Wednesday, May 13, 2015
Sirah agung yang menakjubkan
Pada keesokan harinya Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada Ummu Hani’ akan peristiwa Israk Mikraj yang baharu dilaluinya. Ummu Hani’ mengingatkan Nabi SAW supaya tidak menyebarluaskan berita itu kerana bimbang akan disakiti. Namun Baginda tetap ingin menceritakan perjalanannya daripada Masjidil Haram di Mekah, melalui Yathrib yakni Madinah kemudian ke Baitul Maqdis di Palestin lalu dibawa naik ke langit oleh Malaikat Jibril untuk menghadap Allah SWT.
Diceritakan juga bagaimana Abu Jahal menawarkan diri untuk memanggil penduduk Mekah supaya Nabi SAW boleh menyampaikan berita itu kepada kaumnya setelah dia sendiri tidak mempercayainya. Akhirnya ada yang bertepuk tangan dan meletakkan tangan di kepala kerana kehairanan dan ada pula yang lemah iman lalu murtad kerana tidak dapat menerima berita tersebut. Malah kisah tersebut heboh diceritakan oleh masyarakat Mekah di mana-mana dalam keadaan segelintir yang percaya sedangkan ramai yang mengingkarinya.
Kini setelah lebih 1400 tahun peristiwa agung itu berlalu, masih terdapat segelintir masyarakat Islam yang seolah-olah tidak beriman dan percaya akan kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu. Terdapat golongan yang ingkar lagi sombong untuk melaksanakan perintah solat lima waktu yang telah difardukan pada malam Israk dan Mikraj. Ada pula yang seperti beraja di hati bersultan di mata melakukan segala pelanggaran terhadap hukum-hakam agama tanpa rasa malu dan berdosa. Akibatnya jenayah rogol, perzinaan dan buang bayi terus berleluasa tanpa henti. Begitu pula jenayah siber, penyebaran berita palsu, mencemarkan kesucian agama Islam, mengejek dan memburuk-burukkan sesama sendiri semakin diminati seiring dengan kecanggihan dunia telekomunikasi hari ini.
Sehubungan dengan itu, Umat Islam diajak bermuhasabah diri dengan segera bertaubat dan menyucikan diri daripada kekotoran lahiriah dan batiniah sebagai persiapan untuk kembali ke Kampung Akhirat yang abadi. Ambillah iktibar daripada contoh hukuman yang dipertontonkan kepada Nabi SAW dalam perjalanan mikrajnya untuk pedoman bersama. Antaranya;
1. Ada golongan yang bertindak memukul kepalanya sendiri sehingga pecah, kemudian dikembalikan semula kepada bentuk asalnya lalu dipukul lagi sehingga pecah sebagai seksaan akibat malas dan lengah menunaikan solat lima waktu.
2. Ada pula sekelompok manusia yang hanya menutup kemaluan depan dan belakangnya sahaja, mereka memakan buah-buahan neraka yang busuk dan berduri serta memakan bara-bara batu api neraka, sebagai balasan enggan menunaikan kewajipan zakat yang difardukan.
3. Ada juga satu golongan yang perutnya terlalu besar seakan-akan rumah setiap kali ingin berdiri mereka jatuh akibat besarnya perut mereka sebagai balasan buat pemakan riba dan yang terlibat menghalalkannya.
4. Terdapat juga satu kelompok yang dihidangkan daging yang baik dan daging yang busuk lalu memilih untuk makan yang busuk dan membuang daging yang baik. Inilah satu daripada bentuk hukuman kepada golongan penzina lelaki dan perempuan yang leka berbuat maksiat tanpa sedar betapa azab seksa sedang menunggu mereka.
5. Nabi SAW diperlihatkan kepada sekelompok manusia yang menggunting lidah dan bibir mereka sendiri, setiap kali dipotong dikembalikan semula seperti sedia kala lalu diulang-ulang perlakuan tersebut sebagai peringatan buat golongan yang suka menabur fitnah serta menyampaikan berita-berita palsu.
6. Ada pula yang dilihat oleh Nabi SAW mengumpulkan kayu api yang banyak sehingga tidak kuat lagi untuk memikulnya namun tetap ditambah dan ditambah lagi sebagai perumpamaan untuk golongan yang dipertanggungjawabkan untuk memikul sesuatu amanah dan tidak dapat melaksanakannya akan tetapi tetap berdegil untuk memikul amanah tersebut.
7. Malah ada perumpamaan buat golongan yang suka bercakap besar tetapi tidak berupaya untuk mengotakan apa yang dikata seperti ada sebuah lubang kecil yang keluarnya daripadanya lembu yang besar kemudian ia ingin memasukinya semula lalu tidak berjaya.
Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW merupakan sirah agung yang sarat dengan pedoman dan pengajaran buat umat manusia sepanjang zaman. Masyarakat Islam seluruhnya diseru menghayati sirah agung yang menakjubkan ini dengan kembali memperkukuhkan keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT serta bertaubat daripada terus bergelumang dengan perbuatan dosa dan maksiat yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Para Muslimin diingatkan agar tidak terus leka dengan nikmat umur yang masih muda lalu dihabiskan dengan berseronok dan berfoya-foya. Usahlah berpuas hati dengan tubuh badan yang sihat kerana ketentuan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Sedarlah juga betapa nikmat sihat dan nikmat masa lapang adalah dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia, apabila sirna ia tidak dikembalikan lagi.
Justeru itu, bersempena memperingati peristiwa menakjubkan perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW ke langit marilah semua bermuhasabah diri mempersiapkan bekalan untuk bertemu Ilahi. Berusahalah untuk berbuat apa sahaja amal bakti dengan segala yang dimiliki demi meraih keredaan dan maghfirah dari Ilahi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment