Bulan Zulhijjah termasuk bulan
mulia yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Dimana ketika ini jutaan tetamu
Allah SWT sedang menghitung hari menanti saat berwukuf di Arafah yang merupakan
kemuncak ibadah haji. Seterusnya pada Hari-hari Tasyrik para tetamu Allah SWT
akan berkampung di Mina untuk menyelesaikan kerja-kerja haji sebelum kembali
semula ke Haram Mekah untuk melakukan tawaf dan saie haji.
Keistimewaan tersebut dikuatkan
lagi dengan kenyataan betapa Allah SWT amat mencintai segala amalan kebajikan
yang dilakukan pada 10 hari pertama Bulan Zulhijjah sebagaimana sabda Nabi SAW
bermaksud “ “Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih
dicintai Allah daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijjah).” Para sahabat
bertanya, “Ya Rasulullah, tidak juga jihad (perang) di jalan Allah?” Jawab Nabi
SAW, “Dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali orang yang keluar berjihad
bersama hartanya dan nyawanya dan dia tidak kembali dengan satu pun
daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Sehubungan dengan itu masyarakat
Islam diajak untuk memenuhi tempoh yang singkat ini dengan mengerjakan segala
amalan kebajikan jauh daripada terlibat melakukan gejala dosa dan maksiat yang
menyebabkan manusia semankin jauh daripada petunjuk dan hidayah Allah SWT. Misalnya
dengan berpuasa sunat sepanjang tempoh ini bagi yang berkemampuan. Ataupun berpuasa
sunat pada Hari Arafah yang jatuhnya pada tanggal 31 Ogos bagi meraih ganjaran
penghapusan dosa yang dijanjikan oleh Nya. Banyakkan juga usaha untuk berzikir,
bertahmid dan bertakbir mengagungkan Allah Tuhan Sekalian Alam. Ataupun
setidak-tidaknya berhentilah daripada memburuk-burukkan orang lain ataupun
menyebarkan berita-berita palsu yang termasuk daripada kerja buruk golongan
fasiq.
Pada Hari Nahar iaitu Hari Raya
Korban dan hari-hari Tasyrik umat Islam digalakkan untuk menyembelih binatang
korban sebagai mengikuti sunnah Nabi Ibrahim as. yang pertama kali
diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan ibadah korban. Malah kesanggupan
Nabi Ibrahim melaksanakan segala perintah Allah termasuk perintah untuk
menyembelih anak yang disayangi elok dicontohi oleh kaum Muslimin dengan turut
menyembelih binatang ternakan. Nabi SAW bersabda maksudnya;
“Tidaklah salah seorang anak Adam
beramal pada hari Nahar ('Idul Adha) dengan sebuah amalan yang lebih dicintai oleh
Allah SWT daripada mengalirkan darah (menyembelih binatang korban), dan
sesungguhnya (binatang sembelihan) akan datang pada hari kiamat dengan
tanduknya, kukunya, dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah kurban tersebut
sampai kepada Allah, sebelum mengalir ke tanah.”(Riwayat Ibnu Majah dan al-Tirmiziy).
Namun apabila diteliti bukan
mudah untuk melaksanakan sunah ini. Ramai yang lebih seronok menghadiri program
menyembelih binatang korban yang meriah diadakan di sana sini. Terdapat juga
yang berebut-rebut ingin mendapatkan daging korban selain ada pula yang saban
tahun mempersoalkan pengurusan agihan daging korban yang dikatakan tidak
sistematik, tidak adil dan sebagainya.
Dalam hal ini masyarakat Islam
diajak merenung falsafah di sebalik pensyariatan ibadah korban yang antaranya
bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT yang memerintahkan manusia untuk
mengerjakan solat dan berkorban sebagaimana firman Nya “Maka shalatlah untuk Tuhan
mu dan sembelihlah (berkorban)”. (Terjemahan Surah al-Kawthar:1). Selain itu
pensyariatan ibadah korban sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat kurniaan
Ilahi yang tidak putus-putus kepada semua makhluknya. Tentu sahaja tidak molek
apabila sepanjang tahun seronok menikmati segala gaji dan rezeki, nikmat
panjang umur, nikmat sihat tubuh badan dan pelbagai nikmat yang tidak terhitung
banyaknya tetapi tidak sanggup untuk berkorban walaupun satu bahagian lembu
dengan bayaran yang tak seberapa.
Ibadah korban juga menunjukkan
nilai persaudaraan dan ukhuwah Islamiah dengan saling bantu-membantu dan
bertolong-tolongan antara satu sama lain. Ia sekali gus menghindari sifat
mazmumah pentingkan diri sendiri dan tidak mengambil berat kesusahan saudara
seagama. Dalam hal ini usaha sesetengah masyarakat melakukan ibadah korban di
negara minoriti umat Islam mahupun di negara yang umat Islam menghadapi masalah
kebuluran dan kekurangan makanan adalah sesuatu yang terpuji dan elok
dicontohi.
Lebih dari itu umat Islam diajak
memperluaskan erti korban dengan mengorbankan jiwa raga, wang ringgit,
pemikiran dan tenaga untuk mempertahankan agama dan akidah umat daripada
sebarang bentuk penyelewengan dan kerosakan. Usah mudah terpengaruh dengan
fahaman-fahaman yang menyimpang yang banyak tersebar di media sosial masa kini.
Korbankanlah masa dan wang ringgit untuk mendalami ilmu agama dengan banyak
menghadiri majlis ilmu dan kuliah-kuliah agama sehingga dapat membezakan yang
betul dan salah. Masyarakat Islam diajak berpegang teguh dengan akidah ahli
sunah wal jemaah dan mengamalkan syariat berpandukan ajaran benar.
Bersempena dengan sambutan bulan
kemerdekaan juga, seluruh anggota masyarakat diajak berkorban mempertahankan
agama, bangsa dan negara daripada sebarang bentuk pencerobohan dan anasir tidak
sihat. Seluruh masyarakat Islam diajak bersatu mempertahankan nikmat keamanan
dan keselesaan untuk mengamalkan segala ajaran agama tanpa menafikan hak
masyarakat lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing. Untuk itu budaya
toleransi dan saling memahami hendaklah terus disemai dan dibaja sepanjang
masa.
No comments:
Post a Comment