Peristiwa agung perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW merupakan peristiwa luar biasa yang mencarik adat kebiasaan manusia. Ia jauh daripada keupayaan akal untuk memikirkan bagaimana Nabi Muhammad SAW berkelana dalam satu malam dengan ruh dan jasad daripada Masjidilharam di Mekah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin seterusnya di bawa naik menembusi tujuh petala langit dan menghadap Allah SWT Yang Maha Esa.
Namun bagi hamba Mukminin peristiwa ini merupakan peristiwa imaniyyah yang menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah SWT kepada seluruh makhluknya yang berkuasa mutlak mengatur perjalanan menakjubkan itu. Dengan itu manusia perlu beriman dan meyakini kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan Penguasa sekalian alam. Setiap hamba perlu sentiasa berusaha untuk membuktikan keimanan dan ketaatan melalui amal ibadah yang ikhlas dilakukan kerana Nya. Kelalaian berbuat demikian tidak mengurangkan sedikit pun daripada keagungan dan kekuasaan Allah SWT sebaliknya golongan yang ingkar bakal menerima balasan buruk dan seksaan yang amat pedih akibat kelakuan sendiri.
Justeru itu masyarakat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan perintah untuk mengerjakan solat lima waktu yang juga difardukan pada malam Israk dan Mikraj. Kepentingannya diperjelaskan lagi dengan kewajipan solat yang difardukan secara langsung ketika Nabi SAW menghadap Allah SWT Rab al-Jalil. Malah dalam perjalanan tersebut Nabi SAW ditunjukkan dengan perbuatan malaikat yang rukuk, sujud dan melakukan pergerakan solat yang lain kemudian dihimpunkan semuanya menjadi ibadah solat yang difardukan kepada kaum Muslimin. Perkara ini penting untuk diperhatikan kerana akhir-akhir ini terdapat masyarakat Islam yang langsung tidak mengendahkan solat apatah lagi solat Jumaat yang merupakan ibadah mingguan. Boleh jadi dengan sebab itu hilang keberkatan umur, keberkatan rezeki, perniagaan tidak menjadi malah keluarga porak peranda dan anak-anak liar tanpa pedoman.
Selain itu, peristiwa Nabi Muhammad SAW menjadi imam kepada para anbia dan pertemuan dengan Nabi-nabi terdahulu sebagaimana disebutkan dalam hadis Israk dan Mikraj menunjukkan Nabi SAW adalah penghulu segala Nabi. Ajaran yang dibawa olehnya adalah kesinambungan daripada ajaran samawiy terdahulu yang tidak bercanggah satu sama lain dan semuanya mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT. Pengutusannya sebagai Nabi terakhir mengingatkan manusia tentang peristiwa Hari Kiamat yang menghancurkan seluruh alam sekali gus merupakan seruan untuk sentiasa memuhasabah diri dan menyediakan bekalan secukupnya.
Beberapa bentuk seksaan diperlihatkan kepada Nabi SAW elok dijadikan iktibar dan pengajaran terutama ketika memperingati detik bersejarah Israk dan Mikraj. Antaranya disebutkan oleh al-Zahabi dalam Kitab al-Kabair, Sayyidina Ali meriwayatkan hadis Nabi SAW tentang kaum wanita yang diazab dengan beberapa bentuk seksaan. Ada yang digantung dengan rambut sehingga menggelegak otaknya kerana tidak menutup rambut di hadapan lelaki, ada yang digantung dengan lidahnya dan dituangkan air yang panas meluap-luap ke kerongkong akibat menyakiti suami, ada yang ditarik kaki ke payu dara dan tangan ditarik ke kepala selain disengat oleh ular dan kala jengking kerana tidak membersihkan diri daripada janabah dan haid sehingga meremehkan solat, ada yang digantung dengan payu dara kerana menduakan suami, ada yang kelihatan kepalanya kepala babi dan badannya badan keldai seraya diseksa dengan pelbagai azab yang lain kerana melaga-lagakan sesama manusia dan pendusta dan terdapat wanita seperti anjing, api dimasukkan ke dalam badan dan keluar melalui duburnya seraya malaikat memukul kepalanya dengan cambuk daripada api kerana sering mengungkit-ungkit kebaikan dan bersifat hasad dengki.
Sehubungan dengan itu kaum wanita diajak supaya sentiasa menjaga penampilan diri dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Usah terikut-ikut dengan fesyen masa kini yang tidak bertepatan dengan syariat sehingga menjatuhkan maruah diri serta terdedah kepada kutukan Ilahi. Pakaian yang jarang, ketat dan menampakkan bentuk tubuh badan adalah dilarang oleh syariat. Kaum wanita yang bersuami juga hendaklah sentiasa menjaga kehormatan suami dan rumah tangga dengan membatasi pergaulan terutama ketika di luar rumah dan tempat kerja. Dalam hal ini suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak sentiasa menutup aurat dan mematuhi kewajipan agama.
Selain itu Nabi Muhammad SAW ditunjukkan dengan seksaan lain seperti golongan yang bertindak memukul kepalanya sendiri sehingga pecah berulang-ulang kali sebagai balasan buruk mengabaikan dan meremehkan solat lima waktu. Ada pula yang hanya menutup kemaluan sahaja, memakan buah-buahan neraka yang busuk dan berduri serta memakan bara-bara batu api neraka, sebagai balasan ingkar mengeluarkan zakat yang difardukan.
Golongan yang memakan riba dan membenarkan pelaksanaannya juga terdedah kepada balasan seksa seperti golongan yang perutnya terlalu besar setiap kali ingin berdiri terjatuh dan tidak berupaya berdiri semula. Nabi SAW diperlihatkan dengan sekelompok manusia yang menggunting lidah dan bibir sendiri berulang-ulang kali sebagai peringatan buat golongan yang suka menabur fitnah, menyampaikan berita-berita palsu dan pesanan buat orang yang mengajak kepada ketaatan tetapi dia sendiri tidak melakukannya. Malah ada perumpamaan buat golongan yang suka bercakap besar dan sombong ibarat sebuah lubang kecil yang keluar daripadanya lembu yang besar kemudian ingin memasukinya semula tetapi berjaya. Ini seperti pepatah Melayu yang menyebutkan terlajak perahu boleh di undur terlajak kata badan binasa.
Bersempena memperingati peristiwa agung perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit masyarakat Islam diseru untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah dalam setiap lapangan kehidupan. Usah terlalu disibukkan dengan perniagaan mahupun tugasan di pejabat sehingga lupa untuk menyiapkan bekalan di hari kemudian. Lebih memburukkan apabila terdapat pelaku dosa dan maksiat yang seronok bergelumang dengan dosa seolah-olah tiada apa yang akan berlaku kepada mereka. Sedarlah betapa kematian pasti akan kunjung tiba, tanpa disangka-sangka dan semua yang diusahakan di dunia akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Pada ketika itu hanya amalan baik yang dibawa sedangkan golongan yang lalai terpinga-pinga dan berharap supaya dikembalikan semula ke dunia untuk beramal.
Monday, May 2, 2016
Thursday, January 21, 2016
ATASI KEMISKINAN PELAJAR DENGAN BERWAKAF
Paparan akhbar mengenai pelajar universiti yang pengsan
kerana tiada wang untuk membeli nasi cukup menghibakan. Menitis air mata
memikirkan bagaimana di saat pelbagai instrumen pembiayaan pelajaran disediakan
baik oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan GLC masih ada pelajar yang
terpaksa menahan lapar berhari-hari kerana kesempitan hidup yang dialami oleh
keluarganya. Tak cukup dengan itu dana zakat, wakaf, endowmen dan sedekah yang
diusahakan oleh universiti juga seolah-olah tidak mampu untuk menangani masalah
ini.
Sebenarnya isu pembiayaan pelajaran ini bukanlah isu
baharu yang disensasikan oleh media. Sedar ataupun tidak sebelum ini pernah dilaporkan
ibu bapa dan pelajar Malaysia di luar negara seolah-olah menjerit meminta simpati
bagi menampung kos pengajian mereka. Malah ada juga yang terpaksa pulang ke
tanah air tanpa segulung ijazah kerana ketiadaan biasiswa. Terdapat juga kajian
oleh Christina Andin et.al. yang
mendapati separuh daripada 118 responden di Kolej 17 UTM menghadapi masalah
kewangan seperti tidak mampu membeli buku rujukan, amat memerlukan pekerjaan
semasa cuti panjang dan masalah menjelaskan yuran persatuan. Ini ditambah lagi dengan kos pendidikan yang
semakin meningkat dan kemelut ekonomi semasa sehingga pihak kerajaan terpaksa pula
mengurangkan bajet Kementerian Pengajian Tinggi pada pembentangan Bajet 2016
yang lalu.
Justeru masyarakat yang prihatin diseru bangkit membantu
merealisasikan cita-cita anak bangsa dengan menghulurkan bantuan kewangan yang
diperlukan. Seluruh masyarakat diajak bangkit membantu menginfakkan harta
melalui skim wakaf ilmu yang sudah diperkenalkan di dua buah universiti awam iaitu
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Objektif
pelaksanaannya bertujuan untuk menerima aset, sumbangan wang tunai, saham,
aset-aset kewangan daripada dalam dan luar negara untuk menyediakan biasiswa kepada
pelajar yang memerlukan. Selain itu UIAM, UTM, Universiti Malaysia Pahang,
Universiti Malaysia Sabah dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) turut
memperkenalkan skim endowmen dan wakaf untuk membantu meringankan beban
kewangan pelajar.
Tak kiralah sama ada atas nama wakaf ataupun endowmen,
tanpa sokongan daripada warga universiti dan masyarakat setempat usaha murni
ini tidak akan mampu pergi jauh. Lebih mengelirukan apabila terdapat segelintir
yang memandang serong terhadap pelaksanaan wakaf ini berbanding cuba memberi
pandangan dan komen positif yang
membina. Jangan jadi seperti kata pepatah marahkan nyamuk seekor habis kelambu
dibakar.
Tidak dinafikan terdapat pelbagai halangan dan cabaran
yang terpaksa dihadapi oleh pihak universiti. Misalnya di sudut perundangan
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah Pemegang Tunggal Amanah Wakaf di setiap
Negeri. Dengan wujudnya peruntukan ini pelaksanaan wakaf oleh mana-mana pihak
tertakluk kepada kebenaran oleh MAIN. Namun begitu di Negeri Selangor telah
dicadangkan pindaan enakmen yang membenarkan pihak tertentu dan institusi untuk
menguruskan sendiri dana wakaf dengan pemantauan oleh pihak Majlis.
Perkembangan positif ini diharap dapat dicontohi oleh Negeri-negeri lain dengan
mewujudkan peruntukan yang sama agar seragam dan memberi manfaat kepada semua.
Malah pengenalan peruntukan ini tidak sama sekali mengetepikan peranan Majlis
selaku sole trustee sebaliknya MAIN boleh mewujudkan kerjasama strategik agar
aktiviti wakaf oleh mana-mana pihak selari dengan ketetapan syariat.
