Monday, November 1, 2010

Nasib pemandu kenderaan awam terabai

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Pendapat Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3hb Nov. 2010.

KEBIASAANYA apabila berlaku kemalangan maut yang melibatkan kenderaan awam seperti bas ekspress pemandu dan syarikat terbabit akan disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan. Keadaan kenderaan dan fizikal jalanraya turut diteliti sama ada turut menyumbang kepada nahas yang berlaku ataupun tidak. Dalam pada itu masyarakat Malaysia yang prihatin hangat mengandaikan sebab kemalangan sambil ada yang mencadangkan itu dan ini. Tidak kurang juga terdapat segelintir yang mudah membuat kesimpulan dengan menyalahkan pihak tertentu. Selang beberapa ketika isu tersebut seakan dilupakan sehinggalah berlaku kemalangan maut yang lain lalu ia kembali heboh diperkatakan di mana-mana.

Namun sedarkah kita nasib golongan pemandu bas ekspress di Malaysia yang kurang diberi perhatian. Dengan anggaran pendapatan diantara RM300-RM700 sebulan mereka terpaksa berlumba di lebuhraya demi untuk mengejar trip bagi menyara keluarga dan persekolahan anak-anak. Hasilnya mereka beroleh pendapatan empat angka yang tampaknya mewah walaupun terpaksa bersengkang mata kerana memikirkan nasib puluhan nyawa penumpang sebagai amanah yang pasti dipersoalkan.

Tambahan lagi kerjaya sebagai pemandu bas ekspress yang merupakan pilihan terakhir bagi sesetengah golongan tidak menjanjikan penghidupan selesa di masa hadapan terutama bagi yang kurang beringat. Ini kerana tiada potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dilakukan oleh sesetengah majikan. Tiada kenaikan gaji tahunan seperti yang biasa dinikmati oleh pekerja sektor perkilangan. Bonus tahunan pula jauh panggang daripada api. Faedah cuti juga tidak menentu. Mereka seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Malah lebih buruk lagi apabila bas yang digunakan untuk mencari makan mengalami kerosakan pendapatan bulanan mereka juga akan terjejas.

Jalanraya umpama rumahtangga sehingga keluarga dan anak-anak kadang-kadang terabai demi mencari sesuap nasi rezeki kurniaan Tuhan. Mereka berkorban masa, tenaga malah nyawa untuk menyelesaikan tuntutan fardu kifayah kepada segenap lapisan masyarakat. Namun jarang jasa dan pengorbanan mereka dibalas dengan ucapan terima kasih oleh penumpang sebaik selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Tidak dinafikan ada segelintir pemandu bas ekspress yang nakal ketika di jalanraya. Mereka tidak menghiraukan amaran perangkap laju yang diletakkan di lebuhraya kerana sangat arif dengan kedudukan kamera penembak laju. Ditambah lagi dengan semangat setiakawan yang erat antara pemandu sehingga setiap kali berselisih ada sahaja lambaian manja penuh bermakna diberikan kepada rakan-rakan yang lain. Malah pemandu kereta yang prihatin juga boleh mendapat manfaat apabila terlihat lambaian tersebut. Ataupun setidak-tidaknya memandulah dengan berhemah apabila melihat bas ekspress dan kenderaan berat bertunda-tunda memandu sopan di laluan kiri kerana pasti ada yang sedang memerhati.

Ada juga segelintir pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan arak yang membahayakan penumpang. Tidak kurang juga terdapat komuniti pemandu Muslim yang melalaikan tanggungjawab dan kewajipan agama seperti solat lima waktu sehingga penumpang juga terlibat meninggalkan solat yang difardukan.

Di sudut pandang yang lain tokeh-tokeh bas ekspress mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap tahun hasil kenaikan tambang bas dan peningkatan jumlah penumpang pulang ke kampung terutama di musim perayaan. Namun aspek kebajikan pemandu yang merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan mereka kurang diberi perhatian terutama oleh majikan yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Justeru siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan setiap kali berlaku kemalangan maut yang melibatkan kenderaan awam. Yang pasti pemandu bas ekspress akan menjadi suspek utama kerana merekalah yang mengendalikan kenderaan tersebut. Tentunya mereka yang terlebih dahulu direman oleh pihak berkuasa jika bernasib baik tidak mati terkorban ketika keluar mencari rezeki yang halal.

Namun jika difikirkan dengan rasional golongan pemandu juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan. Boleh jadi aspek pemanduan laju dan berbahaya akhirnya mengundang padah kepada mereka. Tidak salah juga jika setiap orang yang beriman kembali berpegang dengan ketentuan qada qadar Tuhan sebagai asbab malapetaka yang tidak boleh dipertikaikan. Malah kemalangan maut yang meragut nyawa hanyalah asbab kepada kematian yang tidak boleh dielakkan oleh sesiapa jua pun.

Walau apapun faktor yang menyumbang kepada kemalangan maut yang tidak diingini, ramai masyarakat lebih selesa menuding jari menyalahkan golongan tertentu. Kebajikan pemandu kenderaan awam di Malaysia jarang diperbincangkan. Adalah dicadangkan supaya penetapan gaji minimum yang dicadangkan kepada sektor tertentu seperti pengawal keselamatan dan pembantu rumah yang sesetengahnya bukan orang tempatan wajar diperluaskan kepada golongan pemandu yang turut terkesan dengan peningkatan taraf hidup semasa. Malah sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat mereka lebih layak untuk mendapat pengitirafan tersebut berbanding warga asing yang pasti pulang ke negara asal mereka apabila tamat bekerja di sini.

Rakan pemandu se-agama pula dinasihat tidak menggabaikan tanggungjawab solat yang utama walau sesibuk mana mencari rezeki kerana ia merupakan tali penghubung hamba dengan Tuhan-Nya. Disitulah letaknya keberkatan atas nikmat rezeki kurniaan Tuhan yang jika disyukuri akan ditambah sehingga mencukupi. Berusaha dan bertawakkallah kepada Allah SWT serta ingatlah sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “ Tergesa-gesa itu daripada syaitan dan berhemah itu daripada Allah SWT”.

Tuesday, October 26, 2010

Paul Si Sotong kurita dalam kenangan



PAUL Si sotong kurita yang pernah mendapat perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia dilaporkan mati pada pagi Selasa lalu di Aquarium Sea Life Western German city of Oberhausen. Usianya baru mencecah dua setengah tahun tetapi cukup sinonim dengan perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Ini kerana ramalannya yang tepat kepada semua 7 keputusan perlawanan pasukan Jerman disamping ramalan tepat bahawa pasukan Spanyol akan menjuarai perlawanan akhir Piala Dunia ketika menentang pasukan Belanda.

Apapun tiada yang pelik dan ajaib tentang kematian Paul untuk diperdebatkan. Itulah ketentuan Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas setiap makhluk yang bernyawa. Lagipun Paul Si Sotong Kurita hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai makhluk ciptaan Tuhan yang berkeliaran di lautan dan di daratan bagi memberi manfaat dan kemudahan kepada manusia untuk melaksanakan tanggungjawab mengabdikan diri kepada pencipta-Nya.

Malah yang lebih utama manusia sebagai makhluk yang dipertanggungjawabkan dengan tugas khilafah bagi memakmurkan alam buana ini dan tidak melakukan kerosakan padanya wajar sentiasa menginsafi dan bermuhasab diri. Ini kerana tugas sebagai perwakilan Allah SWT adalah tugas berat yang tidak sanggup dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang yang begitu hebat tetapi diterima oleh manusia yang kerdil dan selalu melakukan kerosakan.

Allah SWT berfirman dengan maksudnya; ”Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. (Surah al-Ahzab:72)

Justeru bagi mengelak amanah kepimpinan menjadi tugas yang mencelakakan manusia beberapa prinsip khilafah dan kepemerintahan perlu difahami dan dilestarikan dengan sempurna. Ini kerana yang berkuasa untuk mengatur segala pergerakan alam, siang dan malam juga menentukan segala peraturan adalah kuasa mutlak milik Allah SWT. Manusia sebagai wakil hanya perlu mengikut segala garis panduan yang telah ditetapkan tanpa boleh mempersoalkannya apatah lagi membantah sekalipun mereka memiliki kuasa di dunia.

Bahkan begitulah sifat wakil yang tidak boleh melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya tanpa terlebih dahulu merujuk kepada manual kepemimpinan yang ditetapkan oleh syarak. Tidak kira siapapun mesti bertindak berlandaskan prinsip-prinsip al-Quran dan al-Sunnah. Kerana sekalipun seseorang tidak dilantik sebagai ketua seperti yang difahami dia tetap pemimpin dan ketua kepada diri sendiri dan orang yang dibawah tanggungannya.

Nabi Muhammad SAW bersabda “Semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu bertanggungjawab terhadap orang bawahannya”.

Berdasarkan prinsip khilafah juga manusia diamanahkan dengan tugas mengurus alam tanpa berbuat sesuatu yang mengundang kemusnahan dan malapetaka. Ini kerana alam dan seluruh isinya dijadikan untuk memberi segala kemudahan kepada manusia dan perlu dipelihara untuk generasi mendatang. Jika tidak manusia akan berhadapan dengan akibat buruk daripada perbuatan tersebut yang mengundang padah kepada diri sendiri.

Fenomena pemanasan global yang membimbangkan adalah contoh daripada kerakusan segelintir manusia yang tamak melahap khazanah alam sehingga memberi implikasi negatif kepada perubahan cuaca dan iklim dunia. Yang perlu juga diingat segala yang telah dimanipulasi oleh manusia atas nama teknologi tidak ada galang-ganti mahupun spare partnya lagi. Lapisan ozon yang menipis lalu menyebabkan ais di kutub mencair sehingga meningkatkan isipadu air laut dan berkemungkinan besar menenggelamkan kawasan daratan yang rendah adalah hukuman atas kegagalan mentaati prinsip khilafah yang diamanahkan.

Maha benarlah firman Allah SWT yang bermaksud “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (surah al-Rum:41)

Persoalannya mengapa manusia sebagai khalifah perlu berbuat demikian. In kerana seperti Paul Si Sotong kurita yang mati manusia sebagai makhluk juga tidak akan dapat terus menongkat langit sampai bila-bila. Pada saat itu tiada sesiapapun mampu mengelak daripada persoalan kepemimpinan yang bakal diajukan. Ayah sebagai ketua keluarga akan dipersoalkan dengan amanah mendidik isteri dan anak-anak begitu pula ketua jabatan akan ditanya tentang amanah dan kelakuan staf di bawah jagaan. Tidak ketinggalan juga pemimpin negara akan ditanya tentang amanah kenegaraan sebagaimana setiap individu tidak terlepas daripada persoalan terhadap perlakuan dirinya sendiri.

