Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia pada 5hb. Nov. 2010 dengan tajuk "Mengembalikan kegemilangan baitulmal seperti era Khalifah Umar"
SEJARAH mencatatkan betapa institusi Baitul Mal pernah gemilang di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Malah beliau dianggap sebagai individu yang mengasaskan institusi Baitul Mal secara rasmi dan sistematik berbanding kewujudan baitulmal dalam bentuk simple di zaman Rasulullah SAW. Ini kerana di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab wilayah pentadbiran Islam semakin luas dan hasil pendapatan negara yang terdiri daripada zakat, jizyah, kharaj dan harta rampasan perang juga bertambah banyak.
Institusi perbendaharaan negara atau juga dikenali sebagai rumah harta ini terus berkembang seiring dengan keperluan semasa. Di Malaysia pengurusan dan pentadbiran Baitul Mal dipertanggungjawabkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja sebagai ketua agama. Fungsinya menjurus kepada aspek perolehan dan pengurusan harta zakat, sedekah, wakaf, pengurusan harta tidak bertuan dan harta yang tidak dituntut.
Yang mana jika diteliti jumlah harta tersebut meningkat saban tahun dan masih belum dapat menyelesaikan masalah kemiskinan umat yang sedikit sebanyak menjadi faktor menyumbang kepada aktiviti tidak sihat seperti mengemis, mencuri dan lain-lain yang mencalarkan imej ketinggian Islam.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) peratus kemiskinan dikalangan orang Melayu yang majoriti beragama Islam adalah tertinggi berbanding kaum-kaum lain. Dimana peratus kemiskinan orang Melayu adalah sebanyak 5.1% berbanding kaum Cina 0.6% dan India 2.5% pada tahun 2007. Pendapatan isi rumah golongan Bumiputera pada tahun 2007 juga rendah iaitu sebanyak RM3,156 berbanding kaum Cina RM4,853 dan India RM3,799 sebulan.
Sedangkan dalam masa yang sama jumlah kutipan zakat seluruh negara pula menunjukkan peningkatan memberangsangkan misalnya pada tahun lalu sejumlah RM1.19 bilion berjaya dikutip di seluruh negara berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2008 dan RM806 juta pada tahun 2007. Lihat pula kepada jumlah tabungan umat Islam di institusi kewangan Islam seperti di Bank Islam dan Tabung Haji yang jumlahnya juga berbilion ringgit.
Justeru itu, sesuatu patut dilakukan bagi mengelak umat Islam terus dibelenggu dengan rantai kemiskinan di tanahairnya sendiri. Cadangan penubuhan sebuah institusi Baitul Mal diperingkat kebangsaan oleh YAB Perdana Menteri semasa merasmikan Konvensyen Baitul Mal Kebangsaan pada tahun 2009 yang lalu wajar dijadikan sempadan. Walau bagaimanapun menurut YAB Perdana Menteri lagi penubuhan entiti tersebut mestilah jelas, kreatif dan tidak menjadi pesaing kepada institusi Baitul Mal negeri yang sedia ada. Malah sokongan dan pandangan daripada Mufti, tokoh-tokoh agama dan Majis Agama Islam Negeri (MAIN) sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat murni YAB Perdana Menteri ini.
Masanya juga sudah tiba bagi mengembalikan semula kegemilangan institusi Baitul Mal Islam terdahulu demi memartabatkan lagi ketinggian Islam di mata dunia. Sifat umat Islam yang pemurah dan suka berderma patut diteruskan bagi mengharapkan ganjaran pahala berlipat kali ganda. Ia juga boleh dijadikan sebagai modal pusingan untuk membantu sesama insan yang memerlukan.
Bayangkan jika semua umat Islam di Malaysia sanggup berkorban untuk menyumbang secara bulanan dengan jumlah yang tertentu, berbilion ringgit berjaya dikumpul setiap tahun demi untuk kemaslahatan ummah bersama. Ini dapat dilakukan jika kesemua wang tersebut disalurkan kepada badan tertentu seperti institusi Baitul Mal yang berintegriti dan berwibawa bagi memegang amanah ummah.
Apapun golongan tertentu seperti pengemis dan peminta sedekah diharap tidak mengambil kesempatan daripada sifat pemurah umat Islam dengan menjadikan aktiviti tersebut sebagai mata pencarian. Adalah lebih mulia jika mereka berusaha dengan kudrat yang ada walaupun mungkin menerima habuan yang sedikit. Malah dengan cara itu juga maruah dan kehormatan diri dan keluarga juga akan terpelihara. Diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud “Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada yang menerima” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhariy).
Di sudut pandang yang lain masih banyak keperluan fardu kifayah umat Islam yang belum terlaksana. Dengan tertubuhnya entiti Baitul Mal diperingkat kebangsaan ini ia boleh menyumbang kepada penyediaan produk halal yang lebih sistematik dan menyeluruh, terlibat dalam pasaran modal Islam yang memberi pulangan lebih besar dan meningkatkan ekonomi ummah melalui aktiviti pembiayaan Islam seperti REIT’S, Sukuk dan lain-lain. Ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada institusi kewangan Islam sedia ada seperti bank Islam, syarikat takaful dan lain-lain yang wujud pada hari ini.
Walau bagaimanapun tanpa sokongan padu daripada YAB Perdana Menteri dan kepimpinan tertinggi negara serta badan bertanggungjawab seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) kemungkinan transformasi baharu institusi Baitul Mal ini tidak dapat dijayakan. Begitu pula idea bernas dan pandangan ikhlas daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), ulama dan tokoh akademik sangat diharapkan agar penubuhannya benar-benar menjadi kenyataan satu hari nanti.
Untuk tujuan itu juga masyarakat Islam hendaklah berhenti daripada terus bertelagah dan menuding jari sesama sendiri kerana yang rugi adalah Islam dan umatnya sendiri. Asas kesatuan Islam dalam membina sebuah negara bangsa hendaklah disemai dan dipupuk setiap masa bagi melahirkan generasi Islam yang celik ilmu dan bijaksana dalam menangani apa jua cabaran semasa.
Golongan cerdik pandai Islam juga hendaklah memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai pencetus kepada era kebangkitan semula Islam dengan mengerah usaha dan pemikiran ke arah meningkatkan ekonomi ummah melalui sektor ekonomi ijtimaiy seperti sedekah, wakaf, infaq fisabilillah dan lain-lain yang merupakan sunnah warisan Nabi Muhammad SAW.
No comments:
Post a Comment