Thursday, January 21, 2016

ATASI KEMISKINAN PELAJAR DENGAN BERWAKAF



Paparan akhbar mengenai pelajar universiti yang pengsan kerana tiada wang untuk membeli nasi cukup menghibakan. Menitis air mata memikirkan bagaimana di saat pelbagai instrumen pembiayaan pelajaran disediakan baik oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan GLC masih ada pelajar yang terpaksa menahan lapar berhari-hari kerana kesempitan hidup yang dialami oleh keluarganya. Tak cukup dengan itu dana zakat, wakaf, endowmen dan sedekah yang diusahakan oleh universiti juga seolah-olah tidak mampu untuk menangani masalah ini.

Sebenarnya isu pembiayaan pelajaran ini bukanlah isu baharu yang disensasikan oleh media.  Sedar ataupun tidak sebelum ini pernah dilaporkan ibu bapa dan pelajar Malaysia di luar negara seolah-olah menjerit meminta simpati bagi menampung kos pengajian mereka. Malah ada juga yang terpaksa pulang ke tanah air tanpa segulung ijazah kerana ketiadaan biasiswa. Terdapat juga kajian oleh Christina Andin et.al. yang mendapati separuh daripada 118 responden di Kolej 17 UTM menghadapi masalah kewangan seperti tidak mampu membeli buku rujukan, amat memerlukan pekerjaan semasa cuti panjang dan masalah menjelaskan yuran persatuan.  Ini ditambah lagi dengan kos pendidikan yang semakin meningkat dan kemelut ekonomi semasa sehingga pihak kerajaan terpaksa pula mengurangkan bajet Kementerian Pengajian Tinggi pada pembentangan Bajet 2016 yang lalu. 

Justeru masyarakat yang prihatin diseru bangkit membantu merealisasikan cita-cita anak bangsa dengan menghulurkan bantuan kewangan yang diperlukan. Seluruh masyarakat diajak bangkit membantu menginfakkan harta melalui skim wakaf ilmu yang sudah diperkenalkan di dua buah universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Objektif pelaksanaannya bertujuan untuk menerima aset, sumbangan wang tunai, saham, aset-aset kewangan daripada dalam dan luar negara untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan. Selain itu UIAM, UTM, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Sabah dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) turut memperkenalkan skim endowmen dan wakaf untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar. 

Tak kiralah sama ada atas nama wakaf ataupun endowmen, tanpa sokongan daripada warga universiti dan masyarakat setempat usaha murni ini tidak akan mampu pergi jauh. Lebih mengelirukan apabila terdapat segelintir yang memandang serong terhadap pelaksanaan wakaf ini berbanding cuba memberi pandangan dan komen positif  yang membina. Jangan jadi seperti kata pepatah marahkan nyamuk seekor habis kelambu dibakar.

Tidak dinafikan terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak universiti. Misalnya di sudut perundangan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah Pemegang Tunggal Amanah Wakaf di setiap Negeri. Dengan wujudnya peruntukan ini pelaksanaan wakaf oleh mana-mana pihak tertakluk kepada kebenaran oleh MAIN. Namun begitu di Negeri Selangor telah dicadangkan pindaan enakmen yang membenarkan pihak tertentu dan institusi untuk menguruskan sendiri dana wakaf dengan pemantauan oleh pihak Majlis. Perkembangan positif ini diharap dapat dicontohi oleh Negeri-negeri lain dengan mewujudkan peruntukan yang sama agar seragam dan memberi manfaat kepada semua. Malah pengenalan peruntukan ini tidak sama sekali mengetepikan peranan Majlis selaku sole trustee sebaliknya MAIN  boleh mewujudkan kerjasama strategik agar aktiviti wakaf oleh mana-mana pihak selari dengan ketetapan syariat. 

Selain daripada itu masalah kurang kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan wakaf juga menjadi halangan kepada perkembangan skim wakaf di universiti. Ramai yang masih melihat wakaf dalam konteks yang sempit seperti tanah perkuburan, masjid dan surau sahaja. Sedangkan jika ditinjau suatu ketika dahulu wakaf pernah digunakan untuk membangun gendung perniagaan, kawasan rehat dan rawat juga kawasan mandi awam. Malah peranannya dalam pembangunan pendidikan tinggi tidak dinafikan lagi. Universiti al-Azhar di Mesir dibangunkan dengan dana wakaf yang manfaatnya kekal berterusan hingga ke hari ini dalam melahirkan ulama, mufti dan para asatizah yang disegani. Malah dengan jumlah dana wakaf yang banyak wakaf al-Azhar mampu menampung kos pengajian percuma kepada semua pelajarnya daripada peringkat rendah hinggalah ke universiti. 

Sementara itu keengganan segelintir pelajar yang malu untuk memohon bantuan kewangan juga dilihat punca mengapa terdapat pelajar tercicir menerima bantuan.  Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Tn. Hj. Shamsul Azhar bin Mohd. Yusof iaitu Pengarah IIUM Endowment Fund, semasa sesi temu bual yang berlangsung sebelum ini. Menurut beliau ada pelajar yang seolah-olah menyembunyikan masalah kewangan yang dihadapi oleh mereka walaupun terpaksa makan nasi berlaukkan kuah sahaja.  

Dalam hal ini beberapa individu yang ditemu bual termasuk Mufti, pakar bidang wakaf dan ahli akademik bersetuju wakaf dijadikan alternatif pembiayaan pendidikan tinggi negara. Malah dengan ganjaran dan kelebihan berwakaf sama ada bagi yang hidup ataupun yang sudah meninggal dunia ia tidak sepatutnya dipandang remeh. 

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; Apabila mati anak Adam terputus segala amalannya kecuali tiga; sedekah jariah, anak yang soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanfaat. (Hadis riwayat Muslim). Para ulama bersepakat mengatakan sedekah jariah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah wakaf yang berkekalan zatnya dan berpanjangan manfaatnya. Malah apabila diteliti ketiga-tiga aspek ini terdapat dalam pelaksanaan wakaf di universiti sehingga pewakaf beroleh ganjaran sedekah yang mengalir pahalanya walaupun setelah mati, didoakan oleh pelajar-pelajar yang soleh selain mendapat ganjaran ilmu bermanfaat turun temurun.

Perlu juga difahami betapa wakaf adalah harta milik Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada para Nazir untuk mengurusnya dengan sempurna. Jika tidak segala penyelewengan dan pengabaian niat pewakaf akan dipertanggungjawabkan ke pundak universiti sebagai pentadbir.  Malah pihak universiti dicadangkan menunjukkan hasil sumbangan wakaf kepada umum bagi meningkat motivasi masyarakat untuk menyumbang. 

Bersempena dengan kedatangan Tahun Baharu 2016 ini seluruh masyarakat diajak meningkatkan amal kebajikan termasuklah dengan berwakaf sebagai persiapan untuk kembali kepada Nya. Ambillah peluang dan kesempatan untuk berbakti dengan modal kewangan yang ada sebelum terlambat dan menyesal yang sudah tentu tidak berguna lagi.

No comments:

Post a Comment