Sunday, February 1, 2015
Bila lagi harga barangan akan diturunkan?
Penulis menyokong penuh gesaan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mendesak golongan pembekal dan pemborong menurunkan harga barangan berikutan pengumuman harga baharu minyak di pasaran tempatan bermula 1 Februari yang lalu. Menurut beliau lagi kalangan pemborong dan peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan mengaut keuntungan tinggi semata-mata tanpa memikirkan nasib pengguna yang perlu menanggung bebanan kewangan yang lain.
Malah setelah dua kali pihak Kerajaan bertindak menurunkan harga petrol dan diesel berikutan penurunan harga minyak mentah dunia, belum ada tindakan drastik dari pada golongan ini untuk menurunkan harga barangan terutama barangan keperluan seharian. Mereka seolah-olah berdegil dan tidak mempedulikan gesaan pengguna supaya berkompromi menurunkan harga barangan demi kemaslahatan bersama.
Penulis merasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan bertegas dalam perkara ini demi menjaga kepentingan rakyat marhaien sesuai dengan slogan yang dilaung laungkan oleh kerajaan iaitu “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Mekanisme pengapungan harga minyak terkawal yang diperkenalkan oleh kerajaan kemungkinan elok juga dijadikan asas kepada pengawalan harga barangan keperluan harian agar ia seiring dengan situasi dan kehendak pasaran semasa. Dalam erti kata yang lain apabila harga minyak mengalami penyusutan harga barangan keperluan juga akan ikut menurun.
Dalam hal ini kajian dan penyelidikan terperinci boleh diusahakan oleh pakar ekonomi dan ahli akademik tempatan yang berlatar belakangkan pengajian ekonomi dan kewangan sehingga cadangan penyelesaian yang bernas dapat disalurkan kepada pihak kerajaan dalam usaha menangani isu ini dari pada terus berlarutan.
Dicadangkan juga agar pihak kerajaan campur tangan dan terus menerus mengadakan perbincangan dua mata bersama wakil pengeluar dan pemborong supaya jalan penyelesaian terbaik dapat diusahakan. Malah ia merupakan antara tanggungjawab utama yang perlu dimainkan oleh pihak kerajaan bagi mengawal usaha pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan lumayan ketika kos operasi dan logistik barangan semakin berkurangan.
Adalah sesuatu yang tidak adil apabila golongan peniaga tersenyum gembira mengaut keuntungan perniagaan yang berlipat kali ganda sedangkan pengguna terpaksa menanggung kos barangan yang semakin meningkat di saat ia tidak selayaknya berlaku.
Penulis juga mengharapkan agar penyedia-penyedia perkhidmatan turut sama mengambil inisiatif mengurangkan kos perkhidmatan yang ditawarkan berbanding suatu ketika dahulu di mana semuanya berebut rebut menaikkan caj perkhidmatan masing-masing disebabkan kenaikan harga minyak dunia.
Terdapat pula pihak-pihak tertentu yang sebelum ini begitu lantang mendesak kerajaan supaya meluluskan kenaikan kos perkhidmatan yang ditawarkan kini diam seribu bahasa walaupun ada gesaan dari pada masyarakat pengguna supaya segera berkompromi dengan menstabilkan harga barangan di pasaran.
Lebih mengelirukan apabila ada pihak tertentu yang sudah awal-awal mengenakan cukai atas nama cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 5 dan 6%, sedangkan menurut yang diketahui umum kadar cukai tersebut hanya akan mula berkuat kuasa mulai Bulan April yang akan datang.
Dalam hal ini usaha pihak pengurusan Air Asia memansuhkan surcaj bahan api berkuat kuasa 8 Januari 2015 yang lalu patut dicontohi walaupun mereka sedang berkabung dan bersedih atas tragedi kemalangan udara yang menimpa anak syarikatnya di Indonesia. Usaha yang sama sepatutnya diikuti oleh penyedia barangan dan perkhidmatan yang secara langsung terlibat dengan penurunan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan. Bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bukit sama didaki lurah sama dituruni.
Penulis juga tertarik dengan laporan oleh portal mynewshub.cc yang disiarkan pada 17 Januari 2015 yang lalu, yang memetik kenyataan jurucakap Jabatan Perhubungan Awam Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, bahawa pengendali bas di Indonesia seperti Metro Mini dan Kopaja Kompak selain teksi bermeter telah bersetuju untuk mengurangkan tambang pengangkutan mereka. Disebutkan juga bagaimana perbincangan lanjut sedang dilakukan dengan dua buah persatuan pengusaha pengangkutan awam iaitu Organisasi Angkutan Darat (Organda) dan Dewan Transportasi Kota Jakarta bagi menurunkan harga tambang perjalanan berikutan penurunan harga minyak di Indonesia yang sudah dua kali diumumkan oleh pihak pemerintah pada Bulan Januari yang lalu.
Tuntasnya, tanpa usaha bersungguh-sungguh dari pada semua pihak yang terlibat, masyarakat pengguna tak ubah seperti anjing menyalak bukit, bukit takkan runtuh. Golongan pengguna juga bagaikan durian dengan mentimum akan terus menderita akibat ketamakan komuniti pengeluar dan pemborong yang hanya mementingkan tembolok mereka sendiri sahaja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment