Saturday, September 16, 2017

IBADAH KORBAN TANDA BERSYUKUR

Bulan Zulhijjah termasuk bulan mulia yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Dimana ketika ini jutaan tetamu Allah SWT sedang menghitung hari menanti saat berwukuf di Arafah yang merupakan kemuncak ibadah haji. Seterusnya pada Hari-hari Tasyrik para tetamu Allah SWT akan berkampung di Mina untuk menyelesaikan kerja-kerja haji sebelum kembali semula ke Haram Mekah untuk melakukan tawaf dan saie haji.

Keistimewaan tersebut dikuatkan lagi dengan kenyataan betapa Allah SWT amat mencintai segala amalan kebajikan yang dilakukan pada 10 hari pertama Bulan Zulhijjah sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud “ “Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga jihad (perang) di jalan Allah?” Jawab Nabi SAW, “Dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali orang yang keluar berjihad bersama hartanya dan nyawanya dan dia tidak kembali dengan satu pun daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diajak untuk memenuhi tempoh yang singkat ini dengan mengerjakan segala amalan kebajikan jauh daripada terlibat melakukan gejala dosa dan maksiat yang menyebabkan manusia semankin jauh daripada petunjuk dan hidayah Allah SWT. Misalnya dengan berpuasa sunat sepanjang tempoh ini bagi yang berkemampuan. Ataupun berpuasa sunat pada Hari Arafah yang jatuhnya pada tanggal 31 Ogos bagi meraih ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan oleh Nya. Banyakkan juga usaha untuk berzikir, bertahmid dan bertakbir mengagungkan Allah Tuhan Sekalian Alam. Ataupun setidak-tidaknya berhentilah daripada memburuk-burukkan orang lain ataupun menyebarkan berita-berita palsu yang termasuk daripada kerja buruk golongan fasiq.

Pada Hari Nahar iaitu Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik umat Islam digalakkan untuk menyembelih binatang korban sebagai mengikuti sunnah Nabi Ibrahim as. yang pertama kali diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan ibadah korban. Malah kesanggupan Nabi Ibrahim melaksanakan segala perintah Allah termasuk perintah untuk menyembelih anak yang disayangi elok dicontohi oleh kaum Muslimin dengan turut menyembelih binatang ternakan. Nabi SAW bersabda maksudnya;

“Tidaklah salah seorang anak Adam beramal pada hari Nahar ('Idul Adha) dengan sebuah amalan yang lebih dicintai oleh Allah SWT daripada mengalirkan darah (menyembelih binatang korban), dan sesungguhnya (binatang sembelihan) akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kukunya, dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah kurban tersebut sampai kepada Allah, sebelum mengalir ke tanah.”(Riwayat Ibnu Majah dan al-Tirmiziy).

Namun apabila diteliti bukan mudah untuk melaksanakan sunah ini. Ramai yang lebih seronok menghadiri program menyembelih binatang korban yang meriah diadakan di sana sini. Terdapat juga yang berebut-rebut ingin mendapatkan daging korban selain ada pula yang saban tahun mempersoalkan pengurusan agihan daging korban yang dikatakan tidak sistematik, tidak adil dan sebagainya.

Dalam hal ini masyarakat Islam diajak merenung falsafah di sebalik pensyariatan ibadah korban yang antaranya bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT yang memerintahkan manusia untuk mengerjakan solat dan berkorban sebagaimana firman Nya “Maka shalatlah untuk Tuhan mu dan sembelihlah (berkorban)”. (Terjemahan Surah al-Kawthar:1). Selain itu pensyariatan ibadah korban sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang tidak putus-putus kepada semua makhluknya. Tentu sahaja tidak molek apabila sepanjang tahun seronok menikmati segala gaji dan rezeki, nikmat panjang umur, nikmat sihat tubuh badan dan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya tetapi tidak sanggup untuk berkorban walaupun satu bahagian lembu dengan bayaran yang tak seberapa.

Ibadah korban juga menunjukkan nilai persaudaraan dan ukhuwah Islamiah dengan saling bantu-membantu dan bertolong-tolongan antara satu sama lain. Ia sekali gus menghindari sifat mazmumah pentingkan diri sendiri dan tidak mengambil berat kesusahan saudara seagama. Dalam hal ini usaha sesetengah masyarakat melakukan ibadah korban di negara minoriti umat Islam mahupun di negara yang umat Islam menghadapi masalah kebuluran dan kekurangan makanan adalah sesuatu yang terpuji dan elok dicontohi.

Lebih dari itu umat Islam diajak memperluaskan erti korban dengan mengorbankan jiwa raga, wang ringgit, pemikiran dan tenaga untuk mempertahankan agama dan akidah umat daripada sebarang bentuk penyelewengan dan kerosakan. Usah mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang menyimpang yang banyak tersebar di media sosial masa kini. Korbankanlah masa dan wang ringgit untuk mendalami ilmu agama dengan banyak menghadiri majlis ilmu dan kuliah-kuliah agama sehingga dapat membezakan yang betul dan salah. Masyarakat Islam diajak berpegang teguh dengan akidah ahli sunah wal jemaah dan mengamalkan syariat berpandukan ajaran benar.


Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan juga, seluruh anggota masyarakat diajak berkorban mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada sebarang bentuk pencerobohan dan anasir tidak sihat. Seluruh masyarakat Islam diajak bersatu mempertahankan nikmat keamanan dan keselesaan untuk mengamalkan segala ajaran agama tanpa menafikan hak masyarakat lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing. Untuk itu budaya toleransi dan saling memahami hendaklah terus disemai dan dibaja sepanjang masa. 

Sunday, May 21, 2017

SYUKURI NIKMAT KETIBAAN RAMADAN



Mungkin ramai yang sudah bersiap sedia untuk berniaga di kala Ramadan. Ini termasuklah peniaga Bazar Ramadan, Bazar Hari Raya, pengusaha kedai makan dan restoran yang pastinya tidak menang tangan melayan karenah pelanggan. Pengusaha kuih raya, tukang jahit pakaian juga tentunya sedang sibuk menyiapkan tempahan supaya semuanya dapat diserahkan kepada pelanggan tepat pada masanya. Malah ramai yang sudah berkira-kira akan keuntungan lumayan bakal diraih daripada perniagaan yang dijalankan. Ini kemungkinan menarik minat pihak tertentu untuk cuba-cuba berniaga atau mengambil kesempatan berniaga tanpa mengambil kira kualiti dan kehendak pelanggan, yang penting barangan dijual laris dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Apapun marilah kita bersikap adil dengan bersyukur atas nikmat terpilih bertemu Ramadan lagi. Ini dapat direalisasikan dengan bersiap sedia merebut pelbagai ganjaran lumayan yang disediakan oleh Allah SWT hanya dalam Bulan Ramadan. Ramadan yang datang setahun sekali menjanjikan pelbagai kelebihan buat golongan yang sedar tentang kemuliannya. Malah umat Islam dijanjikan dengan kurniaan rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Oleh itu, setiap Muslimin diajak bersiap sedia dengan mengikhlaskan niat berpuasa Ramadan semata-mata mengharapkan keampunan dan keredaan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan niat yang betul akan mendorong memperbanyak amalan ibadah sepanjang Ramadan. Usah terkesima dengan melakukan persiapan untuk berhari raya sedangkan Ramadan yang didepan mata dikesampingkan. Adalah molek jika Ramadan yang tiba disambut dengan pakaian baharu dan azam baharu untuk mempertingkatkan kualiti puasa. Malah tidak menjadi satu kesalahan jika rumah kediaman dihiasi dengan langsir baharu dan cahaya lampu kelap kelip yang bergemerlapan di malam satu Ramadan. Semua ini dilakukan tidak lain demi menunjukkan kesyukuran dan kegembiraan atas nikmat sekali lagi dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan yang hanya dikurniakan kepada insan terpilih.

Ini juga bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; “Apabila tiba awal malam Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pun dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyerupun menyeru wahai orang yang mengharap kebaikan terimalah dan wahai orang yang berharap kejahatan berhentilah. Dan (yang ikhlas) kerana Allah akan dibebaskan daripada api neraka. Dan( Penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam”. Hadis riwayat al-Tirmiziy dan Ibnu Majah)

Bersesuaian dengan itu juga umat Islam diharap tidak menggantikan tempat Iblis dan syaitan yang dibelenggu dengan melakukan kegiatan keji dan mungkar. Perbuatan segelintir yang sengaja enggan berpuasa ataupan sengaja mereka-reka alasan untuk tidak berpuasa termasuk dosa yang dimurkai Allah SWT. Ini diburukkan lagi dengan perbuatan segelintir yang mensia-siakan masa dengan melepak dan membuang masa setelah berbuka sehingga gagal meraih ganjaran Ramadan. Perbuatan seperti ini eloklah diganti dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam, qiamullail dan bermunajat kepada Ilahi.

Justeru itu umat Islam diajak mengerah seluruh usaha dan tenaga untuk memperhebat kegiatan ibadah sepanjang Ramadan. Bagi yang mempunyai lebihan rezeki bolehlah bersedia dengan bajet tertentu untuk diinfakkan fi sabilillah. Menyediakan jamuan berbuka puasa termasuk satu daripada cabang-cabang kebaikan yang mesti direbut. Ambillah juga peluang untuk menunaikan kewajipan zakat fitrah di awal Ramadan supaya segera dapat diagihkan kepada asnaf yang memerlukan.

Yang paling penting setiap Muslim perlu berusaha untuk mempertingkatkan kualiti puasa daripada tingkatan puasa awam kepada puasa khusus ataupun khususulkhusus. Tidak sepatutnya setelah bertahun tahun berpuasa Ramadan kualiti puasa masih di takuk lama. Inilah masanya kaum Muslimin berazam untuk menjaga seluruh pancaindera daripada terlibat berbuat maksiat. Usaha perlu digerakkan untuk melakukan amalan fardu dengan sempurna di samping memperbanyak bertadarus al-Quran dan kegiatan ibadah yang lain. Ini kerana Ramadan sinonim dengan masa turunnya al-Quran sehingga umat Islam diajak berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan segenap suruhan, meninggalkan larangan dan mengamalkan pedoman al-Quran sepanjang kehidupan.

Malah Ramadan merupakan kesempatan untuk mendidik nafsu ke arah yang diredai oleh Allah SWT. Sehingga apabila berakhir Ramadan seseorang berjaya memperoleh ganjaran takwa yang menjadi benteng dan perisai untuk melalui liku-liku kehidupan pasca Ramadan. Allah SWT berfirman maksudnya; Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Terjemahan al-Quran, al Baqarah: 183)

Nikmat kemuliaan Ramadan ditunjukkan lagi dengan malam al-qadar yang pahala beribadah pada malamnya lebih baik daripada 1000 bulan yang menyamai kira-kira 83 tahun umur manusia. Nabi Muhammad SAW sendiri mengambil berat tentang lailatulqadar sehingga mengejutkan keluarganya untuk beribadah pada malam tersebut. Para sahabat dan salafus soleh juga berusaha untuk menghidupkan malam 10 yang akhir daripada Ramadan kerana beramal dengan anjuran Nabi SAW untuk mencari lailatulqadar pada malam-malam tersebut. 