Sehubungan dengan itu setiap makhluk perlu bersedia menghadapi detik sukar yang pasti tiba itu. Ia penting bagi mengelak apa jua kesukaran untuk memulakan perjalanan baharu di alam barzkah yang berliku. Dan yang pasti hanya individu yang benar-benar beriman dan beramal saleh sahaja akan dipandu dan diberi petunjuk sehingga berjaya memperoleh kemuliaan daripada-Nya.

Monday, October 25, 2010

Kemenangan beroleh haji mabrur

Artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29hb. Okt. 2010.

KEBANJIRAN manusia mula dirasai di kedua kota suci Mekah dan Madinah berikutan kemasukan jutaan tetamu Allah SWT bagi menunaikan kewajipan haji sebagai rukun Islam yang ke-5. Dengan kepelbagaian bangsa dan aneka ragam citarasa manusia tentunya aspek ketidakserasian dan kejanggalan sukar dielakkan. Situasi serba berbeza terutama dari segi cuaca yang ekstrim dan budaya masyarakat Arab setempat yang agak keras berbanding masyarakat Melayu yang bersopan-santun jika tidak ditangani dengan baik kemungkinan menggagalkan cita-cita untuk memperoleh kemenangan haji mabrur. Oleh yang demikian beberapa perkara perlu diberi perhatian terutama oleh jamaah haji yang belum lagi berangkat ke tanah suci. Ini penting bagi menjamin segala kerja-kerja haji berjalan dengan lancar dan teratur seterusnya diterima dengan sempurna.

Bersabar serta menjaga adab dan tingkah-laku
Para jamaah haji perlu menerima hakikat jutaan manusia akan berada di kawasan al-haramain terutama menjelang waktu kemuncak hari wukuf di Arafah. Yang mana kesemuanya mempunyai tujuan dan matlamat yang sama untuk menyelesaikan segala kerja-kerja haji sebagaimana yang disyariatkan. Untuk itu nilai kesabaran yang tinggi sangat diperlukan bagi mengelak perkara-perkara buruk yang tidak diingini. Para jamaah haji dinasihat supaya sentiasa menjaga adab dan tatasusila ketika tawaf, sai’e, wukuf di Arafah dan seterusnya ketika melontar di ketiga-tiga jamrah. Elakkan daripada berebut-rebut dan patuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji yang sentiasa memantau pergerakan jamaah haji. Keengganan segelintir jamaah untuk mematuhi arahan yang ditetapkan ini boleh menyebabkan mereka ditimpa kecelakaan dan sekaligus cita-cita mendapat haji mabrur juga terkubur.

Laksanakan ibadah semaksima mungkin.
Kesempatan terpilih menjadi tetamu Allah SWT tidak patut digunakan untuk bersantai dan berseronok-seronok sahaja. Peluang sekali seumur hidup bagi sesetengah jamaah haji ini sewajarnya dipenuhkan dengan berusaha melaksanakan pelbagai ketaatan bagi mengharapkan keampunan dan keredaan daripada-Nya. Pelbagai ibadat seperti melakukan umrah sunat, tawaf sunat, berjamaah 5 waktu di masjid, berpuasa, bersedekah, mengkhatamkan al-Quran dan berzikir bebas dilakukan. Yang kesemua daripada ibadah ini kemungkinan sukar untuk dilaksanakan di tanahair apatah lagi dengan kesibukan tugasan harian masing-masing. Elakkan juga daripada menumpukan banyak masa untuk berbelanja itu dan ini kerana matlamat utama menunaikan kewajipan haji belum sempurna terlaksana.

Elakkan konflik yang merosakkan haji
Allah SWT berfirman yang bermaksud “ Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji maka tidak boleh melakukan persetubuhan, berbuat fasiq dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji..” (Surah al-Baqarah:197).

Sehubungan dengan itu jamaah haji dinasihat mengelak diri daripada konflik pertelingkahan yang boleh merosakkan ibadah haji. Perbezaan pendapat yang berlaku perlu diselesaikan dengan semangat ukhuwah Islamiyah yang menjadi asas kesatuan umat Islam seantero dunia. Janganlah pula kerana perkara yang remeh-temeh seperti makanan yang kurang enak, tempat tinggal yang jauh dan kurang selesa menjadi sebab untuk seseorang menghamburkan kata-kata nista ketika berada di tanah haram.

Adalah afdal jika setiap jamaah haji bermuhasabah akan tujuan datang ke sana dan apa matlamat yang patut dicapai, sehingga sedikit sebanyak kekurangan yang terjadi boleh diterima seadanya. Ingatlah juga pergi haji bukan pergi melancong seperti yang diharapkan, ia merupakan perjalanan ibadah bagi menguji tahap keimanan dan ketabahan setiap hamba. Malah sesiapa yang sanggup berkorban dan sentiasa memelihara diri dijanjikan pula dengan ganjaran penghapusan dosa seperti hari dilahirkan oleh ibunya.

