Menjelang
pembentangan bajet kerajaan kali ini umat Islam turut diajak untuk menyediakan bajet
setahun beramal menggunakan wang ringgit. Ini bagi membuktikan kesyukuran dan
tanda pengabdian yang tidak berbelah bahagi atas sekalian banyak nikmat yang diterima.
Selain sebagai ibadah sukarela yang mudah-mudahan dapat menutup lompang-lompang
dan kekurangan dalam pelaksanaan ibadah wajib.
Ini boleh dimulakan dengan menyediakan bajet harian untuk
bersedekah dan memberi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Dengan cara ini
para Muslimin dapat mengikis sifat negatif seperti bakhil dan cintakan
kemewahan dunia yang sementara. Usaha ini boleh dikembangkan lagi dengan
menyumbang kepada tabung Jumaat sebagai sumbangan bersifat mingguan. Untuk itu
sejumlah peruntukan perlu ditentukan sejak awal tahun supaya seseorang sentiasa
istiqamah bersedekah. Malah jumlah sumbangan itu eloklah ditambah sesuai dengan
keperluan semasa.
Bayangkan jika seseorang hanya sekadar menyumbang
sebanyak RM1 setiap Jumaat, secara purata hanya kira-kira RM48.00 sahaja yang didermakan
sepanjang tahun. Fikirkanlah pula apa yang dapat dimanfaatkan oleh
pengurusan masjid dengan sumbangan yang tak seberapa sedangkan sesetengah
masjid dan surau kini dilengkapi dengan sistem penghawa dingin dan permaidani empuk
untuk kemudahan jemaah.
Dalam situasi
lain terdapat pula yang tidak keberatan untuk menyediakan peruntukan yang besar
untuk perkara-perkara yang kurang berfaedah seperti membeli peralatan menghisap
rokok elektrik yang bernilai ratusan ringgit. Lebih dari itu setiap individu
Muslim sepatutnya berfikir tentang persiapan untuk kembali bertemu Ilahi yang
kunjung tiba pada bila-bila masa tanpa disangka-sangka.
Selain itu
setiap individu Muslim disaran menyediakan bajet awal untuk menyambut ketibaan
Ramadan tahun ini dengan menentukan bajet untuk menyediakan juadah berbuka
puasa. Memandangkan ketika Ramadan segala amal ibadah dilipatgandakan pahalanya
maka kesempatan Ramadan mestilah direbut dengan meningkatkan jumlah tabungan
amal kebajikan untuk manfaat diri sendiri.
Begitu pula ketika
Bulan Zulhijjah masyarakat Islam digalakkan untuk mengorbankan binatang
ternakan sebagai mencontohi pengorbanan agung Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail as.
Persoalannya setelah sekian banyak wang ringgit kita belanjakan sepanjang tahun
mengapa tidak setahun sekali para Muslimin mengorbankan sebahagian kecil
daripada gaji untuk beribadah kepada Allah SWT pula. Ini dapat dilakukan dengan
menabung sejak awal tahun supaya tidak sekadar menjadi penonton setiap kali
ibadah korban dilaksanakan.
Bagi yang belum
berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci pula bolehlah menabung kira-kira
RM100 sebulan. Jika istiqamah dilaksanakan, dalam tempoh sepuluh tahun wang
tabungan untuk menunaikan fardu haji sudah mencukupi dan hanya perlu menanti jemputan
ke Tanah Suci. Ataupun dalam tempoh lima hingga enam tahun menabung jumlah yang
ada sudah memadai untuk menunaikan umrah.
Diingatkan juga
betapa sedekah jariah ataupun wakaf sangat bermanfaat untuk kebahagiaan hidup
dunia dan akhirat. Wakaf yang bersifat kekal menyediakan pahala bagi pewakaf yang
berkekalan dan berpanjangan selama-lamanya. Untuk itu selagi hayat dikandung
badan usahlah dilepaskan kesempatan untuk berwakaf dalam pelbagai keperluan
kehidupan. Selain wakaf untuk masjid dan tanah perkuburan kini universiti juga
memerlukan sejumlah dana wakaf untuk membiayai aktiviti akademik dan biasiswa
kepada pelajar yang memerlukan.
Justeru itu setiap
Muslimin diajak untuk menghilangkan perangai mazmumah seperti kedekut dan merasa
kehilangan apabila menginfakkan harta fisabilillah, kerana pasti ada ganjaran
setimpal yang menanti di sana. Allah SWT berfirman maksudnya;
“Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan
baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan
Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki". (Terjemahan Surah Saba:39)
Oleh itu usahlah
ditunggu sehingga detik-detik akhir menjelang kematian baru berharap untuk
bersedekah dan berbuat kebajikan kerana pada ketika itu tiada apa yang dapat
dilakukan melainkan berserah diri kepada ketentuan Tuhan.
Perlu juga
diingat betapa sedekah dapat menghapuskan dosa-dosa sepertimana air memadamkan
api. Malah sedekah mempermudahkan laluan ke Syurga, penawar kepada
penyakit-penyakit selain bertambah rezeki dan berkat kehidupan dengan asbab doa
daripada penerima sedekah. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya;
“Orang yang
dermawan itu dekat kepada Allah, dekat kepada Syurga, dekat kepada manusia,
jauh dari neraka. Orang yang kedekut itu adalah jauh dari Allah, jauh dari
Syurga, jauh dari manusia dan dekat kepada neraka. Orang jahil yang dermawan
pula lebih dicintai oleh Allah daripada ahli ibadah yang kedekut”. (Hadis
riwayat al-Tirmizi)
Dalam bersedekah
tiada jumlah atau kadar tertentu yang ditetapkan. Sedikit ataupun banyak bergantung
kepada kemampuan. Yang penting ialah ikhlas ketika memberi. Lebih elok lagi
jika pemberian itu dirahsiakan bagi mengelak timbul riak dan perasaan meninggi
diri. Boleh juga dilakukan secara terang-terangan sebagai motivasi untuk orang
lain turut bersedekah.
Bersempena
dengan kedatangan tahun baharu hijrah 1437 ini, masyarakat Islam diajak
mempertingkatkan amalan kebajikan sepanjang masa dalam erti kata hijrah yang
sebenar. Usah seperti hangat-hangat tahi ayam dengan pelbagai azam dan
cita-cita ibadah diawal tahun kemudian ditinggalkan satu persatu setelah culas
dan berkira-kira melaksanakannya.
No comments:
Post a Comment