Sesungguhnya segala nikmat dan ganjaran Ramadan hanya boleh dikecapi oleh hamba yang beriman dan beramal soleh. Manakala golongan yang lemah iman akan kekal melihat Ramadan sebagai wasilah untuk menyambut hari raya semata-mata. Boleh jadi golongan inilah yang beriya-iya membuat persiapan hari raya sedangkan Ramadan di depan mata dipandang remeh dan tidak dipedulikan. Ingatlah betapa Baginda Nabi SAW pernah mengingatkan tentang golongan yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.

Justeru sambutlah ketibaan Ramadan kali ini dengan niat untuk beribadah sepenuh jiwa dan raga. Rasakan betapa Ramadan ini yang terakhir dalam kehidupan sehingga membangkitkan kesungguhan untuk berbakti dan beramal soleh. Usah sia-siakan nikmat sekali lagi terpilih bertemu Ramadan dengan perbuatan sia-sia apatah lagi yang mengundang dosa. Rebutlah ganjaran pahala berlipat kali ganda kurniaan Allah SWT kepada hamba-hambanya yang ikhlas sambil berharap kemuliaan dari Nya.





Saturday, May 6, 2017

SYARAT BEKERJA DI NILAI IBADAH



Akibat salah faham sesetengah masyarakat mengenai falsafah bekerja dalam Islam terdapat yang memisahkan antara pekerjaan seharian dengan ibadah. Lebih memburukkan apabila terdapat yang sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk menunaikan solat lima waktu ataupun tidak berpuasa di Bulan Ramadan dengan alasan keletihan dan kehausan. Sedangkan apabila diteliti Islam tidak pernah memisahkan antara agama dengan kehidupan seharian malah kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain. Malah terdapat kata-kata yang masyhur menyebutkan bekerjalah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.

Oleh sebab itu Islam menggariskan beberapa syarat untuk dipenuhi agar apa sahaja pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadah. Antara yang terpenting ialah niat bekerja ikhlas kerana Allah SWT. Besar kemungkinan apabila niatnya betul akan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk bekerja dalam apa jua bidang yang diceburi. Mudah-mudahan dengan cara itu rezeki atau gaji yang diperoleh akan mendapat keberkatan walaupun tidaklah sebanyak mana.

Selain dari itu, pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syarak. O1eh itu bekerja di premis-premis yang menghidangkan arak dan pergaulan lelaki dan perempuan bebas tanpa sempadan sebaiknya dihindari. Malah ia diharamkan dan umat Islam dinasihatkan bertaubat daripada terus bergelumang dengan dosa dan noda. Ini termasuklah dengan sengaja berpakaian mendedahkan aurat ketika bertugas, terlibat dengan arak, judi, riba yang semuanya termasuk dosa-dosa besar. Semasa bekerja ditegah daripada curi tulang, merakamkan kad masuk untuk rakan-rakan, membuang masa dengan bersarapan dan makan tengah hari berjam-jam lamanya atau juga menerima rasuah dan habuan untuk perkhidmatan yang diberikan.

Umat Islam juga diingatkan supaya tidak mengabaikan perintah dan ibadah utama ketika bertugas. Ini kerana pekerjaan seharian seperti bertugas di pejabat, sektor perkilangan, pembuatan mahupun berniaga termasuk dalam kategori ibadah umum yang diberi ganjaran pahala. Namun ia sepatutnya tidak sampai menggabaikan ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain.

Umat Islam yang bekerja juga dinasihatkan supaya tidak culas membayar zakat pendapatan sama ada secara potongan bulanan ataupun secara tahunan di mana-mana pusat pungutan zakat setempat. Ini kerana pada harta atau gaji yang diperoleh ada hak orang miskin dan yang meminta-minta. Dengan wang ringgit yang diperoleh juga boleh digunakan untuk menginfakkan harta ke jalan Allah SWT dengan bersedekah dan berwakaf sehingga ada nilai tambah daripada pendapatan bulanan. Usah juga dilupakan nafkah bulanan untuk ayah ibu di kampung serta keluarga dan anak-anak yang semuanya akan dipertanggungjawabkan jika gagal diselesaikan dengan sempurna.

Khusus bagi kaum wanita yang ingin keluar bekerja Islam menetapkan syarat perlu mendapat keizinan wali atau suami bagi yang sudah berumah tangga. Keizinan ini juga tertakluk dengan syarat wanita berkerjaya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab di rumah terhadap suami dan anak-anak. Malah peranan sebagai ibu dalam mendidik dan mengasuh anak juga perlu dititiberatkan. Usah kerana kesibukan berkerjaya semuanya diserahkan kepada pembantu rumah sehingga anak kurang kasih sayang. Terdapat pula segelintir yang enggan berumah tangga dengan alasan ingin menumpukan perhatian kepada mencapai kecemerlangan hidup berkerjaya. Semua ini tidak tepat dengan ajaran Islam dan sunah Rasulullah SAW yang menggalakkan perkahwinan. Kaum wanita juga diingatkan supaya sentiasa menjaga aurat, batasan pergaulan sesama rakan sekerja dan mengelak unsur unsur fitnah yang boleh mencemarkan nama baik keluarga mahupun ibubapa.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmiziy, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengenai empat perkara yang akan dipersoalkan di Hari Kiamat. Antaranya mengenai umur ke mana dihabiskan, jasad atau tubuh badan digunakan untuk apa?, tentang ilmu adakah dapat dinilai sebagai ilmu yang bermanfaat atau tidak dan tentang harta daripada mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.  

Sehubungan dengan itu umat Islam diajak melihat pekerjaan seharian sebagai usaha ibadah kepada Allah SWT dan bukan sekadar makan gaji semata-mata. Malah Islam tidak pernah melarang mana-mana lelaki ataupun wanita untuk bekerja asal sahaja tetap menjaga peraturan agama dan kehormatan diri. Apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap individu Muslim mampu menjaga hubungan baik makhluk-khalik dan dalam masa yang sama hubungan baik pekerja-majikan.

Setiap Muslimin juga perlu memahami selagi nyawa dikandung badan tidak ada istilah pencen bekerja dengan Allah SWT. Segala amal ibadah fardu, wajib dikerjakan tanpa sebarang alasan. Turut disunatkan untuk menambah pahala dengan mengerjakan sebanyak mungkin amalan sunat sebagai persiapan untuk kembali kepada Nya.

Justeru bersempena dengan sambutan Hari Pekerja, umat Islam secara khususnya diajak mengembeling usaha dan tenaga untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan bekerja bersungguh-sungguh dan berdedikasi. Usah diabaikan setiapa amanah dan tanggungjawab yang dipikul kerana pasti akan dipersoalkan di hari kemudian.



Monday, January 9, 2017

SYUKURI ANUGERAH ILAHI


Keunikan sepakan percuma Faiz Subri ketika Pulau Pinang menewaskan Pahang 4- 1 telah menobatkan beliau sebagai penerima anugerah berprestij FIFA Puskas 2016 di Zurich mengalahkan dua calon lain iaitu Marlone daripada Brazil dan pemain Venezuala Daniuska Rodriguez. Ternyata anak Malaysia juga mempunyai bakat dan kemahiran yang setanding dengan pemain bola sepak ternama dunia. Ini menunjukkan betapa bakat dan kemahiran yang ada jika dimanfaatkan untuk hal-hal yang positif boleh mengharumkan nama negara di persada dunia. Bak kata pepatah Melayu belakang parangpun kalau diasah lagi kan tajam. Terdahulu Harith Iskander dinobatkan sebagai individu paling lawak di dunia mengalahkan Alex Calleja dari Filipina, Katerina Vrana dari Greece, Mino van Nassau dari India dan David Kilimnick dari Israel dalam pertandingan yang diadakan di Levi, Finland.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh anak Malaysia diperingkat antarabangsa selayaknya menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk berusaha meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang yang diceburi. Ia pastinya bermula dengan kesungguhan yang tidak mengenal erti penat lelah selain kesabaran dan pengorbanan yang terpaksa di lalui. Tanpa semua itu yang pipih tak akan datang melayang yang bulat tak akan datang bergolek. Yang lebih penting biarlah apa sahaja aktiviti yang dilakukan tidak melanggar syariat apatah lagi memburukkan nama keluarga dan negara.

Dalam bidang akademik misalnya golongan muda diajak mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan bukan setakat mengejar pointer tertinggi ataupun profesion yang baik-baik. Lebih daripada itu matlamat belajar seharusnya difokuskan kepada mengenal hakikat Allah SWT sebagai pencipta lagi Maha Mengetahui. Ini kerana semakin tinggi pengetahuan seseorang semakin banyak perkara yang tidak ia ketahui. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW berpesan maksudnya; Barangsiapa yang bertambah ilmu tetapi tidak bertambah hidayah dia semakin jauh daripada petunjuk Allah SWT. (Riwayat Ibnu Hibban).

Dalam masa yang sama muda mudi dinasihat tidak melibatkan diri dengan gejala negatif yang boleh jadi menyusahkan diri sendiri, keluarga dan negara. Ataupun jika ingin menceburi sesuatu bidang biarlah mengikut saluran yang betul agar mendapat latihan dan bimbingan yang sepatutnya. Keinginan remaja untuk melakukan aktiviti lasak dan ekstrim misalnya elok lah bersandarkan ilmu pengetahuan disamping mengambil kira langkah-langkah keselamatan untuk mengelak berlakunya tragedi dan musibah. Malah sukan ekstrim seperti terjunan daripada bangunan tinggi, berbasikal di tanah tinggi ataupun paragliding masih asing bagi remaja di Malaysia. Tidak mustahil jika kemahiran seperti ini diasah lebih ramai rakyat Malaysia mampu mengharumkan nama negara di persada dunia. Selain itu, penyertaan remaja dalam aktiviti lasak dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi diri dalam persaingan sihat mencipta kecemerlangan.

Secara tidak langsung golongan muda-mudi boleh memanfaatkan masa muda dengan kerja-kerja yang berfaedah. Jika tidak akibat daripada pergaulan bebas tanpa sempadan angka kelahiran anak luar nikah mungkin semakin bertambah. Malah menyumbang pula kepada jenayah buang bayi yang tidak berdosa. Begitu pula aktiviti melepak dan membuang masa boleh jadi menyumbang kepada aktiviti vandalisme dan tidak sihat yang mengundang masalah kepada masyarakat dan negara.

Begitulah juga dalam kehidupan di dunia fana’ ini, kaum Muslimin perlu terlebih dahulu bersusah payah dan berpenat lelah untuk menanam pelbagai jenis tanaman yang hasilnya di tuai di hari akhirat. Untuk itu apa sahaja kerja yang niat kerana Allah, pelaksanaan menepati syariat dan tidak mengabaikan tanggungjawab ibadah wajib, dinilai sebagai ibadah dan diberi ganjaran pahala di hari kemudian. Malah jika diperhalusi selagi nyawa dikandung badan setiap individu Muslim perlu berusaha untuk meraih reda Ilahi sepanjang masa. Dalam erti kata lain dunia ini ialah ladang akhirat dan setiap hamba bekerja dengan Allah SWT sehingga pencen yakni meninggal dunia. Setelah itu baharulah ditunjukkan kepada mereka akan apa yang telah diusahakan semasa di dunia untuk di balas dengan upah dan ganjaran setimpal.

Allah SWT berfirman ertinya “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya). Dan barangsiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya)” (Terjemahan Surah al-Zalzalah: 7-8)

Selain daripada itu masyarakat Islam diingatkan supaya tidak membuang dunia dalam mengejar akhirat. Sebagaimana disebutkan dunia ialah ladang akhirat maka mahu atau tidak seseorang terpaksa mengusahakan sesuatu di dunia dalam keadaan tidak melampaui batas mahupun melanggar ketentuan Nya. Malah pelbagai bidang kehidupan di dunia boleh diusahakan untuk beribadah. Kerana syariat Allah SWT tidak hanya terhad kepada aspek ibadah khusus semata-mata.

