Sunday, February 1, 2009

JANGAN SEKADAR SLOGAN

disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia 14 JAN.2009

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Nooh bin Gadut, selaku Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, supaya umat Islam memboikot produk daripada Amerika Syarikat dan Israel adalah amat dialu-alukan dan bertepatan dengan situasi di mana masyarakat Islam Palestin terus disembelih tanpa belas kasihan.

Setelah lebih daripada setengah bulan kempen membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa dilakukan tanpa henti, Umat Islam wajib melakukan tindakan yang sewajarnya termasuk memboikot daripada membeli barangan buatan negara mereka. Bahkan tindakan yang lebih drastik juga boleh dilakukan oleh negara-negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel agar memutuskan hubungan tersebut dan mengusir dutanya keluar seperti yang dilakukan oleh kerajaan Venezuela baru-baru ini.

Tindakan memboikot ini merupakan tindakan selemah-lemah iman yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam demi membela saudara se-Islam yang tertindas.Walaupun mungkin sesetengah orang mempersoalkan tindakan ini sambil menyatakan sejauh mana kita boleh mengelak daripada membeli barangan mereka yang berlambak di pasaran dan merupakan barangan keperluan harian?

Kita katakan kepada mereka inilah harga yang wajib dibayar kepada setiap titisan darah umat Islam Palestin yang mengalir tanpa dosa. Inilah sekecil-kecil pengorbanan yang boleh dilakukan oleh semua orang Islam demi mengajar Yahudi dan sekutunya yang secara terang-terangan melakukan pencerobohan ke atas hak asasi manusia dan melanggar prinsip keamanan sejagat yang diagung-agungkan oleh mereka

Melalui tindakan inilah juga dapat dikenalpasti sama ada umat Islam masa kini benar-benar bersatu dalam menentang kezaliman dan pencerobohan ke atas Palestin ataupun hanya syok sendiri berdemonstrasi melaungkan slogan anti Israel konon marahkan orang Yahudi, namun tak mampu melakukan apa-apa kerana takut pada bayang-bayang sendiri.

Disinilah juga akan tersingkap sensitiviti umat Islam dalam mempertahankan saudara se-Islam yang lain. Kitab sirah ada menyebutkan pernah satu ketika di zaman Rasulullah SAW seorang wanita Islam diganggu oleh Yahudi ketika berada di pasar, lalu berita itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mengarahkan tentera Islam untuk memerangi Yahudi di tempat itu. Suatu tindakan drastik dilakukan oleh Rasulullah SAW demi maruah dan kehormatan Islam

Pada hari ini, sekurang-kurangnya 800 orang telah mati di Gaza, Lebih 3,000 orang cedera dan hampir 15,000 orang telah menjadi pelarian dalam negeri sendiri kerana lari dari kawasan pertempuran. Umat Palestin dibom bertubi-tubi dengan senjata kimia, mengandungi phosporus putih, ibarat silence killer yang membunuh mereka hidup-hidup. Apakah kita hanya cukup menadah tangan dan berdoa akan keselamatan dan kesejahteraan mereka sahaja?. Sungguh itu suatu tindakan yang belum memadai. Darah rakyat Palestin perlu dibayar dengan memboikot barangan buatan Israel dan sekutunya.

Justeru seluruh umat Islam wajib melaksanakan tindakan ini. Jangan dijadikan alasan kemungkinan berlaku kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan harian kerana banyak produk lain di pasaran yang boleh menjadi pilihan. Contohilah Bank Rakyat China yang bercadang untuk menggunakan matawang Yuan dalam transaksi harian mereka, kerana sedar akan keburukan bergantung kepada US dollar. Cadangan Tun Dr. Mahathir untuk menggunakan matawang dinar Islam dalam transaksi harian juga perlu dikaji semula untuk kebaikan bersama. Ataupun setidak-tidaknya beralihlah kepada penggunaan matawang EURO dollar demi keharmonian seluruh dunia.

Sampai bilakah Palestin akan terus di bom, adalah suatu persoalan yang bermain difikiran semua insan yang cintakan kedamaian. Begitu juga jika Majlis Keselamatan berjaya menguatkuasakan resolusi menghentikan peperangan, persoalan adakah dunia akan aman selama-lamanya, akan tetap menghantui fikiran kerana Yahudi terkenal dengan sikap tak pernah kotakan janji.

Namun bagi umat Islam yang menaruh sepenuh keyakinan kepada ajaran al-Quran akan tetap berpegang dengan ayat Allah SWT yang bermaksud “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu (Surah al-Baqarah:120)

Yahudi akan tetap dan terus mengatur strategi untuk menghancurkan Umat Islam pada masa akan datang, sehinggalah Nabi Isa diutuskan semula oleh Allah SWT untuk menghancurkan mereka semua. Oleh itu kita mesti terus bersatu atas nama Islam untuk memboikot barangan Yahudi dan Amerika secara berterusan, bukan setakat hangat-hangat tahi ayam. Tindakan ini mesti dilakukan secara berterusan agar mereka tunduk dengan desakan seluruh dunia untuk mewujudkan keamanan sejagat.

Semoga tindakan boikot, akan memberi kekuatan kepada kita semua untuk melaksanakan jihad kecil ini. Semoga Allah SWT menetapkan hati kita semua untuk terus memberi sumbangan baik dari sudut doa, wang mahupun tindakan-tindakan yang difikirkan sesuai untuk rakyat Palestin

Renungkanlah syair yang pernah disebutkan oleh seorang sahabat ketika tentera Islam dalam perjalanan untuk memerangi Yahudi di Khaiybar;

Wahai Tuhan, kalau tidak keranaMu nescaya kami tidak akan mendapat petunjuk
Begitu juga kami tidak akan bersedekah dan bersolat
Sesungguhnya pihak musuh telah menceroboh kehormatan kami
Sekalipun mereka berbuat fitnah ke atas kami tetap kami enggan mengikut mereka
Wahai Tuhan, turunkanlah al-Sakinah ke atas kami
Dan tetapkanlah pendirian kami apabila berhadapan dengan mereka

No comments:

Post a Comment