Selain daripada itu masalah kurang kefahaman dan
kesedaran tentang kepentingan wakaf juga menjadi halangan kepada perkembangan
skim wakaf di universiti. Ramai yang masih melihat wakaf dalam konteks yang
sempit seperti tanah perkuburan, masjid dan surau sahaja. Sedangkan jika
ditinjau suatu ketika dahulu wakaf pernah digunakan untuk membangun gendung
perniagaan, kawasan rehat dan rawat juga kawasan mandi awam. Malah peranannya
dalam pembangunan pendidikan tinggi tidak dinafikan lagi. Universiti al-Azhar
di Mesir dibangunkan dengan dana wakaf yang manfaatnya kekal berterusan hingga
ke hari ini dalam melahirkan ulama, mufti dan para asatizah yang disegani.
Malah dengan jumlah dana wakaf yang banyak wakaf al-Azhar mampu menampung kos
pengajian percuma kepada semua pelajarnya daripada peringkat rendah hinggalah
ke universiti.
Sementara itu keengganan segelintir pelajar yang malu
untuk memohon bantuan kewangan juga dilihat punca mengapa terdapat pelajar tercicir
menerima bantuan. Perkara ini dijelaskan
sendiri oleh Tn. Hj. Shamsul Azhar bin Mohd. Yusof iaitu Pengarah IIUM
Endowment Fund, semasa sesi temu bual yang berlangsung sebelum ini. Menurut
beliau ada pelajar yang seolah-olah menyembunyikan masalah kewangan yang
dihadapi oleh mereka walaupun terpaksa makan nasi berlaukkan kuah sahaja.
Dalam hal ini beberapa individu yang ditemu bual termasuk
Mufti, pakar bidang wakaf dan ahli akademik bersetuju wakaf dijadikan
alternatif pembiayaan pendidikan tinggi negara. Malah dengan ganjaran dan
kelebihan berwakaf sama ada bagi yang hidup ataupun yang sudah meninggal dunia
ia tidak sepatutnya dipandang remeh.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; Apabila mati anak
Adam terputus segala amalannya kecuali tiga; sedekah jariah, anak yang soleh
yang mendoakannya dan ilmu yang bermanfaat. (Hadis riwayat Muslim). Para ulama
bersepakat mengatakan sedekah jariah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut
adalah wakaf yang berkekalan zatnya dan berpanjangan manfaatnya. Malah apabila
diteliti ketiga-tiga aspek ini terdapat dalam pelaksanaan wakaf di universiti
sehingga pewakaf beroleh ganjaran sedekah yang mengalir pahalanya walaupun
setelah mati, didoakan oleh pelajar-pelajar yang soleh selain mendapat ganjaran
ilmu bermanfaat turun temurun.
Perlu juga difahami betapa wakaf adalah harta milik Allah
SWT yang dipertanggungjawabkan kepada para Nazir untuk mengurusnya dengan
sempurna. Jika tidak segala penyelewengan dan pengabaian niat pewakaf akan
dipertanggungjawabkan ke pundak universiti sebagai pentadbir. Malah pihak universiti dicadangkan menunjukkan
hasil sumbangan wakaf kepada umum bagi meningkat motivasi masyarakat untuk menyumbang.
Bersempena dengan kedatangan Tahun Baharu 2016 ini seluruh
masyarakat diajak meningkatkan amal kebajikan termasuklah dengan berwakaf
sebagai persiapan untuk kembali kepada Nya. Ambillah peluang dan kesempatan
untuk berbakti dengan modal kewangan yang ada sebelum terlambat dan menyesal
yang sudah tentu tidak berguna lagi.
Tuesday, October 13, 2015
Sediakan bajet ibadah setahun
Menjelang
pembentangan bajet kerajaan kali ini umat Islam turut diajak untuk menyediakan bajet
setahun beramal menggunakan wang ringgit. Ini bagi membuktikan kesyukuran dan
tanda pengabdian yang tidak berbelah bahagi atas sekalian banyak nikmat yang diterima.
Selain sebagai ibadah sukarela yang mudah-mudahan dapat menutup lompang-lompang
dan kekurangan dalam pelaksanaan ibadah wajib.
Ini boleh dimulakan dengan menyediakan bajet harian untuk
bersedekah dan memberi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Dengan cara ini
para Muslimin dapat mengikis sifat negatif seperti bakhil dan cintakan
kemewahan dunia yang sementara. Usaha ini boleh dikembangkan lagi dengan
menyumbang kepada tabung Jumaat sebagai sumbangan bersifat mingguan. Untuk itu
sejumlah peruntukan perlu ditentukan sejak awal tahun supaya seseorang sentiasa
istiqamah bersedekah. Malah jumlah sumbangan itu eloklah ditambah sesuai dengan
keperluan semasa.
Bayangkan jika seseorang hanya sekadar menyumbang
sebanyak RM1 setiap Jumaat, secara purata hanya kira-kira RM48.00 sahaja yang didermakan
sepanjang tahun. Fikirkanlah pula apa yang dapat dimanfaatkan oleh
pengurusan masjid dengan sumbangan yang tak seberapa sedangkan sesetengah
masjid dan surau kini dilengkapi dengan sistem penghawa dingin dan permaidani empuk
untuk kemudahan jemaah.
Dalam situasi
lain terdapat pula yang tidak keberatan untuk menyediakan peruntukan yang besar
untuk perkara-perkara yang kurang berfaedah seperti membeli peralatan menghisap
rokok elektrik yang bernilai ratusan ringgit. Lebih dari itu setiap individu
Muslim sepatutnya berfikir tentang persiapan untuk kembali bertemu Ilahi yang
kunjung tiba pada bila-bila masa tanpa disangka-sangka.
Selain itu
setiap individu Muslim disaran menyediakan bajet awal untuk menyambut ketibaan
Ramadan tahun ini dengan menentukan bajet untuk menyediakan juadah berbuka
puasa. Memandangkan ketika Ramadan segala amal ibadah dilipatgandakan pahalanya
maka kesempatan Ramadan mestilah direbut dengan meningkatkan jumlah tabungan
amal kebajikan untuk manfaat diri sendiri.
Begitu pula ketika
Bulan Zulhijjah masyarakat Islam digalakkan untuk mengorbankan binatang
ternakan sebagai mencontohi pengorbanan agung Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail as.
Persoalannya setelah sekian banyak wang ringgit kita belanjakan sepanjang tahun
mengapa tidak setahun sekali para Muslimin mengorbankan sebahagian kecil
daripada gaji untuk beribadah kepada Allah SWT pula. Ini dapat dilakukan dengan
menabung sejak awal tahun supaya tidak sekadar menjadi penonton setiap kali
ibadah korban dilaksanakan.
Bagi yang belum
berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci pula bolehlah menabung kira-kira
RM100 sebulan. Jika istiqamah dilaksanakan, dalam tempoh sepuluh tahun wang
tabungan untuk menunaikan fardu haji sudah mencukupi dan hanya perlu menanti jemputan
ke Tanah Suci. Ataupun dalam tempoh lima hingga enam tahun menabung jumlah yang
ada sudah memadai untuk menunaikan umrah.
Diingatkan juga
betapa sedekah jariah ataupun wakaf sangat bermanfaat untuk kebahagiaan hidup
dunia dan akhirat. Wakaf yang bersifat kekal menyediakan pahala bagi pewakaf yang
berkekalan dan berpanjangan selama-lamanya. Untuk itu selagi hayat dikandung
badan usahlah dilepaskan kesempatan untuk berwakaf dalam pelbagai keperluan
kehidupan. Selain wakaf untuk masjid dan tanah perkuburan kini universiti juga
memerlukan sejumlah dana wakaf untuk membiayai aktiviti akademik dan biasiswa
kepada pelajar yang memerlukan.
Justeru itu setiap
Muslimin diajak untuk menghilangkan perangai mazmumah seperti kedekut dan merasa
kehilangan apabila menginfakkan harta fisabilillah, kerana pasti ada ganjaran
setimpal yang menanti di sana. Allah SWT berfirman maksudnya;
“Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan
baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan
Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki". (Terjemahan Surah Saba:39)
Oleh itu usahlah
ditunggu sehingga detik-detik akhir menjelang kematian baru berharap untuk
bersedekah dan berbuat kebajikan kerana pada ketika itu tiada apa yang dapat
dilakukan melainkan berserah diri kepada ketentuan Tuhan.
Perlu juga
diingat betapa sedekah dapat menghapuskan dosa-dosa sepertimana air memadamkan
api. Malah sedekah mempermudahkan laluan ke Syurga, penawar kepada
penyakit-penyakit selain bertambah rezeki dan berkat kehidupan dengan asbab doa
daripada penerima sedekah. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya;
“Orang yang
dermawan itu dekat kepada Allah, dekat kepada Syurga, dekat kepada manusia,
jauh dari neraka. Orang yang kedekut itu adalah jauh dari Allah, jauh dari
Syurga, jauh dari manusia dan dekat kepada neraka. Orang jahil yang dermawan
pula lebih dicintai oleh Allah daripada ahli ibadah yang kedekut”. (Hadis
riwayat al-Tirmizi)
Dalam bersedekah
tiada jumlah atau kadar tertentu yang ditetapkan. Sedikit ataupun banyak bergantung
kepada kemampuan. Yang penting ialah ikhlas ketika memberi. Lebih elok lagi
jika pemberian itu dirahsiakan bagi mengelak timbul riak dan perasaan meninggi
diri. Boleh juga dilakukan secara terang-terangan sebagai motivasi untuk orang
lain turut bersedekah.
Bersempena
dengan kedatangan tahun baharu hijrah 1437 ini, masyarakat Islam diajak
mempertingkatkan amalan kebajikan sepanjang masa dalam erti kata hijrah yang
sebenar. Usah seperti hangat-hangat tahi ayam dengan pelbagai azam dan
cita-cita ibadah diawal tahun kemudian ditinggalkan satu persatu setelah culas
dan berkira-kira melaksanakannya.
Wednesday, September 30, 2015
Muhasabah Ketika Diuji
Setelah melalui pelbagai ujian dan musibah yang silih
berganti ketika menunaikan fardu haji baru-baru ini, golongan baharu bergelar
haji dan hajah tentunya amat bersyukur apabila menjejakkan kaki ke tanah air. Kegembiraan
jelas terpancar di wajah mereka apabila dipertemukan semula dengan kaum
keluarga dan sahabat handai dalam keadaan selamat.
Bagi jemaah dan keluarga yang ditimpa musibah dalam
tragedi kren tumbang dan rempuhan di Mina usah terlalu berduka dan mendoakan
semoga yang terlibat dikurniakan ganjaran syahid dan nikmat Syurga. Ini kerana
bukan calang-calang orang terpilih mati dalam husnul khatimah apatah lagi ketika
asyik beribadah.