Banyakkan berdoa mengharap pertolongan dari-Nya.
Dalam menangani pelbagai cabaran dan ujian mendatang pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT sangat diharapkan. Sehubungan dengan itu perbanyakkanlah berdoa agar apa jua halangan dapat diatasi dengan sempurna. Malah dengan berdoa seseorang dapat menzahirkan pergantungan hanya kepada Allah SWT yang berkuasa atas segala-galanya. Malah ia merupakan senjata mukmin yang kurang dimanfaatkan oleh umat Islam pada masa kini kecuali jika terdesak mengharap bantuan dari-Nya.

Justeru perbanyakkanlah berdoa sama ada bagi melicinkan kerja-kerja haji dan berhasil mendapat haji mabrur ataupun berdoa untuk kemaslahatan keluarga dan negara tercinta. Para jamaah haji juga dinasihat tidak lupa untuk mengadukan hal saudara se agama terutama di Palestin yang terus ditindas di tanahairnya sendiri. Semoga dengan keberkatan ke dua tanah haram dan berdampingan dengan Baginda Nabi Muhammad SAW segala doa dan hajat diperkenankan oleh Allah SWT.

Ikhlaskan niat sambil mengharap keampunan-Nya
Disamping itu para hujjaj baitulhilharam juga diharap sentiasa ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji. Jika tidak segala pengorbanan berupa wang ringgit, masa dan tenaga akan sia-sia tanpa sebarang balasan. Ingatlah bahawasanya jamaah haji yang datang daripada seluruh pelusuk alam sedang melakukan transaksi perniagaan dengan Allah SWT yang mana bayarannya adalah syurga yang penuh dengan segala kenikmatan. Justeru itu elakkan daripada hanya berharap laba dan keuntungan duniawi yang bersifat sementara. Malah yang lebih diharapkan adalah keampunan dan keredaan Allah SWT sepertimana ganjaran tertinggi yang diperolehi oleh ahli ibadah yang hanya melakukan kerana Allah SWT.

Akhirnya jika segala daripada rukun dan syarat haji telah terlaksana dengan jayanya. Begitu pula segala adab dan peraturan juga dipelihara dengan sempurna peratusan untuk menerima habuan yang dijanjikan tentunya tinggi di sisi Tuhan. Walau bagaimanapun pemberian yang tidak ternilai itu merupakan hak mutlak milik Allah SWT. Sebagai hamba kita diperintah untuk berusaha melaksanakan ketaatan sebaik mungkin dan hanya Dia yang berhak menentukan segalanya. Malah yang lebih penting untuk direnungkan sama ada golongan haji dan hajjah berjaya atau tidak meneruskan komitmen ibadah di tanah suci yang pernah menjadi rutin di tanah suci sekembalinya mereka ke tanahair nanti.

Sunday, October 24, 2010

Usah terkesima dengan amalan sihir yang menyesatkan

SIHIR adalah perbuatan terkutuk yang ditegah dalam Islam. Ia biasanya dikaitkan dengan kerajaan hati yang dicemari oleh penyakit mazmumah seperti hasad dengki dan tidak suka melihat kebahagiaan orang lain. Sedia difahami apabila institusi dalaman ini rosak maka ia memberi kesan pula kepada perangai dan tingkah-laku seseorang. Lebih memburukkan keadaan apabila kerosakan itu membuka ruang seluas-luasnya kepada Iblis untuk bersemayam dalam hati sehingga apa sahaja yang dilakukan seolah-olah baik walaupun hakikatnya mengundang kemurkaan Allah SWT.

Di dalam al-Quran terdapat sepotong ayat yang menjelaskan asal-usul sihir serta keburukannya sehingga mampu merosakkan sebuah institusi keluarga. Misalnya firman Allah SWT yang bermaksud “Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”. (Surah al-Baqarah:106)

Justeru tidak menghairankan jika amalan keji sebegini masih mendapat tempat dikalangan segelintir umat Islam yang terkesima dipergunakan oleh Iblis untuk mencapai berbagai tujuan duniawi yang bersifat sementara. Ada yang menggunakannya untuk memperoleh jawatan. pangkat dan kedudukan, melariskan perniagaan dan tak kurang juga yang menggunakannya untuk memenangi sesuatu pertandingan.

Perlu diingat walauapa tujuannya perbuatan tersebut termasuk khurafat dan dosa syirik yang wajib dijauhi. Sebagai individu Muslim yang bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah SWT dan bahawasanya Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah seharusnya meletakkan sepenuh keyakinan hanya kepada Allah SWT yang memiliki kuasa mutlak untuk memberi pangkat, harta dan segala kenikmatan duniawi kepada sesiapa jua yang dikehendaki. Lagi pula jika direnungkan habuan yang diterima daripada perbuatan sihir itu bersifat sementara dan tidak sebanding dengan hukuman yang amat pedih disediakan di. hari akhirat nanti.

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diseru melipatgandakan usaha bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dengan berkerja bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita yang dihajati. Ia penting bagi mengelak terlibat mengambil jalan pintas melakukan perbuatan sihir yang menyusahkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Begitu juga hubungan silaturrahim antara sesama saudara se agama perlu dipupuk dan dipelihara agar segala hak dan tanggungjawab seorang Muslim dengan seorang Muslim yang lain dapat dilestarikan dengan sempurna.