Jika terlibat dalam aktiviti perniagaan maka berusahalah menjadi peniaga yang jujur, amanah dan tidak mengurangkan timbangan. Malah terdapat nilai kemanusian, ukuhuwah dan persaudaraan berbanding hanya memikirkan tentang keuntungan atau laba yang bakal diraih. Sebagi seorang pekerja di jabatan kerajaan mahupun swasta bertanggungjawab untuk menunaikan tugasan yang ditetapkan selain tidak menipu, menzalimi orang lain dan terlibat rasuah yang juga merugikan negara. Individu Muslim digalak bekerja bersungguh-sungguh meningkatkan ekonomi keluarga dan negara secara kolektif sehingga dapat pula melaksanakan ibadah wajib dengan berzakat dan infak sunat.

Dalam bidang sukan dan beriadah umat Islam sangat digalakkan untuk sentiasa menjaga kesihatan sebagai modal beribadah kepada Nya. Malah disebutkan Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding orang Mukmin yang lemah. Dengan kesihatan yang baik juga hamba Mukmin dapat terus beribadah dengan sempurna, panjang umur dan dapat berusaha untuk meraih segala nikmat kurniaan di dunia sebagai bekalan menuju akhirat.

Seyogianya masyarakat Islam diajak sentiasa bersyukur dengan segala kelebihan dan keistimewaan dianugerahkan Ilahi. Ini dilakukan dengan sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan berusaha sedaya upaya menjauhi segenap larangannya. Selain itu segala kepandaian dan kepakaran yang ada hendaklah menjadikan seseorang lebih tawaduk dan tidak meninggi diri kerana akhirnya Yang Maha Tinggi lagi memiliki segala sesuatu di alam buana ini ialah Allah SWT. Malah sifat menyombong diri dan merasa memiliki kehebatan tersendiri tidak layak bagi bagi seorang hamba. Umat Islam diingat supaya selalu mengikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk dan menjauhi resmi lalang semakin tinggi semakin tegak berdiri.


Saturday, December 31, 2016

Berpada Sambut Tahun Baharu

Masyarakat Islam diseru tidak terlalu teruja menyambut tahun baharu Masihi yang tiada kena mengena dengan ajaran Islam. Tindakan segelintir yang mengambil kesempatan berfoya-foya dan melakukan maksiat ketika sambutan tahun baharu memburukkan lagi keadaan. Malah saban tahun pihak penguat kuasa agama tak menang tangan menangani kes-kes tidak bermoral seperti khalwat dan zina di malam tahun baharu.

Perbuatan keji ini dikhuatiri menyumbang pula kepada peningkatan kes mengandung luar nikah dan pembuangan bayi yang belum bernoktah. Ia juga mencerminkan betapa bejatnya akhlak dan perilaku sesetengah individu Muslim yang begitu mudah terikut-ikut dengan budaya asing. Lebih menghairankan apabila tiba 1 Muharram hanya kaki masjid dan jemaah biasa yang bersungguh-sungguh ke masjid sedangkan yang lain langsung tidak mempedulikannya.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya “Nescaya kamu akan mengikut jejak langkah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun memasuki lubang biawak” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Siapa lagi kalau bukan Yahudi dan Nasrani” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan itu kesempatan cuti tahun baharu elok dipenuhi dengan aktiviti berbentuk keagamaan mahupun kekeluargaan misalnya dengan menghadiri ceramah maulidulrasul yang masih semarak diadakan di serata tempat. Atau setidak-tidaknya ambillah peluang bersantai bersama keluarga di rumah sambil membuat persiapan akhir menjelang musim persekolahan yang baharu. Ini penting bagi menyediakan alternatif dan pilihan aktiviti untuk masyarakat Islam sekaligus mengelak terlibat berbuat perkara dosa mahupun membazir masa.

Dalam pada itu carilah juga kesempatan untuk menjengok di sekitar kariah akan keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan persekolahan. Sayu rasanya membaca laporan akhbar yang mengisahkan terdapat ibubapa yang bershopping barangan keperluan sekolah di kedai barangan terpakai. Terdapat pula yang terpaksa mencuri kerana kehabisan wang untuk membeli keperluan sekolah.

Dalam masa yang sama rakan-rakan sebaya bergaya dengan pakaian serba baharu dan sesetengahnya berjenama pula di hari pertama persekolahan. Itu belum termasuk wang saku harian yang kemungkinan tidak mencukupi untuk membeli makanan dikantin ataupun langsung tidak berduit dan mengharap simpati kawan.

Boleh jadi isu ini tidak termasuk isu utama yang biasa didendangkan di dada akhbar walaupun hakikatnya ibu bapa yang terlibat rungsing memikirkan hal persekolahan anak-anak mereka. Namun apa kan daya kemungkinan itu sahaja yang termampu ditambah lagi dengan bilangan anak yang bersekolah ramai.

Justeru itu segenap lapisan masyarakat diajak membantu sikit sama sikit untuk menyelesaikan isu tahunan ini. Penulis mencadangkan agar pihak pengurusan sekolah dan PIBG mengambil langkah proaktif mengusahakan dana tahunan untuk golongan pelajar miskin. Malah pihak masjid dan surau juga boleh mengambil inisiatif mengumpulkan derma daripada kariah setempat untuk turut sama membantu.