Allah SWT berfirman maksudnya; “Dan janganlah kamu mengatakan
(bahawa) siapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu, orang-orang
mati. Bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa)
tetapi kamu tidak dapat menyedarinya”. (Terjemahan Surah al-Baqarah:154)
Di sebalik kegembiraan itu, golongan haji dan hajah selayaknya
mensyukuri nikmat dapat menyelesaikan kerja-kerja haji dengan berusaha mempraktikkan
segala pengajaran dan pengalaman yang ditimba ketika di Tanah Suci. Keseronokan
berulang alik ke Masjidilharam contohnya eloklah diganti dengan sering berjemaah
dan menghadiri majlis-majlis ilmu di kariah masing-masing. Kehidupan selama
lebih sebulan di bumi Mekah dan Madinah dengan segala aktiviti ibadah siang dan
malam selayaknya diteruskan dengan memperbanyak berbuat kebajikan sambil mempererat
hubungan silaturahim.
Segala ujian dan cabaran yang dilalui sebagai tetamu
Allah SWT hendaklah dijadikan pedoman dalam mengharungi realiti kehidupan sebenar
setelah kembali ke tanah air. Ini kerana proses tarbiyah di Tanah Suci merupakan
pelajaran paling berharga khusus buat insan-insan terpilih yang dijemput ke
sana.
Selain itu, segala ujian dan dugaan selayaknya diterima
dengan reda dan bersangka baik kepada Nya. Ini kerana tidak meningkat tahap
keimanan seseorang kecuali setelah diuji oleh Allah SWT. Ingatlah juga betapa Allah
SWT menguji hamba-hambanya pada kadar tertentu sesuai tingkatan keimanan
masing-masing.
Firman Allah SWT yang bermaksud; “Demi sesungguhnya!
Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan
merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan
jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang
sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh
sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah
dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang
yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta
rahmatNya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(Terjemahan Surah al-Baqarah:155-157).
Manakala bagi yang akan ke Tanah Suci pada musim-musim
haji mendatang ambillah iktibar daripada segala kejadian yang berlaku untuk mempersiapkan
diri bagi menyelesaikan rukun haji. Usah takut dan bimbang untuk ke sana
sebaliknya sentiasa bersangka baik kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat
kali ganda dan nikmat Syurga kepada para tetamunya.
Malah masa dan kesempatan yang ada elok digunakan untuk memperbaiki
diri, bertaubat dan memohon pertolongannya, mendalami ilmu haji, selain mencukupkan
perbelanjaan dengan rezeki yang halal sebelum dijemput ke Tanah Suci.
Dalam hal ini tindakan menghentikan kontrak syarikat yang
terlibat dengan tragedi kren runtuh di Masjidilharam serta mengenakan hukuman
berat kepada petugas haji di Mina oleh Pemerintah Arab Saudi patut dicontohi bagi
mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang mengambil jalan mudah dan
murah membakar hutan untuk mengusahakan pertanian.
Lebih daripada itu perubahan cuaca yang tidak menentu, kegawatan
ekonomi semasa, masalah moral dan akhlak yang semakin meruncing mengajak
masyarakat Islam untuk memuhasabah diri dengan kembali mempraktikkan tuntutan
agama dalam kehidupan seharian. Ini kerana ujian dan musibah menjelang tibanya
hari kiamat lebih dahsyat lagi mengerikan.
Wednesday, May 13, 2015
Sirah agung yang menakjubkan
Pada keesokan harinya Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada Ummu Hani’ akan peristiwa Israk Mikraj yang baharu dilaluinya. Ummu Hani’ mengingatkan Nabi SAW supaya tidak menyebarluaskan berita itu kerana bimbang akan disakiti. Namun Baginda tetap ingin menceritakan perjalanannya daripada Masjidil Haram di Mekah, melalui Yathrib yakni Madinah kemudian ke Baitul Maqdis di Palestin lalu dibawa naik ke langit oleh Malaikat Jibril untuk menghadap Allah SWT.
Diceritakan juga bagaimana Abu Jahal menawarkan diri untuk memanggil penduduk Mekah supaya Nabi SAW boleh menyampaikan berita itu kepada kaumnya setelah dia sendiri tidak mempercayainya. Akhirnya ada yang bertepuk tangan dan meletakkan tangan di kepala kerana kehairanan dan ada pula yang lemah iman lalu murtad kerana tidak dapat menerima berita tersebut. Malah kisah tersebut heboh diceritakan oleh masyarakat Mekah di mana-mana dalam keadaan segelintir yang percaya sedangkan ramai yang mengingkarinya.
Kini setelah lebih 1400 tahun peristiwa agung itu berlalu, masih terdapat segelintir masyarakat Islam yang seolah-olah tidak beriman dan percaya akan kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu. Terdapat golongan yang ingkar lagi sombong untuk melaksanakan perintah solat lima waktu yang telah difardukan pada malam Israk dan Mikraj. Ada pula yang seperti beraja di hati bersultan di mata melakukan segala pelanggaran terhadap hukum-hakam agama tanpa rasa malu dan berdosa. Akibatnya jenayah rogol, perzinaan dan buang bayi terus berleluasa tanpa henti. Begitu pula jenayah siber, penyebaran berita palsu, mencemarkan kesucian agama Islam, mengejek dan memburuk-burukkan sesama sendiri semakin diminati seiring dengan kecanggihan dunia telekomunikasi hari ini.
