Monday, July 19, 2010

SUNGAI ADALAH NADI KEHIDUPAN

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan di ruangan Agama Berita Harian bertarikh 2/7/2010

KEWUJUDAN beberapa tamadun awal dunia di sepanjang sungai Tigris di Mesopotamia, Sungai Nil di Mesir, Sungai Indus di India dan Sungai Kuning di Cina menyaksikan betapa sungai sangat signifikan dengan perkembangan peradaban manusia. Tanpa air sungai sebagai punca air minuman dan sungai sebagai jalan perhubungan daripada satu tempat ke satu tempat nescaya tamadun manusia tidak akan berkembang selama-lamanya. Malah fakta sejarah jelas membuktikan betapa Sungai Melaka di Tanah Melayu pernah menjadi hab perhubungan dunia antara Timur dan Barat sehingga menyumbang kepada pembentukan Negara Malaysia yang disegani sehingga ke hari ini.

Maha benar firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya’:30)

Namun akibat kerakusan segelintir masyarakat merosakkan sumber anugerah Tuhan yang sangat bernilai dengan membuang sejumlah 2000 tan sampah ke sungai setiap bulan telah menyebabkan sungai gagal berfungsi dengan sempurna. Malah ia mengundang malapetaka dan bencana lain seperti banjir lumpur dan limpahan air sungai ke kawasan penempatan rendah lalu menyebabkan korban nyawa dan kerugian harta benda. Begitu pula sistem marin dan ekologi sungai akan turut mengalami kerosakan apabila sisa industri dan kumbahan yang tidak terurus dialirkan ke sungai dengan sewenang-wenangnya.

Pernyataan ini dikuatkan lagi menerusi kajian yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati air sungai di Malaysia telah tercemar dengan logam berat seperti arsenik, raksa,kadmium, kromium, plumbum dan zink. Sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak, kerana sungai adalah sumber utama air minuman di Malaysia.

Malah tindakan pihak tertentu mengambil jalan mudah meraih keuntungan lumayan dengan membuang sisa industri dan lain-lain ke sungai patut dikenakan tindakan yang setimpal supaya tidak berulang kembali. Ini ditambah lagi dengan kegiatan pertanian, penternakan, penempatan dan perindustrian di kawasan berhampiran sungai yang tidak terkawal sehingga menambahkan lagi pencemaran yang sedia berlaku.

Sebagai umat Islam kita memang sentiasa digalakkan untuk bersih dan suci. Sementelah lagi kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Justeru itu umat Islam yang terlibat mencemarkan sungai dan alam sekitar disaran supaya bertaubat dan berhenti daripada terus merosakkan alam ciptaan Tuhan yang tiada galang-gantinya. Malah jika diteliti fitrah semulajadi manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi pasti menjauhkan diri daripada kejijikan dan kekotoran.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud Dari Abu Hurairah r.a. berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Bagaimana pandanganmu seandainya pada pintu salah seorang di antara kamu sekalian ada sebuah sungai di mana ia mandi setiap hari lima kali di sungai itu; apakah masih tertinggal sesuatu kekotorannya?” Para sahabat menjawab; “Tidak”. Beliau bersabda lagi; “Demikianlah perumpamaan solat yang lima di mana Allah SWT menghapus dosa-dosa dengannya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu pula pihak yang terlibat dengan industri dicadang supaya menyumbang kepada Corporate Social Responsibility (CSR) dengan menyediakan takungan khusus untuk sisa buangan industri ataupun pembuangan secara berjadual sisa cecair atau pepejal dengan menggunakan khidmat kontraktor yang dilantik. Elakkan terlalu berkira dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat demi kebaikan bersama.

Bersyukurlah dengan nikmat air sungai yang banyak mengalir di negara kita dengan tidak mencemarkan kejernihan dan kebersihan airnya. Malahan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah dan mengalirkan sisa penternakan dan industri ke sungai akan menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan sumber alam yang sangat bernilai suatu hari nanti. Ingatlah ada negara yang terpaksa berbelanja besar untuk menyuling air laut bagi mendapatkan sumber air minuman. Terdapat pula negara tertentu yang terpaksa mengitar semula sisa air buangan untuk keperluan masyarakat setempat.

1 comment:

  1. semoga allah bersama-sama kita utk kembali kepada fitrahNya iaitu Manusia itu yg dikurniakan Allah Muka Bumi yg luas mesti terikat sepenuh pada wahyu tuhan: Al Quran.

    Mardotillah

    ReplyDelete