Pengamal perubatan para normal juga diharap tidak mengambil kesempatan berniaga di alam ghaib dengan mengenakan bayaran tinggi atas perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit sihir yang dirawat. Jika perlu ambillah upah sekadar yang diperlukan dan yang lebih penting rawatan dilakukan berteraskan syariat sambil mengharap perkenan daripada-Nya. Malah tidak mustahil jika seseorang ikhlas membantu akan diberi kekuatan dan pertolongan luar biasa seperti karamah sehingga dapat mengalahkan Iblis dan kuncu-kuncunya yang menyesatkan manusia dengan perbuatan sihir terkutuk.

Masyarakat Islam juga diingatkan supaya tidak mendapatkan khidmat pengamal perubatan yang menggunakan perantara jin dan jampi serapah yang tidak difahami kerana bakal memburukkan lagi keadaan. Sebaliknya pilihlah mereka yang sempurna amalan syariahnya dan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai pelindung daripada gangguan syaitan yang dilaknat.

Begitu pula umat Islam diminta berhati-hati jika ada yang mendakwa memiliki kuasa istimewa sehingga dapat mengenalpasti individu yang berbuat onar kerana kemungkinan ia juga merupakan tipu daya syaitan yang tidak jemu-jemu mencari jalan bagaimana untuk mewujudkan kebencian dan permusuhan di antara sesama manusia.

Bagi rakan se agama yang terkena mudarat akibat perlakuan sihir ini bersabarlah kerana tiada suatu kebaikan atau musibah yang menimpa manusia melainkan dengan perkenan daripada Allah SWT jua. Anggaplah ia suatu ujian daripada Allah SWT untuk menguji sejuah mana keimanan dan ketakwaan hamba-hambaNya. Berserah dan bertakwakkallah sepenuhnya kepada Allah SWT sambil berusaha mencari penawar daripada gangguan sihir yang menimpa. Elakkanlah juga daripada mengambil jalan sesat membalas perbuatan sihir dengan sihir yang lain kerana ia semakin mengeruhkan suasana.

Akhirnya marilah sama-sama kita berlindung dengan Allah SWT daripada syaitan yang direjam juga daripada amalan buruk segelintir manusia yang terkesima dengan sedikit kenikmatan hidup di dunia. Yakinlah bahawasanya tidak ada makhluk yang berkuasa memberi manfaat dan mudarat melainkan dengan izin perkenan daripada Allah SWT jua. Justeru itu berusahalah untuk sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya agar sentiasa di bawah lindungan dan pemeliharaan mutlak daripada-Nya.

Saturday, October 16, 2010

Transformasi Baharu Baitul Mal di Malaysia

Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia pada 5hb. Nov. 2010 dengan tajuk "Mengembalikan kegemilangan baitulmal seperti era Khalifah Umar"

SEJARAH mencatatkan betapa institusi Baitul Mal pernah gemilang di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Malah beliau dianggap sebagai individu yang mengasaskan institusi Baitul Mal secara rasmi dan sistematik berbanding kewujudan baitulmal dalam bentuk simple di zaman Rasulullah SAW. Ini kerana di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab wilayah pentadbiran Islam semakin luas dan hasil pendapatan negara yang terdiri daripada zakat, jizyah, kharaj dan harta rampasan perang juga bertambah banyak.

Institusi perbendaharaan negara atau juga dikenali sebagai rumah harta ini terus berkembang seiring dengan keperluan semasa. Di Malaysia pengurusan dan pentadbiran Baitul Mal dipertanggungjawabkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja sebagai ketua agama. Fungsinya menjurus kepada aspek perolehan dan pengurusan harta zakat, sedekah, wakaf, pengurusan harta tidak bertuan dan harta yang tidak dituntut.

Yang mana jika diteliti jumlah harta tersebut meningkat saban tahun dan masih belum dapat menyelesaikan masalah kemiskinan umat yang sedikit sebanyak menjadi faktor menyumbang kepada aktiviti tidak sihat seperti mengemis, mencuri dan lain-lain yang mencalarkan imej ketinggian Islam.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) peratus kemiskinan dikalangan orang Melayu yang majoriti beragama Islam adalah tertinggi berbanding kaum-kaum lain. Dimana peratus kemiskinan orang Melayu adalah sebanyak 5.1% berbanding kaum Cina 0.6% dan India 2.5% pada tahun 2007. Pendapatan isi rumah golongan Bumiputera pada tahun 2007 juga rendah iaitu sebanyak RM3,156 berbanding kaum Cina RM4,853 dan India RM3,799 sebulan.

Sedangkan dalam masa yang sama jumlah kutipan zakat seluruh negara pula menunjukkan peningkatan memberangsangkan misalnya pada tahun lalu sejumlah RM1.19 bilion berjaya dikutip di seluruh negara berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2008 dan RM806 juta pada tahun 2007. Lihat pula kepada jumlah tabungan umat Islam di institusi kewangan Islam seperti di Bank Islam dan Tabung Haji yang jumlahnya juga berbilion ringgit.

