Monday, April 11, 2011

Prihatin dengan logo halal

SEDAR atau tidak masyarakat Islam di Malaysia adalah pengguna terbesar kepada pelbagai produk makanan dan keperluan harian yang terdapat di pasaran. Manakala kebanyakan aktiviti pengeluaran barangan tersebut dipelopori oleh masyarakat bukan Islam yang sinonim dengan pelbagai kegiatan ekonomi dalam mahupun luar negara. Secara umumnya kalangan pengeluar dan pengguna telah melakukan sesuatu yang bermanfaat dengan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi negara.

Sungguhpun demikian adalah molek sekali jika kedua-dua pihak pengguna dan pengeluar bekerjasama bagi mencapai aspirasi bersama. Pengguna Muslim mahukan produk yang halal dan pengeluar berharap kepada laba yang lumayan. Dalam hal ini situasi menang-menang boleh dipraktikkan. Masyarakat Islam hendaklah membeli produk yang diyakini halal dan dalam masa yang sama pengeluar bertanggungjawab untuk memastikan produk yang dijual di pasaran diiktiraf halal, serta suci lagi bersih.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak yang terlibat memandangkan akhir-akhir ini sering kedengaran media massa melaporkan kewujudan produk tidak halal yang banyak terjual di pasaran. Malah jika pihak pengguna Islam mengambil pendekatan drastik misalnya dengan memboikot pembelian sebarang produk yang diragui sudah tentu akan menyebabkan kerugian di pihak pengeluar, peruncit dan mungkin juga kepada penjual barangan makanan.

Sedarlah juga betapa kuasa yang dimiliki oleh pengguna Islam mampu membuatkan pengeluar tunduk dan akur dengan peraturan syariat. Ini dikukuhkan lagi dengan kewajipan setiap individu Muslim untuk mencari yang halal. Cuma persoalannya berapa ramai di kalangan masyarakat Islam yang sedar tentang perkara ini. Sering kelihatan segelintir orang Islam yang tidak mengambil peduli apa yang dimakan mahupun tempat di mana mereka membeli makanan. Sikap buruk segelintir pengusaha premis makanan yang cuba mengelabui mata pembeli dengan kehadiran pelayan restoran beragama Islam sedangkan sumber perolehan bahan mentah makanan diragui turut mensensasikan lagi isu ini.

Semua ini berlaku kerana kesukaran pihak berwajib untuk memantau setiap aktiviti penyediaan makanan yang dijual kepada pengguna walaupun ia sebenarnya ia masih termasuk dalam skop pengawasan pemerintah. Sehubungan dengan itu menjadi tanggungjawab pula kepada individu Muslim untuk prihatin dengan persoalan ini. Ia boleh dilakukan dengan tidak membeli sebarang produk yang diragui ataupun tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Selain daripada itu penguat kuasa Akta halal oleh pihak berwajib perlu dipertingkatkan lagi bagi mengelak ia terus berleluasa.

Tindakan sebegini penting kerana ia melibatkan sesuatu yang masuk ke dalam perut seterusnya menjadi darah daging. Jika tumbesaran fizikal seseorang bersumberkan produk tidak halal kemungkinan menjadi penyebab ramai di kalangan umat Islam menjadi penghuni neraka jahanam. Lebih memburukkan keadaan apabila ia berupaya mencorakkan peribadi dan sahsiah diri sehingga menjurus kepada perlakuan tidak sihat. Bayangkan jika selama berpuluh-puluh menikmati juadah yang haram dan menjadi darah daging lalu apa lagi yang boleh diharapkan daripada amalan kebajikan yang dapat diterima oleh Allah SWT.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda mengisahkan seseorang yang bermusafir dalam satu perjalanan yang jauh dengan rambut yang kusut-masai, pakaian yang berdebu, lalu menadah tangan ke arah langit sambil berkata ”Ya Rab Ya Rab” tetapi makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram, sentiasa diberi makanan yang haram..maka bagaimana mungkin doanya dimakbulkan?

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam secara khususnya diminta lebih sensitif tentang isu halal ini jika tidak ia akan berjangkit dengan isu-isu lain yang saling berkaitan satu sama lain. Boleh jadi makanan yang haram menyebabkan seseorang lalai dan lengah menunaikan tanggungjawab ibadah. Anak-anak juga sukar dididik dengan budi pekerti mulia. Bahkan kemungkinan terlibat melakukan aktiviti tidak sihat kerana diberi makan yang haram lagi diperoleh daripada sumber yang haram seperti rasuah, penipuan dan lain-lain.

Aspek kebersihan dan kesucian makanan juga perlu dititikberatkan. Ini kerana terdapat segelintir orang Islam yang seperti berfahaman ekonomi kapitalis apabila hanya melihat keuntungan sebagai matlamat utama tanpa mengambilkira aspek kebersihan gerai makanan, penyediaan makanan termasuk sumber perolehan bahan masakan. Apa yang penting bagi mereka modal yang dibelanjakan sedikit dan mampu memberi pulangan keuntungan berlipat kali ganda.

Tentunya perlakuan sebegini tidak bertepatan dengan nilai dan peraturan agama dalam berekonomi yang menjurus kepada matlamat untuk mencapai al-falah di dunia mahupun di hari akhirat. Justeru itu prihatin terhadap apa yang disuapkan ke dalam mulut mampu membentuk hubungan baik manusia dengan Pencipta dan dalam masa yang sama mempererat hubungan sesama saudara seagama.

No comments:

Post a Comment