Dalam hal ini usaha pihak-pihak tertentu yang menaja perbelanjaan sekolah kanak-kanak terpilih patut dicontohi oleh semua pihak. Ini penting bagi melahirkan sebuah generasi yang berilmu dan berwawasan sehingga akhirnya menyumbang semula kepada kesejahteraan dan kemajuan negara.
Disudut pandang yang lain, masa seharian yang berlalu jika dipenuhi dengan perkara laghah dan membuang masa pasti merugikan.

Sedarlah betapa Bulan Rabiulakhir iaitu bulan keempat dalam takwim hijrah hampir menjelma dan bagaimana pula dengan azam 1 Muharram yang lalu. Adakah azam untuk berubah ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT sudah direalisasikan atau sekadar angan-angan semata. Ataukah  masih ada yang terkeliru dan tidak dapat membezakan antara awal tahun hijrah dan tahun baharu Masihi. Kemungkinan juga terdapat yang tidak dapat menyebut nama bulan-bulan dalam Islam kerana tidak mengambil berat tentang kepentingannya kepada diri setiap Muslim.

Sehubungan dengan itu Muslimin diajak melaksanakan ajaran Islam dalam setiap gerak geri kehidupan. Usah jadi pak turut sehingga terikut-ikut budaya asing yang menyimpang daripada ajaran Islam. Malah syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bersifat universal lagi syumul merangkumi segenap lapangan kehidupan dunia dan akhirat. Hanya yang perlu, setiap individu Muslim mempelajari dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Jika tidak Islam tidak akan dihormati dan umatnya akan terus mundur. Akibatnya lagi golongan yang kurang pengetahuan agama akan terus tertipu dan terpedaya dengan amalan-amalan songsang yang boleh jadi membawa kepada kesesatan. Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya; “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka” (Riwayat Abu Dawud).


Tuesday, September 20, 2016

IKTIBAR BUAT PENDAKWAH


Pemergian Tuan Guru Dato Hj. Haron Din merupakan kehilangan besar buat Negara dan ummah. Pepatah harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama signifikan untuk menggambarkan betapa besar peranan al-Marhum dalam usaha menyebarkan dakwah dan memberikan perkhidmatan rawatan perubatan Islam. Ketokohannya disenangi oleh kawan dan lawan.

Untuk itu para pendakwah diajak mengambil iktibar dengan mencontohi kesungguhan dan dedikasi dakwahnya hingga ke akhir hayat. Malah kesanggupannya menerima undangan dakwah dan membantu golongan memerlukan tanpa mengira habuan yang bakal diterima serta jauh daripada mengejar populariti adalah ciri-ciri pendakwah sejati yang patut dicontohi.

Selain daripada itu pendakwah diajak mempelbagaikan kaedah penyampaian dakwah khususnya untuk menarik golongan muda mengamalkan syariat. Ini kerana pendekatan dakwah melalui ceramah dan kuliah di masjid masih kurang mendapat sambutan. Pendakwah perlu melakukan anjakan paradigma dengan menggunakan media sosial dan komunikasi tanpa wayar sebagai wadah untuk berdakwah.

Walau bagaimanapun pendakwah perlu terlebih dahulu mempelajari selok belok penggunaan teknologi komunikasi bagi menyebarluaskan mesej dakwah dengan efisien. Malah dalam era globalisasi masa kini kemahiran ICT penting sebagai medium dakwah yang berkesan untuk menangkis fitnah dan usaha pihak tertentu memburuk-burukkan Islam dan umatnya. Melalui kaedah ini juga sebaran dakwah dapat diperluaskan kepada golongan berkerjaya yang kemungkinan sibuk dengan tugasan seharian. Penggunaan aplikasi wassup sebagai contohnya eloklah dimanfaatkan dengan semaksima mungkin oleh pendakwah sekali gus mengimbangi lambakan mesej-mesej palsu, laghah dan tidak bermanfaat.

Selain itu pendakwah perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang luas dalam bidang agama. Atau setidak-tidaknya pendakwah menguasai Bahasa Arab sebagai ilmu alat untuk mentelaah sumber rujukan yang autentik lagi dipercayai. Kemahiran merujuk kepada karya asal dalam sesuatu disiplin ilmu tentunya memberi keyakinan ketika menyampaikan dakwah berbanding hanya merujuk kepada sumber sekunder dan tertiar sahaja.

Dalam masa yang sama pendakwah perlu sentiasa berusaha menjadi teladan kepada masyarakat. Ini direalisasikan dengan sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Allah SWT berfirman maksudnya; “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? , (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”. (Terjemahan Surah al-Saf ayat 2-3).

Masyarakat pula diharap tidak mudah menggelar individu tertentu sebagai ustaz dan ustazah asal boleh bercakap sedikit sebanyak tentang agama sebelum menyelidiki latar belakang pendidikannya. Ini bagi mengelak golongan pendakwah yang ikhlas dan mahir dalam selok belok agama ditimpa musibah dan fitnah akibat kesilapan masyarakat menilai antara batu dan permata. Lebih-lebih lagi dalam konteks masa kini terdapat pihak tertentu yang giat menyebarkan ajaran sesat yang menyimpang dan mempunyai pengikut yang ramai tetapi terpedaya dalam usaha untuk mendekatkan diri kepada Ilahi. Sehubungan dengan itu masyarakat diajak mendalami ilmu dan pengetahuan agama daripada guru-guru yang berwibawa dan boleh dipercayai. Dalam hal ini, tindakan pihak berkuasa agama Negeri mensyaratkan pendakwah mendapat tauliah mengajar agama dilihat mampu mengekang penyebaran ajaran sesat yang mengelirukan orang ramai.

Dalam masa yang sama masyarakat perlu menyedari betapa golongan pendakwah tidak maksum. Pendakwah hanya mewarisi tugas anbia’ untuk berdakwah dan mengajak manusia kepada kebenaran. Sebagai manusia biasa pasti ada kekurangan dan kelemahan di sana sini. Seyogianya kekurangan dan kelemahan manusiawi itu tidak dijadikan alasan untuk mengelak daripada selalu mendengar kuliah mahupun menghadiri program-program keagamaan. 

