Keunikan sepakan percuma Faiz Subri ketika Pulau Pinang menewaskan
Pahang 4- 1 telah menobatkan beliau sebagai penerima anugerah berprestij FIFA
Puskas 2016 di Zurich mengalahkan dua calon lain iaitu Marlone daripada Brazil
dan pemain Venezuala Daniuska Rodriguez. Ternyata anak Malaysia juga mempunyai
bakat dan kemahiran yang setanding dengan pemain bola sepak ternama dunia. Ini
menunjukkan betapa bakat dan kemahiran yang ada jika dimanfaatkan untuk hal-hal
yang positif boleh mengharumkan nama negara di persada dunia. Bak kata pepatah
Melayu belakang parangpun kalau diasah lagi kan tajam. Terdahulu Harith Iskander
dinobatkan sebagai individu paling lawak di dunia mengalahkan Alex Calleja dari
Filipina, Katerina Vrana dari Greece, Mino van Nassau dari India dan David
Kilimnick dari Israel dalam pertandingan yang diadakan di Levi, Finland.
Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh anak Malaysia diperingkat
antarabangsa selayaknya menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk berusaha
meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang yang diceburi. Ia pastinya
bermula dengan kesungguhan yang tidak mengenal erti penat lelah selain
kesabaran dan pengorbanan yang terpaksa di lalui. Tanpa semua itu yang pipih
tak akan datang melayang yang bulat tak akan datang bergolek. Yang lebih
penting biarlah apa sahaja aktiviti yang dilakukan tidak melanggar syariat apatah
lagi memburukkan nama keluarga dan negara.
Dalam bidang akademik misalnya golongan muda diajak
mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan bukan setakat mengejar
pointer tertinggi ataupun profesion yang baik-baik. Lebih daripada itu matlamat
belajar seharusnya difokuskan kepada mengenal hakikat Allah SWT sebagai
pencipta lagi Maha Mengetahui. Ini kerana semakin tinggi pengetahuan seseorang
semakin banyak perkara yang tidak ia ketahui. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW
berpesan maksudnya; Barangsiapa yang bertambah ilmu tetapi tidak bertambah
hidayah dia semakin jauh daripada petunjuk Allah SWT. (Riwayat Ibnu Hibban).
Dalam masa yang
sama muda mudi dinasihat tidak melibatkan diri dengan gejala negatif yang boleh
jadi menyusahkan diri sendiri, keluarga dan negara. Ataupun jika ingin menceburi
sesuatu bidang biarlah mengikut saluran yang betul agar mendapat latihan dan
bimbingan yang sepatutnya. Keinginan remaja untuk melakukan aktiviti lasak dan
ekstrim misalnya elok lah bersandarkan ilmu pengetahuan disamping mengambil
kira langkah-langkah keselamatan untuk mengelak berlakunya tragedi dan musibah.
Malah sukan ekstrim seperti terjunan daripada bangunan tinggi, berbasikal di
tanah tinggi ataupun paragliding masih asing bagi remaja di Malaysia. Tidak
mustahil jika kemahiran seperti ini diasah lebih ramai rakyat Malaysia mampu
mengharumkan nama negara di persada dunia. Selain itu, penyertaan remaja dalam
aktiviti lasak dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi diri dalam persaingan
sihat mencipta kecemerlangan.
Secara tidak
langsung golongan muda-mudi boleh memanfaatkan masa muda dengan kerja-kerja
yang berfaedah. Jika tidak akibat daripada pergaulan bebas tanpa sempadan angka
kelahiran anak luar nikah mungkin semakin bertambah. Malah menyumbang pula
kepada jenayah buang bayi yang tidak berdosa. Begitu pula aktiviti melepak dan
membuang masa boleh jadi menyumbang kepada aktiviti vandalisme dan tidak sihat
yang mengundang masalah kepada masyarakat dan negara.