Justeru itu, sesuatu patut dilakukan bagi mengelak umat Islam terus dibelenggu dengan rantai kemiskinan di tanahairnya sendiri. Cadangan penubuhan sebuah institusi Baitul Mal diperingkat kebangsaan oleh YAB Perdana Menteri semasa merasmikan Konvensyen Baitul Mal Kebangsaan pada tahun 2009 yang lalu wajar dijadikan sempadan. Walau bagaimanapun menurut YAB Perdana Menteri lagi penubuhan entiti tersebut mestilah jelas, kreatif dan tidak menjadi pesaing kepada institusi Baitul Mal negeri yang sedia ada. Malah sokongan dan pandangan daripada Mufti, tokoh-tokoh agama dan Majis Agama Islam Negeri (MAIN) sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat murni YAB Perdana Menteri ini.

Masanya juga sudah tiba bagi mengembalikan semula kegemilangan institusi Baitul Mal Islam terdahulu demi memartabatkan lagi ketinggian Islam di mata dunia. Sifat umat Islam yang pemurah dan suka berderma patut diteruskan bagi mengharapkan ganjaran pahala berlipat kali ganda. Ia juga boleh dijadikan sebagai modal pusingan untuk membantu sesama insan yang memerlukan.

Bayangkan jika semua umat Islam di Malaysia sanggup berkorban untuk menyumbang secara bulanan dengan jumlah yang tertentu, berbilion ringgit berjaya dikumpul setiap tahun demi untuk kemaslahatan ummah bersama. Ini dapat dilakukan jika kesemua wang tersebut disalurkan kepada badan tertentu seperti institusi Baitul Mal yang berintegriti dan berwibawa bagi memegang amanah ummah.

Apapun golongan tertentu seperti pengemis dan peminta sedekah diharap tidak mengambil kesempatan daripada sifat pemurah umat Islam dengan menjadikan aktiviti tersebut sebagai mata pencarian. Adalah lebih mulia jika mereka berusaha dengan kudrat yang ada walaupun mungkin menerima habuan yang sedikit. Malah dengan cara itu juga maruah dan kehormatan diri dan keluarga juga akan terpelihara. Diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud “Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada yang menerima” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhariy).

Di sudut pandang yang lain masih banyak keperluan fardu kifayah umat Islam yang belum terlaksana. Dengan tertubuhnya entiti Baitul Mal diperingkat kebangsaan ini ia boleh menyumbang kepada penyediaan produk halal yang lebih sistematik dan menyeluruh, terlibat dalam pasaran modal Islam yang memberi pulangan lebih besar dan meningkatkan ekonomi ummah melalui aktiviti pembiayaan Islam seperti REIT’S, Sukuk dan lain-lain. Ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada institusi kewangan Islam sedia ada seperti bank Islam, syarikat takaful dan lain-lain yang wujud pada hari ini.

Walau bagaimanapun tanpa sokongan padu daripada YAB Perdana Menteri dan kepimpinan tertinggi negara serta badan bertanggungjawab seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) kemungkinan transformasi baharu institusi Baitul Mal ini tidak dapat dijayakan. Begitu pula idea bernas dan pandangan ikhlas daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), ulama dan tokoh akademik sangat diharapkan agar penubuhannya benar-benar menjadi kenyataan satu hari nanti.

Untuk tujuan itu juga masyarakat Islam hendaklah berhenti daripada terus bertelagah dan menuding jari sesama sendiri kerana yang rugi adalah Islam dan umatnya sendiri. Asas kesatuan Islam dalam membina sebuah negara bangsa hendaklah disemai dan dipupuk setiap masa bagi melahirkan generasi Islam yang celik ilmu dan bijaksana dalam menangani apa jua cabaran semasa.

Golongan cerdik pandai Islam juga hendaklah memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai pencetus kepada era kebangkitan semula Islam dengan mengerah usaha dan pemikiran ke arah meningkatkan ekonomi ummah melalui sektor ekonomi ijtimaiy seperti sedekah, wakaf, infaq fisabilillah dan lain-lain yang merupakan sunnah warisan Nabi Muhammad SAW.

Thursday, September 30, 2010

EKSTRIMIS BUKAN AJARAN ISLAM

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 Oktober 2010 dengan tajuk PIAGAM MADINAH ASAS WUJUD HUBUNGAN HARMONI

TINDAKAN paderi Benjamin Stephen yang didakwa menghina Islam dan institusi kerasulan menerusi laman sesawang You Tube dilihat cuba mengeruhkan ikatan mesra antara penduduk berbilang agama di negara ini. Ia sekaligus menyemarakkan lagi perasaan takut dan benci kepada Islam yang sedang berlaku di sesetengah negara Barat. Gejala Islamophobia di Amerika Syarikat sebagai contoh telah menggagalkan usaha untuk menubuhkan sebuah pusat Islam berhampiran Ground Zero kerana mendapat bantahan akibat tuduhan penglibatan umat Islam dalam insiden 911. Malah tindakan Paderi Terry Jones dari The Dove World Outreach Centre di Florida yang beria-ia mengadakan kempen membakar al-Quran sempena peristiwa itu juga adalah antara usaha menanam kebencian mendalam terhadap Islam dan penganutnya.

Selaras dengan itu cadangan oleh Datuk Nooh bin Gadut Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor supaya Piagam Madinah dijadikan asas untuk mewujudkan hubungan harmoni di antara agama wajar dipertimbangkan. Menurut beliau lagi Piagam Madinah yang merupakan wasiat tinggalan Rasulullah SAW adalah model terbaik yang menunjukkan bagaimana Islam sangat menitikberatkan pertalian muhibah antara umat Islam dan bukan Islam.

Pernyataan ini dijelaskan lagi oleh Mahayudin Hj. Yahaya dalam buku bertajuk Tamadun Islam yang menyatakan Piagam Madinah atau Sahifah Madinah dengan jelas memberi jaminan keselamatan terhadap non –Muslim yang menganggotai dan mematuhi peraturan yang digariskan. Dengan kata lain isi kandungan piagam tersebut yang terdiri daripada 47 fasal telah menentukan prinsip kebebasan akidah, kebebasan berfikir, kesucian Kota Madinah, keselamatan nyawa dan harta benda serta pencegahan terhadap perkara mungkar seperti mencuri, melakukan kezaliman, membunuh dan seumpamanya.

Selain daripada itu setiap individu Muslim boleh memainkan peranan signifikan menjernihkan gejala Islamophobia yang mula semarak akhir-akhir ini dengan menjadi duta bagi mempromosikan elemen keunikan Islam kepada masyarakat. Komitmen bersungguh-sungguh dan berterusan perlu dilakukan bagi menghilangkan pelbagai tanggapan negatif yang dilontarkan terhadap Islam. Oleh yang demikian aspek perundangan Islam perlu terlebih dahulu menjadi teras pegangan ummah sehingga segala tindak-tanduk dan perlakuan dapat dilaksanakan sesuai dengan ajarannya.

Disamping itu umat Islam diseru mempromosikan nilai-nilai ketinggian Islam melalui aspek pemantapan akidah, pelaksanaan ibadah yang sempurna dan mempraktikkan keunikan nilai akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Begitu pula semangat toleransi dan persefahaman sesama manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa dapat menyumbang kepada keamanan sejagat yang sangat diperlukan dewasa ini.

Perlu juga diingat tindakan menghina dan mencerca agama lain adalah dilarang sama sekali. Ini termasuk gejala ekstrimis seperti membakar rumah ibadah dan mencemarkan kesucian agama lain yang jauh menyimpang daripada nilai al-samahah dan toleransi yang digariskan dalam Islam.

Tegahan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampau batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelok pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka lalu iapun menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka kerjakan”. (Surah al-An’am:108)

Lebih jelas lagi perlakuan buruk segelintir pelampau agama yang cuba menggugat keharmonian hidup beragama seperti ini pasti mengundang bencana dan malapetaka kepada negara jika tidak dibendung dengan segera. Ia ibarat api dalam sekam yang boleh menimbulkan rusuhan kaum pada bila-bila masa lalu merencatkan pembangunan negara. Lihat sahaja kepada tragedi Masjid Babri di Ayodha India yang pernah mengorbankan kira-kira 2000 nyawa akibat tindakan pelampau Hindu yang merampas Masjid tersebut. Kini setelah hampir 60 tahun isu tersebut kembali hangat diperkatakan menjelang keputusan penghakiman yang akan menentukan sama ada tapak masjid tersebut akan diserahkan kepada umat Islam bagi membina semula Masjid Babri yang diruntuhkan ataupun kepada penganut Hindu yang pernah merampas masjid tersebut.

Amanat oleh YAB Perdana Menteri semasa berucap di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu supaya “Pergerakan Global Kumpulan Sederhana” dibina daripada semua agama untuk bekerjasama bagi memerangi dan menyisih kumpulan ekstrem yang mengancam dunia dengan ketaksuban dan pendapat yang berat sebelah perlu disambut baik oleh semua pemimpin agama di Malaysia khususnya bagi merealisasikan hasrat tersebut. Ini kerana tiada guna YAB Perdana Menteri berceramah di persada dunia jika masyarakat sendiri masih skeptikal terhadap keistimewaan Islam sebagai agama rasmi di negara berdaulat ini, sehingga masih ada pihak berani yang mempersoalkan dan mencemarkan kesuciannya
Akhirnya fahamilah bahawa Islam tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana puak militant yang menyebabkan huru-hara atas nama agama. Sebaliknya syariah Islam adalah agama yang bersifat universal untuk semua manusia termasuk golongan bukan Islam yang mendapat manfaat keamanan dan keterbukaan daripadanya.

Perkara ini turut diperjelaskan oleh Rasulullah SAW dalam riwayatnya yangbermaksud “Aku diutus dengan agama fitrah yang menganjurkan toleransi dan persefahaman”

Wednesday, September 22, 2010

HANTU BERKELIARAN DI BULAN SYAWAL

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24/9/2010 dengan tajuk "Kebanyakan orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah".

FILEM hantu yang mengundang kepercayaan tahyul dan khurafat serta boleh membawa kepada perbuatan syirik menjadi juadah hidangan hari raya masyarakat Islam di Malaysia sejak 1 Syawal yang lalu. Berbagai gambaran hantu seperti pocong dan zombie yang ditayangkan kepada khayalak penonton semasa menyambut Aidilfitiri kelihatan tidak begitu sesuai dengan suasana hari raya yang hendaknya diisi dengan kegembiraan dan kesyukuran sambil memuji kebesaran Ilahi.

Akibatnya hari ini ramai orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah SWT ke atas segala dosa dan nista yang sengaja dilakukan. Malah perbuatan dosa yang mengundang malapetaka sosial kepada negara kini dilakukan secara terang-terangan tanpa segan-silu lagi. Di sana sini maksiat berleluasa, terbaharu jejantas pejalan kaki di Mersing Johor dijadikan tempat melakukan perbuatan zina terkutuk berikutan penemuan pakaian dalam wanita yang tidak sempat dipakai semula kerana tergesa-gesa melarikan diri.

Fenomena seperti ini juga boleh dilihat dengan mudah terutama di musim cuti dan hujung minggu di mana pasangan muda-mudi mengambil kesempatan cuti untuk memadu asmara di kawasan rekreasi seperti air terjun, hutan lipur dan kawasan pantai peranginan yang menjadi tumpuan ramai. Tentu sekali ia perlakuan menjijikkan apatah lagi jika dilakukan oleh umat Islam yang baharu sahaja selesai menerima pendidikan tuhan di bulan Ramadan. Malah ia kemungkinan dicontohi pula oleh kanak-kanak yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru apabila terpandang gejala tidak bermaruah tersebut. Ini ditambah lagi dengan akses mudah kepada bahan pornografi yang banyak terdapat di ruang siber tanpa sebarang sekatan.

Sehubungan dengan itu penulis menggesa semua pihak mengambil peduli akan kemungkaran yang berlaku disekeliling mereka. Ini kerana amanah menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar bukan hanya terpikul di bahu pihak berkuasa seperti Polis dan penguatkuasa majlis agama Islam semata-mata. Begitu pula ia bukan hanya tanggungjawab imam, ahli jawatankuasa masjid dan golongan agamawan. Ia merupakan tugas semua yang jika tidak ditunaikan akan dipersoalkan di hari kemudian.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dengan maksudnya; “Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan jika tidak mampu maka hendaklah dengan hati yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Malah jika ada gesaan daripada beberapa pemimpin masyarakat India supaya gansterisme di kalangan mereka dibenteras habis-habisan mengapa tidak ia diperluaskan juga kepada membenteras habis-habisan gejala tidak bermoral seperti berkhalwat, zina dan bersekedudukan di kalangan umat Islam yang kronik serta mengundang pula kepada tindakan keji buang bayi yang tidak berperikemanusiaan.

Selain hantu lakonan yang banyak disiarkan oleh stesyen televisyen masa kini terdapat pula sebilangan manusia yang benar-benar dirasuk oleh hantu syaitan hingga tergamak melakukan pembunuhan kejam terhadap rakan seperniagaan, jiran tetangga, ibu dan ayah serta kerabat terdekat. Perbuatan bunuh-membunuh seperti yang banyak ditayangkan di filem-filem seolah-olah menjadi mainan oleh penjenayah masa kini lebih-lebih lagi jika terdesak untuk berbuat demikian.

Lebih merungsingkan lagi apabila jenayah pembunuhan terancang seperti yang berlaku kepada Datuk Sosilawati dan ramai yang lain dilakukan oleh golongan professional seperti peguam yang sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat dan negara demi menegakkan keadilan sejagat.

Untuk itu juga pengamal undang-undang Muslim terutamanya dinasihat supaya tidak hanya mementingkan keuntungan berlipat kali ganda dengan menipu dan mengambil hak orang lain. Kalaupun mungkin dengan perlakuan salah itu mereka terlepas daripada hukuman ketika di dunia, hukuman di hari akhirat yang lebih dahsyat menanti dengan pasti. Dan apabila tiba saat itu tiada sesiapa yang kebal daripada hukuman sehingga besar atau kecil sesuatu kesalahan tetap akan dipertanggungjawabkan.

Berdasarkan hukum karma juga jika sesuatu perkara terdahulu dilakukan bukan disebabkan nafsu, kerakusan dan sifat-sifat yang buruk maka pelakunya akan mendapat kenikmatan dan kebahagiaan. Manakala jika disebabkan nafsu dan segala sifat yang buruk, maka pembuatnya akan menerima padah. Ini juga bertepatan dengan kepercayaan dalam agama Hindu bahawa setiap manusia harus bertanggungjawab atas segala yang dilakukan dan akan menerima balasan yang setimpal.

Akhirnya masyarakat Islam perlu menyedari bahawa hantu yang sebenar iaitu Iblis serta kuncu-kuncunya kini berkeliaran di merata tempat. Sejak 1 Syawal yang lalu Iblis telah dibebaskan daripada dibelenggu dan kini berusaha sedaya-upaya untuk merosakkan akidah dan pemikiran manusia ke arah kesesatan. Untuk itu hanya golongan Mukmin yang beroleh ganjaran takwa dan teguh keimanannya mampu menangkis serangan bertubi-tubi musuh Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sedarlah juga betapa manusia yang bertopengkan hantu syaitan lebih berbahaya berbanding Iblis dan sekutunya yang hanya berupaya memujuk dan menjuruskan manusia kepada melakukan sesuatu kejahatan kemudian berlepas tangan daripada usaha buruk mereka itu.

In berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Berlaku kufurlah engkau! Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!”. (Surah al-Hasyr:16)