Realitinya golongan pendakwah yang arif dalam pelbagai disiplin ilmu dan menepati ciri-ciri pendakwah tersohor zaman silam semakin sukar ditemui. Malahan dalam era moden masa kini pendakwah yang berjubah, berketayap dan berserban kemungkinan akan menyempitkan ruanglingkup dakwah. Akan tetapi pendakwah yang berkot dan bertali leher dan dalam masa yang sama mengekalkan keperibadian pendakwah terdahulu lebih mudah diterima di mana-mana. Untuk itu, golongan pendakwah dan masayarakat perlu bersikap terbuka seiring dengan perubahan zaman. Masyarakat diajak tidak menilai pendakwah berdasarkan pakaian dan gaya tertentu. Yang lebih penting ialah bagaimana pendakwah komited menyampaikan ilmu dan dakwah kepada segenap lapisan masyarakat agar masyarakat terdidik mengamalkan ajaran agama yang bertepatan dengan manhaj ahli sunah wal jemaah yang hakiki.

Selain itu golongan yang terlibat berdakwah perlu sedar betapa lapangan dakwah luas dan mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Usah hanya melihat dakwah dalam konteks yang sempit sehingga terdapat yang seolah-olah membuang dunia atas alasan ingin berdakwah. Seseorang pekerja misalnya boleh berdakwah dengan bekerja bersungguh-sungguh, ikhlas dan tidak curi tulang. Mereka boleh juga berdakwah kepada rakan sekerja yang lain supaya tidak meninggalkan solat, berpakaian menutup aurat serta menjaga adab dan pergaulan. Para pendidik berdakwah kepada para pelajar dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran hingga dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Lebih umum masyarakat seluruhnya boleh berdakwah dengan mengamalkan cara hidup Islam yang syumul, menunjukkan nilai peribadi akhlak yang luhur dan berdakwah melalui cara berpakaian, cara makan dan sebagainya yang menepati kehendak syarak. 

Perlu juga diingat tugas dakwah tidak sewajarnya dibebankan kepada golongan ustaz dan ustazah semata-mata, tetapi semua pihak boleh memainkan peranan berdakwah mengikut kemampuan masing-masing. Ini seperti tugas amar makruf dan nahi munkar yang selayaknya dilakukan oleh semua. Walau bagaimanapun dalam konteks berdakwah dengan ajaran dan hukum hakam agama perlu diserahkan kepada golongan yang berkelayakan agar tidak bercanggah dengan syariat yang ditetapkan.

Saturday, May 21, 2016

AZAM BAHARU MENJELANG RAMADAN


Kemeriahan Pesta Bola Sepak Euro 2016 yang bakal tiba semakin terasa. Kemungkinan ramai yang mula berkira-kira untuk berjaga malam bagi menyaksikan aksi pasukan pilihan mereka. Namun sedar ataupun tidak Ramadan bulan yang penuh keberkatan juga kunjung tiba. Soalnya berapa ramai yang membuat persiapan bagi menemui bulan istimewa tersebut. Atau mungkin ramai yang lebih teruja membuat persiapan hari raya berbanding persiapan menyambut Ramadan yang kini diambang mata. Oleh itu kaum Muslimin diajak berazam untuk memenuhi Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah bagi meraih ganjaran takwa dan hanya datang setahun sekali. Allah SWT berfirman maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”. (Surah al-Baqarah:183).

Semua ini dapat direalisasikan dengan mula memasang niat untuk berpuasa bersungguh-sungguh selain berusaha mempertingkatkan ibadah dan amalan kebajikan yang lain. Malah niat yang ikhlas kerana Allah SWT juga berupaya menjadi motivasi untuk para Muslimin berjihad menahan lapar dan dahaga di siang hari serta qiamullail di waktu malam. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya “Barang siapa berpuasa di Bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Hadis riwayat Bukhariy dan Muslim).

Masyarakat Islam seterusnya diajak berazam untuk mempertingkatkan kualiti puasa daripada puasa awam kepada puasa khusus dengan menjaga seluruh pancaindera daripada gejala-gejala maksiat yang boleh mengurangkan pahala puasa. Berpuasa dalam erti kata yang sebenar bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Lebih dari itu bagi meraih ganjaran puasa tingkatan tinggi mukminin hendaklah sentiasa menundukkan pandangan, mengelak daripada mengumpat dan mengeji serta mendengar sesuatu yang dilarang. Apatah lagi nilai dan ganjaran yang diperoleh seseorang daripada puasa berbeza-beza mengikut tahap keimanan dan penjagaan terhadap pantang larangnya selain hanya Allah SWT yang berkuasa mutlak memberi ganjaran kepada puasa yang telah dilakukan hambanya.

Berazamlah untuk memenuhi Ramadan dengan meningkatkan kualiti ibadah wajib seperti solat supaya beroleh ganjaran 70 kali ganda lebih daripada bulan-bulan yang lain. Kewajipan lain seperti menutup aurat juga tidak patut diabaikan. Apalah erti seseorang berpuasa jika hanya mengelak daripada makan dan minum tetapi tidak solat dan tidak menutup aurat. Perbanyakan juga melakukan ibadah sunat yang dilipatgandakan pahalanya seperti melakukan ibadah wajib. Antaranya dengan solat berjemaah setiap waktu, beriktikaf di masjid memperbanyak bersedekah dan membantu golongan memerlukan.

