Monday, February 7, 2011

Penunjuk perasaan wira atau penderhaka kepada negara.

MESIR merupakan negara yang aman damai suatu ketika dahulu. Pertembungan antara warisan purba tinggalan Firaun dan sirah kenabian menjadikan rakyatnya sangat kuat berpegang kepada nilai-nilai agama dan kepercayaan kepada Tuhan. Ini disokong lagi dengan kewujudan Universiti al-Azhar sebagai universiti tertua di dunia yang sejak sekian lama melahirkan tokoh ulama dan ilmuan tersohor di seluruh dunia.

Namun keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi tidak mampu bertahan lama. Dalam sekelip mata emosi rakyat yang membuak-buak terhadap kepimpinan negara telah mengheret rakyatnya dalam kancah demonstrasi jalanan yang sudah berlarutan hampir dua minggu lamanya.

Krisis itu juga telah menjadikan Mesir bumi anbia seakan tidak sesuai lagi menjadi medan juang untuk golongan pelajar menimba ilmu dan pengalaman ketika berada di perantauan. Atas alasan itu jugalah pihak kerajaan mengatur gerakan besar-besaran melalui Ops Pyramid bagi membawa pulang warga Malaysia daripada negara bergejolak itu.

Alhamdulillah kini sebahagian besar daripada 11,000 orang pelajar telah berjaya dibawa pulang dan selamat kembali ke pangkuan negara dan keluarga tercinta. Sudah tentu ia suatu lagi nikmat Tuhan yang wajib disyukuri. Begitu juga keamanan dan kesejahteraan di bumi Malaysia bertuah ini juga merupakan nikmat yang harus dipelihara dengan mengelak sebarang unsur negatif yang boleh merosak keharmonian hidup bersama.

Lalu bagaimana pula pandangan agama terhadap kumpulan penentang kerajaan di Mesir yang sanggup melakukan huru-hara dan kekacauan yang berterusan. Mereka juga terlibat merosakkan harta awam dan mengganggu ketenteraman masyarakat setempat. Terdapat pula nyawa yang terkorban dalam pertempuran bersama pasukan keselamatan. Adakah mereka boleh dikategori dalam kelompok al-Bugha yang menurut ulama fekah sebagai kelompok yang menentang pemerintah yang sah dengan menggunakan kekerasan atau kekuatan senjata.

Menurut satu artikel Berbahasa Arab dalam laman sesawang qaradawi.net., ulama terkenal Dr. Yusuf al-Qaradhawi dilaporkan berkata perjuangan rakyat Mesir bagi mendapatkan hak kebebasan adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Beliau menambah lagi betapa kebebasan adalah sebahagaian daripada natijah pelaksanaan syariah dengan sempurna. Justeru itu beliau menyeru seluruh rakyat Mesir bangun berjuang menentang kezaliman yang berlaku bagi mendapatkan hak dan aspirasi mereka bersama.

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Hujurat:9)

Perkara ini juga dilihat bersesuaian dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Bantulah saudara kamu yang zalim juga yang dizalimi. Dikatakan kepadanya saya akan membantu orang yang dizalimi tetapi bagaimana pula untuk membantu orang yang zalim. Baginda Nabi SAW bersabda; Cegahlah dia daripada melakukan kezaliman nescaya itu merupakan bantuan kamu kepadanya”.

Sungguhpun demikian demonstrasi jalanan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku. Ini kerana ia boleh menyumbang kepada pelbagai implikasi buruk yang menyusahkan kehidupan masyarakat sedunia. Krisis di Mesir sebagai contoh telah menyebabkan harga minyak dunia melambung tinggi sehingga mencecah hampir USD 100 per tong. Keadaan di Mesir juga tegang dan huru-hara lalu memaksa pelancong asing berebut-rebut keluar meninggalkan bumi Mesir sebagai antara destinasi pelancongan berunsur sejarah yang terkemuka di dunia.

Walau apapun nasi sudah menjadi bubur. Pemerintah Mesir yang sedia ada mahupun yang baru dilantik pasti akan berhadapan dengan kesukaran bagi mengembalikan semula kebanjiran pelancong asing sebagai satu daripada punca pendapatan negara yang terbesar. Keinginan pemerintah untuk berlembut dan mendengar sebahagian tuntutan rakyat pula merupakan harga yang sangat tinggi yang telah dibayar bagi segala kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang tidak berdosa.

Justeru itu, hubungan baik antara pemerintah dan rakyat perlu sentiasa terjalin dalam suasana aman dan harmoni. Pemerintah misalnya bertanggungjawab untuk memastikan agar rakyat dapat mengecapi kehidupan dengan sempurna antaranya dengan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi. Di samping itu pemerintah seharusnya mengutamakan kebajikan untuk rakyat terutama golongan miskin dan memerlukan agar tiada jurang pemisah antara miskin kaya yang keterlaluan yang kemungkinan mengundang kekacauan dalam negara. Selain itu hak kebebasan untuk bersuara dan melontarkan pendapat juga tidak patut disekat sebagai suatu usaha penambahbaikkan berkesan terhadap tindak-tanduk pemerintah di dalam sesebuah negara.

Jika ini berhasil dilakukan menjadi kewajipan kepada rakyat pula untuk mentaati pemerintah selagi mana tidak menjurus kepada pelanggaran terhadap hak-hak Allah dan Rasul-Nya. Malah inilah antara ijtihad terbesar yang pernah dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq sebagai pemerintah yang mengerahkan tentera untuk memerangi orang Islam yang murtad kerana enggan membayar zakat yang difardukan setelah kewafatan Baginda Nabi Muhammad SAW.

No comments:

Post a Comment