Thursday, September 30, 2010

EKSTRIMIS BUKAN AJARAN ISLAM

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 Oktober 2010 dengan tajuk PIAGAM MADINAH ASAS WUJUD HUBUNGAN HARMONI

TINDAKAN paderi Benjamin Stephen yang didakwa menghina Islam dan institusi kerasulan menerusi laman sesawang You Tube dilihat cuba mengeruhkan ikatan mesra antara penduduk berbilang agama di negara ini. Ia sekaligus menyemarakkan lagi perasaan takut dan benci kepada Islam yang sedang berlaku di sesetengah negara Barat. Gejala Islamophobia di Amerika Syarikat sebagai contoh telah menggagalkan usaha untuk menubuhkan sebuah pusat Islam berhampiran Ground Zero kerana mendapat bantahan akibat tuduhan penglibatan umat Islam dalam insiden 911. Malah tindakan Paderi Terry Jones dari The Dove World Outreach Centre di Florida yang beria-ia mengadakan kempen membakar al-Quran sempena peristiwa itu juga adalah antara usaha menanam kebencian mendalam terhadap Islam dan penganutnya.

Selaras dengan itu cadangan oleh Datuk Nooh bin Gadut Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor supaya Piagam Madinah dijadikan asas untuk mewujudkan hubungan harmoni di antara agama wajar dipertimbangkan. Menurut beliau lagi Piagam Madinah yang merupakan wasiat tinggalan Rasulullah SAW adalah model terbaik yang menunjukkan bagaimana Islam sangat menitikberatkan pertalian muhibah antara umat Islam dan bukan Islam.

Pernyataan ini dijelaskan lagi oleh Mahayudin Hj. Yahaya dalam buku bertajuk Tamadun Islam yang menyatakan Piagam Madinah atau Sahifah Madinah dengan jelas memberi jaminan keselamatan terhadap non –Muslim yang menganggotai dan mematuhi peraturan yang digariskan. Dengan kata lain isi kandungan piagam tersebut yang terdiri daripada 47 fasal telah menentukan prinsip kebebasan akidah, kebebasan berfikir, kesucian Kota Madinah, keselamatan nyawa dan harta benda serta pencegahan terhadap perkara mungkar seperti mencuri, melakukan kezaliman, membunuh dan seumpamanya.

Selain daripada itu setiap individu Muslim boleh memainkan peranan signifikan menjernihkan gejala Islamophobia yang mula semarak akhir-akhir ini dengan menjadi duta bagi mempromosikan elemen keunikan Islam kepada masyarakat. Komitmen bersungguh-sungguh dan berterusan perlu dilakukan bagi menghilangkan pelbagai tanggapan negatif yang dilontarkan terhadap Islam. Oleh yang demikian aspek perundangan Islam perlu terlebih dahulu menjadi teras pegangan ummah sehingga segala tindak-tanduk dan perlakuan dapat dilaksanakan sesuai dengan ajarannya.

Disamping itu umat Islam diseru mempromosikan nilai-nilai ketinggian Islam melalui aspek pemantapan akidah, pelaksanaan ibadah yang sempurna dan mempraktikkan keunikan nilai akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Begitu pula semangat toleransi dan persefahaman sesama manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa dapat menyumbang kepada keamanan sejagat yang sangat diperlukan dewasa ini.

Perlu juga diingat tindakan menghina dan mencerca agama lain adalah dilarang sama sekali. Ini termasuk gejala ekstrimis seperti membakar rumah ibadah dan mencemarkan kesucian agama lain yang jauh menyimpang daripada nilai al-samahah dan toleransi yang digariskan dalam Islam.

Tegahan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampau batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelok pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka lalu iapun menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka kerjakan”. (Surah al-An’am:108)

Lebih jelas lagi perlakuan buruk segelintir pelampau agama yang cuba menggugat keharmonian hidup beragama seperti ini pasti mengundang bencana dan malapetaka kepada negara jika tidak dibendung dengan segera. Ia ibarat api dalam sekam yang boleh menimbulkan rusuhan kaum pada bila-bila masa lalu merencatkan pembangunan negara. Lihat sahaja kepada tragedi Masjid Babri di Ayodha India yang pernah mengorbankan kira-kira 2000 nyawa akibat tindakan pelampau Hindu yang merampas Masjid tersebut. Kini setelah hampir 60 tahun isu tersebut kembali hangat diperkatakan menjelang keputusan penghakiman yang akan menentukan sama ada tapak masjid tersebut akan diserahkan kepada umat Islam bagi membina semula Masjid Babri yang diruntuhkan ataupun kepada penganut Hindu yang pernah merampas masjid tersebut.

Amanat oleh YAB Perdana Menteri semasa berucap di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu supaya “Pergerakan Global Kumpulan Sederhana” dibina daripada semua agama untuk bekerjasama bagi memerangi dan menyisih kumpulan ekstrem yang mengancam dunia dengan ketaksuban dan pendapat yang berat sebelah perlu disambut baik oleh semua pemimpin agama di Malaysia khususnya bagi merealisasikan hasrat tersebut. Ini kerana tiada guna YAB Perdana Menteri berceramah di persada dunia jika masyarakat sendiri masih skeptikal terhadap keistimewaan Islam sebagai agama rasmi di negara berdaulat ini, sehingga masih ada pihak berani yang mempersoalkan dan mencemarkan kesuciannya
Akhirnya fahamilah bahawa Islam tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana puak militant yang menyebabkan huru-hara atas nama agama. Sebaliknya syariah Islam adalah agama yang bersifat universal untuk semua manusia termasuk golongan bukan Islam yang mendapat manfaat keamanan dan keterbukaan daripadanya.

Perkara ini turut diperjelaskan oleh Rasulullah SAW dalam riwayatnya yangbermaksud “Aku diutus dengan agama fitrah yang menganjurkan toleransi dan persefahaman”

No comments:

Post a Comment