Akibat salah faham sesetengah masyarakat mengenai
falsafah bekerja dalam Islam terdapat yang memisahkan antara pekerjaan seharian
dengan ibadah. Lebih memburukkan apabila terdapat yang sibuk bekerja sehingga
tiada masa untuk menunaikan solat lima waktu ataupun tidak berpuasa di Bulan
Ramadan dengan alasan keletihan dan kehausan. Sedangkan apabila diteliti Islam
tidak pernah memisahkan antara agama dengan kehidupan seharian malah
kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain. Malah terdapat kata-kata
yang masyhur menyebutkan bekerjalah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan
hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok
hari.
Oleh sebab itu Islam menggariskan beberapa syarat untuk
dipenuhi agar apa sahaja pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadah.
Antara yang terpenting ialah niat bekerja ikhlas kerana Allah SWT. Besar
kemungkinan apabila niatnya betul akan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk
bekerja dalam apa jua bidang yang diceburi. Mudah-mudahan dengan cara itu
rezeki atau gaji yang diperoleh akan mendapat keberkatan walaupun tidaklah
sebanyak mana.
Selain dari itu, pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang
dibenarkan oleh syarak. O1eh itu bekerja di premis-premis yang menghidangkan
arak dan pergaulan lelaki dan perempuan bebas tanpa sempadan sebaiknya
dihindari. Malah ia diharamkan dan umat Islam dinasihatkan bertaubat daripada
terus bergelumang dengan dosa dan noda. Ini termasuklah dengan sengaja berpakaian
mendedahkan aurat ketika bertugas, terlibat dengan arak, judi, riba yang
semuanya termasuk dosa-dosa besar. Semasa bekerja ditegah daripada curi tulang,
merakamkan kad masuk untuk rakan-rakan, membuang masa dengan bersarapan dan
makan tengah hari berjam-jam lamanya atau juga menerima rasuah dan habuan untuk
perkhidmatan yang diberikan.
Umat Islam juga diingatkan supaya tidak mengabaikan
perintah dan ibadah utama ketika bertugas. Ini kerana pekerjaan seharian
seperti bertugas di pejabat, sektor perkilangan, pembuatan mahupun berniaga
termasuk dalam kategori ibadah umum yang diberi ganjaran pahala. Namun ia
sepatutnya tidak sampai menggabaikan ibadah khusus seperti solat, puasa dan
lain-lain.
Umat Islam yang bekerja juga dinasihatkan supaya tidak culas
membayar zakat pendapatan sama ada secara potongan bulanan ataupun secara
tahunan di mana-mana pusat pungutan zakat setempat. Ini kerana pada harta atau
gaji yang diperoleh ada hak orang miskin dan yang meminta-minta. Dengan wang
ringgit yang diperoleh juga boleh digunakan untuk menginfakkan harta ke jalan
Allah SWT dengan bersedekah dan berwakaf sehingga ada nilai tambah daripada
pendapatan bulanan. Usah juga dilupakan nafkah bulanan untuk ayah ibu di kampung
serta keluarga dan anak-anak yang semuanya akan dipertanggungjawabkan jika
gagal diselesaikan dengan sempurna.
Khusus bagi kaum wanita yang ingin keluar bekerja Islam
menetapkan syarat perlu mendapat keizinan wali atau suami bagi yang sudah
berumah tangga. Keizinan ini juga tertakluk dengan syarat wanita berkerjaya
tidak boleh mengabaikan tanggungjawab di rumah terhadap suami dan anak-anak.
Malah peranan sebagai ibu dalam mendidik dan mengasuh anak juga perlu
dititiberatkan. Usah kerana kesibukan berkerjaya semuanya diserahkan kepada
pembantu rumah sehingga anak kurang kasih sayang. Terdapat pula segelintir yang
enggan berumah tangga dengan alasan ingin menumpukan perhatian kepada mencapai
kecemerlangan hidup berkerjaya. Semua ini tidak tepat dengan ajaran Islam dan
sunah Rasulullah SAW yang menggalakkan perkahwinan. Kaum wanita juga diingatkan
supaya sentiasa menjaga aurat, batasan pergaulan sesama rakan sekerja dan
mengelak unsur unsur fitnah yang boleh mencemarkan nama baik keluarga mahupun
ibubapa.
Dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmiziy, Nabi Muhammad SAW
pernah bersabda mengenai empat perkara yang akan dipersoalkan di Hari Kiamat.
Antaranya mengenai umur ke mana dihabiskan, jasad atau tubuh badan digunakan
untuk apa?, tentang ilmu adakah dapat dinilai sebagai ilmu yang bermanfaat atau
tidak dan tentang harta daripada mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.
Sehubungan dengan itu umat Islam diajak melihat pekerjaan
seharian sebagai usaha ibadah kepada Allah SWT dan bukan sekadar makan gaji
semata-mata. Malah Islam tidak pernah melarang mana-mana lelaki ataupun wanita
untuk bekerja asal sahaja tetap menjaga peraturan agama dan kehormatan diri. Apa
yang lebih penting ialah bagaimana setiap individu Muslim mampu menjaga
hubungan baik makhluk-khalik dan dalam masa yang sama hubungan baik pekerja-majikan.
Setiap Muslimin juga perlu memahami selagi nyawa
dikandung badan tidak ada istilah pencen bekerja dengan Allah SWT. Segala amal
ibadah fardu, wajib dikerjakan tanpa sebarang alasan. Turut disunatkan untuk
menambah pahala dengan mengerjakan sebanyak mungkin amalan sunat sebagai
persiapan untuk kembali kepada Nya.
Justeru bersempena dengan sambutan Hari Pekerja, umat Islam secara khususnya diajak mengembeling usaha dan
tenaga untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan bekerja
bersungguh-sungguh dan berdedikasi. Usah diabaikan setiapa amanah dan
tanggungjawab yang dipikul kerana pasti akan dipersoalkan di hari kemudian.
No comments:
Post a Comment