Monday, November 29, 2010

Menggamit kenangan ketika di Guangzhou dan Kota Suci Mekah

TAHNIAH dan selamat pulang daripada Guangzhou diucapkan kepada kontinjen negara kerana telah berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa. Walaupun berada di tangga ke-10 daripada pungutan pingat dan dalam beberapa acara favorite seperti badminton dan hoki pemain negara gagal memperoleh pingat emas ini tidak bermakna kejayaan-kejayaan lain harus dilupakan begitu sahaja. Malah kejayaan pasukan negara mencapai sembilan emas yang disasarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) membuktikan betapa usaha gigih dan semangat juang yang tinggi perlu dibalas dengan pujian dan sorakan yang gemilang oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sokongan yang berterusan juga harus diberikan kepada kesemua atlet negara dalam apa jua acara sukan yang diceburi kerana terdapat diantara mereka yang bakal beraksi di Temasya Sukan Olimpik London 2012 yang akan datang. Sudah pasti tanpa sokongan moral yang berterusan daripada seluruh anggota masyarakat kejayaan sukar dikecapi. Golongan cerdik pandai dalam bidang sukan juga diseru tampil untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan yang berlaku tanpa seronok menyalahkan itu dan ini.

Untuk tujuan itu juga para atlet negara sewajarnya membuat persiapan rapi bagi membawa cabaran negara ke London dan tidak hanya berbangga dengan pencapaian sedia ada. Malah jika diteliti perjuangan untuk meraih emas di temasya sukan itu nanti pastinya sukar dengan penyertaan nama-nama besar sukan di peringkat antarabangsa.

Kebangkitan kuasa sukan baharu seperti China dan Korea Selatan yang telah mendominasi pungutan pingat sempena Sukan Asia ke-XVI di Guangzhou juga tidak harus dipandang remeh. Malah sepatutnya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga sukan tanahair untuk bangkit berjuang habis-habisan demi negara Malaysia tercinta.

Segala pengalaman manis saat meraikan kejayaan negara merangkul pingat di Guangzhou China hendaklah dijadikan panduan dan pedoman bagi meraih kejayaan lain di masa hadapan. Begitu pula segala pengalaman pahit seperti corak pengadilan yang kurang bermutu ketika pasukan bola sepak negara beraksi dan lain-lain lagi seharusnya dijadikan sempadan dan pengajaran untuk memperbaiki kelemahan diri.

Bagi mencapai hasrat murni itu juga para pemain sukan dinasihatkan supaya mengenepikan kepentingan peribadi dan meraih populariti kendiri semata-mata. Mereka juga diingatkan tidak mendabik dada dan menyombong diri dengan kejayaan yang ada kerana ia bersifat sementara dan akan sirna apabila tiba masanya. Begitulah lumrah hidup di dunia terkadang ada yang di atas dan terkadang ada yang di bawah. Lihatlah bagaimana nasib sesetengah rakan sukan yang kini terlantar sendirian tanpa dipedulikan sedangkan suatu ketika dahulu nama mereka sering disebut-sebut di corong radio mahupun di tayang di kaca tv.

Rakan-rakan ahli sukan se-agama juga dinasihatkan supaya tidak mengenepikan tanggungjawab beragama. Ingatlah betapa tanggungjawab untuk solat 5 waktu sehari semalam adalah tugas utama yang bakal menentukan kejayaan sebenar meraih reda dan maghfirah ilahi.

Dalam situasi yang berbeza tahniah dan syabas juga diucapkan kepada golongan yang baharu bergelar haji dan hajjah. Kepulangan kira-kira 26,000 jamaah haji ke tanahair sememangnya dinanti oleh sanak-saudara dan handai taulan. Malah ramai yang berharap beroleh keberkatan Tanah Suci melalui ole-ole yang di bawa sekalipun hanya sekadar sehelai kopiah putih dan tasbih yang diimport daripada negara China.

Bagi golongan baharu bergelar haji dan hajjah pula pasti mengakui betapa kerja-kerja untuk menyelesaikan amalan haji bukan perkara yang mudah. Pengalaman kira-kira sebulan lebih berada di negara asing jauh daripada nasi dan lauk pauk seperti asam pedas, ikan kering, sambal belacan dan lain-lain sudah cukup membuatkan sesetengah jamaah haji kurus kering kerana tidak selera untuk menjamah juadah yang disediakan. Ini ditambah lagi dengan rutin harian terpaksa bersesak-sesak untuk menunaikan solat lima waktu di Masjid Nabi mahupun di Masjidil Haram menyebabkan terdapat yang mengaku kalah lalu solat di hotel penginapan masing-masing.

Di samping itu cuaca yang tidak menentu, keadaan persekitaran yang berdebu dan tidak kondusif mungkin menyebabkan ada yang berkata kalaulah tidak kerana kewajipan mengerjakan haji termasuk rukun Islam yang ke-5 sudah pasti tiada sesiapa yang ingin bersusah payah begini.

Kini setelah kembali ke tanahair tentu ramai yang berasa lega kerana tidak lagi perlu bermalam di khemah seperti di Arafah dan Mina ataupun bersusah-payah berjalan beberapa kilometer sehari bagi menyelesaikan kerja-kerja haji seperti melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyrik.

Namun persoalan yang lebih penting untuk direnungkan ialah bagaimana golongan haji dan hajjah mampu meneruskan legasi ibadah di tanahair sama seperti pengalaman ibadah yang dilaksanakan di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Ataupun mungkin sudah ada yang awal-awal lagi ketinggalan solat lima waktu ketika penerbangan kembali ke tanahair setelah berstatus haji dan hajjah.

Justeru itu perlu difahami betapa panggilan haji dan hajjah bukan sekadar gelaran buat yang sudah melaksanakan kewajipan haji dan terhenti di situ sahaja. Ia merupakan panggilan kekal seumur hidup dan akan dipertanggungjawabkan pula terhadap kelangsungan segala pengalaman dan pengajaran yang pernah ditimba semasa melakukan kerja-kerja haji hingga ke akhir hayat.

Hakikatnya itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan baharu dan lama bergelar haji dan hajjah. Malah itulah antara petanda betapa segala pengorabanan wang ringgit, masa dan tenaga yang disumbangkan ke jalan Allah SWT diterima dengan sebaiknya.

Golongan haji dan hajjah juga dinasihat supaya sentiasa menjaga nama baik dan kedudukan mereka disisi masyarakat. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Lebih membimbangkan apabila nama baik Islam tercalar dek kerana perbuatan buruk segelintir umat Islam apatah lagi yang berstatus haji dan hajjah.

Apapun yang lebih penting setiap individu Muslim harus memahami ke mana sahaja arah dituju pasti mereka akan diperhatikan dan pertanggungjawabkan terhadap segala kealpaan dan kelalaian. Justeru itu belajarlah daripada pengalaman orang lain supaya tidak terlibat melakukan kesilapan yang sama. Bak kata orang “belajarlah daripada kesalahan-kesalahan orang lain kerana anda tidak akan hidup lama untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu sendirian”.

No comments:

Post a Comment