Begitulah juga dalam kehidupan di dunia fana’ ini, kaum
Muslimin perlu terlebih dahulu bersusah payah dan berpenat lelah untuk menanam
pelbagai jenis tanaman yang hasilnya di tuai di hari akhirat. Untuk itu apa
sahaja kerja yang niat kerana Allah, pelaksanaan menepati syariat dan tidak
mengabaikan tanggungjawab ibadah wajib, dinilai sebagai ibadah dan diberi
ganjaran pahala di hari kemudian. Malah jika diperhalusi selagi nyawa dikandung
badan setiap individu Muslim perlu berusaha untuk meraih reda Ilahi sepanjang
masa. Dalam erti kata lain dunia ini ialah ladang akhirat dan setiap hamba
bekerja dengan Allah SWT sehingga pencen yakni meninggal dunia. Setelah itu
baharulah ditunjukkan kepada mereka akan apa yang telah diusahakan semasa di dunia
untuk di balas dengan upah dan ganjaran setimpal.
Allah SWT berfirman ertinya “Maka sesiapa berbuat kebajikan
seberat zarrah nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya). Dan barangsiapa
berbuat kejahatan sebesar zarrah nescaya akan dilihatnya (dalam suratan
amalannya)” (Terjemahan Surah al-Zalzalah: 7-8)
Selain daripada itu masyarakat Islam diingatkan supaya
tidak membuang dunia dalam mengejar akhirat. Sebagaimana disebutkan dunia ialah
ladang akhirat maka mahu atau tidak seseorang terpaksa mengusahakan sesuatu di
dunia dalam keadaan tidak melampaui batas mahupun melanggar ketentuan Nya. Malah
pelbagai bidang kehidupan di dunia boleh diusahakan untuk beribadah. Kerana
syariat Allah SWT tidak hanya terhad kepada aspek ibadah khusus semata-mata.
Jika terlibat dalam aktiviti perniagaan maka berusahalah
menjadi peniaga yang jujur, amanah dan tidak mengurangkan timbangan. Malah
terdapat nilai kemanusian, ukuhuwah dan persaudaraan berbanding hanya
memikirkan tentang keuntungan atau laba yang bakal diraih. Sebagi seorang
pekerja di jabatan kerajaan mahupun swasta bertanggungjawab untuk menunaikan tugasan
yang ditetapkan selain tidak menipu, menzalimi orang lain dan terlibat rasuah
yang juga merugikan negara. Individu Muslim digalak bekerja bersungguh-sungguh
meningkatkan ekonomi keluarga dan negara secara kolektif sehingga dapat pula melaksanakan
ibadah wajib dengan berzakat dan infak sunat.
Dalam bidang sukan dan beriadah umat Islam sangat
digalakkan untuk sentiasa menjaga kesihatan sebagai modal beribadah kepada Nya.
Malah disebutkan Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah
SWT berbanding orang Mukmin yang lemah. Dengan kesihatan yang baik juga hamba
Mukmin dapat terus beribadah dengan sempurna, panjang umur dan dapat berusaha
untuk meraih segala nikmat kurniaan di dunia sebagai bekalan menuju akhirat.
Seyogianya masyarakat Islam diajak sentiasa bersyukur
dengan segala kelebihan dan keistimewaan dianugerahkan Ilahi. Ini dilakukan
dengan sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan berusaha sedaya upaya menjauhi
segenap larangannya. Selain itu segala kepandaian dan kepakaran yang ada
hendaklah menjadikan seseorang lebih tawaduk dan tidak meninggi diri kerana
akhirnya Yang Maha Tinggi lagi memiliki segala sesuatu di alam buana ini ialah
Allah SWT. Malah sifat menyombong diri dan merasa memiliki kehebatan tersendiri
tidak layak bagi bagi seorang hamba. Umat Islam diingat supaya selalu mengikut
resmi padi semakin berisi semakin tunduk dan menjauhi resmi lalang semakin
tinggi semakin tegak berdiri.
No comments:
Post a Comment