Sehubungan dengan itu, Umat Islam diajak bermuhasabah diri dengan segera bertaubat dan menyucikan diri daripada kekotoran lahiriah dan batiniah sebagai persiapan untuk kembali ke Kampung Akhirat yang abadi. Ambillah iktibar daripada contoh hukuman yang dipertontonkan kepada Nabi SAW dalam perjalanan mikrajnya untuk pedoman bersama. Antaranya;
1. Ada golongan yang bertindak memukul kepalanya sendiri sehingga pecah, kemudian dikembalikan semula kepada bentuk asalnya lalu dipukul lagi sehingga pecah sebagai seksaan akibat malas dan lengah menunaikan solat lima waktu.
2. Ada pula sekelompok manusia yang hanya menutup kemaluan depan dan belakangnya sahaja, mereka memakan buah-buahan neraka yang busuk dan berduri serta memakan bara-bara batu api neraka, sebagai balasan enggan menunaikan kewajipan zakat yang difardukan.
3. Ada juga satu golongan yang perutnya terlalu besar seakan-akan rumah setiap kali ingin berdiri mereka jatuh akibat besarnya perut mereka sebagai balasan buat pemakan riba dan yang terlibat menghalalkannya.
4. Terdapat juga satu kelompok yang dihidangkan daging yang baik dan daging yang busuk lalu memilih untuk makan yang busuk dan membuang daging yang baik. Inilah satu daripada bentuk hukuman kepada golongan penzina lelaki dan perempuan yang leka berbuat maksiat tanpa sedar betapa azab seksa sedang menunggu mereka.
5. Nabi SAW diperlihatkan kepada sekelompok manusia yang menggunting lidah dan bibir mereka sendiri, setiap kali dipotong dikembalikan semula seperti sedia kala lalu diulang-ulang perlakuan tersebut sebagai peringatan buat golongan yang suka menabur fitnah serta menyampaikan berita-berita palsu.
6. Ada pula yang dilihat oleh Nabi SAW mengumpulkan kayu api yang banyak sehingga tidak kuat lagi untuk memikulnya namun tetap ditambah dan ditambah lagi sebagai perumpamaan untuk golongan yang dipertanggungjawabkan untuk memikul sesuatu amanah dan tidak dapat melaksanakannya akan tetapi tetap berdegil untuk memikul amanah tersebut.
7. Malah ada perumpamaan buat golongan yang suka bercakap besar tetapi tidak berupaya untuk mengotakan apa yang dikata seperti ada sebuah lubang kecil yang keluarnya daripadanya lembu yang besar kemudian ia ingin memasukinya semula lalu tidak berjaya.
Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW merupakan sirah agung yang sarat dengan pedoman dan pengajaran buat umat manusia sepanjang zaman. Masyarakat Islam seluruhnya diseru menghayati sirah agung yang menakjubkan ini dengan kembali memperkukuhkan keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT serta bertaubat daripada terus bergelumang dengan perbuatan dosa dan maksiat yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Para Muslimin diingatkan agar tidak terus leka dengan nikmat umur yang masih muda lalu dihabiskan dengan berseronok dan berfoya-foya. Usahlah berpuas hati dengan tubuh badan yang sihat kerana ketentuan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Sedarlah juga betapa nikmat sihat dan nikmat masa lapang adalah dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia, apabila sirna ia tidak dikembalikan lagi.
Justeru itu, bersempena memperingati peristiwa menakjubkan perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW ke langit marilah semua bermuhasabah diri mempersiapkan bekalan untuk bertemu Ilahi. Berusahalah untuk berbuat apa sahaja amal bakti dengan segala yang dimiliki demi meraih keredaan dan maghfirah dari Ilahi.
Sunday, February 1, 2015
Bila lagi harga barangan akan diturunkan?
Penulis menyokong penuh gesaan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mendesak golongan pembekal dan pemborong menurunkan harga barangan berikutan pengumuman harga baharu minyak di pasaran tempatan bermula 1 Februari yang lalu. Menurut beliau lagi kalangan pemborong dan peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan mengaut keuntungan tinggi semata-mata tanpa memikirkan nasib pengguna yang perlu menanggung bebanan kewangan yang lain.
Malah setelah dua kali pihak Kerajaan bertindak menurunkan harga petrol dan diesel berikutan penurunan harga minyak mentah dunia, belum ada tindakan drastik dari pada golongan ini untuk menurunkan harga barangan terutama barangan keperluan seharian. Mereka seolah-olah berdegil dan tidak mempedulikan gesaan pengguna supaya berkompromi menurunkan harga barangan demi kemaslahatan bersama.
Penulis merasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan bertegas dalam perkara ini demi menjaga kepentingan rakyat marhaien sesuai dengan slogan yang dilaung laungkan oleh kerajaan iaitu “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Mekanisme pengapungan harga minyak terkawal yang diperkenalkan oleh kerajaan kemungkinan elok juga dijadikan asas kepada pengawalan harga barangan keperluan harian agar ia seiring dengan situasi dan kehendak pasaran semasa. Dalam erti kata yang lain apabila harga minyak mengalami penyusutan harga barangan keperluan juga akan ikut menurun.
Dalam hal ini kajian dan penyelidikan terperinci boleh diusahakan oleh pakar ekonomi dan ahli akademik tempatan yang berlatar belakangkan pengajian ekonomi dan kewangan sehingga cadangan penyelesaian yang bernas dapat disalurkan kepada pihak kerajaan dalam usaha menangani isu ini dari pada terus berlarutan.
