Kemeriahan Pesta Bola Sepak Euro 2016 yang bakal tiba
semakin terasa. Kemungkinan ramai yang mula berkira-kira untuk berjaga malam
bagi menyaksikan aksi pasukan pilihan mereka. Namun sedar ataupun tidak Ramadan
bulan yang penuh keberkatan juga kunjung tiba. Soalnya berapa ramai yang
membuat persiapan bagi menemui bulan istimewa tersebut. Atau mungkin ramai yang
lebih teruja membuat persiapan hari raya berbanding persiapan menyambut Ramadan
yang kini diambang mata. Oleh itu kaum Muslimin diajak berazam untuk memenuhi
Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah bagi meraih ganjaran takwa dan hanya
datang setahun sekali. Allah SWT berfirman maksudnya “Wahai orang-orang yang
beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu supaya kamu bertakwa”. (Surah al-Baqarah:183).
Semua ini dapat direalisasikan dengan mula memasang niat
untuk berpuasa bersungguh-sungguh selain berusaha mempertingkatkan ibadah dan
amalan kebajikan yang lain. Malah niat yang ikhlas kerana Allah SWT juga
berupaya menjadi motivasi untuk para Muslimin berjihad menahan lapar dan dahaga
di siang hari serta qiamullail di waktu malam. Nabi Muhammad SAW bersabda
maksudnya “Barang siapa berpuasa di Bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan
diampunkan dosanya yang telah lalu” (Hadis riwayat Bukhariy dan Muslim).
Masyarakat Islam seterusnya diajak berazam untuk
mempertingkatkan kualiti puasa daripada puasa awam kepada puasa khusus dengan
menjaga seluruh pancaindera daripada gejala-gejala maksiat yang boleh
mengurangkan pahala puasa. Berpuasa dalam erti kata yang sebenar bukan sekadar
menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan
puasa. Lebih dari itu bagi meraih ganjaran puasa tingkatan tinggi mukminin
hendaklah sentiasa menundukkan pandangan, mengelak daripada mengumpat dan
mengeji serta mendengar sesuatu yang dilarang. Apatah lagi nilai dan ganjaran
yang diperoleh seseorang daripada puasa berbeza-beza mengikut tahap keimanan
dan penjagaan terhadap pantang larangnya selain hanya Allah SWT yang berkuasa
mutlak memberi ganjaran kepada puasa yang telah dilakukan hambanya.
Berazamlah untuk memenuhi Ramadan dengan meningkatkan
kualiti ibadah wajib seperti solat supaya beroleh ganjaran 70 kali ganda lebih
daripada bulan-bulan yang lain. Kewajipan lain seperti menutup aurat juga tidak
patut diabaikan. Apalah erti seseorang berpuasa jika hanya mengelak daripada
makan dan minum tetapi tidak solat dan tidak menutup aurat. Perbanyakan juga
melakukan ibadah sunat yang dilipatgandakan pahalanya seperti melakukan ibadah
wajib. Antaranya dengan solat berjemaah setiap waktu, beriktikaf di masjid memperbanyak
bersedekah dan membantu golongan memerlukan.
Berazamlah dari hari ini untuk solat tarawih setiap malam
mudah-mudahan terpilih mendapat nikmat beribadah di malam al-Qadar yang
dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Jika sepanjang tahun tidak sempat
mengaji al-Quran apatah lagi mengkhatamkannya ketibaan Ramadan adalah
kesempatan terbaik untuk berbuat demikian. Justeru berazamlah untuk memenuhi waktu
terluang ketika rehat tengah hari ataupun menunggu masa berbuka puasa dan
selepas bersahur untuk mengaji dan mentadabbur ayat al-Quran. Elakkan daripada
banyak tidur dan bersantai sehingga waktu yang ada berlalu pergi dengan
sia-sia.
Ramadan juga bulan diturunkan rahmat, bulan pengampunan
dosa dan pembebasan daripada api neraka. Dengan waktu yang terhad di Bulan
Ramadan ditambah lagi dengan sekian banyak amal kebajikan untuk dilakukan kemungkinan
tidak semua dapat dilakukan. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana
seseorang hamba berusaha melakukan ibadah dengan kadar yang paling sempurna tanpa
menghitung dan berkira-kira sambil berharap Allah SWT menerimanya sebagai
amalan kebajikan yang sempurna. Banyakkan juga berdoa kerana Ramadan bulan
perkenan doa. Pastinya banyak hajat-hajat dunia mahupun akhirat yang didambakan
oleh setiap Muslimin maka kesempatan Ramadan terbuka luas untuk memohon,
bermunajat dan berharap kurnia Syurga yang tiada tolok bandingnya.
