Wednesday, August 3, 2011

RAMADAN BULAN IBADAH

JIKA pemberian bonus oleh kerajaan kepada 112,635 warga peneroka Felda seluruh negara yang berjumlah RM42.6 juta disambut dengan penuh kegembiraan, ganjaran pahala berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah SWT di bulan Ramadan juga seharusnya diraih dengan komitmen bersungguh-sungguh oleh individu Muslim. Kurniaan pahala yang berlipat kali ganda itu juga tak ubah seperti bonus tahunan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba Nya yang sanggup mengorbankan masa, tenaga malah wang ringgit semata-mata mengharap keampunan daripada Nya.

Justeru itu dengan kesempatan masa yang ada umat Islam diseru untuk memanfaatkannya dengan semaksima mungkin. Selain berusaha untuk mempertingkat ibadah puasa ke tahap yang tertinggi, amalan yang lain juga boleh dilakukan. Apalah salahnya jika waktu makan tengahari yang KIV di bulan Ramadan diganti dengan berkunjung ke masjid dan surau terdekat untuk menunaikan solat fardu secara berjamaah. Masa yang terluang seusai solat fardu kemudiannya dapat diisi pula dengan solat-solat sunat, mengaji sehelai dua ayat-ayat al-Quran mahupun berzikir bagi mendekatkan diri kepada Ilahi.

Elakkan daripada banyak tidur dan bersantai-santai kerana Ramadan yang datang semakin pantas pergi meningglkan kita. Cakap-cakap seperti nantilah, malaslah dan lain-lain seharusnya diganti dengan semangat berkobar-kobar untuk beribadah sebagai tanda syukur bertemu Ramadan lagi. Malah ketidakpastian untuk bertemu Ramadan lagi sehingga seolah-olah inilah Ramadan terakhir dalam diari kehidupan setiap Muslim seharusnya menjadi motivasi untuk bangkit berbakti kepada Ilahi. Apatah lagi dengan peluang keemasan musuh Iblis dibelenggu, pintu syurga dan rahmat Allah SWT terbuka luas dewasa ini.

Diriiwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman r.a. bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di hari terakhir Bulan Syaaban dengan maksudnya “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kаmu bulan yang agung, bulan yang penuh keberkatan; iaitu bulan yang didalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu kefarduan dan qiyam di malam harinya suatu galakkan. Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah sunat, samalah seperti orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Barang siapa menunaikan suatu fardu di dalam bulan Ramadan, samalah seperti mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain. Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu ganjarannya syurga. Ramadan itu adalah bulan kemurahan dan bulan Allah menambah rezeki kepada orang Mukmin. Barangsiapa memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, akan beroleh pengampunan daripada dosa dan pembebasan daripada api neraka. Dan ia akan mendapat pahala seperti mana orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikit pun”.

Kesemua ganjaran ini tidak datang bergolek tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Begitu pula ia tidak semudah menuturkan kata-kata. Ia perlukan pengorbanan dan semangat jihad yang tinggi kerana balasan syurga juga tidak ternilai dan terlalu mahal untuk dimilliki.

Walau bagaimanapun setiap individu Muslim boleh merebut peluang ini dengan berusaha untuk berpuasa dengan sempurna di siang hari dan bertarawih serta qiamullail di waktu malam. Masjid dan surau-surau yang berselerak di seluruh negara malah begitu meriah sekali ketika ini juga seolah-olah memanggil-manggil umat Islam untuk mengimarahkannya melalui aktiviti solat fardu secara berjamaah, iktikaf dan lain-lain.

Sementara itu anak-anak juga patut didedahkan dengan tuntutan ibadah yang pelbagai di Bulan Ramadan. Ini dapat dilakukan dengan membawa mereka solat berjamaah dan menyertai aktiviti tadarus al-Quran terutama bagi yang sudah lancar membacanya. Amalan baik seperti ini diharap dapat memberi pendedahan kepada generasi muda akan tradisi ibadah khususnya di bulan Ramadan supaya dapat diteruskan di masa hadapan.

Amalan bersedekah dan infaq fi sabilillah juga turut boleh dilaksanakan. Ini termasuklah menyediakan juadah berbuka puasa dan memberi sumbangan makanan kepada golongan fakir miskin. Kebiasaan menjemput anak yatim, orang tua daripada rumah kebajikan patut diteruskan dan diperluaskan lagi supaya semua dapat merasa nikmat ketibaan Ramadan al-Mubarak. Dalam pada itu perintah wajib mengeluarkan zakat fitrah janganlah pula diabaikan. Bersegeralah untuk melunaskan tanggungjawab tersebut kepada amil-amil bertauliah yang kini turut berada di pusat tumpuan orang ramai. Usah menunggu hingga ke saat-saat akhir bagi memudahkan urusan agihan zakat fitrah kepada golongan memerlukan yang turut ingin bergembira di hari lebaran.

Tindakan sesetengah pihak yang memperalatkan anak yatim, orang buta dan komuniti OKU untuk meraih pendapatan lumayan khususnya di bulan Ramadan adalah jauh menyimpang daripada peraturan syariat. Malah golongan ini yang pernah mendapat perhatian khusus oleh Baginda Nabi Muhammad SAW semasa hayatnya tidak boleh dieksploitasi demi kepentingan peribadi dan kepentingan lain yang negatif. Golongan ini sepatutnya dikasihi dan dibantu bukan dipergunakan untuk meminta sedekah, menjual madu di stesyen-stesyen minyak dan sebagainya.

Semoga Ramadan yang masih muda dapat diisi dengan tuntutan ibadah sebanyak-banyaknya bagi meraih ganjaran utama kemenangan Ramadan iaitu sifat takwa kepada Allah SWT. Untuk itu banyakkan berdoa memohon keampunan, rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT yang juga merupakan suatu ibadah terutama di bulan yang mustajab doa ini.

No comments:

Post a Comment