Dicadangkan juga agar pihak kerajaan campur tangan dan terus menerus mengadakan perbincangan dua mata bersama wakil pengeluar dan pemborong supaya jalan penyelesaian terbaik dapat diusahakan. Malah ia merupakan antara tanggungjawab utama yang perlu dimainkan oleh pihak kerajaan bagi mengawal usaha pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan lumayan ketika kos operasi dan logistik barangan semakin berkurangan.
Adalah sesuatu yang tidak adil apabila golongan peniaga tersenyum gembira mengaut keuntungan perniagaan yang berlipat kali ganda sedangkan pengguna terpaksa menanggung kos barangan yang semakin meningkat di saat ia tidak selayaknya berlaku.
Penulis juga mengharapkan agar penyedia-penyedia perkhidmatan turut sama mengambil inisiatif mengurangkan kos perkhidmatan yang ditawarkan berbanding suatu ketika dahulu di mana semuanya berebut rebut menaikkan caj perkhidmatan masing-masing disebabkan kenaikan harga minyak dunia.
Terdapat pula pihak-pihak tertentu yang sebelum ini begitu lantang mendesak kerajaan supaya meluluskan kenaikan kos perkhidmatan yang ditawarkan kini diam seribu bahasa walaupun ada gesaan dari pada masyarakat pengguna supaya segera berkompromi dengan menstabilkan harga barangan di pasaran.
Lebih mengelirukan apabila ada pihak tertentu yang sudah awal-awal mengenakan cukai atas nama cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 5 dan 6%, sedangkan menurut yang diketahui umum kadar cukai tersebut hanya akan mula berkuat kuasa mulai Bulan April yang akan datang.
Dalam hal ini usaha pihak pengurusan Air Asia memansuhkan surcaj bahan api berkuat kuasa 8 Januari 2015 yang lalu patut dicontohi walaupun mereka sedang berkabung dan bersedih atas tragedi kemalangan udara yang menimpa anak syarikatnya di Indonesia. Usaha yang sama sepatutnya diikuti oleh penyedia barangan dan perkhidmatan yang secara langsung terlibat dengan penurunan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan. Bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bukit sama didaki lurah sama dituruni.
Penulis juga tertarik dengan laporan oleh portal mynewshub.cc yang disiarkan pada 17 Januari 2015 yang lalu, yang memetik kenyataan jurucakap Jabatan Perhubungan Awam Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, bahawa pengendali bas di Indonesia seperti Metro Mini dan Kopaja Kompak selain teksi bermeter telah bersetuju untuk mengurangkan tambang pengangkutan mereka. Disebutkan juga bagaimana perbincangan lanjut sedang dilakukan dengan dua buah persatuan pengusaha pengangkutan awam iaitu Organisasi Angkutan Darat (Organda) dan Dewan Transportasi Kota Jakarta bagi menurunkan harga tambang perjalanan berikutan penurunan harga minyak di Indonesia yang sudah dua kali diumumkan oleh pihak pemerintah pada Bulan Januari yang lalu.
Tuntasnya, tanpa usaha bersungguh-sungguh dari pada semua pihak yang terlibat, masyarakat pengguna tak ubah seperti anjing menyalak bukit, bukit takkan runtuh. Golongan pengguna juga bagaikan durian dengan mentimum akan terus menderita akibat ketamakan komuniti pengeluar dan pemborong yang hanya mementingkan tembolok mereka sendiri sahaja.
Wednesday, October 15, 2014
Tanggungjawab Golongan Baharu Bergelar Haji dan Hajah
Kepulangan para tetamu Allah ke tanah air sudah tentu dinanti oleh seluruh sanak saudara dan sahabat sekerja. Setelah lebih dari pada 40 hari bermastautin di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji, kini kembali kepada realiti kehidupan yang penuh pancaroba di tanah air sendiri. Pastinya segala pahit manis berada di Tanah Suci menjadi kenang-kenangan yang abadi buat haji dan hajah. Malah ia sering kali menjadi seperti oleh-oleh Tanah Suci yang akan diceritakan buat renungan dan tatapan bersama. Segala pengalaman yang diperoleh pastinya sukar dilupakan malah ada yang sudah mula memasang niat untuk kembali semula ke bumi yang dilimpahi keberkatan dan kemuliaan dek kerana seronoknya bertandang ke Tanah Suci.
Namun begitu apa yang lebih sukar untuk dilaksanakan oleh haji dan hajah ialah bagaimana untuk melestarikan segala tarbiyah haji dan kerja-kerja ibadah yang rutin dilaksanakan ketika di Tanah Haram. Ia sememangnya satu cabaran yang besar buat golongan baharu bergelar haji dan hajah, sehingga segala gerak geri dan perlakuan mereka menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Situasi dan keadaan di sekeliling juga sering kali menjadi hambatan untuk berubah jika tidak bersungguh-sungguh untuk mempraktikkan segala pendidikan yang pernah ditimba.
Tanggungjawab yang dipikul oleh golongan baharu bergelar haji dan hajah bukan sekadar berkopiah putih dan mengenakan tudung labuh apabila keluar rumah. Ia meliputi semua lapangan kehidupan baik dari pada segi tutur kata, pergaulan dan yang lebih penting adalah peningkatan nilai ubudiyyah dan peribadatan kepada Ilahi. Malah ia antara indikator penerimaan ibadah haji di sisi Allah SWT sebagaimana yang pernah dikatakan oleh ulama terdahulu.