Selain daripada itu masyarakat Islam diajak membuat
persiapan fizikal, mental dan kewangan untuk bertemu Ramadan. Ini dilakukan
dengan berusaha menjaga kesihatan diri sambil banyak berdoa moga Allah SWT
panjangkan umur untuk bertemu Ramadan lagi. Malah nikmat sihat dan nikmat masa
lapang termasuk dua perkara yang sering dilekakan oleh manusia sehingga ada
yang gagal memanfaatkannya dengan berkesan.
Persiapan mental dan keimanan yang tinggi juga penting untuk
mengharungi Ramadan. Bukan calang-calang orang sanggup berpuasa apatah lagi
dalam keadaan berpanas, kehausan dan keletihan melakukan pekerjaan seharian.
Hanya individu yang kukuh iman dan benar-benar ikhlas berpuasa kerana Allah SWT
mampu berjihad bersungguh-sungguh melawan keinginan hawa nafsu. Lebih membimbangkan
apabila terdapat individu Muslim yang sengaja enggan berpuasa dan tanpa segan
silu makan di khalayak ramai.
Dalam hal ini golongan peniaga secara khususnya diharap
tidak terpalit dengan dosa apabila terlibat mempermudah golongan culas berpuasa
untuk makan dan minum sesuka hati. Peniaga bazar Ramadan sebagai contohnya
diharap tidak terlalu awal memulakan perniagaan malah jangan ada peniaga
makanan yang berselindung di sebalik pintu premis yang tertutup tetapi di dalamnya
ramai yang makan dan minum tanpa sekelumit rasa bersalah. Ingatlah betapa
Ramadan bulan penuh kemuliaan jadi jangan rosakkannya dengan melakukan perkara
mungkar yang dilarang. Apalah ertinya berpuasa dan dalam masa yang sama terlibat
pula mempermudah orang lain tidak berpuasa. Dalam hal ini penulis mencadangkan
agar pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan peraturan supaya peniaga bazar
Ramadan hanya boleh memulakan perniagaan selepas waktu Asar bagi mengekang
gejala ingkar berpuasa. Dengan cara ini golongan peniaga tidak terlalu awal
menyediakan juadah untuk dijual sehingga makanan yang dijual masih elok, tidak
basi yang kemungkinan menyebabkan sakit perut dan cirit-birit pula. Pihak
berkuasa agama juga diharap membuat pemantauan rapi menguatkuasakan undang-undang
dan hukuman kepada peniaga yang hanya mementingkan keuntungan dan lupa
tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559 misalnya memperuntukkan “Mana-mana
orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-(a) menjual kepada
mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang
seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu;
atau (b)secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap
rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan
apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan
bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu
ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau
kedua-duanya”.
Bagi merealisasikan nilai ubudiyyah yang hakiki,
sebahagian gaji dan pendapatan bulanan boleh diperuntukkan untuk infak ke jalan
Allah SWT. Bersedekah, memberi makan orang berbuka puasa dan membantu golongan
memerlukan termasuk amalan yang dituntut dan besar pahalanya khusus di Bulan
Ramadan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Barang siapa yang memberi makan
berbuka puasa baginya pahala seperti pahala golongan yang berpuasa tanpa
berkurangan sedikit pun daripada apa yang diperoleh mereka. (Riwayat Ibnu Majah).
Dalam hal ini banyak madrasah, sekolah tahfiz, rumah anak yatim, rumah
kebajikan dan pihak universiti di seluruh negara memerlukan sumbangan kewangan untuk
menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Justeru peluang terbuka luas untuk para
dermawan meraih ganjaran berlipat kali ganda sebagai tanda bersyukur atas
nikmat rezeki yang diberikan.
Ambillah juga kesempatan sempena musim cuti persekolahan
menjelang Ramadan tahun ini untuk mengemas rumah, menghias kediaman dan
menggantikan langsir baharu sebagai persiapan bertemu Ramadan. Tunjukkan kepada
anak-anak betapa kegembiraan bertemu Ramadan lebih bermakna berbanding ketibaan
hari raya yang tak ubah seperti hari-hari biasa. Di malam-malam Ramadan umat
Islam diajak menghidupkan lampu-lampu hiasan di rumah dan premis sebagai tanda
bersyukur atas nikmat terpilih bertemu Ramadan sekali gus bergembira dan
berlapang dada melaksanakan kewajipan berpuasa.
Sehubungan dengan itu bonus tahunan Ramadan sebagai
ganjaran untuk semua Muslimin perlu direbut sebelum ia sekali lagi pergi dan
kemungkinan tidak kembali lagi. Ini dapat diusahakan dengan membuat persiapan
awal menjelang tibanya Ramadan dan berazam bersungguh-sungguh untuk memenuhi
Ramadan kali ini dengan segala macam ibadah. Jika ini tidak berjaya dilakukan
kemungkinan seseorang yang terpilih bertemu Ramadan sekali lagi terlepas
kesempatan seumur hidup untuk beribadah sekali gus mengumpul ganjaran berlipat
kali ganda yang tiada pada bulan-bulan lain.
No comments:
Post a Comment