Tuesday, March 24, 2009

PEMBAHARUAN UMNO DINANTIKAN

Diterbitkan dalam ruangan surat Berita Harian edisi Rabu 25hb. Mac. 2009

PERHIMPUNAN Agung Umno ke-59 sudah bermula. Kerja keras setiap ahli Majlis Tertinggi yang akan dipilih pada persidangan kali ini bakal ditentukan perwakilan seluruh negara. Pasti ada antara mereka terpilih dan ada pula kecundang.

Lembaga Disiplin Umno sendiri sejak awal lagi mengambil pendekatan drastik menghalang calon terbabit rasuah politik bertanding pada perhimpunan kali ini.

Menang dan kalah bukan masalah utama. Apa yang perlu difikirkan semua bakal pemenang ialah bagaimana mengembalikan semula maruah Umno yang tercalar. Begitu juga usaha untuk kembali memperjuangkan nasib orang Melayu yang bergantung harap kepada Umno.

Jangan terlalu tamak dalam berjuang, hentikan gejala rasuah politik dan amalan keji-mengeji yang menjatuhkan sesama saudara. Ingat akhirnya setiap orang Islam tidak dapat lari daripada menerima hakikat mereka adalah bersaudara.

Implikasi percaturan politik yang cacamerba itu kemudian menyebabkan kepentingan rakyat terabai sedikit demi sedikit. Rakyat pula sudah muak dengan percakaran politik yang tidak berkesudahan sehingga ramai tidak ambil peduli dengan keadaan politik yang berlaku. Lebih elok sebelum keadaan ini menjadi lebih buruk usaha ke arah penyatuan semula bangsa Melayu diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Amalan negatif seperti politik wang dan fitnah mesti dihindar kerana ia menyebabkan kesatuan umat Melayu semakin dipandang rendah orang lain. Begitu juga isu yang membabitkan kepentingan Melayu seperti Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang membawa kepada bantahan jalanan dan belum ada kata putus daripada pihak bertanggungjawab perlu diselesaikan segera. Isu agama Islam dan kedaulatannya yang akhir ini menjadi topik hangat di dada akhbar juga perlu perhatian serius agar tidak merosakkan keharmonian masyarakat pelbagai agama.

Sebagai orang Islam kita wajib menunjukkan teladan baik agar Islam terus terpelihara maruah dan kehormatannya. Jangan pula kita termasuk kalangan orang yang menjatuhkan ketinggian nilai Islam dengan melakukan pelbagai kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Mungkin usaha ke arah penyatuan Parti Golkar yang memerintah Indonesia dan parti pembangkang Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan di bawah pimpinan bekas presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri patut dicontohi Umno dan Pas yang majoriti ahlinya orang Melayu Islam.

Menjadi harapan perhimpunan kali ini berjaya menterjemahkan apa yang diuar-uarkan sebagai reformasi Umno yang pasti dinanti seluruh orang Melayu yang cintakan perpaduan dan kedamaian

No comments:

Post a Comment