bertandang ke rumah hendaklah diselitkan dengan peringatan agar mereka segera mendaftar di Tabung Haji untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5.

Semoga segala susah payah dan pengorbanan yang dilalui sebagai tetamu Nya dibalas dengan ganjaran haji mabrur dan nikmat Syurga yang tidak ternilai harganya. Begitu pula segala kisah suka duka yang diceritakan oleh para tetamu Allah sekembalinya ke tanahair tidak dijadikan alasan oleh segelintir masyarakat Islam untuk berlengah daripada menabung bagi menunaikan fardu haji dengan pelbagai alasan yang direka sendiri. Malah umat Islam diseru untuk belajar daripada pengalaman orang lain supaya tidak terlibat melakukan kesilapan yang sama.

2 comments:

  1. Thanks for a nice post you have given to us with such an large collection of information. Great work you have done by sharing them to all.

    Weight loss treatment

    ReplyDelete
  2. Dengan persembahan yang menarik dan berkesan tidak mungkin ianya gagal untuk difahami dengan baik..amin

    ReplyDelete