Berazamlah dari hari ini untuk solat tarawih setiap malam mudah-mudahan terpilih mendapat nikmat beribadah di malam al-Qadar yang dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Jika sepanjang tahun tidak sempat mengaji al-Quran apatah lagi mengkhatamkannya ketibaan Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk berbuat demikian. Justeru berazamlah untuk memenuhi waktu terluang ketika rehat tengah hari ataupun menunggu masa berbuka puasa dan selepas bersahur untuk mengaji dan mentadabbur ayat al-Quran. Elakkan daripada banyak tidur dan bersantai sehingga waktu yang ada berlalu pergi dengan sia-sia.

Ramadan juga bulan diturunkan rahmat, bulan pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Dengan waktu yang terhad di Bulan Ramadan ditambah lagi dengan sekian banyak amal kebajikan untuk dilakukan kemungkinan tidak semua dapat dilakukan. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang hamba berusaha melakukan ibadah dengan kadar yang paling sempurna tanpa menghitung dan berkira-kira sambil berharap Allah SWT menerimanya sebagai amalan kebajikan yang sempurna. Banyakkan juga berdoa kerana Ramadan bulan perkenan doa. Pastinya banyak hajat-hajat dunia mahupun akhirat yang didambakan oleh setiap Muslimin maka kesempatan Ramadan terbuka luas untuk memohon, bermunajat dan berharap kurnia Syurga yang tiada tolok bandingnya.

Selain daripada itu masyarakat Islam diajak membuat persiapan fizikal, mental dan kewangan untuk bertemu Ramadan. Ini dilakukan dengan berusaha menjaga kesihatan diri sambil banyak berdoa moga Allah SWT panjangkan umur untuk bertemu Ramadan lagi. Malah nikmat sihat dan nikmat masa lapang termasuk dua perkara yang sering dilekakan oleh manusia sehingga ada yang gagal memanfaatkannya dengan berkesan.

Persiapan mental dan keimanan yang tinggi juga penting untuk mengharungi Ramadan. Bukan calang-calang orang sanggup berpuasa apatah lagi dalam keadaan berpanas, kehausan dan keletihan melakukan pekerjaan seharian. Hanya individu yang kukuh iman dan benar-benar ikhlas berpuasa kerana Allah SWT mampu berjihad bersungguh-sungguh melawan keinginan hawa nafsu. Lebih membimbangkan apabila terdapat individu Muslim yang sengaja enggan berpuasa dan tanpa segan silu makan di khalayak ramai.

Dalam hal ini golongan peniaga secara khususnya diharap tidak terpalit dengan dosa apabila terlibat mempermudah golongan culas berpuasa untuk makan dan minum sesuka hati. Peniaga bazar Ramadan sebagai contohnya diharap tidak terlalu awal memulakan perniagaan malah jangan ada peniaga makanan yang berselindung di sebalik pintu premis yang tertutup tetapi di dalamnya ramai yang makan dan minum tanpa sekelumit rasa bersalah. Ingatlah betapa Ramadan bulan penuh kemuliaan jadi jangan rosakkannya dengan melakukan perkara mungkar yang dilarang. Apalah ertinya berpuasa dan dalam masa yang sama terlibat pula mempermudah orang lain tidak berpuasa. Dalam hal ini penulis mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan peraturan supaya peniaga bazar Ramadan hanya boleh memulakan perniagaan selepas waktu Asar bagi mengekang gejala ingkar berpuasa. Dengan cara ini golongan peniaga tidak terlalu awal menyediakan juadah untuk dijual sehingga makanan yang dijual masih elok, tidak basi yang kemungkinan menyebabkan sakit perut dan cirit-birit pula. Pihak berkuasa agama juga diharap membuat pemantauan rapi menguatkuasakan undang-undang dan hukuman kepada peniaga yang hanya mementingkan keuntungan dan lupa tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559 misalnya memperuntukkan “Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-(a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau (b)secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

Bagi merealisasikan nilai ubudiyyah yang hakiki, sebahagian gaji dan pendapatan bulanan boleh diperuntukkan untuk infak ke jalan Allah SWT. Bersedekah, memberi makan orang berbuka puasa dan membantu golongan memerlukan termasuk amalan yang dituntut dan besar pahalanya khusus di Bulan Ramadan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Barang siapa yang memberi makan berbuka puasa baginya pahala seperti pahala golongan yang berpuasa tanpa berkurangan sedikit pun daripada apa yang diperoleh mereka. (Riwayat Ibnu Majah). Dalam hal ini banyak madrasah, sekolah tahfiz, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan pihak universiti di seluruh negara memerlukan sumbangan kewangan untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Justeru peluang terbuka luas untuk para dermawan meraih ganjaran berlipat kali ganda sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki yang diberikan.    

Ambillah juga kesempatan sempena musim cuti persekolahan menjelang Ramadan tahun ini untuk mengemas rumah, menghias kediaman dan menggantikan langsir baharu sebagai persiapan bertemu Ramadan. Tunjukkan kepada anak-anak betapa kegembiraan bertemu Ramadan lebih bermakna berbanding ketibaan hari raya yang tak ubah seperti hari-hari biasa. Di malam-malam Ramadan umat Islam diajak menghidupkan lampu-lampu hiasan di rumah dan premis sebagai tanda bersyukur atas nikmat terpilih bertemu Ramadan sekali gus bergembira dan berlapang dada melaksanakan kewajipan berpuasa.

Sehubungan dengan itu bonus tahunan Ramadan sebagai ganjaran untuk semua Muslimin perlu direbut sebelum ia sekali lagi pergi dan kemungkinan tidak kembali lagi. Ini dapat diusahakan dengan membuat persiapan awal menjelang tibanya Ramadan dan berazam bersungguh-sungguh untuk memenuhi Ramadan kali ini dengan segala macam ibadah. Jika ini tidak berjaya dilakukan kemungkinan seseorang yang terpilih bertemu Ramadan sekali lagi terlepas kesempatan seumur hidup untuk beribadah sekali gus mengumpul ganjaran berlipat kali ganda yang tiada pada bulan-bulan lain.