Jika sebelum ke Tanah Suci biasa bersembang dan membuang masa kepada perkara-perkara yang kurang berfaedah kini diganti dengan banyak mendekatkan diri, berzikir dan beribadah kepada Allah SWT. Jika dahulu kurang solat berjemaah di masjid kini setelah berhari-hari dilatih berjalan kaki, berulang alik setiap waktu ke Masjidil Haram tiba masanya untuk berulang alik ke masjid berdekatan. Pendek kata selayaknya haji dan hajah berhijrah dari pada segala perlakuan yang kurang baik kepada yang baik dan dari pada yang baik kepada yang lebih baik.
Kesibukan seharian tidak patut dijadikan alasan kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan yang terbuka luas. Perkara yang lebih penting untuk diperhatikan ialah setiap manusia perlu berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah SWT bukan mengharap pujian dan sanjungan sesama makhluk. Usah pula seperti hangat-hangat tahi ayam, ke sana ke mari berkopiah dan memegang tasbih mungkin kerana aura Mekah dan Madinah yang masih menebal, namun kemudiannya kembali mengenakan seluar pendek, tidak bertudung dan berpakaian menutup aurat setelah berlalu beberapa masa walaupun sudah bergelar haji dan hajah.
Perlu juga di difahami betapa segala ibadat dan perlakuan baik di Tanah suci tidak terhad kepada masa dan tempat tertentu malah ia sepatutnya berterusan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Dua Tanah Haram merupakan institusi pendidikan terulung buat tetamu Allah SWT yang kemudiannya memerlukan semangat jihad, pengorbanan dan komitmen yang tinggi untuk merealisasikannya di tanah air sendiri. Jika tidak segala pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga yang dicurahkan untuk menunaikan fardu haji boleh jadi sirna dan sia-sia tanpa balasan yang setimpal di sisi Nya.
Pada sudut pandang yang lain, golongan baharu bergelar haji dan haji perlu sentiasa menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat sekeliling bagi mengelak fitnah kepada agama dan umat Islam secara umumnya. Ini kerana gelaran haji dan hajah adalah suatu gelaran yang mulia dan tinggi kedudukannya di sisi masyarakat. Adalah tidak molek jika ia dicemari dengan perkara-perkara mungkar dan melanggar sempadan agama. Malah kedudukan mereka di sisi Allah SWT juga tinggi kerana berjaya meraih nikmat menduduki Syurga dengan segala kenikmatannya implikasi dari pada haji mabrur yang diterima oleh Nya.
Bagi yang belum bergelar haji dan hajah pula, kepulangan ibu bapa, sanak saudara dan rakan sekerja setelah selesai menunaikan fardu haji seyogianya menjadi sumber inspirasi dan tekad untuk bersungguh-sungguh menyediakan segala pra syarat dan komitmen kewangan untuk ke Tanah Suci.
Usah dijadikan alasan perangai kurang elok segelintir golongan yang sudah bergelar haji dan hajah sehingga melengah-lengahkan tuntutan wajib menunaikan haji dalam keadaan sudah berkemampuan. Ini kerana masa yang ada semakin terhad, umur juga semakin meningkat malah faktor kesihatan dan kecergasan tubuh badan semasa di usia muda sangat ditagih ketika terpilih menjadi tetamu Allah SWT. Perlu juga diingatkan agar setiap Muslimin khususnya di Malaysia perlu mendaftarkan diri di mana-mana Pejabat Tabung Haji berdekatan bagi mendapatkan kuota terpilih menunaikan haji apabila tiba masanya. Jika tidak berbuat demikian keinginan untuk ke Tanah Suci kemungkinan sukar dan tinggal angan-angan sahaja, malah permohonan yang sedia adapun sudah menjangkau tempoh berpuluh-puluh tahun untuk dinanti.
Elakkan dari pada sering mencari alasan dan berkira-kira untuk menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah SWT, kerana kegagalan berbuat demikian akan dipertanggungjawabkan pada hari kemudian. Usah pula seronok menuding jari mencari kesalahan orang lain, kerana berkemungkinan ada yang tidak diterima hajinya oleh Allah SWT. Ia selayaknya dijadikan iktibar oleh semua agar ketika terpilih menjadi tetamu Allah, setiap Mukim berusaha beribadah sehabis baik bagi mengelak menerima nasib yang serupa.
Lebih dari pada itu sempena ketibaan tahun baharu hijrah 1436 ini, kaum Muslimin diajak untuk memuhasabah diri dan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki segala kekurangan dan kesilapan lalu. Jadikanlah tahun baharu yang bakal menjelang tiba sebagai indikator perubahan dalam diri lalu berhijrah secara total dari sudut amalan ibadah, pergaulan seharian, tutur kata dan perangai manusiawi kepada yang bersesuaian dengan kehendak Ilahi.
Ia sebaiknya dimulakan dengan amalan baik membaca doa awal tahun sama ada secara sendiri atau beramai-ramai di masjid dan surau berdekatan. Para ibu bapa diseru untuk mengajak seluruh keluarga termasuk anak-anak remaja memulakan tahun baharu dengan bertasbih, bertahmid dan berdoa sebagai tanda bersyukur atas nikmat panjang umur, sihat tubuh badan dan diberi peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan kepada Nya. Ambil peluang untuk saling ingat mengingati satu sama lain, terutama bagi anak-anak yang sudah berkerjaya dan tinggal berjauhan dari pada ibu bapa.
Ia penting agar segala amalan baik setahun yang lalu dikira dan dinilai sebagai amalan yang sempurna di sisi Allah SWT, manakala segala amalan buruk dipohon agar mendapat keampunan dari pada Nya. Pada tahun yang baharu pula doa dipanjatkan agar terpelihara dari pada musibah, gangguan syaitan, dipelihara iman dan dipanjangkan umur dalam ibadah kepada Nya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
