Mungkin ramai yang sudah bersiap sedia untuk berniaga di
kala Ramadan. Ini termasuklah peniaga Bazar Ramadan, Bazar Hari Raya, pengusaha
kedai makan dan restoran yang pastinya tidak menang tangan melayan karenah
pelanggan. Pengusaha kuih raya, tukang jahit pakaian juga tentunya sedang sibuk
menyiapkan tempahan supaya semuanya dapat diserahkan kepada pelanggan tepat
pada masanya. Malah ramai yang sudah berkira-kira akan keuntungan lumayan bakal
diraih daripada perniagaan yang dijalankan. Ini kemungkinan menarik minat pihak
tertentu untuk cuba-cuba berniaga atau mengambil kesempatan berniaga tanpa
mengambil kira kualiti dan kehendak pelanggan, yang penting barangan dijual laris
dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.
Apapun marilah kita bersikap adil dengan bersyukur atas
nikmat terpilih bertemu Ramadan lagi. Ini dapat direalisasikan dengan bersiap sedia
merebut pelbagai ganjaran lumayan yang disediakan oleh Allah SWT hanya dalam
Bulan Ramadan. Ramadan yang datang setahun sekali menjanjikan pelbagai
kelebihan buat golongan yang sedar tentang kemuliannya. Malah umat Islam
dijanjikan dengan kurniaan rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api
neraka sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Oleh itu, setiap Muslimin diajak bersiap sedia dengan
mengikhlaskan niat berpuasa Ramadan semata-mata mengharapkan keampunan dan
keredaan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan niat yang betul akan mendorong memperbanyak
amalan ibadah sepanjang Ramadan. Usah terkesima dengan melakukan persiapan
untuk berhari raya sedangkan Ramadan yang didepan mata dikesampingkan. Adalah
molek jika Ramadan yang tiba disambut dengan pakaian baharu dan azam baharu
untuk mempertingkatkan kualiti puasa. Malah tidak menjadi satu kesalahan jika
rumah kediaman dihiasi dengan langsir baharu dan cahaya lampu kelap kelip yang
bergemerlapan di malam satu Ramadan. Semua ini dilakukan tidak lain demi
menunjukkan kesyukuran dan kegembiraan atas nikmat sekali lagi dipilih oleh
Allah SWT untuk bertemu Ramadan yang hanya dikurniakan kepada insan terpilih.
Ini juga bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud; “Apabila tiba awal malam Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin
yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pun dan
dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyerupun
menyeru wahai orang yang mengharap kebaikan terimalah dan wahai orang yang
berharap kejahatan berhentilah. Dan (yang ikhlas) kerana Allah akan dibebaskan
daripada api neraka. Dan( Penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam”. Hadis
riwayat al-Tirmiziy dan Ibnu Majah)
Bersesuaian dengan itu juga umat Islam diharap tidak
menggantikan tempat Iblis dan syaitan yang dibelenggu dengan melakukan kegiatan
keji dan mungkar. Perbuatan segelintir yang sengaja enggan berpuasa ataupan
sengaja mereka-reka alasan untuk tidak berpuasa termasuk dosa yang dimurkai
Allah SWT. Ini diburukkan lagi dengan perbuatan segelintir yang mensia-siakan masa
dengan melepak dan membuang masa setelah berbuka sehingga gagal meraih ganjaran
Ramadan. Perbuatan seperti ini eloklah diganti dengan berusaha untuk solat
tarawih setiap malam, qiamullail dan bermunajat kepada Ilahi.
Justeru itu umat Islam diajak mengerah seluruh usaha dan
tenaga untuk memperhebat kegiatan ibadah sepanjang Ramadan. Bagi yang mempunyai
lebihan rezeki bolehlah bersedia dengan bajet tertentu untuk diinfakkan fi
sabilillah. Menyediakan jamuan berbuka puasa termasuk satu daripada
cabang-cabang kebaikan yang mesti direbut. Ambillah juga peluang untuk
menunaikan kewajipan zakat fitrah di awal Ramadan supaya segera dapat diagihkan
kepada asnaf yang memerlukan.
Yang paling penting setiap Muslim perlu berusaha untuk
mempertingkatkan kualiti puasa daripada tingkatan puasa awam kepada puasa
khusus ataupun khususulkhusus. Tidak sepatutnya setelah bertahun tahun berpuasa
Ramadan kualiti puasa masih di takuk lama. Inilah masanya kaum Muslimin berazam
untuk menjaga seluruh pancaindera daripada terlibat berbuat maksiat. Usaha
perlu digerakkan untuk melakukan amalan fardu dengan sempurna di samping
memperbanyak bertadarus al-Quran dan kegiatan ibadah yang lain. Ini kerana
Ramadan sinonim dengan masa turunnya al-Quran sehingga umat Islam diajak
berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan segenap suruhan, meninggalkan larangan
dan mengamalkan pedoman al-Quran sepanjang kehidupan.
Malah Ramadan merupakan kesempatan untuk mendidik nafsu
ke arah yang diredai oleh Allah SWT. Sehingga apabila berakhir Ramadan
seseorang berjaya memperoleh ganjaran takwa yang menjadi benteng dan perisai
untuk melalui liku-liku kehidupan pasca Ramadan. Allah SWT berfirman maksudnya;
Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Terjemahan al-Quran, al Baqarah:
183)
Nikmat kemuliaan Ramadan ditunjukkan lagi dengan malam
al-qadar yang pahala beribadah pada malamnya lebih baik daripada 1000 bulan
yang menyamai kira-kira 83 tahun umur manusia. Nabi Muhammad SAW sendiri
mengambil berat tentang lailatulqadar sehingga mengejutkan keluarganya
untuk beribadah pada malam tersebut. Para sahabat dan salafus soleh juga berusaha
untuk menghidupkan malam 10 yang akhir daripada Ramadan kerana beramal dengan
anjuran Nabi SAW untuk mencari lailatulqadar pada malam-malam tersebut.
Justeru sambutlah ketibaan Ramadan kali ini dengan niat
untuk beribadah sepenuh jiwa dan raga. Rasakan betapa Ramadan ini yang terakhir
dalam kehidupan sehingga membangkitkan kesungguhan untuk berbakti dan beramal
soleh. Usah sia-siakan nikmat sekali lagi terpilih bertemu Ramadan dengan
perbuatan sia-sia apatah lagi yang mengundang dosa. Rebutlah ganjaran pahala
berlipat kali ganda kurniaan Allah SWT kepada hamba-hambanya yang ikhlas sambil
berharap kemuliaan dari Nya.
No comments:
Post a Comment